Showing posts with label da'wah. Show all posts
Showing posts with label da'wah. Show all posts

Thursday, February 16, 2012

Tuailah Manisnya Hari Ini....

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati Wassalaamu 'ala Rasuulillah.

Meramal kepastian apa yang bakal berlaku pada hari esok adalah salah satu daripada perkara mustahil yang boleh kita lakukan. Jangankan hari, jam, minit, saat seterusnya juga tidak dapat diramalkan oleh kita. Malah huruf seterusnya yang mungkin timbul setiap kali kita menaip papan kekunci pun tak dapat kita pastikan apa yang bakal keluar. Tersilap tekan, R jadi T, S jadi D dan begitulah seterusnya. Hanya Allah Maha Penentu dan Penunai Taqdir.

Setiap kali menuruni tangga kita pasti berhati-hati dengan langkah kita agar tidak tergelincir. Setiap kali kita melahirkan perasaan kita sejauh mana kita berfikir untuk memastikan orang lain tidak terpukul dengan perbuatan kita itu?

Saya selalu beringat hatta tatkala terlalu marah sekalipun, perlu dibuat pertimbangan, adakah marah itu mendidik ataupun hanya nafsu marah. Marahkan anak kecil, adakah kerana salahnya atau kerana sayangnya kita agar dia tidak mengulanginya ketika besar? Marahkan pasangan, adakah kemarahan itu boleh mengundang senyuman kita jika beliau meninggalkan kita esok hari?

Kadangkala kita lupa, respon yang kita berikan lebih banyak merosakkan diri kita dan orang yang kita sayangi di kemudian hari. Baik dari segi emosi mahupun mental.

Saya pernah bertemu balu yang tidak ingin berkahwin lagi selama berbelas tahun kerana tidak sanggup 'mengkhianati' kasih arwah suaminya. Dan duda yang tidak ingin mencari isteri baru hanya kerana tidak tega teringkatkan wajah isteri yang telah bertahun meninggalkannya. Semua ini adalah hasil semaian yang baik, walaupun kelihatan melampau pada sesetengah pihak.

Bukanlah tidak kahwin atau kahwin lagi yang menjadi isunya. Kahwin baru itu tiada salahnya, malah ia adalah sunnah,  tetapi sebab tidak mahu berkahwin  itu yang menjadikannya klasik dan sentimental nilainya.

Namun jangan lupa  ada juga kita bertemu pasangan yang telah pun berdoa  berharap agar dijodohkan suami atau isteri lain di akhirat kelak dan bukannya suami atau isterinya di dunia. Ini juga salah satu contoh ekstrem kegagalan penyemaian benih kasih sayang dalam ikatan kekeluargaan.

Bukanlah saya ingin mencoret terlalu panjang, tetapi renung-renungkanlah, saban hari, ada anak melambai kepulangan bapa, kurang 3 minit kepalanya pecah dipijak kereta bapanya sendiri yang mengundur tanpa disengajakan. Seorang isteri yang mencium dahi suaminya pada jam 7.30 pagi di pintu rumah, dan jam 4 petang mencium dahi JENAZAH suaminya itu yang kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja. Kita juga ketemu kisah suami mencium pipi isteri di pintu pejabat pada paginya, dan pada malamnya hanya tersandar di dinding melihat jenazah isteri yang mati mengejut akibat serangan jantung.

Semalam yang indah tidak semestinya menjamin kenangan yang manis pada keesokan harinya. Apatah lagi jika hari sebelumnya adalah hari yang teruk, dahsyat, penuh dengan kebencian, pergaduhan, amarah dan sindiran ; Adakah kita mampu menanggung sesalan, jika yang tersayang tidak kembali lagi untuk kita belainya seperti biasa?

Semailah benih kemanisan setiap hari, agar rasanya kekal berbekas manisnya itu walau dalam kepahitan taqdir.

Wallahu a'lam.

Wednesday, February 08, 2012

Redhai Pemberian, Jauhi Ketagihan

Kita pasti pernah menjadi penagih. Dan mungkin pernah menjadi pengedar. Cuma skalanya sahaja yang berbeza iaitu yang mana lebih dominan.

Dalam kebanyakan peristiwa, pengedar yang tidak menagih dadah yang diedar biasanya akan menjadi kaya raya. Manakala pengedar yang menagih dadah yang diedarnya akan juga menjadi kaya, tetapi hidupnya kurang menentu. Dan yang pasti, si penagih yang hanya menagihlah yang paling miskin dan paling hancur hidup mereka di antara ketiga-tiga golongan ini.

Mungkin apa yang tercatat di atas terlalu keras untuk perbandingan. Namun itulah realiti yang paling senang kita cam dalam kehidupan kita. Apa yang ingin diketengahkan kali ini bukanlah isu dadah, tetapi pengedar dan penagih emosi , jiwa dan perasaan.  

Sebagai seorang pemandu, pernahkah kita memberikan laluan kepada pemandu lain yang memotong barisan, atau yang ingin membelok ke simpang, lalu kita berasa marah dan kecewa apabila mereka tidak langsung melemparkan senyum, apatah lagi mengangkat tangan tanda terima kasih?

Jika bukan sebagai pemandu, pernahkan kita sebagai jiran atau rakan, menyedekahkan makanan kepada mereka, kemudian kita terasa sedikit kecil hati apabila tiada ucapan terima kasih, apatah lagi balasan makanan itu? 

Dan contoh ketiga, pernahkah kita terasa marah, atau tersentuh hati apabila anak-anak seolah-olah tidak menghargai pemberian kita, ataupun pengorbanan masa dan wang kita membawa mereka bersiar-siar, namun dalam perjalanan pulang mereka mula merungut tidak cukup itu dan tidak cukup ini. Jangankan berterima kasih, merungut lagi. Sedikit kecewa bukan?

