Monday, December 28, 2009

Ummu Nufayl Saat Ini, dan Pada Satu Ketika

Ramai yang ingin tahu. Apa keadaan Ummu Nufayl. Catatan-catatan yang lepas telah pun sedikit sebanyak menceritakan. Terkini, beliau telah pun berjaya berjalan kaki merentas jejantas SDMC dari Selatan ke Utara dan ke Selatan kembali. Jalannya sudah seimbang, cuma kadang-kadang berpinar mata. Ingatannya alhamdulillah, mengalahkan suaminya yang sihat. Ragam dan celotehnya kembali.

Cuma pada awal pagi ini, tahap kalsium Ummu Nufayl melonjak lagi (hypercalcemia). Dari pagi tampak sedikit kelainan dari semalam. Beliau agak restless. Kurang selera makan. Sakit kepala. Dan hasilnya sepanjang hari tertidur kepenatan. Terpaksa drip untuk keluarkan dan kurangkan kembali kadar kandungan kalsium. Masih menjadi satu misteri yang belum terungkai kerana beliau sebenarnya dalam status 'hypocalcemia' setiap masa selama ini.. Namun lewat petang, muka beliau dalam tidurnya kembali berseri. Dan seri itu sentiasa ada di mata Abu Nufayl. Walau apapun keadaan beliau. Dan SIHAT itu bukan sekadar harapan Abu Nufayl, tetapi itulah PANDANGAN suami pada isteri yang seorang ini, setiap masa, setiap ketika.

Bagi yang bertanya dan berteka-teki, saya selitkan catatan Ummu Nufayl, sejarah dan harapannya pada 2 Oktober 2005 yang lepas. Walaupun bukanlah 100% berkaitan dan menepati keadaan terkini beliau, namun inilah yang pernah diluahkan.. dan inilah jejak langkah kami. Yang telah lama bersedia untuk apa jua keadaan.

--------------

Ummu Nufayl seorang yang suka menyendiri, dan suka berahsia. Mungkin selama ini, tak pernah Ummu Nufayl ceritakan pada semua ttg keadaan diri ini. Sebabnya senang saja, saya rimas dengan pandangan 'kasihan' dan 'seolah-olah faham tp tak faham' orang ramai. Sebab tu saya ambil keputusan utk menyembunyikan hakikat sebenar. Hanya suami yang saya beritahu, sbl kami ambil keputusan untuk meneruskan dengan ikatan perkahwinan. Saya bagi dia pilihan utk meneruskan atau tidak. Tiada rasa kecewa. Tapi, dia sungguh yakin dengan pilihannya.Saya kagum. Saya katakan padanya, apa saja mungkin terjadi kerana keadaan saya yang tidak sempurna.

Bermula dengan cancer thyroid yang Ummu Nufayl hadapi 14 tahun dahulu, ketika berusia 11 tahun (1991), dan rawatan nuklear, radioiodine yang Ummu Nufayl jalani selama 9 tahun lamanya, pelbagai kesan sampingan mungkin timbul. Kemungkinan tidak boleh mengandung & melahirkan, cancer reoccurance, cancer merebak ke bahagian lain tubuh dsb. Alhamdullillah, sejak tahun 2000 Ummu Nufayl disahkan bebas drp cancer thyroid termasuk yang merebak ke paru-paru. Syukur! Dengan sokongan Mama yang tak henti-henti menemani setiap kali Ummu Nufayl menjalani rawatan radioiodine, walau rawatan itu tidak membenarkan dia mendekati saya kerana pancaran sinar-x yang memudaratkan orang awam, selain pesakit. Dan, dengan sokongan Mama yang tak jemu-jemu menemani Ummu Nufayl ke KL dengan kekerapan berkunjung ke Wad Radioterapi, Onkologi & Perubatan Nuklear di HKL (dulu HBKL) sebulan/2 bulan/4 bulan/6 bulan hinggalah kini setahun sekali paling kurang perlu follow up utk memastikan tahap thyroglobulin dalam darah di tahap yang tidak membahayakan.

Saya ceritakan semua ini kepada dia sebelum kami mengambil keputusan meneruskan perhubungan. Suami saya seorang yang sungguh saya kagumi, kerana sanggup menerima saya seadanya. Saya terangkan segalanya, dan dia bersedia menerima.

