Thursday, January 28, 2010

Bola Golf di Padang Tenis?

Bismillahi walhamdulillah wassolaati'al Rasuulillah.

Saya tidak tahu orang lain, tetapi jika saya ke pasaraya atau farmasi, atau apa-apa kedai sekalipun untuk mencari barang, akan saya pastikan saya telah membandingkan semua jenis produk yang sama tetapi berlainan jenama. Bagi memastikan saya dapat yang terbaik.

Antara modus operandinya adalah membaca kandungan dan keterangan penggunaan atau fungsi produk itu baris demi baris. Dan jika ada yang saya musykil, satu lagi tabiat saya ialah, saya akan mencari promoter yang tidak suka buat-buat tahu sesuatu produk.

Tuan puan barangkali pernah bertembung bila kita minta keterangan mengenai sesuatu produk, wakil jurujual akan MEMBACA kembali apa yang tercatat pada kotaknya kepada kita. Saya biasanya akan menegur secara terus,

"kalau baca yang tulisan pada kotak, saya pun boleh baca. Bukan itu tujuan saya panggil awak"

Tetapi untuk menghormatinya, saya akan meneruskan bertanya, contohnya

"daripada pengalaman awak, macamana produk ini berbeza dengan yang itu", "apa kelebihannya berbanding yang sana"

atau soalan seumpamanya.

Bagi jurujual yang suka buat-buat tahu dan tidak tahu mengalah, mereka sedaya upaya akan cuba menunjukkan mereka boleh menjawab soalan kita. Dan kadangkala, suatu masa, kita sudah dapat 'sense' beliau agak teragak-agak dalam intonasi dan 'body language'nya.

Biasanya pada peringkat ini, saya akan (baca terpaksa) 'bunuh' beliau bagi mengelakkan beliau menambah dosa berlagak tahu walaupun tidak tahu. Soalan yang biasa saya tanya biasanya berkaitan produk itu yang sudah pasti ia betul, tetapi saya tanya dalam bentuk yang sebaliknya. Dengan kata lain menterbalikkan fakta dan mengemukakan soalan berbentuk ujian.. contoh :

"Kalau kabel plug kereta ni saya tukar, RPM kereta akan lagi efisyen ka?. Maksud saya, kalau sebelum ini 120km/h @ 3000RPM, lepas tukar boleh jadi 120km/h @ 2750RPM?"

Jika jawapan beliau "YA", maka pada waktu itulah saya akan melangkah kaki keluar dari ruang pameran/kedai tersebut. Kerana yang pastinya RPM kereta bergantung kepada transmisi, bukan kabel plug. Selamat tinggal kepada produk itu hari itu..

:)

Gunanya langkah di atas ialah, saya ingin memastikan, saya dapat nasihat daripada orang yang betul. Jika blog, saya membaca dari penulis blog yang betul. Jika ceramah, saya dengar ceramah daripada orang yang betul. Dan jika buku, saya wajib pastikan penulisnya memang penulis yang betul.

Pasti saya akan elakkan graduan bidang kimia memberikan nasihat kepada saya berkaitan kaedah membaiki enjin kereta. Melainkanlah ada bukti empirikal yang beliau berpengalaman dalam bidang itu melalui lain cara. Semuanya perlu disemak. Kerana jika tidak disemak, dari sinilah wujudnya (contoh) orang menulis bukan dengan tulisan, tapi dengan emosi tidak terkawal.

---------------

Merenung kembali. Mungkin sudah lama dididik dengan langkah-langkah berhikmah, saya jarang memilih untuk terus menghukum. Kita perlu beri ruang pada sesuatu atau seseorang membuktikan sesuatu dalam satu 'time frame' yang bersesuaian. Tetapi kita tidak boleh cuai menganalisa setiap saat. Kita berikan mereka ruang, tetapi bukan peluang untuk mengambil kesempatan. Dan setiap ruang yang diberikan kita juga perlu turut sama memenuhinya.

Dalam isu kebelakangan ini, saya yakin, rentetan peristiwa yang berlaku khususnya dalam perebutan kalimah Allah, sudah mula menampakkan kesimpulannya. Pandangan A - kesimpulannya B. Pandangan C, kesimpulannya D. Dan tibalah waktu untuk menilai hujah-hujah mana yang berlandaskan emosi, sentimen bangsa dan politik, dan hujah manakah yang berupaya menjamin ketenteraman sejagat. Saya tidak mau mengulas sekali lagi di sini. 2 penulisan lepas, saya sudah menyentuh tentang perkara ini dan tidak mahu mengulanginya buat kesekian kali.

Saya berhujah bahawa mempertahankan kalimah Allah tidak boleh mengatasi kita keutamaan kita mempertahankan syariatNya. Kerana Allah itulah Tuhan kita, bukan kalimah itu. Tetapi saya janggal bila ada yang memisahkan pendapat ini mengatakan bahawa, pertahankan syariat wajib. Pertahankan kalimah tidak wajib. Itu pendapat yang menyeleweng, kerana mempertahankan nama baik orang yang kita sayangi, lebih-lebih lagi Allah juga ADALAH JUGA SYARIAT! . Jangan keliru. Kita bukan menghujah secara 'memansuhkan' antara 2 perkara. Tetapi membuat 'pertimbangan' yang mana lebih aula' dalam satu-satu keadaan di mana kedua-duanya penting. Dan bila kita terlajak membuat kesimpulan dalam keadaan emosi, kesan jangka panjangnya sebenarnya 'membunuh' entiti yang kita sayangi. Sebab itulah jika kita terlalu bersifat provokatif dalam mempertahankan sesuatu, ia sebenarnya akan memberikan imej yang tidak baik kepada zat/objek yang kita pertahankan itu. Sebab itulah Rasulullah mempertahankan kesucian tempat ibadah, tetapi tidak menghayunkan pedang kepada seorang badwi yang kencing di situ. Akhirnya, bertambah seorang umat Islam!..