Jika kita pernah terasa hati, terkecil hati, jauh hati, kecewa, marah atau apapun juga dalam diri kita, percayalah, jauh di sudut hati kita, kita berada dalam golongan pengedar yang turut menagih bahan yang diedarkan. Dengan lebih tepat, kita sentiasa meletakkan harapan perbuatan kita dibalas dengan nyata dan jelas, dan mengetepikan secara tidak sedar bahawa Allah sebenarnya telah memberikan kita suatu kedudukan tertentu dengan pengorbanan yang kita telah lakukan. 

Kita memberikan jalan kepada pemandu lain, tanpa mengharapkan mereka berterima kasih, maka pahala memberi akan kita perolehi ditambah dengan TIDAK ADA rasa kecewa apabila tidak dihargai.
Kita memberikan makanan kepada jiran dan rakan, pahala memberi akan diberikan Allah, ditambah dengan TIDAK ADA rasa kecewa apabil tidak dibalas dengan ucapan terima kasih.

Kita mengorbankan masa dan wang untuk anak-anak, insyaAllah ganjarannya ada pada mata Allah SWT, TANPA RASA KECEWA apabila mereka kembali merungut. Itulah anak-anak. Mereka tetap anak-anak yang tidak memandang jauh. Tetapi adakah kita perlu turut menjeruk rasa dengan keletah ini? 

Dengan mengharapkan balasan, kita sebenarnya menambahkan bebanan kepada perasan dan emosi kita. Kita memberikan peluang kepada rasa kecewa dan marah. Akhirnya, kerana kita sendiri, hati akan binasa, silaturrahim tidak akan erat dan mantap, dan kasih sayang sentiasa berakhir dengan ungkitan dan kekecewaan. Alangkah ruginya sejenak hidup kita ini jika hanya memikirkan apa sepatutnya kita perolehi kembali.

Namun, secebis nasihat buat pihak yang menerima, berterima kasihlah kerana itu tanggung jawab kita selaku manusia, muslim dan makhluq berakhlaq dan beraqal untuk memuliakan pengorbanan dan perjuangan orang lain, baik keluarga, jiran, rakan mahupun rakan sekerja.

Cuma apa yang pasti kita yang menjadi ‘pengedar’ ini, teruslah mengedarkan segala kemampuan kita tanpa perlu menagih balasannya daripada si penerima. Anggaplah tugas kita selesai sebaik sahaja kita melaksanakan tanggung jawab kita. Pohonlah pada Allah untuk membalasnya dengan syurgaNya. 

Nikmatilah lazatnya memberi.Usah memandang terlalu jauh ke depan, dan usah pula membayang kemanisan yang lampau. 

Percayalah, mengharapkan terlalu banyak dari sesama makhluq, hanya akan mengundang kekecewaan, keresahan, kesedihan, kemarahan dan lebih teruk, kelak jika tidak dikawal, akan merimaskan si penerima, dan mungkin suatu masa, akan turut meretakkan ukhuwwah yang terbina.

Teruskan mengedar, hentikan menagih. Sedikit mengharap, banyakkan berdoa. Sekadar pesan buat diri, keluarga dan sahabat.

Wallahualam.

Tuesday, January 31, 2012

Cukupkah Deposit dalam Rumah Tangga Kita?


Sebagai suami kita mungkin tertanya-tanya kenapa isteri kita tidak lut walau dimarah macam mana sekalipun. Paling tidak mereka menangis, dan kemudian mengulang balik apa yang tidak kita sukai. Begitu juga si isteri, kerap merungut apabila suami tidak ‘lekat nasihat’. Mungkin ingat sehari dua, tetapi kemudian mengulang tabiatnya yang pernah kita sebagai isteri larang berkali-kali.Dan hanya senyum bila dileteri buat kali ke 978.

Dalam bahasa saintifik, ia dipanggil ‘immune’. Dalam bahasa mudah, ia dikenali sebagai mangli. Ia agak merimaskan, tetapi kenapa dalam rimas itu kasih sayang tetap berkekalan? Malahan apabila diusik, diagah, pasangan yang sedang geram kembali senyum dan tergelak? Inilah besarnya peranan DEPOSIT EMOSI dalam rumah tangga.

Sahabat sekalian, jangan sesekali memandang remeh terhadap deposit emosi ini. Bunyi sangat mudah, tetapi memerlukan keazaman dan usaha yang tidak pernah kenal lelah untuk memastikan keberkesanannya. Seperti sebuah bank, diri manusia sentiasa menerima deposit dan juga membuat pengeluaran simpanan tersebut dari semasa ke semasa. 

Setiap kali perilaku kita bersifat positif dan melapangkan hati pasangan kita, ia akan menambah ‘baki akaun’ emosi ini di dalam diri pasangan kita. Bertambah banyak simpanannya, bertambah disayangilah kita. Dan setiap kali perilaku kita bercorak negatif walaupun pada kita merasakan ianya positif, ia akan mengurangkan baki akaun tersebut tanpa disedari, dikenali sebagai pelaburan negatif. Ingat, yang penting bukan apa yang kita rasa, tetapi apa yang pasangan itu tafsirkan bakal menjadi penentu nilai simpanan ini. 