Alhamdulillah, Ummu Nufayl tidak diuji dengan masalah mengandung/melahirkan. Allah bagi nikmat yang besar utk Ummu Nufayl di situ. Walaupun kerana masalah thyroid itu, Ummu Nufayl terpaksa dirujuk kepada pakar Gynae sejak mengandung 2 bulan kerana pakar perlu mengawasi tahap thyroxine dlm darah utk mengelakkan masalah. Bagi yang tidak mengetahui, jika thyroxine kurang ketika mengandung, boleh menyebabkan kecacatan mental bagi anak, atau masalah hypothyroidism/hyperthyroidism, dan masalah ketika melahirkan mengikut keadaan semasa. Syukurlah Ummu Nufayl diberi nikmat & rahmat utk tidak menghadapi masalah itu.

Tapi kini, root causenya drp masalah thyroid & para thyroid Ummu Nufayl yang dah dibuang sejak 1991...Ummu Nufayl hadapi masalah hypocalcemia. Orang mungkin boleh kata, ohhh...hany tak minum susu kot. Maaf, saya boleh kata itu bukan penyelesaiannya. I have done much to cater this problem, but yet doc still find ways to increase my calcium level. Actually, my calcium level in blood only half from what normal people have. To get it back to normal takes times...may be 2-8 weeks. Takkan nak duduk kat wad selama itu? Hmm...I took calcium lactate tablet & thyroxine for whole my life since 1991. But, after 14 years...hypocalcemia comes over me. Why? I asked doc. She said, may be before this calcium reserve in ur body is enough with calcium lactate tablet intake for this while. But, after getting pregnant, giving birth to ur baby, and breastfeed calcium reserve become very low.

Kini, Ummu Nufayl berkampung di hospital kerana hypocalcemia. Dengan pengambilan calcium lactate secara tablet, IV & recotriol, harapnya tahap calcium akan naik kembali. Tapi, duration yang diberi oleh doc antara 2-8 minggu. Habislah Ramadhan macam tu! Tapi, tak apa...dah lama Allah bagi nikmat. Dah lama tanpa thyroid & para thyroid tapi sihat Allah bagi. Kini, diuji sedikit...takkan tak bersyukur pulak kan?

Ummu Nufayl bersyukur sebab ada suami yang memahami...dan anak comel yang tak kecik hati kena sambut besday pertamanya tanpa Ummi & Abahnya.

...dan 3 hari lagi Ramadhan. Apa nasib Ummu Nufayl kali ini. Macammana nak puasa? Ada yang boleh berpuasa dengan pengambilan ubat atau IV ke? Hmmm...

:) Jgn terkejut baca kisah ini. Ini kisah benar Ummu Nufayl yang sengaja Ummu Nufayl tak cerita pd sahabat-sahabat sbl ini. Tapi, condition getting worse now & I'am tired people saying to me, "Hany tak minum susu kot". It is more than it. Di kalangan geng SMKAP, mungkin ramai dah tahu, sebab dulu berulang ke HKL waktu persekolahan. Tapi, di kalangan geng MMU...kebanyakannya memang Ummu Nufayl tak ceritakan. I want to be normal. Hmmm...pls treat me so.

& please don't look at me with pity eyes, like I am so problemetic/weak girl. Believe me, it is hard condition, but it is so much rahmat from Allah...so that, I always feel strong & enlighten with people surrounding me.

:)

teks penuh
------------

Salam Sayang dari kami sekeluarga. Tidak lupa kepada semua ibu susuan Fudhayl khususnya, baik Aida, Idayu, Akmar dan Madihah serta suami masing-masing. Hanya Allah yang selayaknya membalas ketulusan hati dan kemuliaan hati kalian. Juga kepada keluarga Reza yang sudi menumpangkan kasih buat 3 cahaya mata kami di rumah kalian di Shah Alam.

Doakan kami, buat segalanya. Dan doa dari kami, buat semuanya.

Wallahua'lam.

Thursday, December 24, 2009

Detik ke Lantai, Terhempas ke Kolam...

Salam buat semua.

