Friday, April 18, 2008

Indahnya PanggilanMu Ya Allah (2)

Terbaca entri di bawah, terkedu sebentar. Gembiranya hati kami ketika itu, tawaf bersama bakal cahaya mata, doa tidak putus agar dia menjadi anak soleh, mendapat aroma iman dan akhlak di Tanah Suci, namun ALlah Maha Adil dan Maha Mengetahui. Hanya saja hati dan jiwa ini yang diuji Allah, melihat tahap kesabaran dan syukur kita.


:) . Tak mau terbuai lama. Teruskan kehidupan, teringat pula, selepas episod satu, demam PRU menterlupakan diri untuk pergi ke episod seterusnya.

Melangkah setapak lagi.

Bila menang tiket radio Eera, yeaayy jerit pemenangnya. Terima kasih EeRA. Pra syarat bersyukur kepada radio tersebut mesti dibuat. Bagaimana kalau kita memenangi tiket ke Tanah Suci?

Lain rasanya. Sayu rasa hati. Takut tidak bersedia. Terlalu banyak dosa. Layakkah kami menerimanya? Mahu serahkan pada orang lain. Sayang! Mahu ambil? fikirnya panjang. Tambah lagi pada usia muda. Anak masih menyusu (dengan ibunya, bukan bapanya). Yang sudah usai menyusu, sedang ligat dengan kerenah dan keletahnya. Berjauhan 3 hari outstation ke Marang pun sudah gelisah hati. Ini pula hampir 2 bulan.

Rumah pun siapa yang ingin tengokkan? Ini bandar, bukan kampung. Kereta?. Belum lagi fikir, betulkah sudah cukup perbelanjaan?. Pergi ok. Di sana macam mana?. Berapa perlu persiapkan?. Ada orang kata lima ribu. Ada orang kata sepuluh ribu. Kami kata dua ribu sudah ok. tiga ribu agak selesa. Lima ribu? itu pergi melancong namanya. Bila pulang? Masih ada baki wang? Haii.. Seperti kes kami. Pulang saja, hardisk notebook buat hal. Mesin basuh jem sebab tidak diguna lama. Ada pula jemputan tambahan dari SJayMC, melawat dan menginap di wadnya beberapa hari. Semuanya kos. Ribu-ribu lagi. Boleh pusing kepala.

Tetapi percayalah. Itu fikiran kita. Itu makar kita. Makar Allah lebih hebat. Kalau tipu dayaNya hebat, apa perlu dirisaukan perancanganNya. TaqdirNya. Bulatkan tekad. Katakan YA pada jemputan itu, semuanya berjalan lancar dari semasa ke semasa. Tawakkal mesti 100%. Doa jangan putus. Halangan dapat ditempuh bak menghanyut dedaunan kecil mengikut rentak arus.

Kami memutuskan untuk melangkah ke depan. Tetapi, maklum sajalah, orang muda, anak-anaknya kecil. Sukar juga pada awalnya. Bukan ketika hendak pergi sahaja, sebelum pergi pun sudah banyak cabarannya. Kursus haji ke mana, anak nak letak mana. Sudahlah sepanjang minggu bekerja, kepenatan. Mau ambil pembantu rumah, tak ada 'privacy'. Akhirnya, hanya Kursus Haji Perdana mampu kami hadiri. Bertempat di Putrajaya, mabit semalam di sana. Itupun sudah rindu bagai nak rak pada anak. Tambah lagi ibunya, masih menyusu si kecil Nuha. Dugaan.

Kursus seterusnya adalah sebanyak 3 kali, anjuran pakej yang kami ambil. Itu sajalah kursus yang kami hadir. Takut rasa hati. Tetapi di sini kami bersyukur, bila ilmu yang ada sedikit ada di dada, ditimba suatu ketika dahulu, dibantu pula dengan deretan kitab-kitab muktabar yang ada di rumah, memang membawa jasa kepada kami kali ini. Moral, banyakkan beli buku berfaedah. :)

Memilih pakej, asalnya kami bertanya orang sekitar, rakan-rakan dan sedikit pengetahuan internet, google namanya. Bagi yang ingin memilih pakej, faktor penyebabnya BUKAN KERANA HENDAK HAJI JADI MUDAH, tetapi UNTUK MEMUDAHKAN KITA MEMBANYAKKAN IBADAH HAJI DAN SEGALA MANASIKNYA.