Seperkara lain, kita semua tahu, rakan penulis kita, telah pun menyerah diri sekaligus ditahan pihak berkuasa akibat keterlanjuran kata beliau dalam penulisan blognya. Dan banyak pihak memberikan pelbagai pendapat. Saya menyokong agar beliau diberikan peluang untuk berubah. Dan pada masa yang sama, keceluparan lampau perlu diasuh kembali. Penulisan yang terlalu didominasi disiplin "propaganda emosi" tidak boleh dibiarkan bertaburan di alam maya, mahupun alam kertas. Tulisan beliau sudahpun pernah menjengah hamburan kutukan dan makian kepada Ummul Mu'minin dan Imam-Imam Mazhab adalah suatu perkara lain yang patut diperhatikan dan diperbetulkan. Cuma nasib beliau malang kerana akhirnya terperangkap akibat bahasa kasarnya dalam memberikan ulasan berkaitan pengisytiharan kemangkatan seorang pembesar tanah air. Secara peribadi, selagi perilaku beliau ini tidak berubah, saya tidak tergerak menyokongnya, khususnya kesan terhadap agama Islam. Namun kita tidak boleh lupa mendoakannya berubah ke arah yang lebih baik setiap masa. Kadang kala perkara baik perlu dipelajari melalui jalan yang susah.

Yang menarik perhatian juga, saya lihat, ada masa juga diberi kepada seorang peguam yang suka terkenal, yang memilih untuk menyaman sahabat seagama sendiri atas urusan agama yang boleh dihujahkan dan dimusyawarahkan - agar beliau menyedari kesilapan itu. Dan beliau nampaknya memilih untuk tidak menggunakan masa yang diberikan dan terus menyuarakan kerelaannya dipecat daripada organisasi beliau. Baguslah begitu. Sebegitu ramai pembesar bejat yang lain untuk disaman dan dimaki, sahabat sekatil yang ditembak.

Ketergesaan itu datangnya daripada syaitan.

Setiap sesuatu ada langkah dan prosedurnya. Jangan gopoh. Ada maruah yang perlu dihormati. Ada tokoh yang perlu disanjungi. Ada syariat yang perlu diperhalusi. Dan di sinilah datangnya hikmah. Buat bekal orang beriman. Walau ilmu penuh di dada, langkah tuan tidak semestinya tepat sepanjang masa. Waktu tepat, tempatnya mungkin salah. Tempatnya benar, waktunya mungkin terlewat.

Hanya Allah yang Maha Bijak dan Maha Mengatur segala sesuatu. Maha Suci Allah. Taatilah syariatnya, sepenuhnya, dan bukan pilih-pilih ikut kehendak nafsu dan fahaman akal tanpa ilmu.. dan jadilah jurujual yang tidak buat-buat tahu dalam bidang anda. Kepura-puraan atau amal tanpa ilmu, akan mencerminkan kelemahan peribadi kita satu masa kelak!

Sekadar coretan kosong, mungkin . Wallahua'lam.

Wassalam

Monday, January 25, 2010

My Breastfeeding Journey - Fudhayl Nashwan

Assalamualaikum
Sejahteralah buat semua ummat Islam.

Assalamualaikum.
Kalimah yang sungguh hebat, dengan rahmat Allah...Salam menjadi doa yang sungguh bermakna. Hayatilah salam sebagaimana kita mengungkapkan selawat & salam kepada Nabi & Rasul.

"Assolatu 'alannabiy wassalamu 'ala rasul..."...bak lirik nasyid Raihan.

Segala-galanya sungguh mudah untuk bayi yang ketiga ini.
Bermula dengan 12 minggu pertama yang sangat minimum morning sickness nya, hinggakan aku berjaya merahsiakan kandunganku daripada rakan-rakan sepejabat.

Kemudian, keadaan kesihatan yang baik sepanjang mengandung kecuali beberapa ujian :-
1. Gastrik sepanjang 12 minggu pertama & heart burn...perut perlu sentiasa diisi/dilapik - di pejabat, aku sentiasa meng'ada'kan biskut, milo dan kurma untuk alas perut.
2. Kerap sakit kepala drp jam 4 petang hingga malam (tidur) ketika kandungan 3-4 bulan.
3. Demam dan episod keracunan makanan hingga muntah ketika kandungan nak masuk minggu ke-13 - dimasukkan ke hospital untuk drip air (2 antibiotik & 4 pain air)
4. Siri MC kerana sakit yang kurang berbanding ketika mengandungkan abang & kakaknya.
5. Batuk teruk yang bermula ketika 7 bulan kandungan dan sembuh selepas rawatan ketika 8 bulan setengah kandungan. --> ni baru start berMC heh!

Semua itu kukatakan mudah, kerana seringnya lebih banyak cabaran ketika mengandungkan abang dan kakaknya. Sekurang-kurangnya, selera makanku tidak banyak terjejas berbanding ketika mengandungkan Nuha...aku kehilangan selera makan sepanjang 9 bulan mengandung (waktu mengandung Nuha, seringkalinya kerja 4 hari je seminggu heh!)

Kali ini juga, aku berjaya melengkapkan puasa Ramadhan dengan hanya 4 hari terpaksa berbuka kerana :-
1. 3 hari - batuk teruk
2. 1 hari - tak bersahur, tak sempat makan my whole lifetime ubat -- takut ada effect pd baby.

:)

Melahirkannya juga mudah. Hanya 1 jam drp 3.5cm-10cm.
Tenaga semasa melahirkannya juga bagus.
Dia yang baru 20 minit dilahirkan juga pandai menghisap dan mendapat khasiat kolostrum.
Selepas 10 hari melahirkan, my O&G juga memuji - rahim sudah kecut dan tinggal kurang 1cm untuk kembali ke tempat asal. Perut sudah kempis. Wajah sudah merah. Macam bukan orang baru bersalin...kata Dr. Delaila. Berat badanku, sudah turun 8kg drp berat badan tertinggi ketika mengandung dan 6 kg drp berat badan terakhir sebelum bersalin. Alhamdulillah!

Menyusukannya sepanjang 15 hari pertama juga mudah. Tiada masalah pengeluaran susu. Dia juga banyak membantuku merehatkan diri sepanjang tempoh itu. Tiada rengekan tambahan. Hanya hint untuk minum susu, disuap dan dia menyusu hingga kenyang dan tidur. Bangunnya kalau tidak lapar, dia hanya memandang tanpa bunyi dan sedia untuk dibelai-belai dan bermain.

Hanya 3 malam saja dia buat perangai, hingga tidur Ummi dan Abahnya terganggu dan membuat kami rasa letih dan penat. Malam terakhir itu adalah malam ke-15, malam sebelum Ummi rebah dan terpisah daripadanya 18 hari.

(Nota : rebah bukan sebab penat baby buat perangai, tapi sebab lain - baca notes Rahmat daripada Allah)

Sejak itu, dia disuapkan dengan susu formula dan kemudiannya, setelah mendapat bekalan stok beku susu ibu daripada yang pertamanya Aida, kemudian Akmar, dan Idayu serta Madihah yang memberikan EBM segar hampir setiap pagi melalui suaminya Nazly, Fudhayl dapat meneruskan penyusuan dengan susu ibu. Abu Nufayl sempat mengirimkan supaya adikku, Dik Id membelikan botol & puting istimewa yang menyerupai puting ibu. Tommee Tippee pilihan Dik Id - hadiah daripada dia & Suzy untuk baby Fudhayl. Sepanjang tempoh itu, dia dijaga Tok Umi & Nanny tanpa menyusahkan mereka. Dia, bayi yang sangat memahami. Diberi apa saja...dia terima. Tidak memilih dan mencapetkan mereka.

1 Januari 2010, aku dibenarkan pulang ke rumah. Tidak langsung pulang ke kediaman kami, tapi singgah di rumah Abang Reza yang menumpangkan kasih buat 3 permata hati kami sepanjang 1 minggu terakhir. Hari pertama kembali ke dakapanku, aku masih belum berani menawarkan susu ibu kepadanya. Aku menunggu hingga 48jam selepas dos terakhir antiviral masuk ke badanku, sebagaimana nasihat Dr. Lee, Neurologist.

Hari kedua (2 Jan), aku menawarkan. Fudhayl menolak. Aku tidak kecewa, sementelah ia terasa kering dan bagai tiada lagi susu ibu yang dapat kutawarkan untuknya. Namun, tidak beberapa lama selepas itu...dia merengek lagi dan naluriku terus merasakan dia merindukanku. Aku tawarkan sebelah lagi...dan dia melekap dengan kuat dan lama. Alhamdulillah!

Fudhayl, maafkan Ummi...selama hampir 3 minggu Fudhayl kehilangan Ummi. Kita sama-sama berusaha untuk kembali mendapatkan 'yang terbaik' untuk Fudhayl ya!

Apa lagi selain pujinya HANYA UNTUK ALLAH...yang telah menjadikan bayiku begitu bekerjasama menghisap dengan kuatnya sekaligus merangsang pengeluaran susu semula. Alhamdulillah!
Hanya ketika dia kelihatan benar-benar lapar, baru aku menyuakannya dengan EBM ibu susuannya.
Selepas dia kenyang dan jika dia kelihatan masih mahu menghisap, aku membenarkan dia melekap di badanku selama mana dia suka...sehinggalah aku benar-benar penat, suami atau yang menjagaku akan mengambil Fudhayl untuk membenarkan aku berehat fizikal & mental.

Iya, apa lagi selain pujian HANYA UNTUK ALLAH...susu badanku kembali...walau aku tidak merasakan 'engorgement' lagi (maksudnya, masih sikit susunya berbanding sebelum ini)...aku terus menawarkannya kepada Fudhayl dengan harapan dia mendapat yang terbaik. Selera makanku bertambah. Aku terus makan kurma, minum minuman oat, minum banyak air suam untuk banyakkan susu.

Setelah stok EBM ibu susuan habis...dan ibu-ibunya semuanya ada masalah (kesihatan, low production) untuk memberikan lagi EBM, aku menjadikannya sebagai semangat untukku memberikan direct BF kepadanya semaksimum mungkin. Hanya pada ketika-ketika tertentu, susu formula diberikan jika badanku kepenatan dan memerlukan refreshment.

Aku perlu juga mengambil langkah berpada-pada, walau keazamanku untuk exclusive BF Fudhayl adalah tinggi, memandangkan keadaan kesihatan diriku masih belum pulih sepenuhnya. Dr Mazidah berpesan, "don't force urself, bagi takat rezeki dia je lah. awak tu baru saja elok drp severe illness." Iya, keadaanku ketika itu, dengan encephalitis + hypercalciemia adalah antara fana' dunia dan abadinya akhirat. Justeru, aku faham aula'nya untuk aku mengutamakan kesihatan/nyawaku berbanding penyusuan kepada bayiku.

Aku terus berdoa, beri yang terbaik untukku.
Jika BF itu tidak membahayakan keadaan kesihatanku, tambahkanlah air susuku untuk makanan bayiku.

Waktu itu, beberapa kali aku diserang simptom hypocalcemia (kurang kalsium), sementelah kalsium memang ada hubungan terus dengan penyusuan. Situasi yang kontra dengan keadaan ketika aku sakit tempohari.

Waktu itu, seminggu 2 kali aku perlu ke hospital untuk memeriksa kadar kalsium dalam darah. Alhamdulillah, selepas perbincangan lanjut dengan doktor, akhirnya...penyusuan bayi tidak lagi menjadi sesuatu yang menggusarkanku. Mereka (doktor-doktor) gembira malah menggalakkan aku meneruskan penyusuan bayi memandangkan susu badanku kembali ada dan semakin bertambah. Walau sebenarnya, mereka sendiri hampir tidak percaya apabila aku mengatakan susu badanku kembali ada dan bertambah. Kata mereka, dalam keadaan intubated dan unconcious...lebih 3 hari, susu badan boleh simply kering. Dan pelbagai ubatan, antibiotik & antiviral masuk ke badanku dalam tempoh 3 minggu berpisah dengan bayi. Juga, kemungkinan untuk aku diberi satu jenis rawatan yang memang TIDAK MEMBOLEHKAN aku meneruskan penyusuan bayi, akhirnya dinyatakan mereka TIDAK LAGI SATU KEMUNGKINAN.

Sejak itu, aku merasakan aku tidak lagi perlu menoleh ke belakang.
Direct BF - kegemaran Fudhayl.
Susu formula - mula aku kurangkan kuantiti dan kekerapannya hinggalah pada 22 Januari 2010, akhirnya aku berjaya menyingkirkan susu formula daripada jadual minum/makan Fudhayl.
Hingga kini, masih ada ketika dia disuapkan dengan susu formula, terutamanya ketika dia terpaksa ditenangkan ketika aku beraktiviti (mandi etc etc).

Sejak minggu lepas, EBM daripada ibu susuan Fudhayl kembali memenuhkan peti ais kami. Terima kasih Akmar (beri semula stoknya pada Jumaat, 22 Jan melalui Abang Khairi Ghani) & Ayu (beri semula stoknya pada Sabtu, 23 Jan - mereka datang berziarah) yang memberikan stok beku EBM...sekurang-kurangnya 50oz akan kusimpan untuk stok EBM kembali bekerja. Aku sendiri rasanya tak mampu memerah, walau kini aku selesa dengan memberikannya direct BF sepanjang masa. Terima kasih atas sokongan kalian!

Untuk ibu-ibu susuan Fudhayl - Aida, Ayu, Akmar dan Madihah serta suami-suami mereka...terima kasih, Jazakumullaju khairun jaza'. Juga tak terhingga terima kasihnya kepada Managernya - Kak Aza, yang sudi mencarikan ibu susuan dan menguruskannya bagi pihak kami.

Juga terima kasih buat semua yang namanya tak tersebut di sini.


Syukurnya, Fudhayl Nashwan sangat mudah dijaga.
Dia tidak keliru puting.
EBM dalam botol OK, susu formula dalam botol pun OK.
Dia terima dan mudah menyesuaikan dirinya.
Walau kini dia dah mula ada preferencenya...of course Ummi lah! :) Dia tetap menerima jika diberikan yang selainnya itu. Alhamdulillah!

Bertuahnya menjadi Fudhayl, rezekinya luas tak terkira. Semoga ini menjadi permulaan yang baik untuk Fudhayl.

Ameen!

Monday, January 18, 2010

MIRWAHAH!

Sejak keluar spital hari tu, saya perasan incik Fudhayl Nashwan suka benar tengok kipas yang berpusing.
Jadi, dialog Umminya begini.

Ummi : Fudhayl tengok apa tu? Kipas ya! Mir wa hah! Kipas...MIRWAHAH!
Fudhayl : Uek! Uek!
Ummi : Tu lampu, Mis Bah! MISBAH!

Kalau Abu Nufayl ada bersama, dialognya jadi begini :-

MIRWAHAH! MISBAH! ABAH!

Fudhayl : ek! ek! ek!

Nota Kaki Ummi : Jangan dok HAH HAH HAH dah!

Fudhayl senyum jer dgn karenah Ummi & Abah.

Sunday, January 17, 2010

IBU SUSUAN .... 1/2....

Tribute kepada ibu-ibu susuan Fudhayl Nashwan iaitu Pn Aida, Pn Idayu, Pn Akmar dan Pn Madihah, serta suami kepada mereka (bukan bapa susuan ya!), Sdr Mufis, Sdr Zainal, Sdr Amin dan Sdr Nazly ; saya coretkan sedikit sebanyak berkaitan konsep dan praktis ibu susuan. Sama-sama kita doakan manfaat dan ganjaran Allah daripada penulisan ini agar turut sama dikongsi oleh ibu-ibu ini dan keluarga mereka yang telah memberikan kami sekeluarga, khususnya Fudhayl, hadiah yang tidak ternilai dalam mendepani ujian Allah SWT. Ameen.

Selamat membaca.

Bismillahi walhamdulillah, wassolaati'ala Rasuulillah.

Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW sepertimana yang dimaklumi adalah juga saudara susuan kepada Sayyidina Hamzah RA. Ibu susuan mereka adalah hamba kepada Abu Lahab, bernama Thuwaibah (wafat pada tahun ke-7 hijrah).

Nama Thuwaibah seringkali dilupakan oleh kita semua. Beliau adalah ibu susuan pertama Rasulullah SAW. Ketika itu Thuwaibah masih juga sedang menyusukan anaknya sendiri, Masruh. Untuk makluman, Thuwaibah ini pula adalah ibu kepada Ummu Ayman, iaitu pengasuh Rasulullah SAW. Kedua-dua mereka (Thuwaibah dan Ummu Ayman) adalah hamba kepada Abu Lahab ketika itu. Dan keizinan yang diberikan oleh Abu Lahab ketika itu kepada Thuwaibah untuk menyusukan Rasulullah menjadi salah satu daripada sedikit keringanan kepada siksaan Allah terhadapnya. Abu Lahab juga telah membebaskan Thuwaibah ini.

Kemudiannya baginda disusukan pula oleh Halimah binti Abi-Dhua'ib yang lebih kita kenali sebagai Halimah as-Saadiah, isteri kepada Harith Abd'lUzza yang juga dikenali sebagai Abu Kabsyah.

Daripada dua ibu susuan ini, Baginda Rasulullah SAW memiliki beberapa saudara susuan antaranya :

Dari ibu susuan pertama - Thuwaiba:
1. Hamzah bin Abdul Mutallib ( disusui oleh Thuwaiba dan Halimah )
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
3, Masruh

Halimah Al-Saidiyyah (ibu susuan kedua)
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza
3. Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza
4. 'Aisyah binti Harith bin abdul 'Uzza

dan ada pendapat lain menyebutkan tambahannya seperti :

1. Anisah binti al-Harith
2. Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harith

Apa yang saya nukilkan tadi adalah sedikit ringkasan berkaitan dengan apa yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam fasa awal kehidupan baginda.

IBU SUSUAN

Mendapatkan susu ibu adalah usaha terbaik ibu bapa kepada anak-anak. Huraiannya cukup banyak dalam pelbagai laman web mahupun hasil tulisan.

Perkara yang semakin lama semakin terpinggir adalah konsep ibu susuan. Malah yang tinggal adalah kerisauan, bukannya semangat dalam meneruskan tradisi ini. Alasan yang kerap didengar adalah risaukan perkahwinan tidak sengaja antara sesama saudara susuan, dan ini sebenarnya boleh di atasi dengan sistem rekod kekeluargaan yang baik dan hubungan silatur ar-rahiim yang baik antara kedua-dua keluarga.