1. Kami maklum, ramai menunggu makluman terbaru, saya boleh jawab, pasti akan berkurang kemaskini. Kerana saya sendiri sedang melayari antara saat-saat terbaik dalam hidup, yang tiada kata boleh menggambarkan. Dan sepenuh masa saya bersama Ummu Nufayl sekarang. Sekarang beliau nyenyak di sebelah. :)

2. Ada yang bertanya, apa perasaan pada masa ini. Sukar dijawab. Cuma beginilah, anggaplah saya pada 15hb Disember yang lepas telah terjatuh dari tingkat 55 bangunan, dan menunggu detik terhempas ke tanah. Namun di tingkat 20, tersangkut di beranda, kemudian terhempas masuk ke dalam kolam renang :) . Traumanya ada, namun saya sedang asyik berenang di kolam ini sekarang. Perkara mendatang, insyaAllah, jangan fikirkan lemas. Kerana air untuk dinikmati bukan ditakuti. Masih banyak tingkat di bawah jika terjatuh lagi. Tetapi kenapa fikirkan jatuh itu? Berenang sajalah!

3. Antara ringkasannya kejadian yang menimpa, pada hari kejadian, beliau mengalami (1) hypercalcemia membawa kepada hyperviscosity syndrom hingga membawa pula kepada kegagalan pernafasan, dan kegagalan pelbagai mekanisme fisiologinya pada waktu itu. (2) Ditambah dengan jangkitan paru-paru (pneumonia). (3) Dan diburukkan dengan radang otak (encephalitis).

4. Semuanya sedang kembali kepada status asal. Cuma perkara ketiga dalam pemantauan rapi dan rawatan intensif pakar perubatan bagi memastikan semuanya kembali normal.

5. Melihat kepada sejarahnya, kami tidak dapat menafikan, semuanya berada pada 'borderline' pada waktu itu, namun Allah Maha Kuasa. Belum sampai masanya pada waktu ini. Dan Ummu Nufayl kembali senyum dan berceloteh walaupun tidak sepenuhnya aktif buat masa ini. Maha Suci Allah, Maha Pengatur, Maha Penyantun.

6. Status terkini Ummu Nufayl, alhamdulillah, 95% berada di posisinya yang asal. Selepas menjalani lumbar puncture tempoh hari (22 Disember 2009), beliau telah berpindah ke wad High Dependency Unit - tidak lagi Critical/Coronary Care Unit. Dalam proses pemulihan dan pemantauan rapi para pakar. Dan saya sendiri tidak lekang walau seminit dengan beliau memastikan semuanya baik. Latihan fisio - berjalan, menulis, membaca, memahami, berkomunikasi semuanya sedang berjalan dan lancar nampaknya. Secara tidak rasminya, saya mencurahkan segala yang boleh untuk membantu beliau pulih sepenuhnya. Memorinya, dan segalanya. Alhamdulillah, tiada masalah besar buat masa ini.

Apa lagi yang mampu diceritakan.. .melayari rakaman memori terkini FitrahZH. Maha Suci Allah. Syukur Alhamdulillah.

Monday, December 21, 2009

Maha Suci Allah. Pasir Dicipta Menahan Hempasan Ombak

18 Disember 2009. Tepat jam 5.30 petang. Akhirnya pemindahan Ummu Nufayl dari HTAR, Klang ke Sime Darby Medical Centre bermula. Pemindahan berisiko tinggi ini dibuat dengan satu tarikan nafas panjang aku sebagai suaminya. Berkeping-keping borang terpaksa ditandatangani. Antaranya memperakui pemindahan ini adalah 'against medical advice'. Risiko ini ku ambil memandangkan risiko membiarkan sahaja Ummu Nufayl terlantar, intubated berhari-hari lagi dengan kurangnya perkongsian maklumat dan tindakan pihak HTAR sebenarnya akan lebih banyak merugikan minit-minit kehidupan Ummu Nufayl.

Pemindahan berisiko ini dilaksanakan dengan sepasukan pakar dan pegawai perubatan, dan aku sendiri berada di dalam ambulan. Ummu Nufayl dilumpuhkan sepanjang perjalanan dari HTAR ke SDMC.

Sepanjang perjalanan hidup-mati ini, mataku tidak melepaskan pandangannya kepada Ummu Nufayl. Siren dan kelajuan ambulan tidak berjaya mengambus segala memori bersama beliau.

40 minit kurang lebih, tiba di SDMC. Proses kemasukan berjalan lancar dan telah diuruskan sepenuhnya oleh seseorang.

Terus dikejarkan ke Coronary Care Unit. Ummu Nufayl akhirnya mendapat bilik rawatan rapi individu. Syukurlah, aurat dan maruahnya lebih terjaga di sini.