Yang tersebut di atas adalah separa teori. Bagaimana dengan praktisnya? Apa yang bakal menambahkan simpanan kita?  Pengalaman saya ia dikategorikan (secara relatif) seperti berikut :

  1. Ketaatan nilainya = + 1. Ia adalah kebiasaan.
  2. Melakukan perkara yang disukai beliau atau Mengelakkan melakukan perkara yang tidak disukai = +2
  3. Mengelakkan melakukan perkara yang tidak disukai yang telah dinyatakan beliau bahawa perkara itu tidak disukai = +3. Kenapa lebih banyak? Kerana ia adalah 1 + 2
  4. Membahagiakan dan meraikannya di hadapan rakan dan tetamu = +4
  5. Meraikannya di hadapan keluarga = +3. Kenapa kurang dari empat? Ini perlu dilihat dari aspek ‘self esteem’ beliau di hadapan keluarga biasanya sudah terbina dari awal, berbanding self esteem beliau di hadapan rakan dan tetamu asing.
  6. Memberikan beliau perkara yang disukai  dari pemerhatian kita (elemen kejutan)= +5
  7.  Memberikan beliau perkara yang disukai yang beliau nyatakan keinginannya = +7. Kenapa lebih? Ia kerana ia berbentuk ketaatan + meraikan + memberikan kesukaannya.
Dan banyak lagi berdasarkan pengalaman hidup masing-masinglah.

Bagaimana pengeluaran simpanan boleh terjadi?
  1. Tidur ketika pasangan meluahkan perasaan = -0.5
  2. Acuh tidak acuh, kurang inisiatif = -2
  3. Kurang inisiatif, lupa walaupun sudah diberitahu berkali-kali tanpa ada usaha merekodkan dengan baik apa yang dinyatakan = -3
  4. Menyatakan matlamat melakukan sesuatu perkara yang tidak benar-benar merupakan matlamat perkara itu dilakukan dan ia disedari oleh pasangan = -3
  5. Memalukan beliau di hadapan pihak ketiga = -4
  6. Menerjah masuk ke ruang peribadi dan dominasi tanpa meminta izin = -4
  7. Melibatkan pandangan dan campurtangan pihak ketiga dalam urusan membuat keputusan berkaitan rumahtanggan dan anak-anak = -6
  8. Curang dan menipu yang akhirnya diketahui = Infiniti – Total Loss
 Dan banyak lagi. Ia sebagai contoh. Dan nilai itu juga sebenarnya relatif. Sekadar imaginasi saya.Tuan puan semaklah apa sebenarnya yang boleh dijadikan nilai tambah dan nilai tolak dalam rumah tangga masing-masing. Lokaliti berbeza, pendekatan juga lain.

Apa yang ingin ditekankan sebenarnya adalah, sentiasalah menambah simpanan akaun emosi ini dalam diri pasangan masing-masing ketika ada ruang. Walaupun ia kadangkala me’luka’kan dan menjerut hati dan perasaan sendiri.Simpanan yang banyak menghasilkan DIVIDEN yang mengujakan. Dan iya, mungkin dividen itu adalah hadiah hari jadi yang tidak disangka-sangka, pakej bulan madu kali kesembilan, mahupun galaksi bima sakti diletakkan di atas riba kita oleh sang pasangan (lukisan mungkin)... :)

Juga, kita tidak tahu bila kita akan benar-benar memerlukan ‘simpanan’ ini. Malah jangan terkejut, jika perceraian boleh berlaku apabila tahap simpanan berada pada nilai kritikal. Ketika itu perkara buruk sahajalah yang akan timbul. Tiada lagi kebaikan. Semuanya diungkit dan dicemuh. Perkara ini sering kita lihat dalam kes-kes pergaduhan serius rumah tangga.

Dan percayalah, jika simpanan mencukupi, walau bagaimana hangat sekalipun sesuatu krisis yang berlaku dalam rumah tangga, ia tidak akan mencecah ke tahap pukul memukul atau lebih dahsyat lagi perceraian. Kerana apa? Jawapannya, setiap kali pasangan ingin terlanjur menyakiti atau meninggalkan pasangannya, ikatan emosi, nostalgia akan membantu meredakan amarah dan hasutan syaitan.

Melaburlah dari awal dan tanpa rasa jemu. Agar kita ada ‘cagaran’ yang benar-benar utuh jika ditaqdirkan suatu hari nanti krisis besar menjelma dalam rumah tangga kita. Jangan terlalu yakin dengan kebahagiaan masa kini. Ujian Allah boleh datang bila-bila masa dan dalam pelbagai keadaan. 

Pejamkan mata, bayangkan pasangan anda kini telah berpisah dengan anda atas sesuatu sebab, dan dipimpin tangannya oleh pasangannya yang baru dengan penuh bahagia, namun matanya melirik memohon sesuatu dari anda. 

Apakah perasaan anda merenung situasi ini? Itu asas mudah menilai nilai tabungan tuan/puan hari ini.
Kisahkah kita? Muhasabahlah rumahtangga kalian. Belailah ia dengan iman dan tawakkal pada Allah SWT.

Wallahua’lam.

Thursday, September 09, 2010

10 + 1 Sni'ckett' SaLam AidILFitRi 1431H

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati Wassalamu 'ala Rasuulillah

1. Buat sahabat dan sanak saudara. Selamat menyambut 'Aidilfitri. Kami sekeluarga terlebih dahulu menafikan Ummu Nufayl terlibat dengan mana-mana kumpulan yang beraya pada 28 Ramadhan 1431H.

2. Seterusnya dengan nasihat, amalkan didikan Ramadhan sepanjang Syawal. Bermaafanlah sehabis upaya. Inilah masa rasmi untuk lunaskan dosa antara manusia. Baik dengan rakan, sanak saudara, anak beranak, ibu bapa, mahupun isteri atau isteri-isteri yang mungkin kita cuai, syok sendiri, tidak adil atau zalim pada mereka semua tanpa kita sedari! Lepas ni, janganlah cari pasal lagi.. bukan semestinya raya tahun depan datang balik pada kita! ..

3. Jangan bawa kenderaan dengan 'tersangat' laju. -- laju takpa -- sekitar 200km/h ke bawah. Saman ekor? buat sup dulu.. nyumnnn...

4. Jangan baran-baran. Banyakkan bersabar. Kalau kena pukul bolehlah pukul balik pertahankan diri. Tapi hadnya qisas ajalah!

5. Makan jaga hati perut tu. Jangan dera sangat sistem pencernaan tuan puan. Mungkin kalau jumpa kambing kira takpa lebih limit sikit.. sikit saja tau.. dalam 8 ketul.

6. Ziarah dapat pahala. Jangan leka solat tu. Nanti sunat dapat, haram pun dapat.

7. Duit Raya niat sedekah, insyaALlah berpahala. Jangan i'tiqad rukun Raya.

8. Bakar mercun dan bunga api, haram! Mercun bising dan membazir. Bunga api bakar duit,. Tapi, kalau nak juga, belilah bunga api.. niatlah sedekah buat gembirakan hati anak-anak, insyaAllah berpahala. Jangan sampai bakar rumah orang. Meriam buluh? boleh! masukkan kepala sendiri dalam batang buluh tu..

9. Ziarahlah kubur dalam Ramadhan. Kalau nak ziarah pagi Raya pun boleh, tapi jangan buat kerja haram di kubur. (bersolek masuk kubur sampai semua orang terpaku, mendedah aurat sinsing kain sebab takut kemuncup), atau buat perkara-perkara bida'ah yang tidak diajar sunnah. Nanti niat baik lagi menyiksa roh dalam kubur. Dan roh kita juga di hari kemudian! Wal'iyazubillah! ..

10. Doakan kami semua sekeluarga dirahmati Allah. Buat tuan-puan juga. Sekeluarga.

11... ala-ala Che Det gitu...


Salam Aidilfitri, Kullu ‘Aam wa Antum bi Alf al-Khair, Taqabbalallaahu minna wa minkum Ajma’een. Wassalam

Thursday, July 22, 2010

Haji atau Tidak Haji?

Memetik perbualan ringkas dengan Ummu Nufayl,

“Kalau dah pergi rasa senang hati” kata Ummu Nufayl.
Balas saya, “Dan tanggungjawab kita, jangan pula menyusahkan hati orang lain. Nasihatilah mereka..”

Ummu Nufayl menyambung "itulah pentingnya da'wah. Menasihati bukan menakut-nakutkan"

Dan perbualan kami bersambung rancak.

Topik ringkas ini kami bincang ketika makan malam semalam. Mengingatkan saya kepada hutang kepada seorang sahabat di Syarikat tempat bertugas tentang artikel yang beliau minta saya tulis, 3 ½ bulan yang lalu!!..

Tajuknya mudah, kewajipan pergi haji dan kewajipan berkahwin. Saya kesuntukan masa menulis kedua-duanya, jadi mungkin saya ambil separuh bab sahaja dahulu.

Makluman awal, saya tidak mahu memetik dan bicarakan dalil berulang-ulang kali, kerana ia boleh dicari di mana-mana kitab muktabar mahupun di laman yang tertentu. Cuma ini sekadar pandangan peribadi dan pada saya tidak lari daripada ketetapan syarak.

1. Selalu kita lihat ramai pasangan/individu yang membeli belah sakan ataupun pergi melancong ke luar negara menghabiskan belasan malahan puluhan ribu, setiap tahun, namun tidak pula ke Makkah. Apa bangsanya ini?
2. Ada yang mengumpul puluhan ribu ringgit, tidak melancong ke mana-mana, tidak pula membeli belah, tetapi tidak juga pergi haji. Ternak duitkah kaum ini?
3. Tiba-tiba adik-adik kita yang muda, tidak pula kita tahu bila mereka ini berduit pergi ke Tanah Suci menunaikan fardhu haji? Merompak bank kah mereka ini untuk pergi haji?

Menganalisa perkara ini, saya berpegang kepada :
1. Tidak semua manusia itu sama
2. Tidak semua niat manusia itu sama
3. Tidak semua niat yang sama dilaksanakan dengan cara yang sama
4. Tidak semua cara yang sama menghasilkan natijah yang sama.

Oleh itu, saya menyimpulkan perkara pergi haji awal atau tidak, pergi melancong dahulu atau membeli belah dahulu adalah perkara berkaitan yang tidak ada perkaitan di antara satu sama lain! Pening???

Pandangan saya. Haji bukan berkisar pada RM semata-mata. Kadangkala, jutawan sekalipun tidakpun pergi haji. Ini kerana mungkin beliau telah mendaftar, dan sudahpun berazam, tetapi belum sampai giliran beliau dijemput Allah Ada sahaja aralnya yang dibenarkan syarak. Golongan ini kalau kita berburuk sangka, maka berdosalah kita. Kerana siapa kita untuk berburuk sangka?

Tetapi jika tidak berikhtiar dan berazam, malahan tidak mendaftar sekalipun. Jutawan, ribuan, ringgitwan, tok wan sekalipun, walaupun kita bersangka baik kepada mereka ini sekalipun, mereka tetap berdosa kerana dengan sengaja menangguhkan USAHA DAN PROSES AWAL menunaikan fardhu haji.

Kalaulah saya, ada RM20,000.00 contohnya. Dan mendapat tahu bahawa giliran saya adalah 5 tahun lagi, walaupun setelah dibuat rayuan, saya akan membuat sedikit pengiraan. Jika dengan konsep dan kaedah menyimpan yang betul, saya akan dapat mengumpulkan kembali RM20,000.00 itu, beserta dengan kos inflasi 5 tahun akan datang (kenaikan tambang dsbgnya), maka dalam hal ini saya tidak akan teragak-agak membelanjakan dahulu wang itu perhibur bersama keluarga, melancong, membeli belah dan sebagainya. Kenapa tidak? Tetapi, kita perlu yakin dengan pasti, wang itu dapat dikumpul kembali. Jika tidak pasti, hmm.. saya simpan komen saya.

Tetapi jika kita pasti tidak dapat mengumpulkan kembali wang itu, namun tetap menghabiskannya ke arah nikmat duniawi, saya rasa kita perlu banyakkan istighfar dan sedialah menuju kemurkaan Allah kerana dengan sengajanya menghumbankan nikmat Allah itu ke arah kesenangan duniawi tanpa ada keinginan menyempurnakan RUKUN Islam ini.
Atau kita langsung tidak mengambil inisiatif, langsung tidak mendaftar, langsung tidak ada niat, tetapi kemampuan itu ada, maka tunggulah juga ‘jawapan’ dari Allah SWT terhadap golongan seperti ini.

Bagaimana kalau ingin berkahwin? Bertembung dengan menyempurnakan Rukun Islam ini? Bacalah dahulu dari segi hukum dan perbandingannya. Kemudian baru kita boleh bersembang lanjut!

Sekadar coretan ringkas. Cuma pesanan saya, JANGANLAH BERSANGKA TIDAK BAIK KEPADA ORANG LAIN, mungkin ada sebabnya beliau begitu dan begini. Kita tahukah kesihatan ibu bapa mereka bagaimana? kita tahukah beban kehidupan mereka bagaimana? Kesihatan mereka sendiri bagaimana? Jangan lihat duit yang masuk itu shaja. Perlu lihat kepada duit yang 'keluar'. Islam sendiri meletakkan kemampuan sebagai salah satu syarat. Tetapi tiada langsung keazaman dan kesengajaan mencuaikannya pasti membawa dosa.

Oleh itu, lebih penting, pada masa yang sama, JANGAN TERLALU BERSANGKA BAIK KEPADA DIRI SENDIRI DAN AMAL PERBUATAN KITA, kerana ia mungkin tipu daya syaitan menggagalkan kita menjadi hamba Allah yang disayangiNya!

Selamat berazam menunaikan haji dan mendaftarlah dengan Tabung Haji!

Wallahua’lam.

Saturday, April 03, 2010

Kisah Maiz bin Malik & Kisah Perempuan Desa Ghamid


Selingan ringkas. Mode pening kepala.

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati'alaa Rasuulillah.




#1 - Hadis mengenai Maiz r.a. di bawah ini adalah hadis yang mutawaatir (sesuatu khabar yang diriwayatkan oleh majoriti para sahabat r.a. dan merupakan khabar yang tidak dapat dimungkiri) .

Dari Sulaiman bin Buraidah r.a dari bapaknya katanya :” pada suatu ketika Ma’iz bin Malik datang kepada Nabi saw, lalu dia berkata kepada beliau” Ya Rasulullah , sucikan aku, “ jawab Rasulullah saw “Amboi, kasihan, pulanglah , lalu minta ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepadaNya” Ma’iz pergi, tetapi belum begitu jauh dia kembali lagi seraya berkata, “Ya Rasulullah, sucikanlah aku” Jawab Rasulullah saw., “Amboi kasihan, pulanglah, minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepadaNya” Ma’iz pergi, tetapi belum begitu jauh dia kembali lagi dan berkata kepada Rasulullah saw ”Ya Rasulullah, sucikanlah aku” Nabi saw menjawab seperti semula dan hal seperti itu berulang sampai empat kali. Pada kali yang keempat Rasulullah saw bertanya”Dari hal apakah engkau harus kusucikan?” Jawab Ma’iz” dari dosa berzina” Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat yang ada di sekitar ketika itu, “apakah si Ma’iz ini mengidap penyakit gila? Jawab para sahabat “Tidak, ya Rasulullah, Dia tidak gila” Tanya Nabi saw berikutnya:”Apakah dia baru habis minum khamar?” Seorang sahabat berdiri , lalu membaui Ma’iz, tetapi tidak mencium bau khamar di mulut Ma’iz. Maka bertanya Rasulullah saw. kepada Ma’iz” Betulkah engkau berzina?” Jawab maiz, “Benar ya Rasulullah” Rasulullah saw memerintahkan supaya dilaksanakan hukuman rejam terhadap Maiz, lalu dia direjam. Terdapat dua pendapat dalam masalah ini. Yang pertama mengatakan bahwa Maiz tewas dan dosanya hapus kerana hukuman yang dijalaninya secara ikhlas. Yang kedua mengatakan bahawa Maiz bertaubat sebenar-benar taubat, tiada taubat yang melebihi taubat Maiz. Dia datang mengadap Nabi saw lalu diletakkan tangannya di tangan Nabi, kemudian katanya “Ya Rasulullah, hukum matilah aku dengan batu (rejamlah aku), Mereka senantisa dalam perbedaan pendapat seperti itu selama dua tiga hari. Kemudian Rasulullah saw. datang . Setelah memberi salam lalu beliau duduk bersama-sama dengan mereka. Maka bersabda Rasulullah saw, Mintalah ampun bagi Maiz bin Malik” lalu mereka memohon semuanya, “Semoga Allah mengampuni Ma’iz bin Malik” Rasulullah saw. bersabda, “Ma’iz betul-betul telah taubat dengan sempurna taubat. Seandainya taubat maiz dapat dibahagi di antara satu kaum pasti mencukupi untuk mereka semua”

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tirmidizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Ya’la, Al-Bazzar dan At-Tobrani)

#2 - Datang pula seorang perempuan dari desa Ghamid, suku Azdi, lalu dia berkata”ya Rasulullah , sucikanlah aku, Jawab Rasulullah saw ”Kasihan kamu, pulanglah engkau lalu minta ampun kepada Allah dan taubatlah kepadaNya’ kata perempuan itu”Kulihat anda sengaja menyuruhku pulang seperti yang anda lakukan terhadap Maiz bin Malik” Tanya Nabi saw “Mengapa begitu?” Perempuan itu mengatakan bahawa dia telah hamil akibat zina. Tanya Nabi saw.”Engkau sendiri yang berbuat?” Jawabnya”Betul, ya Rasulullah” Nabi saw bersabda kepadanya ”Tunggulah dahulu sampai engkau melahirkan” Lalu perempuan itu ditanggung kehidupannya oleh seorang lelaki Anshar sampai ia melahirkan. Setelah dia melahirkan, maka diberitahukannya kepada Rasulullah saw katanya” ya Rasulullah, perempuan desa Ghamid itu sudah melahirkan” Jawab Rasulullah saw. “Biarkanlah dahulu kerana anaknya masih kecil, sedang orang yang akan menyusukannya tidak ada” maka berdiri seorang lelaki Anshar lalu dia berkata ”Aku yang menanggung susunya” Kata Buraidah,”Setelah itu maka dilaksanakan hukuman rejam terhadap perempuan desa Ghamid itu”

(Shahih: Mukhtashar Muslim no: 1039, Muslim III: 1321 no: 1695).


NOTA KAKI :

Rasulullah amat penyayang. Allah Maha Pengampun. Kasih sayang manusia tidaklah boleh mencabar keampunan Allah. Dan keampunan Allah bermula dengan peritnya hukum Islam di dunia.

Usahlah jadi lebih Maha daripada yang Maha Esa.

Waallahua'lam.

Thursday, January 28, 2010

Bola Golf di Padang Tenis?

Bismillahi walhamdulillah wassolaati'al Rasuulillah.

Saya tidak tahu orang lain, tetapi jika saya ke pasaraya atau farmasi, atau apa-apa kedai sekalipun untuk mencari barang, akan saya pastikan saya telah membandingkan semua jenis produk yang sama tetapi berlainan jenama. Bagi memastikan saya dapat yang terbaik.

Antara modus operandinya adalah membaca kandungan dan keterangan penggunaan atau fungsi produk itu baris demi baris. Dan jika ada yang saya musykil, satu lagi tabiat saya ialah, saya akan mencari promoter yang tidak suka buat-buat tahu sesuatu produk.

Tuan puan barangkali pernah bertembung bila kita minta keterangan mengenai sesuatu produk, wakil jurujual akan MEMBACA kembali apa yang tercatat pada kotaknya kepada kita. Saya biasanya akan menegur secara terus,

"kalau baca yang tulisan pada kotak, saya pun boleh baca. Bukan itu tujuan saya panggil awak"

Tetapi untuk menghormatinya, saya akan meneruskan bertanya, contohnya

"daripada pengalaman awak, macamana produk ini berbeza dengan yang itu", "apa kelebihannya berbanding yang sana"

atau soalan seumpamanya.

Bagi jurujual yang suka buat-buat tahu dan tidak tahu mengalah, mereka sedaya upaya akan cuba menunjukkan mereka boleh menjawab soalan kita. Dan kadangkala, suatu masa, kita sudah dapat 'sense' beliau agak teragak-agak dalam intonasi dan 'body language'nya.

Biasanya pada peringkat ini, saya akan (baca terpaksa) 'bunuh' beliau bagi mengelakkan beliau menambah dosa berlagak tahu walaupun tidak tahu. Soalan yang biasa saya tanya biasanya berkaitan produk itu yang sudah pasti ia betul, tetapi saya tanya dalam bentuk yang sebaliknya. Dengan kata lain menterbalikkan fakta dan mengemukakan soalan berbentuk ujian.. contoh :

"Kalau kabel plug kereta ni saya tukar, RPM kereta akan lagi efisyen ka?. Maksud saya, kalau sebelum ini 120km/h @ 3000RPM, lepas tukar boleh jadi 120km/h @ 2750RPM?"

Jika jawapan beliau "YA", maka pada waktu itulah saya akan melangkah kaki keluar dari ruang pameran/kedai tersebut. Kerana yang pastinya RPM kereta bergantung kepada transmisi, bukan kabel plug. Selamat tinggal kepada produk itu hari itu..

:)

Gunanya langkah di atas ialah, saya ingin memastikan, saya dapat nasihat daripada orang yang betul. Jika blog, saya membaca dari penulis blog yang betul. Jika ceramah, saya dengar ceramah daripada orang yang betul. Dan jika buku, saya wajib pastikan penulisnya memang penulis yang betul.

Pasti saya akan elakkan graduan bidang kimia memberikan nasihat kepada saya berkaitan kaedah membaiki enjin kereta. Melainkanlah ada bukti empirikal yang beliau berpengalaman dalam bidang itu melalui lain cara. Semuanya perlu disemak. Kerana jika tidak disemak, dari sinilah wujudnya (contoh) orang menulis bukan dengan tulisan, tapi dengan emosi tidak terkawal.

---------------

Merenung kembali. Mungkin sudah lama dididik dengan langkah-langkah berhikmah, saya jarang memilih untuk terus menghukum. Kita perlu beri ruang pada sesuatu atau seseorang membuktikan sesuatu dalam satu 'time frame' yang bersesuaian. Tetapi kita tidak boleh cuai menganalisa setiap saat. Kita berikan mereka ruang, tetapi bukan peluang untuk mengambil kesempatan. Dan setiap ruang yang diberikan kita juga perlu turut sama memenuhinya.

Dalam isu kebelakangan ini, saya yakin, rentetan peristiwa yang berlaku khususnya dalam perebutan kalimah Allah, sudah mula menampakkan kesimpulannya. Pandangan A - kesimpulannya B. Pandangan C, kesimpulannya D. Dan tibalah waktu untuk menilai hujah-hujah mana yang berlandaskan emosi, sentimen bangsa dan politik, dan hujah manakah yang berupaya menjamin ketenteraman sejagat. Saya tidak mau mengulas sekali lagi di sini. 2 penulisan lepas, saya sudah menyentuh tentang perkara ini dan tidak mahu mengulanginya buat kesekian kali.

Saya berhujah bahawa mempertahankan kalimah Allah tidak boleh mengatasi kita keutamaan kita mempertahankan syariatNya. Kerana Allah itulah Tuhan kita, bukan kalimah itu. Tetapi saya janggal bila ada yang memisahkan pendapat ini mengatakan bahawa, pertahankan syariat wajib. Pertahankan kalimah tidak wajib. Itu pendapat yang menyeleweng, kerana mempertahankan nama baik orang yang kita sayangi, lebih-lebih lagi Allah juga ADALAH JUGA SYARIAT! . Jangan keliru. Kita bukan menghujah secara 'memansuhkan' antara 2 perkara. Tetapi membuat 'pertimbangan' yang mana lebih aula' dalam satu-satu keadaan di mana kedua-duanya penting. Dan bila kita terlajak membuat kesimpulan dalam keadaan emosi, kesan jangka panjangnya sebenarnya 'membunuh' entiti yang kita sayangi. Sebab itulah jika kita terlalu bersifat provokatif dalam mempertahankan sesuatu, ia sebenarnya akan memberikan imej yang tidak baik kepada zat/objek yang kita pertahankan itu. Sebab itulah Rasulullah mempertahankan kesucian tempat ibadah, tetapi tidak menghayunkan pedang kepada seorang badwi yang kencing di situ. Akhirnya, bertambah seorang umat Islam!..

Seperkara lain, kita semua tahu, rakan penulis kita, telah pun menyerah diri sekaligus ditahan pihak berkuasa akibat keterlanjuran kata beliau dalam penulisan blognya. Dan banyak pihak memberikan pelbagai pendapat. Saya menyokong agar beliau diberikan peluang untuk berubah. Dan pada masa yang sama, keceluparan lampau perlu diasuh kembali. Penulisan yang terlalu didominasi disiplin "propaganda emosi" tidak boleh dibiarkan bertaburan di alam maya, mahupun alam kertas. Tulisan beliau sudahpun pernah menjengah hamburan kutukan dan makian kepada Ummul Mu'minin dan Imam-Imam Mazhab adalah suatu perkara lain yang patut diperhatikan dan diperbetulkan. Cuma nasib beliau malang kerana akhirnya terperangkap akibat bahasa kasarnya dalam memberikan ulasan berkaitan pengisytiharan kemangkatan seorang pembesar tanah air. Secara peribadi, selagi perilaku beliau ini tidak berubah, saya tidak tergerak menyokongnya, khususnya kesan terhadap agama Islam. Namun kita tidak boleh lupa mendoakannya berubah ke arah yang lebih baik setiap masa. Kadang kala perkara baik perlu dipelajari melalui jalan yang susah.

Yang menarik perhatian juga, saya lihat, ada masa juga diberi kepada seorang peguam yang suka terkenal, yang memilih untuk menyaman sahabat seagama sendiri atas urusan agama yang boleh dihujahkan dan dimusyawarahkan - agar beliau menyedari kesilapan itu. Dan beliau nampaknya memilih untuk tidak menggunakan masa yang diberikan dan terus menyuarakan kerelaannya dipecat daripada organisasi beliau. Baguslah begitu. Sebegitu ramai pembesar bejat yang lain untuk disaman dan dimaki, sahabat sekatil yang ditembak.

Ketergesaan itu datangnya daripada syaitan.

Setiap sesuatu ada langkah dan prosedurnya. Jangan gopoh. Ada maruah yang perlu dihormati. Ada tokoh yang perlu disanjungi. Ada syariat yang perlu diperhalusi. Dan di sinilah datangnya hikmah. Buat bekal orang beriman. Walau ilmu penuh di dada, langkah tuan tidak semestinya tepat sepanjang masa. Waktu tepat, tempatnya mungkin salah. Tempatnya benar, waktunya mungkin terlewat.

Hanya Allah yang Maha Bijak dan Maha Mengatur segala sesuatu. Maha Suci Allah. Taatilah syariatnya, sepenuhnya, dan bukan pilih-pilih ikut kehendak nafsu dan fahaman akal tanpa ilmu.. dan jadilah jurujual yang tidak buat-buat tahu dalam bidang anda. Kepura-puraan atau amal tanpa ilmu, akan mencerminkan kelemahan peribadi kita satu masa kelak!

Sekadar coretan kosong, mungkin . Wallahua'lam.

Wassalam

Sunday, January 17, 2010

IBU SUSUAN .... 1/2....

Tribute kepada ibu-ibu susuan Fudhayl Nashwan iaitu Pn Aida, Pn Idayu, Pn Akmar dan Pn Madihah, serta suami kepada mereka (bukan bapa susuan ya!), Sdr Mufis, Sdr Zainal, Sdr Amin dan Sdr Nazly ; saya coretkan sedikit sebanyak berkaitan konsep dan praktis ibu susuan. Sama-sama kita doakan manfaat dan ganjaran Allah daripada penulisan ini agar turut sama dikongsi oleh ibu-ibu ini dan keluarga mereka yang telah memberikan kami sekeluarga, khususnya Fudhayl, hadiah yang tidak ternilai dalam mendepani ujian Allah SWT. Ameen.

Selamat membaca.

Bismillahi walhamdulillah, wassolaati'ala Rasuulillah.

Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW sepertimana yang dimaklumi adalah juga saudara susuan kepada Sayyidina Hamzah RA. Ibu susuan mereka adalah hamba kepada Abu Lahab, bernama Thuwaibah (wafat pada tahun ke-7 hijrah).

Nama Thuwaibah seringkali dilupakan oleh kita semua. Beliau adalah ibu susuan pertama Rasulullah SAW. Ketika itu Thuwaibah masih juga sedang menyusukan anaknya sendiri, Masruh. Untuk makluman, Thuwaibah ini pula adalah ibu kepada Ummu Ayman, iaitu pengasuh Rasulullah SAW. Kedua-dua mereka (Thuwaibah dan Ummu Ayman) adalah hamba kepada Abu Lahab ketika itu. Dan keizinan yang diberikan oleh Abu Lahab ketika itu kepada Thuwaibah untuk menyusukan Rasulullah menjadi salah satu daripada sedikit keringanan kepada siksaan Allah terhadapnya. Abu Lahab juga telah membebaskan Thuwaibah ini.

Kemudiannya baginda disusukan pula oleh Halimah binti Abi-Dhua'ib yang lebih kita kenali sebagai Halimah as-Saadiah, isteri kepada Harith Abd'lUzza yang juga dikenali sebagai Abu Kabsyah.

Daripada dua ibu susuan ini, Baginda Rasulullah SAW memiliki beberapa saudara susuan antaranya :

Dari ibu susuan pertama - Thuwaiba:
1. Hamzah bin Abdul Mutallib ( disusui oleh Thuwaiba dan Halimah )
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
3, Masruh

Halimah Al-Saidiyyah (ibu susuan kedua)
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza
3. Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza
4. 'Aisyah binti Harith bin abdul 'Uzza

dan ada pendapat lain menyebutkan tambahannya seperti :

1. Anisah binti al-Harith
2. Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harith

Apa yang saya nukilkan tadi adalah sedikit ringkasan berkaitan dengan apa yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam fasa awal kehidupan baginda.

IBU SUSUAN

Mendapatkan susu ibu adalah usaha terbaik ibu bapa kepada anak-anak. Huraiannya cukup banyak dalam pelbagai laman web mahupun hasil tulisan.

Perkara yang semakin lama semakin terpinggir adalah konsep ibu susuan. Malah yang tinggal adalah kerisauan, bukannya semangat dalam meneruskan tradisi ini. Alasan yang kerap didengar adalah risaukan perkahwinan tidak sengaja antara sesama saudara susuan, dan ini sebenarnya boleh di atasi dengan sistem rekod kekeluargaan yang baik dan hubungan silatur ar-rahiim yang baik antara kedua-dua keluarga.

Menyentuh tentang isu ibu susuan, terdapat syarat-syarat tertentu yang membolehkan anak yang disusui ini menjadi anak susuan (mengharamkan perkahwinan). Antaranya :

1. Susu adalah daripada perempuan dan beliau adalah anak Adam. Gadis, isteri orang mahupun janda tidak jadi persoalan.

2. Susu yang diminum sampai ke usus tidak kiralah caranya melalui buah dada mahupun botol susu. Ini bagi menepati konsep susuan itu menumbuhkan daging dan tulang anak itu.

3. Penyusuan berlaku melalui mulut ataupun hidung, maka tidak termasuk dalam kategori ini jika diberikan melalui salur IV atau dicurahkan terus ke halkum dengan lain-lain cara dan lain-lain rongga seperti telinga, mata qubul atau dubur.

4, Susu tidak bercampur dengan bahan lain. Jika tercampur bahan asing itu (air, susu tepung) dan sebagainya pada kadar lebih banyak, maka tidak berlaku pengharaman perkahwinan.

5. Penyusuan adalah semasa kecil dan anak itu umurnya kurang dari dua tahun ketika disusui. Lebih sehari daripada umur itu, maka tidak lagi dikira. Jadi tidak timbullah isu menjadi saudara susuan sekiranya yang menyusu itu lebih daripada umur 2 tahun. Lebih-lebih lagi sudah berusia puluhan tahun.

6. Penyusuan adalah lima kali atau lebih dan setiap satunya membawa kepada kenyang/puasnya bayi itu. Jika terhenti atas sebab bertukar botol, atau menangis, atau pada kadar masa yang secara adatnya (mengikut umur dan kebiasaan) bayi itu belum menunjukkan dia puas, maka ia masih termasuk dalam kiraan satu kali susuan. Menurut Imam Malik, penyusuan ini mestilah berterusan selama 2 tahun, namun pendapat ini tidak dikongsi oleh Imam yang lain.

*Ringkasan : al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh


UPAH SUSUAN

Bapa yang bertanggung jawab memberikan nafkah kepada anak, maka perlu ditawarkan atau ditanyakan kepada ibu susuan itu kadar upahnya. Jika ibu susuan merelakannya, ia adalah sedekah atau hadiah kepada keluarga itu dan ini tidak menjejaskan status beliau sebagai ibu susuan asal mana syarat di atas dipenuhi.

Memilih ibu susuan adalah sebahagian daripada juzu’ muamalah dalam Islam. Tiada peraturan khusus, namun memandangkan ia akan menjadi darah daging anak itu, maka beberapa perkara perlu dipastikan:

  • Keredhaan suami kepada bakal ibu susuan. Dalam hal ini, jika diandaikan emak kepada ibu susuan itu rela, tetapi suaminya tidak rela, maka calon ibu susuan itu tidak berhak meneruskan tawarannya.Syurga seseorang wanita setelah berkahwin telah berpindah kepada keredhaan suaminya.
  • Keturunan dan latar belakang ibu susuan.
  • Kemampuan dan kesihatan bakal ibu susuan itu.
  • Dapat memastikan talian kekeluargaan yang bakal terjalin dapat dipelihara dan direkodkan,terutamanya pada zaman serba canggih ini yang mana lelaki dan perempuan mempunyai potensi berkenalan di mana-mana juga tanpa diketahui oleh ibu bapa. Ini menimbulkan potensi berkenalan dengan cabang saudara susuan sendiri tanpa sedar.

Banyak lagi bidang berkaitan dengan konsep dan praktis ibu susuan ini, dan saya belum menyentuh lagi tentang susur galur keluarga susuan yang diharamkan berkahwin dan hukum-hukum sekitarnya jika sesuatu pasangan terlepas pandang dan berkahwin dengan saudara susuan. InsyaAllah di lain masa.

Wallahua’lam