Menyentuh tentang isu ibu susuan, terdapat syarat-syarat tertentu yang membolehkan anak yang disusui ini menjadi anak susuan (mengharamkan perkahwinan). Antaranya :

1. Susu adalah daripada perempuan dan beliau adalah anak Adam. Gadis, isteri orang mahupun janda tidak jadi persoalan.

2. Susu yang diminum sampai ke usus tidak kiralah caranya melalui buah dada mahupun botol susu. Ini bagi menepati konsep susuan itu menumbuhkan daging dan tulang anak itu.

3. Penyusuan berlaku melalui mulut ataupun hidung, maka tidak termasuk dalam kategori ini jika diberikan melalui salur IV atau dicurahkan terus ke halkum dengan lain-lain cara dan lain-lain rongga seperti telinga, mata qubul atau dubur.

4, Susu tidak bercampur dengan bahan lain. Jika tercampur bahan asing itu (air, susu tepung) dan sebagainya pada kadar lebih banyak, maka tidak berlaku pengharaman perkahwinan.

5. Penyusuan adalah semasa kecil dan anak itu umurnya kurang dari dua tahun ketika disusui. Lebih sehari daripada umur itu, maka tidak lagi dikira. Jadi tidak timbullah isu menjadi saudara susuan sekiranya yang menyusu itu lebih daripada umur 2 tahun. Lebih-lebih lagi sudah berusia puluhan tahun.

6. Penyusuan adalah lima kali atau lebih dan setiap satunya membawa kepada kenyang/puasnya bayi itu. Jika terhenti atas sebab bertukar botol, atau menangis, atau pada kadar masa yang secara adatnya (mengikut umur dan kebiasaan) bayi itu belum menunjukkan dia puas, maka ia masih termasuk dalam kiraan satu kali susuan. Menurut Imam Malik, penyusuan ini mestilah berterusan selama 2 tahun, namun pendapat ini tidak dikongsi oleh Imam yang lain.

*Ringkasan : al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh


UPAH SUSUAN

Bapa yang bertanggung jawab memberikan nafkah kepada anak, maka perlu ditawarkan atau ditanyakan kepada ibu susuan itu kadar upahnya. Jika ibu susuan merelakannya, ia adalah sedekah atau hadiah kepada keluarga itu dan ini tidak menjejaskan status beliau sebagai ibu susuan asal mana syarat di atas dipenuhi.

Memilih ibu susuan adalah sebahagian daripada juzu’ muamalah dalam Islam. Tiada peraturan khusus, namun memandangkan ia akan menjadi darah daging anak itu, maka beberapa perkara perlu dipastikan:

  • Keredhaan suami kepada bakal ibu susuan. Dalam hal ini, jika diandaikan emak kepada ibu susuan itu rela, tetapi suaminya tidak rela, maka calon ibu susuan itu tidak berhak meneruskan tawarannya.Syurga seseorang wanita setelah berkahwin telah berpindah kepada keredhaan suaminya.
  • Keturunan dan latar belakang ibu susuan.
  • Kemampuan dan kesihatan bakal ibu susuan itu.
  • Dapat memastikan talian kekeluargaan yang bakal terjalin dapat dipelihara dan direkodkan,terutamanya pada zaman serba canggih ini yang mana lelaki dan perempuan mempunyai potensi berkenalan di mana-mana juga tanpa diketahui oleh ibu bapa. Ini menimbulkan potensi berkenalan dengan cabang saudara susuan sendiri tanpa sedar.

Banyak lagi bidang berkaitan dengan konsep dan praktis ibu susuan ini, dan saya belum menyentuh lagi tentang susur galur keluarga susuan yang diharamkan berkahwin dan hukum-hukum sekitarnya jika sesuatu pasangan terlepas pandang dan berkahwin dengan saudara susuan. InsyaAllah di lain masa.

Wallahua’lam

Saturday, January 16, 2010

Apa Seterusnya?

Assalamualaikum Warahmatullah..

Berebut kalimah Allah. Maksiat berlaku juga dengan hebatnya. Kemudian disusuli balingan-balingan ke rumah ibadah. Juga disusuli lawatan-lawatan ke rumah ibadah. Kemudian disusuli lagi dengan pewartaan puluhan perkataan yang menjadi hak ekslusif umat Islam. Kemudian disusuli lagi dan lagi dengan kenyataan dan komen yang terlalu menyokong agama bukan Islam pula, seolah agama-agama itu diredhai Allah.

Tindakan di atas ada yang betul dan berhikmah. Dan ada yang melampau.

Selepas itu, tahan dan dakwa budak-budak kerana komen dalam facebook? Berapa peratus penjenayah maklumkan mereka akan lakukan jenayah dalam facebook? Come no beb, jangan bebal sangat, carilah penjenayah sebenar.. selalu sangat buat lawak Presiden Seniman. Rasa macam tak nak halalkan duit cukai yang dibayar untuk gaji penguatkuasa undang-undang yang sebegini.

Kemudian dan kemudian? Apa yang kita mahu? Agama Islam tidak boleh dan tidak hendak dianuti oleh penganut agama lain? itu yang kita mahu?

Saya tidak kira siapa. Tetapi berpada-padalah. Kerana syurga itu dikurniakan kepada penganut agama yang mentauhidkan Allah SWT tanpa ragu tidak kiralah dari zaman Nabi Adam hinggalah ke hari terakhir bumi melihat matahari naik di sebelah timur.. Dan penganut-penganut agama tauhid ini pula tidak terlepas daripada neraka sekiranya berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara yang dibuat..

Thursday, January 14, 2010

Monday, January 11, 2010

Fikir apa tu sayang?

...on day-36th, otw to SDMC for Ummi's follow-up.

Don't worry, Ummi love you dear!

Saturday, January 09, 2010

Katakanlah : Dia Adalah Allah, Maha Esa

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati 'ala Rasulillah.

(Tajuk merujuk kepada ayat pertama surah al-Ikhlas)

Syukur pada Allah, yang menurunkan syariat Islam. Dan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, yang telah menyebarkan syariat melalui segala macam kaedah secara berhikmah walaupun kadang kala keras, masih tidak terkeluar dari susur galur ketetapan akhlaq Islamiyah. Tanpa mengira yang di depani arab, mahupun ajam. Islam mahupun kafir.


Ketika di Makkah, pernah saya dengar, ada orang menegur sahabatnya, jika hendak solat di depan Kaabah, jangan letakkan beg atau selipar di depan. Nanti seolah-olah menyembah beg atau selipar itu. Saya mengomel sahaja di dalam hati, jika beg dan selipar di alih, adakah itu bermakna kita menyembah Kaabah? kerana itu objek di depan kita. Jika begitulah, ramailah yang tidak sah solatnya, jika solat di Malaysia, kerana menyembah dinding. Pokok persoalannya, apakah yang kita sembah?

Menyebut kalimah Allah, tidak semestinya bermakna kita menyebut nama Allah yang sebetulnya. Melainkan kita memperakui setiap ayat seterusnya.

al-Ikhlas : (1) Katakanlah ; Dia adalah Allah, yang Maha Esa.

Jadi jika siapapun yang menyebut Allah, tetapi tidak memperakui keesaan Allah SWT, maka bukanlah Allah itu sampai maksudnya kepada penyebut.

al-Ikhlas : (2) ALlah itulah tempat pergantungan.

Dan pastinya kita meyakini Dia tidak perlu bergantung pada suatu apapun jua.

Maka jika kita menyebut jutaan kali nama ALlah, namun masih lagi syirik, bertuhankan kerja hingga mengabaikan solat tanpa rasa bersalah. Bertuhankan wang sehingga rasa hidup dunia akan kiamat bila kekurangan wang. Yakin pada bangsa dapat menyelamatkan ummah berbanding Islam yang sepatutnya lebih diyakini. Ataupun syirik jali mempersekutukan Allah secara terang-terangan sebagaimana agama-agama lain seperti hindu dan seumpamanya, sebutlah jutaan kali, perkataan ALLAH itu hanya tinggal kalimah, dan tidak akan mencecah 'arasy Allah swt panggilan itu. Malahan laknat Allah yang akan menimpa.

al-Ikhlas : (3) Tidaklah dia beranak ; dan tidak dia diperanakkan (dilahirkan oleh sesuatu)

DahuluNya tiada permulaan. AkhirNya Allah tiada kesudahan.

Maka bagi agama yang menyebut kalimah Allah ini, tetapi masih mengatakan ALlah itu beranak dan ataupun diperanakkan, maka ini bukanlah sebutan yang menepati kehendak kalimah ALlah yang azali.

al-Ikhlas : (4) Dan tidak setara dengan apapun jua akan Allah itu.

Ayat ini jelas, mempersamakan Allah, dengan apa jua sekalipun, telah memansuhkan maksud sebenar kalimah Allah itu, walau oleh siapa atau bagaimana menyebutnya. Wal'iyazubillah.

Untuk kesemua ayat ini, saya ingin merujuk kepada satu pertanyaan yang menjadi salah satu asbabun nuzul surah ini. Kaum musyrikin pernah bertanya Rasulullah SAW, "Shiff lana rabbaka" (terangkan pada kami apa macamkah Tuhan kamu?).

Maka daripada sirah ini, jelas, bermula sahaja kita atau mana-mana agama cuba MENGGAMBARKAN Allah dalam apa-apa bentuk, rupa, keadaan, salasilah, keturunan atau sebagainya, maka sudah jauhlah penanya itu daripada konteks kalimah ALlah itu yang sebenarnya.

Saya lebih senang berusrah dalam menerangkan kesemua ini. Namun apa yang jelas, dalam posting yang sebelum ini, saya lebih gemar menekankan perkara asas yang perlu kita jagai terlebih dahulu. Iaitu melaksanakan suruhan ALlah dan menjauhi laranganNya. Jika perkara asas ini kita tinggalkan, tetapi pada masa yang sama memperjuangkan kalimah Allah sehingga ke tahap seolah-olah KALIMAH ALLAH itulah ALLAH ; maka langkah kita seterusnya selepas detik itu adalah satu kesilapan.

Saya tersenyum, tetapi kesal apabila melihat pejuang kalimah Allah, mengagungkan kalimah ALLAH laksana itulah ALLAH. Pada masa yang sama, mencarut, memegang sepanduk menyumpah-nyumpah dengan kalimah kotor. Membakar api permusuhan antara agama. Sehinggakan kesucian ALLAH (BUKAN KALIMAH ALLAH) tercalar balar dengan perlakuan ini.

Inikah Allah yang ditafsirkan melalui surah al-Ikhlas? kalimahnya? atau ALLAh itu sendiri? Memang kalimah patut dipertahankan, tetapi mempertahankannya sehingga merenggut kesucian Islam ; disandar pula kepada bangsa. Ini bukan kaedahnya.

Dan kenyataan-kenyataan tanpa landasan ilmu ini, dan perilaku ekstrem ini membolehkan pula pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan memulakan modus operandi yang lebih ekstrem. cthnya, membakar gereja dan seumpamanya.

Saya percaya, muslim sejati tidak akan melakukannya. Hanya golongan munafik, atau kafir yang ingin mengambil kesempatan, atau mungkin muslim yang MENYEMBAH KALIMAH ALLAH sahaja yang berpotensi melakukannya. Walau apapun alasan dan justifikasi mereka.

Sedikit demi sedikit, kita melihat kenyataan tokoh-tokoh ulama seperti Tn Guru Nik Abdul Aziz adalah lebih berhikmah, yang telah menyatakan bahawa kalimah Allah pada asasnya boleh digunakan oleh agama samawi (cth : Kristian), tetapi sayangnya disanggah dan ditembak bertubi-tubi. Kemudian keluarlah kenyataan 'berani' dan 'panas' bagi memenangi hati rakyat oleh fraksi lain di tanah air kita.

Pada saya kenyataan di atas sebenarnya bermantiq dan berpandangan jauh. Pertama, memanglah pada asasnya boleh digunakan. Kerana apa, agama samawi pada asalnya, sepertimana yang diamalkan oleh ahli kitab memanglah memiliki asas yang diredhai ALlah. Tetapi kita tidak bercakap mengenai agama samawi yang telah dipesongkan dan diubah. Jadi perkataan 'PADA ASASNYA' ini memang berasas.

Kedua, kenyataan ini lebih lembut dan menenangkan. Daripada kenyataan semberono mengatakan HARAM menggunakan kalimah Allah. Biarpun betul haram penggunaannya, para ulama dan umarak mestilah berhikmah menggunakan kata putus ini. Kerana, terlajak kata, ia boleh membakar sentimen keagamaan dan kesannya pasti dahsyat.