Jam 7 malam, sesi temubual aku bersama 4 pakar, anaesthetist, internal medicine, radiologist dan neurologist bermula dan berakhir 45 minit kemudiannya. Alhamdulillah, pada waktu ini emosiku kembali pada tahap 'segar'. Semuanya lancar dan objektif.

Jam 8.00, 3 jenis ubat berbeza di putuskan diberikan kepada Ummu Nufayl. Dan langkah ini tampak agresif berbanding HTAR yang bercadang hanya akan mengambil langkah lanjut seterusnya pada 20 Disember 2009. (masih lagi pujian harus diberikan atas jasa dan ikhtiar mereka menyelamatkan nyawa Ummu Nufayl dan menstabilkan beliau)

Jam 8.30 malam, 'full body MRI scan' dibuat. Berbaloi juga keengganan aku enggan menandatangani borang ujian lanjut CT scan (contrasted) yang dicadangkan HTAR. Aku menolaknya kerana pada waktu itu renal profile Ummu Nufayl mempunyai risiko ke arah kegagalan buah pinggang.

Jam 11.00 malam. Aku dipanggil masuk ke biliknya. Dan Allahu Akbar! Selepas 4 jam lebih masuk ke SDMC ini, dengan rahmat Allah, Ummu Nufayl telah pun mencelikkan matanya dan sedar bahawa aku kini berada di tepinya. Jarinya dikuis ke arahku. Dan air mata kami berdua sama rancak mengalir tanpa upaya berpura-pura lagi.

Dalam kepayahan tiub di dalam tekaknya terus ke peparu, dan satu lagi tiub pada mulutnya, hidungnya aku dapat terjemahkan 3 soalan penting kepadaku.

1. Fudhayl?
2. Rambut, auratnya?
3. Apa sudah berlaku?

Maha Suci Allah, kesucian hati ibu ini, ketaatannya pada syariat terpapar tanpa dirancang. Semuanya ku jawab dan air mata beliau mengalir lagi, tanpa bicara.

Soalan ketiga itu sebenarnya ku simpan jawapannya demi kemaslahatan beliau. Lantas ku nyatakan serba ringkas keadaanya pada waktu itu daripada berbicara lebih lanjut.

Sabtu pagi, seawal waktu, aku bertemu pakar neuro dan berbincang keputusan MRI. Detailnya biarlah kusimpan. Namun yang nyata, daripada ujian itu, harapan kami untuk kembali menjelajah dunia ini bersama-sama adalah satu perkara yang tidak lagi sirna harapannya.

Rawatan berkaitan diberikan. Dos-dos antibiotik, antivirus, pemulihan hormon dan mineral badan diberikan pakar perubatan tanpa bertangguh. Tiada lagi one-way communication (lebih tepat) no communication antara pesakit - keluarga pesakit dan pihak hospital.

Prosedur perubatan risikonya dibincang dan dalam keadaan kritikal ini, alhamdulillah, Allah swt memberikan rahmatNya padaku untuk secara pantas tetapi tidak gopoh, kritis tetapi masih objektif berfikir. Apa sahaja yang terbaik buat Ummu Nufayl.

Inilah malam keenam aku tidur di hospital. sudah hampir lupa warna bilik di Aman Perdana. Purata waktu tidur 2-3 jam semalaman, itupun ketika Ummu Nufayl mampu lena. Silap waktu, kena melayan pelawat. Rasa longlai tubuh ini. Namun letih ini hilang begitu sahaja setiap kali menjengah Ummu Nufayl tersenyum di katilnya.

Situasi sekarang, proses pemulihan sedang berjalan. Dan dijangka tidak kurang 2 minggu di hospital dan berpotensi menjangkau 6 minggu atau lebih. Status Ummu Nufayl stabil walaupun masih lagi berhalusinasi akibat gangguan pada sistem-sistem tertentu tubuhnya. Emosinya semakin menuju tahap stabil, begitulah juga emosi suaminya.

Jarak ke hadapan belum dapat diukur. Tetapi kami sekeluarga tahu lokasi persinggahan kami sekarang. Ia adalah detik emas untuk dikecapi bersama tanpa cuai. Dengan alunan ayat al-quran yang kudendangkan kepada Ummu Nufayl, diselang seli celotehnya yang masih keliru tentang apa yang berlaku, aku pada malam ini, dapat juga melelapkan mata dengan satu kelazatan keyakinan Iman, bahawa Allah swt, tidak akan begitu zalim kepada hambanya, tetapi pada masa yang sama, bukanlah mudah mencapai syukur, sabar dan redha. Banyak harga yang perlu dibayar.