Pengajaran bagi kami, faktor memilih pakej, IKUT URUTAN, lihatlah pada 1. KANDUNGAN / MODUL TARBIYAHNYA. 2. USTAZ-USTAZNYA 3. JARAK PENGINAPAN DARI MASJID 4. HARGA 5. KESELESAAN.

1. Kandungan/Modul Tarbiyahnya
Pastikan ada sesi-sesi pengisian sebelum dan lebih penting, ketika di Tanah Suci. 24 hrs support untuk permasalahan agama. Waktu pengisian tidak bercanggah dengan waktu untuk ke Masjidil Haram/Masjid an-Nabawi. Kerana di sana, ketika waktu puncak, sejam sebelum pun belum tentu dapat masuk ke masjid. Kalau kuliahnya lepas Asar, jawabnya, terlepas jemaahlah kita. Mulalalah berjemaah di hotel. Sama sahaja ganjarannya dengan bersolat di dalam masjidil Haram kata sesetengah ustaz. Kami tidak pegang pendapat itu. Kalau macam itu, usah di buat dinding langsung masjidil Haram. Solat di sahajalah sempadan masuk Makkah. Kalau hotel jaraknya 50 meter dari pintu masjid, masih ingin solat jemaah di hotel, masalah besar nampaknya perkumpulan itu. Apa? hebat lagi imam di hotel berbanding imam masjidil Haram? Belum bicara tentang ganjarannya lagi. Hurm.

2. Ustaz-ustaznya.
Biarlah yang tinggi thiqahnya. Disebut ramai secara positif, dan valid dalilnya. Mampu berhujah dan memperhalus sumber hukum, bukan hanya bagi hukum. Ini kena kaji dari awal. Berapa pula nisbah ustaz kepada jemaah. Nisbah ideal dan praktikal bagi kami ialah seorang ustaz kepada 20 jamaah, maksimum 40 jamaah. Kalau lebih, sudah haru sedikit.

3. Jarak Penginapan
Kalau sudah ambil pakej, tapi 30 minit dari masjid, lebih baik jangan ambil pakej. Kita mahu cepat pergi dan cepat perjalanan pulang. Ini boleh bantu kita beriktikaf di masjid lebih kerap. Terutama bagi perempuan yang banyak aksesori. Hanya boleh dipakai dibuang di tempat penginapan. Tengah malam tidak rasa malas untuk buat qiyam. Penting tu adik kakak sekalian.

4. Harga
Jangan sampai papa udah. Ambillah yang seratus ribu pun kalau mampu. Pastikan ada wang sebelum dan selepas haji. Banyak dugaan menanti. Percayalah, sedar atau tidak.

5. Keselesaan.
Kalau mahu selesa, daftar pakej pelancongan, pergi New Zealand. Itu bukan matlamat mutlak bakal hujjaj. Haji itu sendiri adalah debu dan kusut masai. Terlalu banyak berharap untuk senang akan membawa kesulitan nanti. Wal'iyazubillah.


Yang perlu dilihat dan ditanya orang ialah, susun atur logistik, makanan dan minuman. Dengan kata lain, kebajikan jamaah. Bab ini, paling penting banyakkan doa, kuatkan tawakkal dan pupuk sifat redha dalam diri. Makan nasi putih saja pun okaylah. Masih ada yang tak dapat makan di Palestin sana. Tapi jangan sampai tubuh lemah tak boleh beribadah sudah. Selalu-selalulah kunjungi restoran Indon, Pakistan di sana kalau seleranya lain macam. Nyumm.. ayam goleknya sedab. Beriani kambing pun mengancam.

Pakej yang kami pilih? Ada yang rendah skor itemnya. Tetapi bagi kami, syukur seadanya. Dalam senang ada susah. Dalam susah ada senang. Dalam suka ada benci, dalam benci ada suka.

Sahabat-sahabat sekalian, kalau posting sebelum ini melibatkan persiapan hati dan rohani, posting ini nampaknya belum lagi sampai Kelana Jaya, baru persiapan fizikal. Jadi kita tunggu episod seterusnya. Wallahua'lam.

No comments: