Friday, October 24, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (15)

SOLAT E'IDUL ADHA, MELONTAR JAMRAH AL-AQABAH, MABIT & MELONTAR 3 JAMRAH

Kami tiba terlalu hampir dengan waktu solat Subuh pagi Hari Raya. Tidak sempat melelapkan mata. Sekadar bertukar kepada 'baju raya' yang telah disiapkan sebelum musim haji lagi, lalu terus menuju ke MasjidilHaram.

Jamaah semakin ramai memenuhi ruang MasjidilHaram. Masing-masing tidak ingin melepaskan peluang mengerjakan solat Sunat Eidul Adha di Masjid Agung ini. Kami antara yang sangat bertuah dapat menikmati suasana ini.
Seperti biasa, selepas solat Subuh, berehat sebentar dengan jubah dan baju raya masing-masing di dalam MasjidilHaram. Ada yang membelek helaian al-Quran yang pada ketika itu sudah hampir tamat kali pertama, ada yang terus bermunajat denganNYA, ada juga yang menggunakan waktu untuk baring-baringan sebentar di dalam MasjidilHaram melepaskan rasa mengantuk akibat kepenatan tidak tidur seharian sejak sehari sebelum itu.


Bila tiba waktu solat 'Eid Adha, kami berjamaah dengan Imamnya Syeikh Shuraym. Bacaannya tegap satu persatu. Tetapi yang lebih mengagumkan ialah susunan bahasa beliau dalam khutbahnya membuatkan saya dan Ummu Nufayl juga rasanya, terpesona. Sambil menghayati maksud khutbah, saya juga menjadi asyik dengan keindahan bahasa yang digunakan. MasyaALlah. Inilah kelebihan bangsa Arab ; di mana al-Quran diturunkan kepada mereka.


Cuma apa yang tidak dapat kami nikmati ialah alunan syahdu takbir raya. Di sana tiada itu semua. Bila balik ke Malaysia, barulah berjumpa kembali semua itu. Semuanya syahdu.

Selesai solat sunat 'EidAdha, kami pulang ke penginapan. Melepaskan segala penat dan kelesuan badan. Baring, dan baring, dan lelap. Menunggu gerak seterusnya, mabit di mina, dan melontar jamrah.


Malam itu, kami menuju ke Mina untuk melontar Jamrah al-Aqabah. Tubuh kembali segar selepas beberapa ketika.




Hadits dari Ummi Salamah Radhiallahu anha.



"Artinya : Bahwa dia melontar jumrah sebelum fajar" [Hadits Riwayat Abu Dawud dengan sanad shahih]



Untuk jamrah al-Aqabah ;

PESANAN : Pastikan jamrah yang betul. Jamrah Aqabah adalah yang paling hujung. Jamrah Aqabah HANYA BOLEH dilemparkan batu dari satu bahagian sahaja. Jangan tertipu dengan 'ruang kosong' kerana mereka yag melontar dari bahagian yang bersebelahan tidak dikira sah lontaran itu kerana telah terkeluar dari sempadan.


Kami mabit pada malam 11 Zulhijjah dengan menggunapakai qaul al'Asah. kerana susunannya begitu bagi kumpulan kami. Kami tidak diperuntukkan khemah di Mina. Satu rezqi juga daripada Allah SWT kerana Abu Nufayl sendiri memang tidak betah dengan cuaca sejuk, dan Ummu Nufayl pula dalam keadaan hamil ketika itu. Juga ia menjadi ujian kerana dalam cuaca malam dan dinihari yang sejuknya mencengkam, bayunya agak kencang, kami mabit berbumbungkan langit (tanpa khemah). ;)



Walau apapun, kami tidak meninggalkan mabit.


Pulang ke Makkah selepas Subuh 11 Zulhijjah. Berpeluang menikmati kenyamanan Kota Makkah pada siang hari-hari tasyriq, kami mengambil peluang sepenuhnya untuk beribadat di MasjidilHaram, beri'tikaf, bertawaf sunat dan semupamanya sementara menunggu waktu mabit di Mina melontar bagi hari Tasyriq (bermula selepas tergelincir matahari 11, 12, dan 13 Zulhijjah). Siang di MasjidilHaram ketika hari-hari tasyriq amat tenang dan lapang. Tak terkata indahnya nikmat Allah ketika itu. Terpulang kepada diri sendiri untuk merebut peluang sebaiknya beribadah di sana.


Malamnya 11 Zulhijjah, Kembali ke Mina, melontar jamrah, dan mabit di Mina. Subhanallah, siapa kata Tanah Suci ini panas. Hanya sedikit sahaja lagi penurunan suhunya kami boleh beku rasanya. Abu Nufayl memang spesis yang tak tahan sejuk, maka muncullah seorang eskimo di celah-celah jamaah haji pada malam/pagi itu di Mina. Solat Subuh juga di Mina.


Seterusnya, kami melontar pula untuk ketiga-tiga jamrah iaitu menurut urutannya. Jamrah al-Ula, Jamrah al-Wustha dan Jamrah al-Aqabah. Keadaan jamrahnya bukan lagi ketika kami pergi hampir sedekad yang lepas. Ia tinggi, 3 tingkat, (sedang dalam proses penyiapan tingkat 4 & 5 pada masa itu), lebarnya kira-kira 75meter. Takungannya juga besar. Kalau tak masuk takungan juga, memang tak taulah apa sebabnya.

Begitulah yang berlaku seterusnya sehingga selesai Hari Tasyriq. Kami Nafar Thani.


PESANAN :

1. Ikut turutannya. Jangan suka hati.


2. Lontar, bukan baling. Jika boleh tidak perlu sampai ternampak ketiak. Ini adalah sunnah, bukannya amalan ikut perasaan. Kita tidak mahu cederakan jamaah lain, syaitan lagi suka! Dan bukan pula lambung batu masuk!


3. Lontar syaitan? Niat kita melontar itu adalah untuk menyempurnakan haji dan syariat Islam. Tidak perlu niatkan 'sahaja aku baling syaitan" Kalau saya jadi syaitan, saya tak tunggu di situ. Syaitan terpukul dengan ketaatan dan ketaqwaan kita mengerjakan amalan, bukannya kerana lontaran kita terkena badannya.


4. Pastikan batu masuk ke dalam takungan. Tidak semestinya terkena tiang. Ia hanya sebagai tanda pada zaman ini.


5. Jika yakin sudah 7 kali, jangan tambah lontaran. Bida'ah namanya.


6. Jika was-was, ambil bilangan yang terkurang. Tambah dengan yakin.



7. Lontar satu persatu. Jangan jama'kan lontaran. Tidak diajar syari'at.


8. Bismillahi Allhuakbar, lontar satu, dan seterusnya.


9. Jika terkurang batu, ambillah yang mana jatuh di luar takungan. Makruh, tetapi masih sah. Jangan ambil batu dalam takungan. Jika ada batu terlebih dalam uncang, sedeqahkan pada makcik atau pakcik yang tengah terpinga-pinga cari batu di sekitar jamrah. Banyak pahalanya. Jangan jual sudah.


10. Cuba cari tempat strategik, jangan melontar jika kita berada jauh ke belakang. Ikut arus, dari kiri, masuk sikit demi sedikit ke ruangan depan, paling kurang ada 3 baris jamaah di hadapan, insyaAllah batu akan masuk takungan, bukan kepala hujjaj lain! Untuk kami, keadaan melontar memang lapang. Dapat tempat paling hampir dengan jamrah. Untuk mengambil posisi afdhal mengiri kiblat pun tiada masalah. Alhamdulillah!




11. Jamaah muslimat, JAGA AURAT!


12. Jika berkesempatan bacalah doa selepas melontar. Mengadap qiblat; bukan tiang jamrah.

Selesailah urusan haji kami. Dalam masa kurang 5 hari, JFZH sudahpun menjalani hampir seluruh perjalanan 'tarbiyah kehidupan' muslim. Penuh cabaran, tetapi tenang dan menenangkan. Alhamdulillah!

Susunan perjalanan 'ringkas tapi panjang' kami (mengikut urutan, bukan status hukum)
1. Wuquf di Arafah
2. Tawaf Ifadhah
3. Sa'ie Haji
4. Bercukur/Bergunting (Tahallul Awal)
5. Mabit/Wuquf di Muzdalifah
6. Solat Sunat E'id Adha di MasjidilHaram
7. Melontar Jamrah al-Aqabah
8. Mabit di Mina
9. Melontar Jamrah al-Ula, al-Wustha dan al-Aqabah pada hari-hari tasyriq

10. 8 & 9

11. 8&9


Oh ya, pada hari raya kedua, korban (qibas & unta) kami telah dipesan kepada sahabat di Tanah Suci dan mereka menyelesaikannya di Mina. Alhamdulillah. Pada 1428 hijrah, harga qibas adalah SAR300, dan unta bagi satu bahagian pula adalah SAR250-SAR350 ikut saiz. Itu kalau dipesan daripada penduduk Makkah. Jika melalui agen atau Tabung Haji, sedikit tinggi,, kambing/qibas dalam SAR350-SAR450. Dan unta satu bahagian saiz biasa SAR350.

*al-hasilnya, kerana mengguna khidmat sahabat seIslam yang bermastautin di Makkah, sebahagian daging korban itu dapat kami nikmati sendiri di rumah beliau. Jika melalui Tabung Haji, memang tak dapat nak merasa.

Kisah dijamu daging qibas, unta, dan kambing rasanya akan ada dalam post lain penghayatan haji ini. Ummu Nufayl.. oo Ummu Nufayl. Tang tu dia memang suka cerita!

Wallahua'lam.

Thursday, October 23, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (14)

TAWAF IFADHAH (TAWAF RUKUN HAJI)

Dari Padang Arafah, kami menapak turun menuju ke khemah kami sebaik sahaja matahari terbenam, masuknya waktu Maghrib.

Dengan agak tergesa-gesa, kami menuju ke khemah, memandangkan ramai ; hampir semua jamaah sekhemah kami mengambil keputusan untuk pulang awal ke khemah sebelum matahari terbenam. Kami berasa rugi menyia-nyiakan walaupun sesaat waktu afdhal itu.

Beratur sebentar di tandas dan tempat ambil wudhu', kami memperbaharui wudhu' lantas menunaikan solat maghrib berjemaah bersama-sama. Membiarkan terlebih dahulu jamaah lain menaiki coaster yang disediakan. Kami antara yang terakhir, dan tiada apa-apa masalah, bukannya kena tinggal pun.

Destinasi seterusnya kumpulan kami, berlawanan hala sedikit dengan jamaah lain, kami menuju terus ke Kota Makkah. Untuk pulang ke sana dan menunaikan Tawaf Ifadhah sebaik sahaja melepasi separuh malam 10 Zulhijjah. Tiada apa-apa masalah di sini, kerana tawaf ifadhah, tertibnya tidak boleh dilakukan sebelum wuquf, kami telah berwuquf, dan waktunya selepas masuk malam 10 Zulhijjah.

Perjalanan pulang kami mengambil masa kira-kira satu jam lebih kurang, dan kami tiba ke Kota Makkah. Maha Suci Allah, kami bersyukur, dalam keadaan Ummu Nufayl yang sedang hamil ketika itu, dan saya sendiri yang ada sedikit masalah kesihatan pada ketika itu, kami tidak dipersukarkan dengan kesesakan lalulintas yang teruk. Tambah pula dengan pemandu kami, dengan izin Allah, telah membawa coaaster tersebut dengan segala macam kemahiran. Contohnya kemahiran menunggang kuda di jalan berbatu, memandu kancil di jalan sibuk dan memandu kereta kebal ketika kenderaan lain tersangkut dalam kesesakan.

