Friday, May 20, 2005

Kerana kita al-insi

Kesempatan ini terpaksa dicuri,
lantaran masa kian jadi jarak yang amat pendek tika ini.
Dan tugas tanggungjawab jadi pasak jiwa
yang seribu langkah
terpaksa dilalui sebelum mengecap manisnya masa itu.

Buat semalam yang pergi,
kita sering menginginkannya kembali.
Sedang yang kembali itu pasti pergi jua.
Dan kita sering tertinggal daripada menanggapi masa dengan HAQnya.
Kerana kita al-insi.

Hari ini masih bersama kita,
dan ini yang dipilih,
Melewatkan hari dengan urusan dunia,
Pantas merawati hati andai terluka...itukah urusan kita?
Kerana kita hamba-NYA yang diuji dengan masa.

Dan, kerana esok masih belum tentu milik kita.
Bahagia hari ini pasti jadi syukur tak terhingga. Atas kurniaNYA.
Pasti nafas ini jadi penyegar jiwa,
andai iman pantas meladeni usia.

Esok, belum tentu usia ini dipinjamkanNYA.

Kasihku,
Andai hari ini yang terakhir pinjamanNYA,
Untaikan manis-manis rasa,
perjuangan yang kita cipta,
Sarungkan diri dalam cintaNYA,
kerana aku telah tiada,
dan cintamu berada bersamaNYA.

Kerana kita al-insi,
Aku menulis untuk esok hari.


~~~
Hany FF
11 Rabi'ul Akhir 1426H

Tuesday, May 17, 2005

Terbau musim wangi!

Minggu lepas, saya terbau musim sekolah yang makin mampir. Bau kad wangi yang bersusun dalam peti surat rumah membuatkan saya teringat cuti sekolah yang dijadualkan bermula 28 Mei ini. Berturut-turut jemputan nampaknya!

Tahniah! Mabruk 'ala 'aariss wa 'aaruss!


1. Halim-4/6 @Kota Tinggi & Fathiyah-7/5 @Melaka [junior MMU (Melaka)]
2. Katrina(Cat)-20/5 @KK & Amin-29/5 @Miri [Cat, my beloved roommate & coursemate]
3. Kak Aza-29/5 @Putrajaya & Abg Amir-11/6 @KB [Kak Aza, my 'kakak' *senyum*-tiada kata mengupas rasa]
4. Naim-5/6 @Kajang & Su-29/5 @Tumpat [Naim, pernah jatuh bangun bersama selama 2 tahun memegang amanah dalam IU & Su, kawan Lina]
5. Mudin-5/6 @Jeli & Walida-4/6 @Kok Lanas, Kelantan [Mudin, my beloved 'adik' ekekekek.. & ida, to be! :D]
6. Salwati-4/6 @Utan Aji, Perlis & Asrul Hadi [sekelas 1 Sumaiyah '93 SMKAP-5AB '97 SMKAA]
7. Pakdin-4/6 @Kuala Perlis, Perlis & bakal isteri [sekelas 4AB '96-5AB '97 SMKAA]


Saya teringat satu pantun yang bagi saya sungguh indah dan maknanya mendalam sekali. Tersentuh di jiwa! Pantun ini tertera di kad jemputan perkahwinan Kak Rai (baca : Raihani Mohd Said) yang diberinya kepada saya beberapa tahun dahulu...tahun 2001 kalau tak salah Kak Rai kahwin.

Pantun yang cukup indah! Cukup bermakna buat 'aariss wa 'aaruss :)

"Pada detik sakti ini,
Kita memilih ziarah diri,
Merentas cahaya dan segala wajahnya,
Ke jagat abadi tiada antara."


Indahkan?
:)


~~~
"Mencari diri"
Hany FF
8 Rabi'ul Akhir 1426 H

Saturday, May 07, 2005

PESTA BUKU ANTARABANGSA-KL 2005

Hari ini 7 Mei 2005. Catatan ini mungkin terlewat, kerana Pesta Buku tersebut telah tamat 2 Mei lalu dan tarikh lawatan saya ke sana telah lebih seminggu berlalu.

Saya ke sana pada 30 April 2005, hari Sabtu. Tanpa menyedari pada hari yang sama akan berlangsung AIM 2005 di PWTC, kami terperangkap dalam kesesakan jalanraya yang agak teruk tengah hari Sabtu itu. Hanya dua-tiga minit ke jam 3 petang baru kami berjaya menikmati hawa dingin di dewan dalam PWTC itu.

Bermula dengan gerai Karangkraf, saya memborong koleksi NUR yang tertinggal...termasuk membeli beberapa naskhah NUR bulan Mac 2005 untuk dihadiahkan kepada beberapa orang yang istimewa. [Tapi sayangnya, NUR Mei 2004 tidak sempat saya beli...Kak Salina, masihkah ada lagi saya inginkan beberapa naskhah!] Termasuk majalah i yang saya borong untuk koleksi dan PA & MA yang terkini. Kami memborong majalah sahaja di sana.

Kemudian, kami menjelajah ke segenap pelosok Pesta Buku itu. Tujuan utama saya ialah untuk membeli hadiah untuk suami saya. Dia mengajak saya ke gerai DBP, mahu melihat sesuatu katanya. Dia maklum hasrat saya untuk menghadiahi buku Pengembaraan Ibn Batutta sempena hari lahirnya. Namun, ada sesuatu yang lebih menarik untuknya di gerai DBP.

"Siri Kebangkitan Islam : Gambaran dan Sejarah dalam Tamadun Dunia" karya Marshall G.S. Hodgson yang mengandungi 3 buah buku itu pilihannya. Saya akur. Itu untuk hadiah hari lahirnya. Harga satu set siri tersebut - RM 180. Diskaun? Ermmm..belum lagi! Nampaknya ada orang yang teruja melihat Siri Fiqh Perundangan tulisan Wahbah al-Zuhaily. Itu inginnya sejak lama! Kitab fiqh yang membuat perbandingan hukum dengan pendapat 4 mazhab. RM 100 satu kitab, dan 7 buah kitab semuanya dalam satu siri.
RM 700? Kami tersenyum. Diskaun? Belum!

Di gerai DBP/Dawama itu juga saya kaget dengan tawaran harga murah majalah-majalah lama (koleksi 2004). Saya borong Majalah Tunas Cipta-RM 1.00 senaskhah! Ya...saya belum pernah memiliki dan membaca Tunas Cipta. Ketinggalan! Memang saya ketinggalan, kerana saya tahu ketika saat-saat awal majalah Tunas Cipta dirancang untuk penerbitan. Tika itu saya masih aktif menyertai aktiviti sastera bersama Alumni MPR & DBP. Tika itu saya rajin turun menghadiri Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan, Diskusi Karya Eceran dan sesi pertemuan Alumni MPR dalam MPR yang diadakan. Saya tahu kewujudan Tunas Cipta. Tapi, komitmen di kampus mungkin membataskan saya untuk bertemu dengan majalah yang cukup membina ini. Sementelah pasarannya terhad. Hanya di beberapa buah kedai di Lembah Kelang sahaja.
Saya borong Tunas Cipta! Dan tentunya, saya pejam mata membeli Antologi Cerpen & Puisi Klik-Klik (Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1998/1999) untuk koleksi peribadi. Kerana apa pejam mata? Errmm... :)

Akhirnya, dengan semua barangan yang dibeli, kami dapat harga istimewa dengan potongan 25%, kami dapat harga RM 680++ untuk kesemuanya. Alhamdulillah! :)

Saya dan suami agak terganggu juga dengan asakan promosi program perpustakaan rumah untuk anak-anak. Terlalu menuntut! Ada juga yang terlalu memaksa, demi kebaikan anak kononnya. Bukan saya tidak bersetuju langsung dengan produk sebegitu. Tetapi, sikap jurujual yang memaksa kita meluang masa agak mengjengkelkan sedang kita telah menjelaskan bahawa penerangan serupa telah didengari seawal sampai ke sana. Macamlah kita berbohong. Habis disoalnya nama jurujual yang menerangkan itu. Saya dan suami terus mengelak. Ada beberapa produk : GROLIER, AMEEN, dll... semuanya lebih RM 1K. Kami memilih untuk bermula dengan yang mudah dan murah. Kami membeli poster ABC, First Words dan My Body untuk Nufayl.

Gerai Creative Enterprise pula tidak sempat saya singgah. Kerana Nufayl waktu itu menuntut masa untuknya, saya berlari ke surau memberinya makan dan minum.
Sebelum itu, sempat juga berjamah temu dengan Ronie & makciknya, Mudin & Walida. Juga Abang Azhar (MMU)...heheh Mahram tika DCBA dulu. :) Rasa rugi tak dapat berjumpa dengan Gopi & FT ketika di tempat yang sama pada waktu yang sama. Tak ada rezeki! Kak Salina pula tidak ditaqdirkan, kerana tidak berada di tempat yang sama pd waktu yang sama. Semuanya tentang rezeki & jodoh! :)

Malam itu, saya berulit dengan TC & Majalah i, suami dengan Fiqh Perundangan dan Kebangkitan Islam, Nufayl pula dengan poster-posternya. Semua terlena sebaik sampai di rumah.

Aduhhh...capeknya!

Dalam hati, tak sabar tunggu Pesta Buku tahun depan. :)


p/s: Saya tiada mulai 9-11 Mei. Berkursus Team Building di Bagan Lalang. Bersama Ummu Anas. Saya terlihat nama Ibu Auni. Aini jadi ikut serta? Jumpa di sana! :)



~~~
Hany FF

Thursday, May 05, 2005

Dialog Hati, 'Aqal & Iman

Catatan ini terlintas dan mengalir seperti air, semasa saya sedang menjawab balas komen Ukhti Siti & Ika di catatan sebelum ini. Memandangkan ilham mengalir panjang, saya kira lebih baik saya abadikannya di blog ini, kerana komen Haloscan itu pasti musnah diragut kesementaraan server yang menuntut di ruang maya.

Selamat memahami isi hati yang rumit untuk kucurahkan segala. Ini adalah antara darinya.

~~~
Hati ini berkata, tiba masanya aku akan mati juga.
'Aqal pula berbisik, kini belum masanya, mengapa harus berserah pasrah?
Hati meluah rasa, aku letih dengan mehnah dunia.
Iman yang diam sedari tadi menjawab, itu tanda kau akan hilang upaya, apabila kau jadi kufur dengan nikmatNYA!

Hati mula berbahang dengan hawa yang dikirimkan oleh Iman. Kau kata aku kufur nikmatNYA?
Iman tersenyum, dia sedar bunga di taman hati itu telah dijentiknya. Hati, mengapa mudah kau lurut nafs yang tunduknya memerlukan sambut? Sedang ibumu, naluri telah berpesan...tundukmu jangan sampai mengorbankan Syahadah. Sucimu perlu kaupelihara, walau tujah rangsang debunga buat kau rasa dosa bagai syurga.

Apa yang kau bicara, wahai Iman. Hati berbara-bara.
Aku hanya menasihatimu Hati. Benarkan 'Aqal? Hati seperti kufur dengan nikmatNYA apabila dia mengeluh sedemikian rupa. Sedang nafas itu masih dikurniaNYA, mana mungkin kita berkata hidup itu satu keletihan buat kita!
Itu nilaianku. Bagaimana dengan kamu? Iman beralih pandang.
'Aqal yang menyendiri sejak tadi menyuakan wajah walang yang panjang. Dahinya berkerut-kerut, mulutnya terkumat-kamit meregang rasa yang dipunya dua saudara.
Apa kau kau kumat-kamitkan itu 'Aqal? Tanya Hati bagai tak punya sabar lagi.

Aku teringat kisah jabat wargajagat dengan Pencipta mereka, Al-Jabbar. Kau tidak tahu wahai Hati. Waktu itu di alam bawah sedarmu, di alam Ruuh ketika itu. Kami berdiri dan semua wargajagat menyaksikan penyaksian semua penciptaan bahawa hidup dan mati kita adalah keranaNYA. Segala urusan hidup kita MESTI sentiasa mengikut garisan yang ditulisNYA. Permintaan kita hanya kepadaNYA. Wajah kita mesti sujud padaNYA.
Tika itu, wargajagat semuanya patuh. Bukan macam kau kini wahai Hati. Semuanya penuh rela berjabat dengan Al-Jabbar. Kalaupun ada yang menarik janji, pasti hidup mereka tidak panjang. Kerana wadah mereka tidak dimateri!

Panjang sungguh kisahnya wahai 'Aqal. Bagaimana aku boleh lupa semua itu. Iman terkesima penuh keinsafan.

Kerana berlakunya ia di bawah alam sedarmu, Iman. Usahlah belasungkawa kerana kau belum dikafankan...hahah. Berdekah-dekah tawa 'Aqal.

