Indahnya usia muda. Kami, sepertimana ramai lagi golongan syabab di merata dunia dan Malaysia ini, telah ditakdirkan untuk menerima jemputan Allah swt untuk merapati rumahNya dan menziarahi kekasihNya. Dipanjatkan jutaan rasa syukur ke hadhrat Allah atas rahmat yang diberikan ini.
Jemputan ini kata orang eksklusif. Hanya yang terpilih boleh pergi. Kami akur. Faktor kewangan hanya sub-faktor. Ia banyak membantu. Tetapi bukan penentu. Bila hati berkata ya dan sudah jazam, keazaman mula terbentuk, usaha dengan sendiri mula dilipat ganda, ibadah makin diperelok, doa bercambah-cambah itu tandanya sudah dipanggil. Walaupun tika itu wang bukanlah banyak mana pun ada di poket baju depan.
Bila rasa takut dan harap (al-khauf wa ar-rajaa') sudah seimbang, insyaAllah tandanya masa hampir tiba. Takut amal tidak diterima, takut nikmat jadi istidraj, takut jemputan ditarik balik, tapi tidaklah terlalu takut, sekadar perlu saja. Harap pula agar cepat sampai masa, agar dipermudah segala, agar selamat sokmo, tapi taklah berharap sahaja, usaha mesti diserta. InsyaAllah.
Jemputan ini eksklusif pada yang ingin dan bersedia dipanggil. Tetapi hamba yang dipanggil masih terikat pada firmanNya
"Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah mereka yang paling tinggi taqwanya di kalangan kamu"
Itu juga kami akur. Memang kami muda, ligat. Gagah melangkah. Tapi tidaklah istimewa sangat kami ini pergi pada usia muda. Kerana ada yang lebih muda, lebih pantas, lebih bertenaga dari kami. Ada yang lebih tua, dan lebih hebat dari kami. Malah ada kanak-kanak yang langsung tak terjejas dek cuaca sejuk dan panas, dek sakit dan demam. Itu mengagumkan. Kalau nak kata kita orang kaya, ambil pakej mahal harga 20 ribu. Ada orang ambil pakej seratus ribu. Orang pakej seratus ribu kata haji mereka senang, pakcik-makcik yang mengguna khidmat mu'assasah bayar sepuluh ribu pun kata manasik mereka lancar dan senang. Itu penilaian masing-masing. Tidak ada gahnya walau apa, walau bagaimanapun kita. Semua sama rata di sana. Cuaca sama panas dan sejuk. Baitullah hanya satu dan satu arah sahaja pusingannya. Jamrah ada tiga. Safa dan Marwah satu sahaja arahnya. Berihram semuanya pakai kain ihram. Tidak ada yang pakai tali leher, walaupun raja sekalipun. Dapat gelaran haji? bangga? Kenapa? Orang Afrika yang taraf hidupnya hanya layak jadi pengemis atau faqir sahaja kalau di Malaysia, tetapi di sana turut mampu dan berupaya kerjakan haji. Jadi juga Haji dan Hajjah. Apa lebihnya kita? Itulah urusan hati. Ukur tandanya hanyalah ketaqwaan yang bakal jadi penentu.
Jadi kesimpulan hari ini. Persediaan hati teramatlah penting. Perkara lain akan menyusul selepas itu. Mudah senang urusan sebelum, semasa dan selepas menerima jemputannya, bergantung kepada persediaan hati, amal dan iman kita sejak dari awal.
Jumpa lagi
No comments:
Post a Comment