Untuk makluman, pada tahun berkenaanlah 1428H, terjadinya jamaah haji terkandas dalam kesesakan lalu lintas selama ada yang melebihi 14 jam, dan langsung terlepas mabit di muzdalifah. Kami dilepaskan Allah SWT dari masyaqqah berkenaan.

Setibanya kami di Makkah, kami bertiga mengambil sedikit masa untuk memperkemas diri dan kemudiannya terus ke MasjidilHaram bagi menunaikan Tawaf Ifadhah.

MasyaAllah, Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, dataran Ka'abah ketika itu lengang-selengangnya kerana kebanyakan jamaah belum tiba dari Arafah. Dan kebanyakkan mereka memang terus ke Muzdalifah. Kami berpeluang bersolat di mana sahaja ruang sekitar Ka'abah ketika itu. Di Multazam, di Maqam Ibrahim, Hijr Ismail dan bergerak dengan semudah-mudahnya dengan izin Allah SWT. Inilah nikmat yang dapat kami kecapi buat sementara waktu.

Sebaik sahaja melepasi separuh malam 9 Zulhijjah, iaitu menjelang 10 Zulhijjah, kami melakukan Tawaf Ifadah - tawaf rukun haji. Bersama-sama kumpulan kami adalah mufti Mesir dan rombongan beliau serta beberapa kumpulan lain yang sempat sampai awal ke MasjidilHaram.

Ketika Tawaf Ifadhah ini, Allah swt, yang Maha Adil, memberikan sedikit ujian kepada saya sendiri. Jika sebelum tawaf saya berpesan agar masing-masing cuba bergerak bersama (Ummu Nufayl dan mertua saya), saya juga berpesan jika terpisah, teruskan tawaf dan tidak perlu mencari-mencari siapapun jua. Lagipun orang tidak ramai.

Allah Maha Kuasa, dicampakkan kepada saya ini rasa 'kasih' yang terlebih sedikit kepada isteri pada ketika itu. Kami terpisah di pertengahan jalan, dan rasa kasih itu menjadi dugaan, apabila saya sendiri menjadi bingung sebentar lalu menerbitkan niat menjejaki mereka. Dan bukan sekadar niat di hati, kaki ini turut bergerak ke hadapan menjejaki mereka. Apalagi, batallah pusingan tersebut kerana niatnya sudah terpesong. Dan tekalah, berapa pusingan tawaf haji saya?

11 PUSINGAN!!.

Hanya kerana perkara yang sama berlaku berulang-ulang. Hinggalah puas saya beristighfar akibat rasa cinta dunia ini, barulah 3 pusing yang terakhir dapat dilaksanakan dengan sempurnanya. Astaghfirullah.

Tetapi mungkin pergerakan saya sendiri, secara bersendirian agak pantas, tamat sahaja 11 pusingan saya, baru sahaja menyamai tamatnya 7 pusingan Ummu Nufayl dan ibu beliau pada malam itu. Alhamdulillah, semuanya selamat, cuma rasa lenguh dan sakit tapak kaki yang teramat sangat

Solat sunat tawaf, minum air zam-zam yang penuh keberkatan, sejukkan sedikit hati dan legakan sedikit otot dan urat saraf yang sedikit terjejas.

SA'IE HAJI

Tidak ingin menyia-nyiakan tenaga dan masa yang tersisa, kami terus menuju ke tempat Sa'ie. Bermula di Safa, sekali lagi kami bertiga diuji Allah swt. Saya hanya mengetahui puncanya setelah sesi 'post mortem'. Senyum..

Kami bertiga terpisah lagi. Ummu Nufayl yang agak keletihan, bersama ibunya, tertinggal jauh dan terpisah dengan saya ketika Sa'ie. Saya sendiri terpaksa 'memecut' kerana tidak pula mahu kejadian tawaf 11 kali berulang ketika Sa'ie. Tambah pula kaki saya agak sakit, baik otot betisnya, juga tapak kaki yang sedikit melecet kerana kejadian tawaf tersebut. Saya meneruskan Sa'ie hingga akhir bersendirian, dan Ummu Nufayl, bersama ibunya. Nasib baik bawa mertua.

Nota : Setelah bermuhasabah, kami memutuskan tiada siapa yang berkecil hati dalam kejadian tersebut kerana ketika terputus daripada pusingan tawaf, saya terdetik di hati sedikit rasa terkilan kerana Ummu Nufayl 'relax' sangat ketika tawaf. Mungkin itu jadi doa yang maqbul, rasa terkilan saya jadikan beliau makin tidak larat ketika Sa'ie. Detik rasa suami katakan. Aduh..

Tambah lagi, Ummu Nufayl pula mengakui, ketika wukuf beliau berdoa agar diberikan kebaikan budi dan semangat juang seperti Siti Khadijah, Siti Áisyah, Fatimah, Siti Hajar (erkk...sapa lagi ye yang dia doa). Akhirnya, dia mendapat 'habuan' seperti Siti Hajar ketika ditinggalkan Nabi ALlah Ibrahim Alaihissalam di sisi Kaabah bersamanya bayinya, Nabi Ismail r.a hinggalah tercetusnya peristiwa Sa'ie itu.

Mungkin pula doanya Ummu Nufayl dimaqbulkan Allah SWT, lantas dijadikan saya bergerak terlalu pantas dan meninggalkan Ummu Nufayl berseorangan (bersama Mama di sisi & bayi dalam kandungan) membina redha bahawa Allah menjaganya. Di sisi Kaabah yang tidak lagi tandus seperti zaman tersebut tetapi cukup rahmatnya di Masáa ini. Paling-paling pun kata Ummu Nufayl, Hajar dulu bersaíe mencari air antara Safa dan Marwah, kini air zam-zam berderetan di tepi Masáa. Kalau dulu Hajar keseorangan di Makkah yang kering-kontang dan tiada berpenghuni, kini kota Makkah (spesifiknya MasjidilHaram) penuh rahmatNYA, dibanjiri hujjaj seluruh dunia bersaíe bersama. Wallahua'lam. Kota Suci Allah ini terlalu unik dan masing-masing ada ceritanya yang tersendiri. Berserta dengan hikmah yang buatkan kita tidak putus merenung kehinaan diri di depan Allah yang Maha Agung.

TAHALLUL AWAL

Kami bertahallul awal sebaik sahaja selesai Sa'ie. Saya sendiri mendapat wajah baru pada malam itu. Rasa kacak juga tidak berambut! ... haha..ups.. Astaghfirullah. Semuanya kerana Allah SWT. Selepas ini sudah boleh berlepas dari ihram dan beberapa pantang laram ihram kecuali yang utama (sila rujuk buku panduan haji).

MABIT DI MUZDALIFAH

*atau boleh sahaja disebut wuquf di Muzdalifah, kerana hanya singgah sebentar sahaja di sana, tidaklah bermalam. Kami tiba pun kiranya sudah lepas separuh malam.

Sebaik sahaja selesai Sa'ie. Pulang ke Farah Hotel (penginapan kami) terus menaiki coaster yang telah pun siap menunggu. Jamaah terakhir yang tiba ke tempat menunggu adalah Ummu Nufayl dan ibunya dan pasangan romantis Pakcik Ismail Ahmad (AJIKIK - penulis sasterawan) dan isterinya, Makcik Khadijah. Kata Ummu Nufayl, romantis kerana sepanjang tawaf dan saíe...Pakcik Ajikik sentiasa menuntun isterinya yang sakit lutut. Bersaíe juga bersama, tak ditinggalkan walau selangkah. Romantisnya pasangan yang berusia lebih 70-an ini. Kami pula lain cerita (cemburu juga kata Ummu Nufayl dalam bercerita sambil gelak redha). :)

Berangkat ke Muzdalifah, masih juga sama perjalanannya, yakni tidaklah terlalu sukar dan lama kandas dalam kesesakan. Tiba di sana, turun, mengutip batu (bukan batu batan ya!) untuk melontar.

PESANAN :
1. Ambil batu yang paling besar pun tidak lebih dari saiz hujung jari kelingking. Mertua saya, dan Ummu Nufayl jika tidak silap ada juga bawa batu sebesar ibu jari dan lebih besar dari itu. Saya nasihatkan, nanti bukan Syaitan yang sakit, tapi jamaah lain yang bengkak kepala. Kita pula yang merah pipi.

2. Batu-batu tersebut tidak perlu disucikan, diistinjakkan, disamak atau sebagainya. Terus boleh guna.

3. Carilah lebih sedikit dari bilangan sebenar, takut-takut tersasar, boleh digantikan. Jumlah anak batu :

a. Jamrah al-Aqabah - 7 biji X 1 hari
b. Jamrah al-Ula (hari Tasyriq) - 7 biji X 3 hari
c. Jamrah al-Wustha (hari-hari Tasyriq -7 biji X 3 hari)
d. Jamrah al-Aqabah (hari-hari tasyriq) - 7 biji X 3 hari

JUMLAH = 70 biji batu. Saya ambil 80 biji. Isi dalam uncang.

4. Jika tidak dapat kutip batu (sekarang sudah mudah), tidak mengapa, di mana-mana tempat sekitar mina dan kawasan jamrah sekalipun boleh dikutip. Cuma terlepas keutamaan sunnah.

5. Jangan tertukar antara batu dan kayu atau najis unta/qibas. Picit-picit sikit. Bawalah lampu suluh ketika mengutip batu.

Tamat. Sesudah itu, kami berpatah balik, pulang menuju Kota Makkah untuk menunaikan solat Subuh serta Solat Hari Raya 'Eidul Adha di MasjidilHaram. Tiba di sana setengah jam ke waktu Subuh. Kami pulang bertukar pakaian kepada 'baju raya'. Jamaah sudah memenuhi masjid. Kami mengambil tempat di Dataran Ka'abah.



Jamaah semakin ramai menjelang pagi hari Raya.

Wallahua'lam.

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (13)

SELINGAN : KAEDAH MENGELUARKAN HUKUM DALAM KEADAAN HAJI YANG BERLAINAN

Untuk posting ini, saya berkira-kira untuk mencoretkan kisah kami seterusnya dalam keadaan yang ringkas. Bukanlah saya ini bakhil pengalaman. Tidak sekali malas menulis, kerana tulisan ini tujuan utamanya adalah untuk rakaman kami sendiri sekeluarga, dan pada masa yang sama berteraskan objektif da'wah kepada para pembaca. Memuatkan beberapa hukum penting pada masa yang sama.

Cumanya, pergerakan amalan haji kami seterusnya agak berlainan dengan majoriti jamaah Malaysia. Ada beberapa sebab, dan tidaklah perlu dikisahkan semuanya. Cuma antara sebabnya adalah pertimbangan pada ketika itu Ummu Nufayl hamil, dan kami (saya dan mertua) selaku penemannya turut terpaksa mengikut serba sedikit rentak beliau atas alasan keselamatan dan penjagaan diri.

Pesanan dari saya, ibadah haji itu sendiri merupakan satu cabaran kepada para hujjaj, dan kadang kala ada sesetengahnya perlu 'dilepaskan' kesukaran itu atas sebab-sebab tertentu. Allah swt tidak zalim untuk membebani hambaNya sehingga sampai ke tahap tidak tertanggung oleh mereka.

Diharap, para Imam-imam hujjaj yang keras pandangannya lebih Syafi'e daripada Imam Syafi'e dapat menerima perbezaan kaedah ini dengan hati lapang dan bersyukur kerana Islam memperuntukkan al-Quran dan Sunnah untuk dijadikan panduan. Dan atas panduan itulah, kami juga berlapang dada dalam mengamalkannya dengan panduan dari Imam-imam Mazhab yang diperakui agama.

Beberapa amalan haji yang kami ikuti ada di antaranya mengikuti pandangan yang dinamakan
bernaung di bawah Qaul al-Asah.*


*maksudnya - hukum Fiqh (pandangan ) yang lebih kuat dalam mazhab Syafie di antara pelbagai pandangan dari pelbagai ulama Syafie. Yang mana semua pandangan mempunyai dalil yang kuat, maka ketika itu, pandangan yg terkuat disebut al-asoh.

Sebagai panduan umum, terdapat beberapa kaedah kita mengenal jenis-jenis istilah melibatkan pandangan dalam hukum fiqh dalam mazhab Syafi'e sendiri ada beberapa sumber iaitu :

1) al-Adzhar
- Iaitu pandangan yang lebih kuat daripada 2 atau lebih pandangan yang datangnya dari Imam As-Syafie. Iaitu apabila perselisihan kedua2 pandangan itu sama2 berdiri di atas dalil yang kuat. Mengeluarkan hukum antara pandangan seumpama ini disebut al-Adzhar.

2) al-Masyhur

- Iaitu pengeluaran hukum daripada dua pandangan Imam Syafie, dimana kedua-duanya berdalilkan dalil yang lemah. Maka tarjihnya disebut al-Masyhur.

3) al-Asah (الأصح) - sebagaimana dijelaskan tadi.

4) as-Shohih
- Iaitu pandangn yg benar daripada pelbagai pandangan ulama’ mazhab, yang mana lawannya adalah pandangan dhaif.

5) al-Mazhab
- Iaitu pendapat yang Rajih ketika wujud ikhtilaf ulama’ ashab al-wujuh spt al-Ghazali & al-Qaffal

6) Al-Takhrij
- Iaitu Imam Syafie menjwp dgn 2 hukum yang berbeza dalam dua bentuk soalan yang hampir serupa. Tidak jelas perbezaan antara keduanya. Bgmnpun yang lebih tepat, pandangan seumpama ini tidak dinisbahkan kpd Imam Syafie. Demikian menurut Imam Syirazi ( lihat al-Majmu’ 1/73, Mughni al-Muhtaj 1/21)

dan ada beberapa lagi istilah yang saya tidak ingin peningkan kepala pembaca dengan aturan lanjut, sila rujuk - al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafie, Imam As-Syirazi.

Cuma kesimpulannya, ilmu Allah ini luas. Jangan sempitkan ia dengan tanggapan kita yang menjadikannya begitu. Tetapi jangan terlalu liberal sehingga lari dari ketetapan Allah dan Rasulnya.


Perjalanan haji kami, aturannya sahaja sedikit berbeza, tetapi segala amalannya, rukunnya, syarat sahnya masih lagi sama. Mari kita teliti dalam posting seterusnya. Wallahua'lam.

Wednesday, October 22, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (12)

Wuquf di Arafah
Alhamdulillah, kami tiba kira-kira satu jam 10 minit kemudian. Cukup pantas! Alhamdulillah. Allah permudahkan kami. Lantas, kami punya kira-kira 2 jam waktu senggang sebelum masuknya waktu Zohor.

Bila difikirkan kembali ia adalah satu tempoh perjalanan yang amat memudahkan - diukur melalui skala musim haji - Teringat satu pesanan dari seorang mentor saya. Jika naik bas, kalau semua penumpangnya (jamaah haji) memang dari kumpulan yang menjaga solat dan pantang larang haji, insyaAllah perjalanan itu dimudahkan. Jika ada salah seorang yang 'pincang' biasanya, pasti ada gangguan dalam perjalanan. Oleh itu, doalah agar rakan-rakan seperjalanan taat dalam mengerjakan kewajipan fardhu dan wara' dari segi pantang larang haji. Tapi jika tersangkut dalam kesesakan lalulintas pada musim haji, JANGAN pula menanam syak wasangka rakan-rakan seperjalanan kita tidak solat dan sebagainya pula! Dosa tau.


Tibanya kami ke khemah Arafah, kami ditempatkan jauh dari kelompok jamaah haji Malaysia yang lain, kami dapat ada jamaah Indonesia sudahpun 'menduduki' khemah tersebut. Antara hikmah dan memenuhi keperluan asas jamaah haji yang perlukan tempat sementara menunggu waktu afdhal berwuquf, mereka diminta mengosongkan khemah tersebut, dan alhamdulillah, tiada pergaduhan berlaku.

Kami memasuki khemah, mula berwirid dan berzikir, membaca sebarang ayat al-Quran yang sempat, sambil menunggu masuknya waktu Zohor.
Pesanan khas, JANGAN BERSEMBANG!
Masuk waktu Zohor azan dikumandangkan. Khutbah Arafah dibacakan di setiap khemah.
Dalam hal khutbah 'Arafah, pelbagai cara digunakan oleh bermacam-macam khatib di khemah berlainan. Ada yang lantang suaranya. Ada yang syahdu mengalun khutbah. Dan sebagainya. Di khemah kami, berjiran dengan khemah jemaah Indonesia yang mana khatibnya amat berkesan dalam menyampaikan khutbahnya. Terdengar esakan dari khatib itu sendiri dan jemaahnya yang mendengar. Malah ada jamaah dari khemah kami turut mendengar khutbah dari khemah sebelah tersebut. MasyaAllah.
Di khemah kami, saya juga sebak dan hampir teresak dengan khatibnya yang amat selamba dan senada dalam bacaan khutbahnya. Senyum...
Ummu Nufayl mungkin senada. Namun, tidak apa, kami 'arif, bahawa masing-masing ada pembawaannya tersendiri, cuma yang agak terkilan, khutbah wada' Rasulullah SAW tidak dimasukkan dalam teks khutbahnya. Membuatkan tampak agak 'pincang' dari segi penghayatan. Bagi jemaah FZH, kami menghayatinya kembali (khutbah Rasulullah SAW) ketika doa wuquf selepas Asar di atas bukit berhampiran. Takbir!!
Selepas khutbah, Solat Zohor didirikan secara tamam dijamakkan dengan Solat Asar, mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kemudian kami makan tengahari secara ala kadar dan disambung dengan pelbagai wirid dan zikir menunggu waktu Asar. Waktu paling afdhal.
Menjelang masuk waktu Asar, waktu paling afdhal berdoa, jamaah haji mula mencari tempat di bukit berhampiran.

PESANAN : Dipersekitaran Arafah, keadaannya agak (dan memang) berdebu. Pesanan buat jamaah muslimah, JANGAN ikut jejak langkah jamaah lelaki menutup muka mengguna topeng muka. Ia termasuk pada larangan ihram bagi perempuan. Lelaki tidak mengapa menutup muka mereka.
- sambung - kami bertiga 'menguzlahkan' diri ke seberang jalan. Mendaki sedikit tinggi ke atas. Mempertimbangkan antara mencari tempat yang strategik dan pada masa yang sama mengejar masa yang pantas berlalu. Waktu afdhalnya adalah dari Asar sehingga terbenam matahari (Maghrib). Kalau asyik mendaki bukit, takut pula sampai di puncak, sudah azan Maghrib.
PESANAN : Walaupun ada jamaah yang mendaki sehingga ke Jabal Rahmah, kita tidaklah perlu bersusah payah mengikut kumpulan ini. Tidak ada disyariatkan untuk berwuquf hingga ke puncak Jabal Rahmah. Memadai di mana-mana tebing tinggi bukit berhampiran.

Selang masa yang ada dipergunakan sepenuhnya. Kami membahagikan waktu wuquf selepas waktu Asar itu kepada 2 bahagian,


Bahagian Pertama - 20% (20 minit pertama) secara berkumpulan JFZH, khususnya dalam menghayati beberapa wirid dan doa yang dianjurkan dibaca ketika wuquf, kemudian menghayati sekali imbas khutbah wada' Rasulullah SAW bagi mendapatkan 'titik penghayatan' dalam ibadah wuquf ini. Titiknya mudah, sebaik sahaja hati tersentuh, air mata mula mengalir, petandanya kita sudah bersedia merafa'kan sepenuh kehambaan kita kepada Allah swt dengan penuh tawadhu' dan khusyuk Maka rugilah hati-hati yang terlalu keras untuk merasakan nikmat sentuhan keinsafan ini. Wal'iyazubillah min zaalik.

Bahagian Kedua - 80% peruntukan masa, kami khususkan untuk bersendirian, masing-masing membawa diri masing-masing, mendambakan diri pada Allah yang Maha Pemakbul. Menitipkan segala jenis doa, harapan dan tangisan, bagi mendapatkan keredhaan dan 'jawapan' dari Allah SWT. Ketika ini, tiada lagi dunia hiruk pikuk di hadapan, belakang, mahupun kiri dan kanan kami. Seluruh anggota khusyuk meraikan, menghayati, mengecapi setiap saat yang melebihi jutaan tan emas yang boleh diperolehi di seluruh pelusuk dunia fana.

Setiap anggota badan, hati, akal dan perasaan kami bergegar, dengan getaran syahdu hamba kepada penciptaNya. Tunduk, tawadhu' dengan kelemahan diri. Malu dengan segala khilaf dan dosa yang pernah dilakukan dalam kehidupan lampau. Namun fitrah Islam, kita yakin dengan rahmat yang Maha Pemurah; Allah SWT, lantas digagahkan diri ini untuk meminta dan meminta. Dengan juraian dan untaian air mata ; yang hanya darah boleh menggantinya. Mengemis kasih Allah SWT. Menadah doa terhadap segala macam harapan duniawi dan ukhrawi. Dengan rasa pasrah, padanya, hanya kematian yang boleh menandinginya. Subhanallah. MasyaAllah. Indahnya saat itu. Hanya SyurgaMu ya Allah boleh menjadi ganti! Kami rindukan saat itu. Kami ingin kembali ke sana. Saat terbenamnya matahari, menjadi saat terakhir yang ingin kami lalui. Terlalu sayang rasanya berpisah dengan detik ini.

Tuesday, October 21, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (11)

Wuquf 1428H - Perjalanan ke Padang Arafah

Setelah berjaya membuat kesimpulan daripada beberapa rujukan dan rujuk silang hukum, kami kini bersedia melaksanakan kemuncak ibadah haji dengan beberapa ubahsuai yang masing-lagi berlegar dalam hukum sah ibadah haji.

Asalnya kami ingin mengikut kaedah tarwiyah (tarwiyah adalah hari 8 Zulhijjah) . Haji mengikut sunnah sepenuhnya Rasulullah SAW. Mereka yang memilih berbuat demikian telahpun berbuat demikian pada dinihari (kira-kira 3 pagi) 8 Zulhijjah 1429. Mereka berjalan kaki sejauh kira-kira 8 kilometer ke Mina, untuk mendapatkan 5 solat Fardhu di Mina, seterusnya bermalam di sana pada malam tersebut. Kemudiannya berangkat ke Padang Arafah pada selepas Subuh 9 Zulhijjah untuk tiba di Arafah sebelum waktu Zohor untuk Wuquf.

Kata Jabir: Setelah hari Tarwiyah, mereka menuju Mina lalu berihram untuk haji, dan Rasulullah SAW mengendarai (unta baginda) lalu salat Zohor, Asar, Maghrih, ‘Isya dan Subuh di Mina. Kemudian berhenti sebentar sampai terbit matahari. (H.R. Muslim)

Bagi kami pula , terpaksa akur, Allah telah mengaturkan yang terbaik buat kami. Menghindarkan kemudharatan, dan melazimi nikmat Islam ;

"Sesungguhnya Allah menyediakan bagi setiap kesukaran itu kemudahan buat hambaNya."

maka kami terpaksa 'melupakan' niat asal mengikut jemaah yang dibimbing oleh Pak Dan menuruti kaedah tarwiyah ini walaupun pada prinsipnya, kami telah menimbangkan untuk bersama mereka.

Maka, kami berangkat untuk mengerjakan wuquf ini pada 9 Zulhijjah. Walaupun jemaah lain berangkat dari 8 Zulhijjah, kami mengikut perjalanan pada pagi 9 Zulhijjah itu sendiri.

Subhanallah, Maha Suci Allah, keadaan pada petang dan malam 8 Zulhijjah; serta pagi 9 Zulhijjah amat mendamaikan di persekitaran MasjidilHaram. Bangsa Arab kebanyakannya telah bertolak mengikut kaedah tarwiyah terus ke Mina. Jamaah lain seperti Malaysia dan Indonesia pula berangkat ke Arafah pada pagi 8 Zulhijjah lagi. Kami yang berbaki ini dapat menikmati udara pagi yang nyaman dan tenang pada petang & malam 8 Zulhijjah, serta pagi 9 Zulhijjah di Kota Makkah. Tidak perlu berebut lagi untuk mendapatkan air zam-zam. Saya sendiri berjaya membawa pulang kira-kira 20 liter air zam-zam ke penginapan kami. 3 kali berulang-alik ke MasjidilHaram tanpa asakan jamaah haji. Segalanya dipermudahkan Allah. Alhamdulillah.

Pada pagi 9 Zulhijjah, sebelum bertolak ke Arafah, kami mengawali pagi harinya seperti biasa dengan bersolat Subuh di MasjidilHaram. Kemudian terus balik ke hotel untuk :

- mencukur dan membersihkan apa yang patut
- mandi sunat ihram
- bersolat sunat ihram di MasjidilHaram (fadhilatnya mesti dikejar) walaupun agak tergesa-gesa hari tersebut. Tambahan pula, tiada waktu dilarang solat di MasjidilHaram.
- berniat ihram di depan pintu hotel sebelum menaiki bas. Miqatnya di penginapan ya. Jangan tunggu sampai Arafah. Nanti kena dam.

Beberapa kumpulan jamaah lain menaiki coaster (pakejlah katakan - tapi coaster tahun tok nadoq la.. hehe), tetapi kumpulan kami, ditaqdirkan Allah, coaster terlibat dengan kemalangan, mahu tidak mahu terpaksalah menaiki sebuah bas besar untuk tidak lebih 20 orang jamaah. Ada yang seolah-olah ingin membentak, tetapi akhirnya semua redha. JFZH? tidak ada masalah. Kami bersedia untuk apa sahaja keadaan. Yang penting matlamatnya tiba ke Padang Arafah pada waktunya. Dengan apa? Himar pun boleh!

- setelah menunggu seketika, bas tiba. Bas tiba kira-kira jam 7.45 pagi.


Lantas, kami menaiki bas menuju ke Arafah. Dengan gaya pemanduan bas ala-ala memandu kereta kancil di Malaysia (mencelah dan menghimpit, memecut dan memotong), kami hanya mampu beristighfar dan mengharapkan kami cepat tiba ke destinasi. Dan sempat berwuquf!

Maunya tidak, setiap detik bagai antara hidup dan mati. Satu frasa gandingan yang boleh dibayangkan ketika menaiki bas tersebut ialah laungan pemandunya yang akan dimulakan dengan bunyi hon. Kemudian menghimpit kenderaan yang tidak memberikan laluan. Seterusnya masuk ke barisan sebelah dan disudahi dengan teriakan "hajj mabrurrr! !!) sebagai tanda ucapan terima kasih pada kenderaan yang baru secara PAKSARELA memberikan laluan tadi. Aduh.. nampaknya banyak lagi yang perlu dipelajari saya untuk pemanduan di Malaysia nanti. hehe..

Ketika dalam perjalanan, pebagai ragam dapat dilihat. Apa yang nyata, kami berdebar menunggu saat yang kian hampir..

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (10)

Haji Bersama si Kecil

Tarikh kemuncak yang ditunggu-tunggu telah pun menjengah diari kami, dan juga jemaah yang lain. 9 Zulhijjah 1428H. Amat mendebarkan. Ketika ini, seronok penuh semangat, berbaur dengan sedikit kejutan beserta kerisauan. Walau apapun, kami serahkan kepada keMahaBijaksanaan Allah swt dalam mengaturkan sesuatu.

Ummu Nufayl telah terlepas 'harinya' buat beberapa ketika. Dan kesihatannya seolah terganggu. 'Sang' suami mula bersuara, "Ya Allah, berikan apa-apa petunjuk kalau ada apa-apa yang perlu kami ketahui"

Ajaibnya kuasa Allah swt, lafaz tadi menjadi doa mustajab pada hari yang sama. Ummu Nufayl mula mengadu pula sakit sana dan sini. Terutamanya pinggang. Hampir tidak terlarat meneruskan agenda biasa ke MasjidilHaram. Dalam keadaan tersebut, kami membuat penilaian dan keputusan pantas, satu ujian perlu dilakukan.

Beli dan guna 'pregnancy test kit'. Ya, POSITIVE!

3 hari sebelum wuquf. Keadaan agak 'gawat' kali ini. Saya membawanya ke klinik Tabung Haji untuk jemaah Pakej di bangunan Wardah Mawaddah, kiranya selang satu dua blok dari penginapan kami. Barisannya agak panjang. Selepas beberapa waktu menunggu, dan tiba pada giliran kami, terus ceritakan keadaan sebenar.

Pengiraan dibuat, dan umur kandungan ketika itu dikira sudah berusia 7-8 minggu. Ya Rabbi. Rupanya ketika menaiki penerbangan ke sini, kami sudahpun 'ber-empat'! Secara prinsipnya, memang jemaah haji tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan, malahan akan ditangguhkan perjalanan hajinya oleh pihak berkuasa. Namun Allah menentukan segalanya.

Setelah berbincang dengan doktor yang bertugas, beliau menyatakan, jika sudah sampai, maka apa hendak difikirkan lagi, teruskanlah amalan haji, cuma jaga pemakanan, ubat-ubatan, dan satu pesanan yang amat mencabar, JANGAN LASAK SANGAT. Bagaimanalah kami hendak pastikan perjalanan haji kami, TIDAK LASAK SANGAT. Kami akur, tempoh trimester pertama cukup 'fragile' bagi ibu mengandung, tetapi, Allah pastinya Maha Mengetahui dan Maha Pengasih.

Ubat berkaitan dipreskripsikan. Kami minta asid folik. Keluar dari klinik, membawa agenda baru Musim Haji 1428. Berhaji bersama si kecil! . Beberapa kitab mula dibelek lagi. Tak cukup dengan apa yang dibawa, pergi ke medan buku di sekitar, merujuk kepada beberapa sumber muktabar yang senang diperolehi di sana. Asalmana rajin membaca tulisan arabnya yang tidak berbaris berpanduan jelas. Kini kami perlu melihat kepada kaedah terbaik yang bakal mengimbangkan amalan haji kami dengan kesihatan bakal ibu dan anak pada tempoh kritikal ini.

Wuquf, lagi 3 hari!

Monday, October 20, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (9)

PRA-WUQUF

Dalam tempoh penuh debaran menunggu 9 Zulhijjah, kami mengisi masa dengan ibadah yang lebih kepada pembersihan hati dan jiwa. Banyakkanlah membaca al-Quran. Lupakan sebentar apa yang ada di Malaysia, khususnya di PEJABAT!.


Perbaiki bacaan, cari Pak-pak Arab yang tampak fasih bacaannya, dan perdengarkan bacaan kita. Sekurang-kurangnya surah Fatihah dan beberapa bacaan wajib dan lazim dalam solat.

Bercakap tentang al-Quran, jamaah kita dan mana-mana jamaah sekalipun cenderung untuk mewakafkan alQuran dan meletakannya di MasjidilHaram. PASTIKAN al-Quran tersebut adalah cetakan Madinah. Jangan sekali-kali wakafkan cetakan dari negara lain seperti Syria dan sebagainya. Pada dasarnya tidak salah, tetapi kami yang mendapat peluang berada lama di Makkah selepas musim haji, telah diberikan 'peluang' bertembung dengan penjaga (pekerja) MasjidilHaram yang sedang 'mengutip' alQuran wakaf tersebut untuk disedekahkan kepada orang ramai, kepada Masjid lain yang berdekatan dan sebagainya.

Apabila ditanya, mereka memaklumkan, Masjidil Haram dan Masjidan Nabawi hanya menerima cetakan Madinah, kulitnya biru (tebal sedikit) dan hijau (nipis sedikit), harga dalam sekitar 30 riyal (biru) dan 45 riyal (hijau). Jika yang berharga 15 riyal ke 25 riyal, biasanya cetakan Syria, dan tidak diterima oleh MasjidilHaram dan Masjid anNabawi.


Menunggu 9 Zulhijjah, kami membiasakan diri dengan kepadatan umat. Waktu rehat sebenar adalah selepas Isya' dan sedikit masa selepas Subuh. Waktu-waktu lain, kami lebih memilih untuk beri'tikaf di MasjidilHaram. Menghabiskan al-Quran. Saya sendiri memasang hajat untuk mengkhatamkan 3 kali sepanjang musim haji, namun hanya sempat mengkhatamkan 2 kali. Kali yang ketiga, hanya sempat 1/4 alQuran sahaja ketika di Makkah, dan 1/4 lagi di Madinah. Jadi 2 kali setengah sahaja, mungkin di Madinah sibuk bershopping. Hah... itulah dia cabaran bentuk lain pada musim haji.

SYARAT SHOPPING

Sebenarnya keadaan ini telahpun dijangkakan. Oleh itu, terdapat beberapa peraturan asas telah ditetapkan untuk JFZH (Jemaah Fitrah ZH - kami bertiga lah tu).

1. Tiada istilah shopping sehingga selesai semua amalan haji.

2. Tiada juga istilah singgah, kerana itu boleh membawa kepada shopping

3. Menyenaraikan barangan untuk shopping juga tidak dimasukkan dalam jadual kerana itu boleh membawa kepada singgah.


Dalam hal ini, penggunaan sepenuhnya kaedah fiqh dilaksanakan. Sesuatu perkara yang membawa kepada yang wajib, maka ia juga adalah wajib. Sesuatu perkara yang membawa kepada perkara yang haram, maka ia juga haram. (senyum).

Dan peraturan ini berkuatkuasa sepenuhnya serta diikuti sepenuhnya, melainkan untuk item berbentuk keperluan asas seperti makan, minum, dobi dan seumpamanya. Bab yang tiga itu, tiada masalah kerana, makan mesti best, baru ada tenaga beribadah. Minum mesti ada ,sebab sudah makan. Dan dobi mesti dibolehkan, kerana ia bersifat membersihkan. Jika basuh sendiri, akan ambil masa untuk ibadah. Senangkan justifikasinya? (hehe).

JADUAL HARIAN HUJJAJ

Secara ringkasnya, jadual waktu jamaah haji (soleh dan solehah?) pada minggu terakhir sebelum wuquf adalah :

4.00 pagi : Qiyamullail dan I'tikaf di MasjidilHaram

4.30 pagi : Tawaf sunat (ambil masa kira-kira 45 minit - 1 jam pada waktu ini).

5.00 pagi : Ketika bertawaf, boleh mula merapatkan diri ke Kaabah ; mengambil tempat untuk solat berdekatan Ka'abah. Berhati-hati dengan rempuhan. Jangan halang laluan.

5.30 pagi : Solat Subuh

6.00 pagi : Sambung tawaf sunat jika tidak sempat habiskan. Atau tawaf yang baru. Jika tidak mampu, baca al-Quran hingga waktu Syuruk. 1/2 - 1 - juzuk boleh dihabiskan pada waktu ini.

7.00 pagi : Solat sunat isyrak. Minum air zam-zam dan pulang ke penginapan untuk sarapan.

8.00 pagi - 11.00 pagi : Rehat di bilik - sambil minum susu dan makan apa sahaja.

11.00 pagi : berangkat ke MasjidilHaram untuk solat Zohor. Ini penting sebelum pintu ditutup jika jemaah sudah penuh. Jika pintu belum ditutup (lampu hijau), dan jemaah ramai di luar nampak ramai, usahakan juga masuk, di sebelah dalam PASTI ada ruang, insyaAllah. Bacalah al-Quran jika tidak mampu bertawaf sunat kerana jamaah terlalu padat. 1/4 juzuk sempat dihabiskan pada waktu ini.

12.30 t/hari : Solat Zohor dan kemudiannya bergegas pulang ke bilik untuk makan tengahari.

1.30 t/hari - 2.45 petang : Rehat sebentar sebelum Asar.

2.45 petang : Ke MasjidilHaram untuk solat Asar. Sampai awal, baca al-Quran. Cuba masuk ke kawasan Dataran Ka'abah. Terus tawaf sunat. 3 Pusingan biasanya sempat. Jika berseorangan dan laju, sempat habis 7 pusingan.

3.45 petang : Solat Asar, selesai Solat, terus sambung tawaf sunat. Ketika ini kepadatan dalam sekitar 75% kerana keadaan agak panas. Kemudian terpulang, balik ke bilik agak singkat masanya, terus sahaja tunggu Maghrib. Baca al-Quran 1/2 - 1 juzuk boleh dihabiskan. Cuba tawaf 45 minit sebelum Maghrib, dan boleh ambil peluang solat di Dataran Ka'abah.

5.15 malam : Solat Maghrib. Saya biasanya akan berada di kawasan bilal melaungkan azan ketika ini. Untuk cuba mendapatkan peluang mengangkat jenazah ke perkuburan. Ramai yang berebut di sini. Saya hanya beroleh 2 kali peluang sepanjang berada di sana, itupun selepas musim haji. Mengusung keranda di sana samalah seperti bawa kereta di litar lumba Malaysia masyaAllah, lajunya. (akan diceritakan dalam entri lain)

7.15 malam : Solat Isya'. Baca sedikit al-Quran, dan pulang untuk makan malam, seterusnya rehat untuk hari seterusnya.

Itulah serba ringkas jadual kami di sana pada minggu terakhir sebelum haji. Selepas musim haji, jadualnya agak sama, cuma kadangkala berselang seli dengan singgah menyinggah membeli belah sedikit sebanyak.

REZEQI YANG HALAL DAN TOYYIBAH

Alhamdulillah, kami di sana bahagia sepanjang hari sebelum dan selepas haji. Hanya sedikit demam dan batuk. Isu makan pada kami bertiga, cukup mudah. Apa yang ada , dihidangkan semuanya lazat. Jika kurang sedikit rasanya, diamkan sahaja, dan carilah makanan lain di luar seperti ayam golek 18 riyal seekor. Atau Nasi Beriani Kambing Restoran Bilal 12 riyal sebekas. Atau Nasi Mandi atau apa-apa sajalah yang boleh membantu menambah selera. CUMA JANGAN KATA TAK SEDAP JIKA TAK SEDAP. Mulut lebih baik banyak dizipkan di Tanah Suci ini. Programkan dalam sistem : 'to talk with no loop ; else closed

Saya tidak pasti dengan jamaah tahun seterusnya, sebab, selepas musim kami, port-port menarik untuk makan telah diruntuhkan untuk pembesaran MasjidilHaram. Juga, berhati-hati dengan debu pembinaan. Banyakkan minum air dan tutup muka. Jangan tutup bagi muslimat yang dalam keadaan ihram. Kena dam nanti.

Minuman kami, saya sendiri, setiap hari mesti ada susu lembu, atau susu unta. - 4 riyal ke 8 riyal untuk 1 - 2 liter. Kegemaran bersama kami pula ialah jus mangganya yang pekat bersari, nyurmm.. 6 riyal sebotol.

Antara saya dan isteri pula, walaupun duduk sebilik, tiada kejadian TIDAK DIINGINI berlaku. Bergaduh besar tak ada. Kecil, entahlah, tak ingat. Tapi yang pasti, kami seperti pasangan bercinta di sana. Terhapus segala kerisauan yang mengatakan suami dan isteri boleh bersengketa di sana. Alhamdulillah , doalah banyak-banyak bagi yang pergi berpasangan. Selesaikan segala yang terkhilaf sebelum berangkat. Jangan simpan salah dan silap, nanti di Makkah, mulalah ungkit mengungkit. Ingat, dugaan di sana lain dari yang lain. RahmatNya banyak. DugaanNya pun unik.

Yang uniknya, kami bertiga, dan mertua saya (ibunya Ummu Nufayl) duduk sebilik. Dan tiada juga masalah. Sekali-sekala merajuk itu biasalah, tetapi tidaklah sampai tidak bertegur sapa. Masing-masing sudah belajar secukupnya kerenah yang bakal dihadapi sejak dari Malaysia lagi. Alhamdulillah.

InsyaAllah, entri selepas ini akan menyentuh hari yang ditunggu-tunggu oleh 4 juta jemaah 1428 hijrah. Wuquf di Padang 'Arafah.



Saturday, October 18, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (8)

Hari ke 3 di Tanah Haram, dan hari-hari seterusnya, agak ringkas nampaknya penceritaan kami. Kerana jumlah harinya tidak begitu banyak sebelum wuquf pada 9 Dzulhijja (bersamaan 18 Disember 2007).

Pada saat-saat terakhir (seminggu) sebelum menjelangnya hari wuquf, jika fizikal berada pada keadaan kurang sihat, atau sekadar normal sahaja, lebih baik dielakkan dari terlalu banyak mengerjakan umrah sunat. Bukanlah saranan ini bermaksud mengharamkan yang halal, tetapi lebih baik fokus kepada ibadah di MasjidiHaram. Memperbanyakkan tawaf sunat. Membaca dan mentadabbur al-Quran dan membuat ulangkaji terakhir sebelum tiba hari yang agung nanti.

Lainlah kalau memang kita jenis yang benar-benar gagah dan mantap fizikal dan mentalnya maka silalah lakukan seberapa banyak umrah sunat yang dimahui. Ini kerana :


1. Tempoh tersebut, jemaah sudah terlalu ramai, pergerakan dari kota Makkah, pergi balik ke
miqat, walau Tan'eem sekalipun, kadangkala mengambil masa yang terlalu panjang akibat kesesakan lalu lintas. Ia mengambil terlalu banyak masa berharga jamaah haji, yang lebih baik ditumpukan kepada beri'tikaf dan tawaf sunat di MasjidilHaram.








2. Umrah memerlukan kita bertawaf dan juga berSa'ie. Selain tawaf, Sai'e memiliki cabaran tersendiri dari segi kekuatan otot dan stamina jamaah. Saya risau, bila sampai tempoh sebenar haji, jamaah terlantar kepenatan, kejang otot, demam dan sebagainya. Untuk makluman, ketika waktu puncak, perjalanan menuju ke MasjidilHaram itu sendiri merupakan satu cabaran getir. Kesesakan, himpitan, tolakan, tarik menarik dan sebagainya sudah cukup menguji kesabaran dan kekuatan diri.

Sekadar nasihat. Dan seperkara lagi, ada kecenderungan di kalangan beberapa jama'ah untuk 'bersaing' siapa paling banyak mengerjakan umrah sunat. 5? 10? 15? 20? 25? dan kadang-kadang persaingan ini menggerunkan kami. Yang terbaik adalah ibadah yang baik kualitinya, banyak kuantitinya. Tetapi jika kualiti tidak dapat dipastikan, lebih baik jangan terlalu mengejar kuantiti. Kelak, hanya tinggal pergerakan fizikal sahaja, hasilnya lebur. Wa'liyazubillah min zaalik.

Thursday, October 16, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (7)

Edisi ketujuh. Harap belum jemu. Jika sudah, tunggu sahaja bukunya. Bila keluar? Mungkin 10 tahun lagi. :) ..


9 Disember, bersamaan 30 Dzulqaeda 1428, kiraan ke hari kemuncak bermula. Suasana sebenar ibadah makin membahang. Ditaqdirkan kami memilih dan terpilih untuk penerbangan akhir, maka, senggang waktu antara hari tiba dengan hari wukuf cukup singkat. Lebih kurang 10 hari sahaja. Tiada masa untuk mula belajar perkara asas haji. Semuanya perlu 'siap sedia' dalam kepala. Semangat bukan lagi boleh diasah, ia ini perlu 'dikeluarkan', diterjemahkan.


Tiada malas-malasan, tiada penat-penatan. Jutaan jemaah sudahpun bermuqim di sekitar Makkah. Waktu solat, tiada lagi honeymoon 10 minit sebelum waktu. Malahan, 45 minit sebelum masuk waktu solat pun, sudah perlu bersedia bawa sejadah. Atas jalan raya lah jawabnya. Satu jam paling ideal. Tetapi ia menjadikan senggang waktu untuk rehat cukup singkat. Ketika itu,

Subuh - 5.00-5.30 pagi
Zohor - 12.00 - 12.30 t/hari
Asar - 3.15 - 3.45 petang
Maghrib 5.00 - 5.30 petang
Isya' - 7.00 - 7.30 malam.


Kami, para jemaah yang memilih kaedah tamattu', memulakan hari kedua kami di bumi suci ini dengan menyempurnakan umrah, sekaligus melepaskan diri dari ihram. Selesai solat Subuh, terus bergegas kembali ke hotel untuk makan pagi, mebekalkan tenaga, lantas menuju kembali ke MasjidilHaram kira-kira jam 10.00 pagi.


Tiba ke Masjidil Haram, tawaf 7 pusingan, sai'e 7 keliling, dan tahallul.


Ketika tawaf bersama-sama isteri dan dan mertua buat kali pertama ini, banyak pengajaran boleh diambil :


TAWAF

1. Cuba tawaf di bahagian bawah. Jangan tertipu dengan pandangan mata yang melihat terlalu ramai jemaah di bahagian bawah. InsyaAllah, bila kita turun, adalah ruang untuk kita. Allah dahpun menjemput kita. Tempatnya pasti disediakan!

2. Bagi suami isteri, pegang takat pegang, jangan fikir benda lain. Batal wudhu' nantinya.

3. Muslimat lebih baik mengikut dari belakang - pegang hujung kain ihram mahram, pastikan dulu kain ihram yang lelakinya tadi diikat teguh dengan kaedah yang betul!! Kalau tidak, takut ramai jemaah lain batal tawafnya!

4. Jangan jadi bulldozer melintang. Mengganggu dan menyakiti orang ketika bertawaf haram hukumnya. Bergerak secara berturutan, bukan melintang dan menyapu laluan semua jemaah lain.

5. Bincangkan dahulu contingency plan jika terpisah. Jangan panik, dan jangan mengada-ngada cari laki atau bini pada masa itu. Dan, jangan sekali-kali menangis bila terputus dengan mahram. Tak ada sapa nak layan! Teruskan tawaf/sa'ie. Jumpa di tempat yang telah dipersetujui bersama selepas selesai. i.e - Bab Safa, atau di bawah tempat bilal mengalunkan azan. Di sinilah penting orientasi masjid di buat pada hari pertama tiba.

6. Mulakan dari penjuru yang betul, jika jemaah terlalu ramai, cuba masuk dari penjuru (rukn) Yamani bagi mengelakkan terlepas tempat mula tawaf (rukn Hajar al-Aswad).

7. Tempat (garisan) mula tawaf boleh dikenalpasti dengan melihat pada lampu hijau pada bahagian atas dinding MasjidilHaram setentang dengan rukn Hajar al-Aswad.

8. Bagi lelaki, sunat berlari-lari anak pada TIGA pusingan pertama. Tetapi jika keadaan cukup sesak, berjalan cepat sudah memadai. Jika tak dapat juga, berjalanlah seperti biasa. Hati-hati kalau isteri pegan kain di belakang kalau nak berlari tu, samada kain ihram terbang atau isteri kat belakang kena seret!

9. Tawaf 7 pusingan. Sekiranya was-was dengan bilangan, ambil keyakinan pusingan yang lebih sedikit. Tambah seadanya. Jika sudah yakin 7, jangan suka hati buat perkara bida'ah. Jika mahu tambah, buat tawaf sunat yang berasingan. Pastikan bahu kiri tidak tertolak dan teralih arah dari Ka'abah. Jika ya, pusingkan balik, dan undur beberapa langkah.

10. Boleh berpegangan tangan antara suami dan isteri. Dan tidak batal disentuh atau tersentuh perempuan perempuan ajnabi. Tidak perlu talfiq (iktikad berubah mazhab sementara) kepada mazhab lain, berpegang kepada mazhab Syafi'e sendiri sudah memadai.

11. Batal tawaf pusingan tersebut jika terbatal wudhu'. Dan batal wudhu' jika disebabkan perkara yang sama seperti wudhu' solat. Isu bersentuh antara perempuan dan lelaki, batal wudhu' sebaik sahaja 'naik syahwat' ketika bersentuh. Yang lelaki jaga sikit apa yang patut. Jangan salahguna kemudahan yang Islam berikan. Suami-isteri, fokus pada tawaf, bukan pada 'benda' lain. Selesaikan yang selebihnya di tempat lain!

12. Baca doa yang matsur (doa Rasulullah), dan pastikan kita fahami maksudnya. Tidak perlu hafal doa dalam buku, tanpa kita memahami maksudnya. Tidak perlu juga sibuk merujuk buku doa ketika bertawaf, hingga hilang kekhusyukkan tawaf itu sendiri. Juga tidak perlu terikat pada mutawwif.

13. Jangan tersentuh dengan mana-mana bahagian dinding Ka'abah. Ia boleh membatalkan pusingan tersebut. Rujuk buku panduan haji.


SA'IE
1. Mula dari Safa', akhirnya di Marwa pada pusingan ke-7. Pastikan dahulu di mana Safa di mana Marwa

2. TIDAK ADA Sai'e sunat. Jangan terpengaruh dengan dakyah Ustaz Mee Segera.

3.TIDAK PERLU perbaharui wudhu' jika terbatal di tengah jalan. Hanya tawaf yang dimestikan dalam keadaan berwudhu'.

4. Sama seperti tawaf, jangan LARI niat. Jika teralih niat - contohnya rasa dahaga dan NAK PERGI MINUM air. Lalu menuju ke gelen air zam-zam dengan penuh nafsu dan keinginan minum. Boleh bawa kepada TERBATALNYA pusingan tersebut.

5. Jika berhenti minum air (terdapat banyak gelen - suqya' - zam zam di sepanjang laluan), berundur setapak atau dua tapak dari tempat keluar tadi, dan sambung kembali Sa'ie. Jika tidak, pusingan itu dikira tidak memadai.

6. Suami-isteri, boleh berSa'ie bersama-sama, tetapi jaga tingkah laku anda : ) .. Boleh bersembang ketika Sa'ie. Tetapi APA FAEDAHNYA? Banyakkan zikir dan doa.

7. Bagi yang LELAKI sahaja, disunatkan berlari-lari aaanak DAANNN.. antara dua lampu hijau sahaja. Jangan belasah larian pecut, ataupun berlari sepanjang laluan sebanyak 7 pusingan. Tidak ada dalam syari'at minta buat kerja kurang bermanfaat sedemikian.


Selesai Sa'ie, kami bertahallul di pintu Marwa. Saya memilih untuk tidak menggunakan khidmat kanak-kanak Arab di sana. Kerana mereka pasti akan minta bayaran sehingga 30-50 RIYAL! untuk guntingan tersebut. Berhati-hati. Pinjam/bawa saja gunting sendiri dan niatkan tahallu itu dengan menggunting tiga / lebih helai rambut. Afdhalnya bercukur. Tetapi saya menyimpan niat itu selepas selesai Sai'e Haji. Bagi muslimat, jaga bab aurat. Tahallul tahallul juga, rambut tetap aurat. Kalau rasa susah sangat, gunting sahaja bila sampai di bilik.


Tamat episod 7. Sekitar umrah pertama jama'ah Fitrah ZH (JFZH)

Tuesday, October 14, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (6)

Ya Allah, teruskanlah memberikan kami kekuatan berkongsi pengalaman dan peringatan, buat sahabat-sahabat yang lain. Moga yang baik jadi teladan, yang terkurang dijadikan iktibar.
-------------------


Setelah berhadapan dengan Ka'abah, aku terus bersolat sunat tahiyyatulmasjid. Walaupun tahu tawaf sunat lebih afdhal, sebagai kaedah memuliakan Baitullah ; tetapi safar yang baru ditempuhi berbelas-belas jam dan sedikit 'gerun' dengan asakan jemaah ketika itu yang boleh membuat tubuh yang agak kepenatan ini terpenyek ke dalamnya membuatkanku menangguhkan hasrat sementara.


Berpusing, dan kembali ke Hotel Farah. Dugaan kini datang. Allah swt memang mahukan aku berorientasi di sekitar Masjidil Haram - bagus sebenarnya. (Ia mengajarku selok belok sekitar Masjidil Haram yang banyak membantu kami bertiga 'mencelah' bila pintu-pintu utama ditutup ketika jemaah sudah memenuhi masjid)

Sambung - Sebagai orang muda, ingatan memang masih kuat, tapi apalah sangat dibandingkan dengan kuasa Allah. Mungkin terdetik sebentar tadi tidak mahu bertawaf kerana orang ramai, lantas Allah 'memberikan' peluang kepadaku tawaf keliling masjid hampir dua kali dengan jarak yang cukup jauh dan berasak-asak dengan jemaah. Hanya kerana tidak 'begitu pasti dengan pintu yang dimasuki'. Keluar sahaja, depan Istana, keluar lagi, depan Hilton, keluar lagi terpacul pintu Safa. Aduh. Penat!


Dengan penuh rasa insaf, dan berfikiran positif (dengan pengalaman sering juga terlupa kunci kereta, beg duit, kopiah atas kepala dan ambil anak di Tadika), aku istighfar perlahan-lahan dan tiba-tiba 'dibukakan' kepadaku idea yang sepatutnya tidak begitu sukar, BERTANYAKAN pengawal masjid. Dengan bahasa arab ala-ala kampung bau Kelantan, aku menyatakan masalahku dan memaklumkan kepadanya nama hotel yang didiami, dan itulah dia, terus di depan mata. Panjat bukit, turun bukit panjat sikit lagi, alhamdulillah! Sampai. Astagfirullah.. Lain kali jangan malas bertawaf. Kalau malas, jangan salahkan orang. Diri sendiri yang tak larat orang ramai yang kita salahkan! ..

Balik ke hotel, tunggu beg-beg yang belum kunjung sampai. Kiranya ini satu lagi dugaan. Tapi mesti ada ikhtiar kan. Turun ke bawah, angkat beg sendiri ke atas - 2 beg berisi anak gajah, dan dua beg berisi ibu kambing. (Anak gajah merujuk kepada berat item yang di bawa oleh Ummu Nufayl). Sentiasa ingatkan hati supaya bersabar. Jangan marah orang hotel. Mereka pun sibuk.

Selesai.


Masuk waktu Maghrib, terlalu penat malam itu selepas berasak-asak dan 'bersiar-siar' sebentar di MasjidilHaram, aku dan Ummu Nufayl beserta mentua lantas turun ke tingkat M (Mezzanine aka Makan), ada surau sementara di situ. Selepas iqamah, masing-masing jeling menjeling mencari imam. Agaknya semua takut kalau baca tak betul kena hukuman 'cash' di Makkah. Akhir sekali, anak muda inilah yang ditolak ke depan. Jadilah Imam di Tanah Haram pada malam itu. Bukannya di Masjidil Haram, tapi Hotel dekat MasjidilHaram. Jama' Maghrib dan Isya'. Selesai. Dan usai solat, sempat berpesan kepada rakan jamaah, agar solat di hotel sebegini tidak jadi amalan bermula esok hari. Hari pertama sampai, mungkin ada alasannya penat, hari seterusnya, kejarlah ganjaran yang dijanjikan Allah!


Malam itu rehat serehatnya. Haji Tamattu', patutnya selesaikan umrah pada malam itu, tetapi tubuh terlalu penat. Ditambah pula dua 'muslimat' yang dibawa, penatnya ganda dua. err... Aku tidak risaukan sangat diri sendiri, orang lelaki kurang bahagian yang hendak dijaga. Rambut sudah pendek, haruman memang tidak dipakai, apa lagi? Cuma sedikit sejuk, kepala tidak boleh ditutup, namun kain ihram masih boleh jadi selimut, tidak ada masalah.


Yang merisaukan ialah muslimat. Kalau yang suka garu kepala, jaga-jaga. Mulalah ingatkan syampu rejoice, pantene, dan segala macam yang wangi kerana sudah lama dalam katup tudung. Jadi kalau yang kronik suka menggaru sampai tertanggal segala bulu badan, selesaikanlah umrah secepatnya. Jika tidak, 5 riyal, 10 riyal lepas tu, kambing!