Bagaimana pula kau boleh menyimpan setiap detik yang berlaku? Aku bingung! Iman meneruskan kekeliruannya dengan persoalan demi persoalan.

Iman, bukankah bani Israel, kaum Nabi Musa telah menjadi bukti akan persoalan yang kadang-kadang perlu disimpan. Tanya bukan tidak perlu, tapi kalau terlalu banyak maklumat yang ingin kau tahu...aku walang kuatmu tidak cukup kuat yang memuatkan ilmu yang banyak ini. Surah Al-Baqarah bukankah sudah menceritakan segalanya?

Iman diam. Benar, tiada gunanya dia mempersoal segalanya. Cukuplah 'Aqal sudah memperingatkannya tentang tujuan hidupnya di bumi Allah ini.

Hati diam. Dia memerhati perbualan keduanya. Persoalannya tadi tentang keletihan, mehnah, dan hidup bagai tertangkup di akhir perbualan ini. Betapa bumi itu bulat, dan segala persoalan ada jawapannya di hujung segalanya. Betapa kita tidak menyedari, kerana kerdilnya kita dalam ilmu dan tahuNYA. Kerana lemahnya kita dalam lautan nafs yang beraja.

"Ya Ayyuhannafsul muthma'innah,
Irji'ie ila Rabbiki mardhiyatammardhiyah,
Fadkhuli fii 'ibaadii,
Wadkhuli jannati." [Al-Fajr : 27-30]

"Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhan kamu
dengan penuh keredhaan dan diredhai.
Masuklah dengan Para 'Abid kepadaku.
Masuklah ke dalam syurgaku." [Al-Fajr : 27-30]



~~~
Hany FF
26 Rabi'ul Awal 1426H

Tuesday, May 03, 2005

Antara Tuntutan, Tekanan & Bebanan

Assalamualaikum wbt...

Kepada semua ikhwan/ikhwah yang membaca...maaf saya pohon atas keterlewatan bicara tazkeer kali ini. Saya terlalu terikut arus yang meragut rasa hambaNYA di dunia ini. Saya terarah dengan panah dunia yang menuntut kuasa zahir yang ada...segenap penjuru untuknya.
Capek! Letih! Sampai bila harus begini?

Siti Zurina & Zulaikha, saya akui rungutan anda berdua...akan niat yang entah pada siapa. Apabila tekanan dan bebanan tugas bertambah, bahu tidak lagi larat menanggung. Tuntutan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tak pernah memberi cuti. Dan...pasti, diri sendiri yang salamnya ada yang telah ditarik kembali olehNYA, memerlukan perhatian & kerehatan yang perlu senantiasa cukup. Dan, antara YA atau TIDAK...pasti ada yang akan kurang perhatian lantaran tuntutan, tekanan, bebanan yang tidak mampu dipikul diri yang lemah ini. Zalimnya saya, tidak meletakkan sesuatu di tempat yang HAQ! Pasti ada yang tersilap perhitungan, hingga ada tanggungjawab yang terabai!.

Sungguh, saya rasa diri saya amat zalim. Zalim. ZAlim. ZALIM!!!

Apa perlu saya lakukan? Untuk mengucapkan maaf, saya cukup malu. Malu pada DIA yang Maha Melihat segala, hatta isi hati pun dimaklumiNYA. Malu kerana nafas yang dipinjamkanNYA ini belum terbayar dengan ibadah yang entah baru sampai di mana saja tahapnya. Malu dia insan yang perlu dipohon maaf kerana keterlanjuran bukan sekali atas keterlupaan dan kesilapan yang asbabnya hanya Lupa.

Itulah saya, manusia. Manusia, an-nass. Itulah manusia dengan sifat pelupanya. Manusia dengan sifat lalai dan lekanya. Dengan sebab itulah manusia perlukan peringatan.

Umat manusia diperingatkan melalui wahyu dan zikr yang dibawa oleh Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah. Umat selepasnya diperingatkan oleh mesej yang sama melalui pewaris Anbiya'-para ulama'. Kita umat akhir zaman. Kita hanya memiliki wahyu yang dipelihara, kita hanya mempunyai ulama' yang masih dijaga, kita hanya mempunyai bi'ah yang tidak sempurna dalam membentuk diri. Kesempurnaan tidak akan wujud dalam tohmah dan fitnah dunia akhir zaman ini. Bagaimana kita boleh membentuk dan 'menjaga' diri kita daripada sebarang 'kotoran' dan 'palitan debu' akhir zaman ini?

Sekadar memperingatkan diri sendiri dan juga diri yang perlu diperingati. Ingat semula...mengapa kita dijadikan untuk hidup di dunia ini. Ingat semula ikrar kita sebelum dilahirkan di dunia ini. Kita sebagai umatnya, sebaiknya kita menilai diri sejauhmana sumbangan kita utk menapakkan Islam di bumi ini. Belum lagi bertanyakan sejauhmana pengorbanan kita utk menjadikan matlamat kita dlm Islam tercapai.

Muhasabahlah kembali..setiap apa yang berlaku daripada awal langkah kita dlm hidup ini. Ambillah pengajaran. Tetapkan matlamat dan capai pada langkah seterusnya dengan 'tangan-tangan' yang tergapai dalam hidup kita. Andai masih terasa sendirian, kembalilah mohon pertolonganNya. Semoga dipermudahkan dalam setiap usaha menegakkan Ad-DeenNya di bumi ini.

Sekadar peringatan buat diri yang lupa. Semoga kita semua dapat menguatkan diri...dan menjadi umat yang cemerlang.

Sebelum berundur...mari kita renungkan antara tafsir surah Alam Nasyrah.

"Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu. yang memberatkan punggungmu. Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu. Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan seungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Dalam surah ini, Allah telah mengatakan bahawa Dia telah melapangkan dada hambaNya (Rasulullah s.a.w.) yang sempit kerana susah atau dukacita...belum tahu jalan yang akan ditempuh. Di situlah kebijaksanaan dan pertimbangan yang 'adil timbul ..apabila Dia memberikan petunjuk dengan melapangkan dada yang sempit. Dia melapangkan dada hambaNya (Rasulullah s.a.w.) yang berat kerana urusan tanggungjawab nubbuwat dan da'wah. Janjinya, namanya ditinggikan...menurut Imam Syafie...tidak kita menyebut namaNya melainkan mesti diiringi dengan nama RasulNya itu (kalimah syahadah)...biarpun lahirnya sebutan itu terbatas, bukan sekadar lafaz dzahiriyah, tetapi boleh juga dzikr-qalbi(ingatan dlm hati) sehingga meliputi segala lapangan ibadat dan ketaatan.

Janji Allah lagi, beserta kesulitan itu ada kemudahan. Dua kali diulangi janji ini. Inilah Sunnatulah. Betapa leganya rasa Rasulullah dan para sahabat yang mendengar tatkala wahyu ini diturunkan. Betapa leganya rasa mereka mengenangkan janji ini. Akan ada penyudah yang baik dalam usaha mereka yg jalannya sungguh sukar ini. Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w merasa beban berat itu seakan-akan hendak patah tulg punggung memikulnya. Namun dengan wahyu ini, hatinya dilapangkan, namanya ditinggikan. Ingatlah...yang mudah saja tidak ada...dan yang sukar saja tidak ada. Yang ada dlm hidup dan perjuangan ini adalah resamnya. Sukar jalannya dan senang jalannya akan menyusul di sebalik kesukaran itu. Cabaran dan ancaman itulah yang menjadi sebab aqal berjalan. Itulah yang mematangkan manusia.

Di akhir ayat, Allah mengingatkan...setelah selesai sesuatu tugas itu..dan ia menjadi kenyataan...maka bersiaplah utk tugas yg baru. Ingatlah resam dlm menunaikan tanggungjawab...yang sulit akan ada sbg cabaran, kita harus berusaha dengan 'aqal, tenaga dan doa supaya kemudahan selepasnya dpt dikecapi bersama. Ingatlah Allah tempat kita mengadu. Berusaha dan minta kepadaNya. Allah tidak pernah mengecewakan hambaNya yang bertawakkal.

Masih ingat syair ini? Rujuk catatan saya bulan Mac lalu, Untuk Direnungkan

"Apabila bala-bencana telah bersangatan menimpamu,
Fikirkan segera Surah Alam Nasyrah,
‘Usrun tersepit antara dua Yusran,
Kalau itu telah engkau fikirkan, nescaya engkau akan gembira"




Semoga kita semua dpt mengambil iktibar...dan membersihkan hati ini dalam meneruskan perjuangan hidup di jalan ini.

Wallahu aa'laam bissawaab.



~~~
"Life is too short to leave kindwords unsaid."
Hany FF
24 Rabi'ul Awal 1426H