Samalah kita katakan kepada seorang anak, bila ditanya 1 + 1 dijawabnya 8. Maka pilihlah, untuk mengatakan anak itu bodoh. Atau mengatakannya belum pandai lagi dan harus belajar lagi.

Menjadi pemimpin ummat, muslim qudwah, tidak semudah memangkah sekeping kertas undi dengan pensel. Dan pastinya membuka mulut sebagai pemimpin ummah, tidaklah semudah menjadi si pemabuk melafaz cerai pada isterinya.

Dalam 'jihad' ini, carilah musuh yang betul, bermula dengan muhasabah diri, keluarga sendiri. Kemudian carilah kafir yang cuba mengganggu gugat Islam. Bukannya meledakkan bom nuklear pada mereka yang tidak bersalah. Dan landaskan juga jihad dengan ilmu dasar yang betul. Jangan buat lawak, sampaikan dalam satu demonstrasi, kalimah Allah dieja dengan MIM LAM ALIF YA WAU bagi menunjukkan semangat mereka.

Walau apapun yang saya katakan di sini, secara keseluruhannya, dengan tegasnya saya masih berpegang bahawa mana-mana agama mahupun penganut Islam sendiri yang cuba menyalahguna kalimah Allah ke arah indoktrinasi atau dakyah jahat, ia tidak boleh dibiarkan hidup di muka bumi Allah ini.

Dan dalam keadaan ini, bagi penganut agama lain, gunakanlah sahaja perkataan Tuhan. Kenapa sibuk dengan kalimah Allah kalau maksud yang sebenar tidak tercapai. Kalau sekadar ingin memuaskan nafsu, tetapi menghancurkan keharmonian hidup, usahlah gunakan undang-undang. Undang-undang boleh memenuhi kehendak, tetapi tidak semestinya dapat menghentikan gejolak emosi manusia!

Berkaitan ini, saya terasa ingin menyentuh ayat-ayat dalam surah al-Kaafiruun, tetapi rasanya sudah terlalu panjang posting ini. InsyaALlah di lain kesempatan.

Sembahlah Allah. Tuhan Yang Maha Esa. Pertahankan kalimah Allah, tetapi jangan sampai menyembah kalimahnya kerana hanya Allah itulah satu-satunya Tuhan kita.


Wallahua'lam.

Thursday, January 07, 2010

Yang Mana Satu(kah) di Antara Nikmat Tuhan Yang Ingin Kamu Dustakan?

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati'ala Rasulillah. Assalamualaikum Warahmatullah

(Tajuk merujuk salah satu ayat yang disebut berulang-ulang di dalam surah ar-Rahman)

Saya gembira mendapat komentar dari seorang sahabat kami yang tidak kurang kentalnya, Ummu Auni Afif pagi tadi, antara lain beliau menyebut kerancakan blog ini beberapa hari kebelakangan ini dan dengan para pengunjungnya yang ceria, kisah-kisah penuh debaran dan dugaan yang menimpa Ummu Nufayl bagai hilang begitu sahaja. :)


Saya ingin kaitkan komen beliau ini dengan lafaz seorang sahabat baik saya. Secara ramah beliau menyatakan kepada saya, kisah Ummu Nufayl anti klimaks. Blog berubah arah kepada nada biasa dan riang. Memikirkan beliau sahabat baik, saya hanya menyimpan di hati sahaja pertanyaan saya kepada beliau. Apakah 'klimaks' yang ingin didengar? Namun, pengalaman saya bersama beliau, saya tahu niatnya baik, cuma lafaznya dengan nada gembira mengusik sedikit saya. Saya mengusik kembali beliau dengan kata-kata ukhuwwah menghala ke arah diri saya, "klimaks terbaiknya dan sepatutnya adalah Abu Nufayl hilang punca dan pitam dihimpit emosi", dan disambung dengan ketawa ringan kami berdua. Ia tidakpun lekat di hati saya yang sudah terlalu banyak ruangnya diisi dengan dugaan yang telah, sedang dan akan didepani.

Langsung, ingin saya petik beberapa terjemahan ayat daripada surah ar-Rahman yang tidak sempat saya salin kalimah asalnya.

(1) Tuhan Yang Maha Pemurah serta Melimpah-limpah rahmatNya (2) Dialah yang mengajarkan al-Quran (3) Dialah yang menciptakan manusia (4) Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan

Saya petik pula sebahagian terakhir daripada ayatke 28 surah al-Hajj.

(28)... dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan kemaksiatannya) ; dan ingatlah sesiapa yang dihinakan Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya lagi. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya.

Sahabat sekalian. Jika sebelum ini, saya paparkan rasa hati kami dalam melayari ujian Allah yang baru berlalu kepada kami. InsyaAllah, kami kongsikan buat peringatan kita bersama, bahawa antara pengertian ayat inilah yang membawa saya sendiri, dan semangat Ummu Nufayl berada pada tahapnya yang alhamdulillah, tidak terlalu gundah, walaupun tidaklah begitu tenang.

Untuk makluman, segalanya alhamdulillah kembali memasuki fasa terbaik kehidupan kami berdua khususnya. Dengan nikmat kesihatan yang dikembalikan biarlah untuk jangka panjang atau singkat sekalipun, pada kali ini kami rasai ianya telah ditambah dengan pengertian erti kasih sayang dan keakraban hubungan antara kami suami isteri dan anak-anak. Semuanya satu nikmat yang menyusul daripada ujian kepada kami. Lebih tepat pada kami satu nikmat yang Allah berikan pada usia muda ini.

Selepas ini, saya sendiri tidak dapat nafikan, kekuatan seterusnya masih kabur dengan proses rawatan seterusnya Ummu Nufayl yang pastinya menuntut pengorbanan masa kami sekeluarga bersama sekurangnya buat sementara waktu. Yang tidak perlu saya ceritakan lagi. Dan usahlah tanya lagi.

Tetapi apakah yang lebih baik selain tidak mendustai ujian dan nikmat Allah swt, dan pada masa yang sama, meraikan dengan penuh rasa syukur kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kami pada masa ini.

Mengerti bahawa setiap masa adalah nyawa. Dan setiap detik seterusnya tidak semestinya bermaksud kehidupan, walaupun dengan satu selisih kerdipan mata ; kami sekeluarga kini lebih memahami konsep masa itu emas. Dan tiada galang gantinya setiap saat melainkan mengharapkan redha Allah swt.

Jutaan terima kasih atas sokongan, doa, harapan, ucapan dan segala bantuan selama ini. Kami di sini gembira dan dipenuhi rasa syukur. Tanpa ada sekelumit rasa kesal di hati ini. Jauh lagi terasa 'penat' dengan ujian Allah Yang Maha Berkuasa.

Firman Allah SWT lagi,

"Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan satu lagi masin lagi pahit ; serta menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan (yang tidak dapat dilihat) dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya (al-Furqan ; ayat 53)


Maha Suci Allah. Maha Kuasa Allah. Syukur Alhamdulillah. Di sebalik ujian yang sekelumit ini, Engkau kurniakan kami segunung rahmat kesabaran, redha dan tawakkal yang kini tertanam kukuh di sanubari kami.

Wallahua'lam.

Wednesday, January 06, 2010

Solat Jemaah

Sekian masa, dengan rentetan kejadian menimpa tak berkesempatan bersolat jemaah secara konsisten, melainkan Jumaat. Alhamdulillah, malam ini, ada ruangnya untuk ke Surau. Anak-anak turut rindu dengan surau. Pinta ikut sama bersolat jemaah. Ikut ke surau.. Dan di sana.. tak tahulah, rasanya abahnya baca surah lazim ja tadi...

Friday, January 01, 2010

Selamat Tahun Baru? & Home Sweet Home!

Assalamualaikum warahmatullah.


1. Selit sebentar. Selamat tahun baru 2010 buat rakan dan sahabat sekalian. Saya agak janggal mengucapkannya. Adakah orang menyambutnya selamat, atau tahunnya sahaja selamat? Atau kedua-duanya tidak selamat?

2. Saya sudah terlepas mengucapkan selamat tahun baru 1431H tempoh hari kerana berada dalam situasi yang terlalu kritikal untuk berfikir apa pun. Hanya sambutan dengan tikar solat, solat dan doa sahaja yang mampu pada tika itu.

3. Tahun baru kali ini dimeriahkan dengan kenaikan harga gula, hadiah daripada kerajaan Malaysia. Saya tidak tahu apakah untungnya peneroka ladang tebu hasil kenaikan ini. Dan berapa kayakah petani-petani di kampung dengan hadiah kerajaan 1Malaysia ; 20senGula ini.

4. Kita juga 'menyambut' tahun baru GREGORIAN yang diperkenalkan Pope GregoryXIII ini dengan hadiah daripada Mahkamah Tinggi yang membenarkan kembali penggunaan perkataan Allah pada penerbitan Herald Hakim yang bijaksana telah membuat satu keputusan yang secara sivilnya perlu diterima. Pada saya, isu ini adalah perkara cabang dalam bab aqidah. Perkara asasnya adalah SIAPA ALLAH pada i'tiqad kita. Dan apa yang telah kita laksanakan dan tinggalkan dalam menegakkan kepercayaan bahawa Allah ada Ilah yang tiada sekutu baginya. Secara positifnya, memandangkan yang berebutkan nama ALlah itu adalah penganut agama bukan Islam, baiklah kita mengambil sangka yang baik, mudah-mudahan, setelah berebut nama ALlah ni, mereka sedar bahawa, ini adalah tuntunan Allah SWT kepada agama yang sesat supaya pada suatu hari mereka mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan ALlah. Jika mereka merosakan sistem ini, tiada kurangnya pada kita. Kita tetap Islam. Mereka tetap akan dibakar api neraka jahannam sekiranya tidak sempat kembali ke cara hidup yang diktiraf Allah iaitu Islam. (Islam bukan sekadar 'religion')

5. Yang membimbangkan adalah, perkara asasnya dalam aqidah, ialah membuat yang disuruh, meninggal yang dilarang Allah. Apa faedahnya memperjuangkan NAMA Allah. Menggunakan pula AGAMA ISLAM sebagai paksi sesebuah negara, tetapi pada malam sambutan tahun baru, setiap tahun, diadakan konsert, melibatkan percampuran lelaki dan wanita, terlepas Isyak dan Subuh, tidak pula mengerjakan solat sunat khusuf walaupun serentak dengan itu adalah malam gerhana bulan separa? Belum disebut dengan pembaziran wang meletupkan bunga api, mercun dan bom? Dan sambutan Tahun Baru setiap tahun yang pada asalnya HARUS, pada saya sekarang sebenarnya sudah mencapai status HARAM.

6. Ketika awal Muharram? Pak Lebai Hadhari, mahupun Salafi, mahupun Wahabi, tidakkah nasihatkan PM dan konconya untuk sama-sama dari Asar ke Isyak berjemaah dan beribadah dengan rakyat di masjid?

7. Jangan sebut lagi sambutan Krismas lebih meriah berbanding Hari Raya Aidiladha yang tenggelam, walau itulah satu daripada dua sambutan sebenar yang diiktiraf oleh Islam, ALlah dan RasulNya?

8. Saya tersenyum biri-biri, hinggakan Pusat Zakat sendiri dalam iklannya, 'Bayarlah Zakat Sebelum 31 Disember'. Nampak betul, tetapi cuba kaji lebih mendalam, kaedah kiraan genap haulnya mengikut kalendar mana? Syabas 1Malaysia Hadhari!

9. Jika perkara sebeginilah kebanggaan kita, nyahlah dengan 1Malaysia. Nyahlah Islam Hadhari. Ia lebih kepada kemunafikan kerajaan Islam Malaysia dan rakyatnya (yang terjebak) dan tiada untungnya memakai topi Islam, jika itu perilaku kita. Bukan ingin berfikiran negatif, tetapi di mana ruang positifnya?

Selamat Tahun BaTu 2010. Jumpa lagi. Ummu Nufayl kembali ke FitrahZH hari ini, insyaAllah. Dan gambar di bawah, Ummu Nufayl bersama salah seorang doktor (pakar neuro) kesayangannya sejurus sebelum discharge (010110)


Wassalam

Abu Nufayl