Ada orang tanya , susahla malam ini, aurat nak kena jaga, nanti kena dam. Aku katakan, sejak bila dedah aurat kena dam? Kalau dalam bilik dengan mahram, atau dengan pasangan hidup, dedahlah apa nak dedah, tidak ada masalah. Hukum dalam ihram, isu hukum ihram, bab pakaian, yang terkurang tak apa, jangan terlebih! Tapi kalau dedah aurat depan bukan mahram, dosa dapat, tapi taklah batal ihramnya! Hukum aurat terpakai seperti pada ketika hari-hari biasa di sini.

Cukuplah rasanya hari pertama di Tanah Suci Kota Makkah. Banyak lagi hari seterusnya.

Ketemu lagi.

Monday, October 13, 2008

Beraya di As-Saakinatussakiinah

Bukan Open House.

Tiada jemputan rasmi kepada mana-mana kawan-kawan lain, kecuali...

bermula dengan cadangan seorang sahabat Intel'97 (nama kumpulan kami, x-SMKAA, 5 AB, SPM '97) untuk 'menyerbu' rumah saya. Saya menyanggupinya memandangkan cadangannya nak buat konsep pot-luck. Tapi, tiada respons daripada sahabat lain sehinggalah Jumaat.

Plan asal saya, Sabtu ada majlis perkahwinan anak kepada staf di pejabat di Pandan Lake Club. Tapi, untuk meraikan tetamu yang berhajat menziarahi kediaman kami, saya 'excuse' daripada majlis tersebut.

Ahad pagi, Abu Nufayl ke Tesco Setia Alam yang berhampiran kediaman kami untuk mencukupkan bahan mentah. Nasiblah Tesco tersebut buka seawal jam 8.30 pagi.

Jam 10 pagi, saya mula menyediakan bahan-bahan dan aktiviti memasak. Teruja! Memang teruja! Selama ini saya hanya memasak juadah raya di rumah Mama (di Perlis) atau di rumah Umi (di Klate). Waktu di Seri Sentosa pun saya tak masak juadah raya. Ini yang pertama kali di rumah sendiri!
Menu hidangan :
-Juadah yang dimasak.-
1. Nasi Himpit (lepas ngidam raya)
2. Kuah Kacang (lepas ngidam raya)
3. Daging ala Satay (lepas ngidam raya)
4. Mee Bandung yang banyak bahan
5. Puding Flan Mama

-Kuih-muih & Kek.-
1. Bahulu Warisan
2. Kerepek Pedas Basah
3. Kerepek Pedas + Kacang Basah
4. Kerepek Gunting
5. Kuih Almond London (import daripada Perlis)
6. Kuih Almond Crispy (import daripada Perlis)
7. Kuih Samprit
8. Kuih Makmor
9. Kek Lapis Sarawak Su Bujang Sangga

Tak disangka, dalam proses memasak itu, kami dah mula dikunjungi tetamu. Bermula dengan Mak Ndak (adik arwah Abah yang anaknya 7 orang) yang menghubungi saya dan beritahu dah ada di Meru. Dan dalam masa yang lebih kurang sama, Su Bujang Sangga + Ezly dan 2 anaknya juga tiba. Terima kasih Su, hantar kek lapis yang akak order sampai ke rumah! Sedap!

Aktiviti memasak saya terperlahan sebentar, untuk meraikan tetamu yang sampai. Mereka tak sempat dihidangkan dengan Mee Rebus (masih dalam pembikinan). Nasib baik kuih-muih semua dah dalam bekas, jadi hidangkan saja + nasi himpit, kuah kacang dan daging satay dah siap...bolehlah dihidangkan.

Selepas sebentar saja mereka pulang, Anis, Najdah dan Syahirul sekeluarga sampai! Alamak! Saya belum siapkan bahan-bahan yang nak dihidangkan. Menu utama dah siap, cuma potong cili, daun sup etc untuk dimakan bersama mee rebus belum sempat saya buat. Apa lagi! Anis, Najdah dan Maya (isteri Syahirul) mengambil tempat masing-masing.

Anis - potong bahan-bahan garnish (cili, daun sup, limau kasturi etc)
Najdah - celur taugeh dan sawi
Maya - potong lemang dan tembikai
...serta menghidang.

Selesai menghidang, mereka yang kelaparan mula makan.

Yuni dan suaminya, Firdaus serta anak-anak mereka, Fatih, Zulaikha & Khadijah sampai.
Salwa (my tablemate) dan suaminya, Idham sampai.
Akhir sekali, Dik Na dan suaminya, Irmal dan anak mereka, Rifqy tiba.

Aktiviti makan bergilir-gilir antara kaum adam dan hawa berlaku, di samping aktiviti bersembang tiada henti. Kemudian, aktiviti solat Asar.
Anak-anak buat hal masing-masing...

- Nufayl yang ralit dengan laptop tengok Otromen dan Power Ranges (sebab dia tak boleh tengok tivi, Ummi suruh duduk di bawah)
- Fatih yang join Nufayl
- Zulaikha yang rajin tersenyum dan menyenangkan
- Khadijah yang tidur dengan nyenyaknya
- Nuha yang makan-makan-makan
- Rifqy yang meragam dan akhirnya tertidur juga.

Memenuhi konsep pot-luck yang disebutkan awal tadi, Syahirul datang dengan lemang dan kuah kacang, Anis bawa cekelat yang kanak-kanak suka, Cikgu Najdah dengan bihun goreng pun sodap, Dik Na dengan kerepek dan Cikgu Yuni dengan kek lapis Sarawak buatan orang Perlis.

Terima kasih kerana sudi datang dengan kenangan lama dan inspirasi kini, dan menceriakan FitrahZH!
Sebelum mereka mengundur diri, Jie, Anwar dan anak-anaknya Fahim Naufal & Ziyad Nuwairi sampai. Kami terus melayan tetamu (dan juga kanak-kanak) hinggalah ke tengah malam.

Karenah Nufayl & Fahim yang sungguh 'ngam' dan saling ber'rindu'an tu membuatkan Ummi-ummi mereka 'Sabar je lah!'.

Daripada mandi ramai-ramai (ber-4, Nufayl-Fahim-Nuha-Ziyad sesampai di rumah (sesi ulang-tayang macam 24 Julai masa kenduri Liqa'). Kepada sesi main pasir di laman rumah. Kemudian basuh kereta dengan pasir dan akhirnya mandi-manda di laman rumah (sebab dah berpasir sampai ke rambut). Itu belum sebut pokok ceri kena cabut...heh! Dalam rumah, Fahim dah taknak balik. Ummi dan Abahnya disuruh balik. Walhasil, pujuk dengan umpan Otromen di rumah datuknya, baru Fahim setuju nak balik.

"Macammana Nufayl dan Fahim boleh 'ngam sungguh'?", kata Abu Nufayl.
Kata saya, ''Itulah, apabila kita menghargai ukhuwah. Hingga anak-anak dapat merasainya."

Malamnya, giliran jiran-jiran. Kata jiran yang memang berasal daripada Meru. Adat orang Meru, malam-malam pun memang berkunjung...walaupun jam 12 malam (waktu raya lah). ;)

Akhir tetamu, pulang jam 12 malam. Saya terus mengemaskan pinggan-mangkuk yang baru digunakan. Panaskan juadah berlebihan dan simpankan yang mana perlu dalam peti ais.
Tidur jam 1.20 pagi, dengan mata tertahan-tahan menunggu Dik Id yang akan sampai awal pagi. Dia membawa misi seterusnya, Ketupat Daun Ibus, Rendang Daging Hitam Mama dan Maruku Wa.

:)

Inilah rupanya menjadi wanita dalam keluarga (isteri & ibu) kepada sebuah keluarga dalam erti sambutan raya. Seronok memasak, untuk keluarga, untuk tetamu.

heh...penat makcik! Sakit badan sampai petang Ahad! Tapi, gembira! Hari Ahad, lepas Asar baru kami ke Open House Farrah Aiza & Afie. Lepas Maghrib ke rumah mak En. KZ di Sentul. Rumah Mak Ndak di KLJ tak sempat singgah sebab dia hantar anak sulungnya ke UiTM S.Alam.

lagi catatan AidilFitri 2008 : Get2gether Intel97 di Assaakinatussakiinah di :



Indahnya PanggilanMu Ya Allah (5)

Kami tiba di Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz (KAAIA) kira-kira setelah 9 jam penerbangan. Lebih kurang sejam sebelum masuknya waktu Zohor (waktu Saudi di kebelakangkan 5 jam dari waktu Malaysia). Jika waktu Malaysia, kira-kira jam 3 petang.

Menjejakkan kaki ke Arab Saudi, belum lagi ke Tanah Suci, sudah pun membuatkan air mata menitis gembira, syukur dan gerun, bercampur baur. Ya Allah, kau telah sampaikan serumu pada kami. Dan kini kami sedikit langkah lagi menuju rumahMu Ya Allah!

Sambil menunggu, dokumen perjalanan disemak dan disahkan. Gelagat jemaah haji yang keletihan seronok dilihat. Kita yang muda, letihnya kurang, masih segar dan bertenaga. Cuma berdebar sedikit bila bawa isteri yang masih muda. Adalah sedikit cabarannya bila melintasi imigresen Arab yang alim-alim kucing dan tidak melepaskan peluang mengusik Ummu Nufayl yang kelihatan seperti budak sekolah katanya. Dugaan.


Dengan tidak perlu bersusah payah, beg diambil dan melepasi semua pemeriksaan dengan jayanya. Petua mudah untuk beg, tandakan dengan perekat berwarna yang terang dan ikat membentuk corak yang lain dari yang lain. Sebab beg yang sama dari kumpulan pakej yang sama terlalu banyak. Hanya yang 'pellek' sikit senang dikenalpasti.




Keluar dari ruang imigresen, azan Zohor dikumandang oleh jemaah Pakistan, kami berkumpul di ruang khusus untuk jemaah Malaysia. Sambil menuju khemah Malaysia, mata mula melilau mencari kad 'prepaid'. Sebentar tadi satu panggilan telah pun dibuat ke Malaysia, roaming Celcom. Jelas dan terang. Mahal sikit ja.

Solat Zohor. Ramai bakal hujjaj solat sendiri-sendiri. Hairan. Saya cuba mencari ruang untuk berjemaah. Dapat tangkap seorang imam. Maka kami solat Zohor, dan Asar secara jama' qasar dan berjemaah. Selesai.


Perjalanannya seterusnya dari Jeddah, menuju Tanah Suci Makkah. Hanya sedikit cabaran sahaja ketika ingin menaiki bas. Nombor bas ditukar. Dari bas 2 pergi 1, 3 pergi 2, 4 jadi 3. Itu sahaja, dan itulah juga kali pertama saya dengar ada bakal haji sudah mula belajar marah-marah. Astaghfirullah. Saya hanya mohon agar kami bertiga dan semua jemaah lain dibekalkan dan dikekalkan kesabaran.


Passport disimpan mu'assasah, kami naik bas. Dapat nasi bungkus dan air sekotak. Alhamdulillah makan lagi. Pembungkusnya pun rasa enak pada saya. Lapar!

Perjalanan kami lancar. Diselang seli talbiah dan selawat sopan dari jemaah. Tiba di sempadan Makkah, kami baca doa ke Tanah Suci sendiri-sendiri. Yang mengiringi kami adalah Ustazah, senyap sahaja beliau. Kalau ustaz, pasti boleh baca doa ramai-ramai, saya yang kata. Entah betul entah tidak.


Kemudian, rasanya sejam sebelum waktu Maghrib, kami tiba ke Kota Makkah, kelihatan ramai jemaah baru pulang dari solat Asar, dan ada juga yang sedang menuju ke Masjidil Haram. Saya mula merencanakan sesuatu dalam hati. "Aku mesti ke Masjid untuk solat Maghrib!". Walaupun arahan (nasihat) dari pengendali pakej meminta agar jemaah berehat sebentar, dan berkumpul kembali jam 10.00 malam untuk membuat tawaf umrah (bagi yang melakukan haji tamattu'). Nekad. Tapi diam-diam saja.

Puas menerima bermacam habuan dari mu'assasah haji Asia Tenggara, kami akhirnya tiba ke pintu Hotel Farah. 'Tersergam indah'. Kira-kira 30 meter dari akses ke bumbung masjid dan 70 meter jika ingin masuk ke Bab Marwah ataupun Bab Othman. Akses kami biasanya melalui Bab Othman, terus ke Bab as-Salam, ataupun 200 meter dari hotel, boleh masuk melalui Bab al-Fath. Jika terlalu sesak, kami akan meniti Jisr an-Nadwa, masuk ke tingkat 2 atau pun bumbung. Yang penting, kami cuba sedaya mungkin melihat Ka'abah dan berada di sebelah multazam. Bacalah apa saja ayat, asalkan pengawal masjid tidak 'nampak' kami mencelah masuk setelah dihalang apabila orang penuh. :) .


Kembali ke Hotel,


Kami tiba dan meletakkan beg (istilah yang lebih tepat beg kami dicampak ke bawah!). Kemudian mendaftar masuk, pintu bilik F701 sudah pun dibuka, dan, subhanallah, kami bersyukur dengan bilik yang diberikan. Comel dan padan untuk 3 orang. Katil disusun seperti huruf U, tanpa almari dan satu penyangkut baju. Sebuah peti sejuk, seketul televisyen, dan ada pemanas air. Luas bilik, pastinya jauh lebih luas dari liang lahad! .. Kami syukur, itulah rezeki kami bertiga untuk 35 hari mendatang.

Usai meletakkan barang, saya mengambil keputusan untuk membuat orientasi kendiri ke Masjidil Haram. Ini penting kalau tidak mau terkial-kial mencari jalan dan pintu selepas ini. Dan matlamat yang paling utama, melepaskan kerinduan menatap Baitillahi Haram, Ka'abah setelah hampir 7 tahun meninggalkannya sebelum ini.


Jalan dan jalan. Mengikut arus, tersesak nafas diasak jemaah lain. Tetapi fokus tidak berubah. Sedikit berasak, banyakkan sabar!.. Akhirnya tiba ke dalam Masjid. Masuk ke dalam. Dan ke dalam lagi, dan kali ini langkah kaki terhenti, kaget, kaku, sayu, terharu, syukur, kagum dan segalanya bercampur baur. Alhamdulillah. Akhirnya aku tiba. Tiba di depan rumah AgungMu ya Allah. Ya Allah, bahagianya hati kecil ini. Ya Allah, agungNya KuasaMu ya Allah.




Labbaikallahummalabbaik..

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (4)

Tu dia.. dah masuk musim haji lain dah, belum abis update...memoir, khusus buat bakal jemaah haji 1429H, amnya, untuk sahabat yang dirahmati Allah sekalian.








--------------


Di Kelana Jaya, setelah membabai-babai semua orang, kira-kira jam 2.00 pagi, kami melangkah masuk. Terbayang lagi wajah ceria Fatma Nuha yang kekenyangan, hingga kurang sedar kami akan meninggalkannya buat satu jangka masa yang lama. Begitu juga, tersengihnya Nufayl dengan Ultramannya yag baru dihadiahkan oleh kami. Terkedu juga kami, nampaknya kami yang akan lebih bersedih meninggalkan mereka. Huh! Budak-budak bertuah.

Kami menempati barisan paling belakang. Saya sudah nasihatkan anak-anak jemaah (isteri-isteri? dan ibu mentua) sejak dari awal. Kami perlu tanamkan azam untuk lebih bersabar. Tidak perlu berebut, baik makanan, barisan, harta benda atau apa sekalipun. Kami telah dijemput Allah. Kenapa perlu risau kita akan ditinggalkan, diabaikan atau dibiarkan kebuluran? Jemputan Allah, pasti serentak dengan segala pakej yang tidak pernah kami bayangkan.

Kemudian, masuk dewan. Taklimat ringkas jam 4.00 pagi. Aku mengangguk-angguk faham walaupun topiknya aku tidak pasti. Mengantuk katakan. Tapi taklah tertidur. Ummu Nufayl dan ibu mentua pun dengar sekali. Kemudian, doa dibaca dalam bahasa Melayu. Azan dikumandangkan, harapnya tiada yang terkejut dan bangkit untuk solat Subuh. Kemudian kami beriringan menuju ke bas yang bakal membawa kami ke KLIA.


Di tempat pemeriksaan, sambil beratur, terpaksa dengar khutbah pegawai keselamatannya. Sahabat-sahabat sekalian, ingat, jangan bawa barang terlarang! Losyen, minyak rambut, atau apa-apa cecair, barang tajam, pistol dan bom, jangan masukkan ke dalam 'hand luggage'. Kami bernasib baik, walaupun sangkut sikit gara-gara gunting kecil. Tapi tidak apalah, sedeqah sajalah.

Kemudian menaiki bas, sudah ada yang bertalbiah. Berlatih agaknya. Tidak tahulah kalau beliau sudah berniat dari rumah kerana semangat lebih. Di dalam bas, cabaran bermula, rahmat juga bermula. Ada orang tanya, okay ka bawa mak mentua sekali, nanti banyak cabarannya. Saya menjawabnya, insyaAllah okay. Dan sekarang di dalam bas, terpaksalah duduk asing dengan isteri. Perebutan kasih sayang bermula. heheh. Tapi rahmatnya, aman sedikit kadang-kadang. Opss..

Di dalam bas, saya duduk bersebelahan dengan 'orang lama' yang cukup berpengalaman membawa jemaah haji. Pak Dan nama ringkasnya. Sudah 21 kali ke Mekah. Sah! Saya dapat teman baru. Dari dalam bas, kami mula merancang strategi untuk melaksanakan haji secara sunnah sepenuhnya. Kaedah tarwiyah. Apa bezanya? Nanti kita lihat kitab. Tetapi secara ringkasnya, ia adalah ibadah haji yang pergerakannya bermula dari 8 Zulhijjah di mana jemaah akan pergi ke Mina dan bermalam di sana sebelum berangkat ke Arafah pada 9 Zulhijjah.

Kaedah ini adalah kaedah sebenar dilaksanakan Rasulullah SAW, tetapi tidak digunapakai oleh mana-mana pakej haji Malaysia, mahupun Tabung Haji sendiri. Sesiapa yang inginkan kaedah ini, perlu mencari sesiapa yang sanggup mengendalikannya dan tidak terikat pada susunan program oleh pakej mahupun Tabung Haji. Risiko ditanggung sendiri jika tidak dapat makan atau tiada tempat tidur.

Dalam perbincangan VIP (diiringi polis) itu, saya akhirnya mohon izin untuk tidur sebentar dan celiknya, di KLIA, waktu Subuh telah masuk.

Di sini bermula cabaran seterusnya. Juga rahmat kepada kami. Kami tiba terlalu hampir dengan waktu penerbangan. Nasib baik wudhu' telah diambil sejak dari Kelana Jaya. Saya sendiri sempat bersolat Subuh berjemaah di surau sementara terrminal. Ummu Nufayl dan ibunya 'hilang' wudhu' - tidur la tu - tak sedar apa - kemudian agak tergesa-gesa dan ketika hampir waktu mereka solat, pengumuman meminta agar jemaah menaiki kapal terbang, dan solat menghormati waktu. Saya tidak ada ilmu tentang perkara sebegini. Lalu saya tetap meminta Ummu Nufayl dan mak mertua untuk mereka tunaikan sahaja solat di depan pagar perlepasan.

Kenapa ingin solat hormat waktu jika sebelum bertolak waktu telah masuk, dan kapal terbang pastinya akan menunggu jika ada dua-tiga jemaah belum masuk. Bukan mementingkan diri, tetapi mementingkan ibadah. Jika mereka tetap masuk ke dalam kapal terbang, maka, pilihan hanya ada dua, solat secara tunai di dalam kapal terbang, ataupun jika tidak dapat kerana tiada ruang, mereka harus qadha apabila sampai di Makkah. Kerana mereka telahpun tidak menghormati waktu sebelum berlepas.

Inilah masalahnya Islam hadhari kita. Semuanya dipandang remeh. Ramai jemaah yang mengikut arahan tersebut dan saya hanya tumpang bersedih.

Menaiki kapal terbang, kami telah selesai solat. Dan pastinya kami lihat ramai jemaah yang mula bersolat 'menghormati waktu', di atas kerusi kapal terbang Boeing 777. Apa hal ini? Saya mula menggumam. Bukankah kapal terbang ini luas? Carilah tempat untuk berdiri bagi menunaikan solat fardhu. Jika ketika solat kapal terbang terhoyong-hayang, ataupun juruterbangnya buat lawak summersault, maka, duduklah ketika itu. Dalam keadaan tenang, jemaah perlu solat FARDHU seperti biasa, dan wajib mencari ruang yang sesuai, banyak sebenarnya! Kiblat pula tunggang langgang, langsung tiada inisiatif bertanya pramugara/gari/garu tentang kiblat. Ini SOLAT TIDAK MENGHORMATI WAKTU namanya.

Perkara ini perlu diberi perhatian. Jangan terlalu mengambil mudah. Ada yang menghujjah kepada saya, Nabi SAW juga bersolat atas tunggangan beliau (unta) dan unta tersebut berjalan tidak pun betul sangat kiblatnya. Saya hanya menjawab ringkas, saya tahu hadis tersebut. Tuan juga tahu. Asbabul wurud (sebab turun hadis tersebut) juga saya dan tuan tahu. Cuma satu yang saya rasa tuan/ustaz kurang arif ialah, solat tersebut dilakukan di waktu malam, dan ia adalah solat sunat witir. Bukan solat fardhu. Noktah.

Balik ke suasana penerbangan pergi, saya seperti biasa, mula membuka Fiqh Sunnah karangan Sayyid Sabiq untuk diteliti dan diulangkaji. Kerana cabaran di Makkah, kita bukan sahaja akan bertemu pengikut mazhab Syafi'e, tetapi juga Hambali, Maliki, Hanafi dan Hadhari. Mengulangkajinya memerlukan fikiran yang tenang dan santai, agar tidak terlalu terbeban. Itulah sebabnya, sejurus selepas itu, saya tidur!

Celik sahaja mata, pramugari menghidangkan makanan, dan saya seperti biasa, dengan sedikit lahap dan selera, menghabiskan kesemuanya sekelip mata. Tidur lagi, hinggalah, tiba di Miqat, saya, dan kami semua memasang niat umrah - memutuskan untuk mengerjakan haji tamattu'. Setelah pertimbangan rapi dibuat akan kemampuan masing-masing.
Labbaikallahumma Labbaik... dan terlalu penyegan jemaah-jemaah haji melaungkan talbiah. Suasana terlalu aman. Semuanya lebih seronok tidur. Talbiah ditelan dengkuran. Hmm..

Setia menunggu saat pendaratan. Ya Allah, rinduku pada Tanah HaramMu tidak lagi dapat dibendung!