Terima kasih atas lawatan dan semangat. Kepada sahabat yang sudi juga menjadi ibu susuan Fudhayl, hanya Syurga dan redha Allah dapat kami sekeluarga doakan buat kalian.

Juga buat sahabat & saudara-mara yang mendoakan, menawarkan segala jenis bantuan, membantu kami memberikan fokus pada pemulihan Ummu Nufayl. Juga buat Umi &Mama yang bertungkus lumus menjaga Fudhayl, Nuha dan Nufayl di rumah.

Doakan kami. Dan yakinlah, pada janji Allah. Ombak tidak berirama lembut, kerana pasir pantai itu ciptaanNya untuk dihempas air, kelak lahir sucinya dan halusnya Iman.

Wallahua'lam.

Friday, December 18, 2009

Abang, tak nak cuti ke esok?


Entah kenapa. Diriku agak tidak ketahuan malam-malam ini. Hanya al-Quran peneman bicara. Itupun ayat-ayat tertentu membuatku tidak mampu meneruskan pembacaanku. Dan Allah pastinya pemakbul doa. Kuharap tulisan ini dapat membantu menajamkan kembali daya fikirku sekarang. Yang tak pernah ku alami sebelum ini.

Jika pada biasanya kami berdua bersimpuh, bertukar azam tahun baru dari sebelum Maghrib. Hari ini, dudukku kelu. Bangunku bisu. Lafazku tiada yang menyambut.

Secebis nota ringkas... Buat kenangan dan tatapan kami sekeluarga.. dan aku pasti, Ummu Nufayl akan gelak terkekeh-kekeh melihat suaminya membuat coretan ini. Gelaklah. bacalah ini sebagai cerpen.


"Abang, tak nak cuti ke esok?" Dan disambut dengan senyuman. Agak terlalu lama, hampir 12 hari bercuti sejak kelahiran anak ketiga kami. Terasa sedikit gelisah dengan timbunan kerja di pejabat. Pagi itu, sekali lagi suara nakalnya bertanya. "Tak cuti ke hari ini?"

Sepenuhnya 12 hari itu telah ku tumpukan pada Ummu Nufayl dan Fudhayl. Segalanya ku cuba penuhi. Sepertimana komitmenku hari-hari terakhir sebelum beliau melahirkan Fudhayl; ketika itu Ummu Nufayl minta dibawa berjalan-jalan ala sa'ie ke 1Utama. Hujung ke hujung.

Dan pada waktu itu juga, hampir semua shopping kompleks yang besar di Lembah Klang di jelajah hujung ke hujung. Hasilnya alhamdulillah, dengan rahmat Allah, proses kelahiran Fudhayl Nashwan berjalan lancar tidak sampai setengah hari.

Kembali ke pagi itu. Selasa. Sebelum bertolak ke pejabat, ku jenguk Ummu Nufayl. Agak keletihan, 3 hari berturut-turut si Fudhayl membuli uminya dari jam 2 pagi ke 6 pagi. Hanya susu badan uminya yang jadi pilihan.

Tiba di pejabat kira-kira seketika selepas itu, jam 9.40 pagi terima panggilan dari rumah. Umi yang kebetulan ada meneman Ummu Nufayl dan Fudhayl memaklumkan Ummu Nufayl rebah di dapur.

Terus aku hubungi 999, juga Pusat Panggilan Kecemasan Subang Jaya Medical Centre.

Di Persimpangan Pantai Baharu, panggilan daripada rumah kali kedua. Kali ini ku dengar suara Ummu Nufayl lemah memanggil namaku dan minta cepat sampai. Suara itu adalah satu suara yang tidak aku ingin dengarnya begitu pada bila-bila masa sekalipun. Pandanganku pada jalan raya mula kabur. Sekabur-kaburnya. Terbabas sekali.

Pecut kereta, di pertengahan jalan,di persimpangan Subang, dapat panggilan lagi, Ummu Nufayl mula terkena semacam epilepsy. Menggelupur dan payah. Pertama kali kurasa dalam hidupnya. Aku mula panik. Lorong kecemasan, laluan kiri, kanan tiada yang terkecuali.

Tiba di rumah, ambulan Hospital Klang telah pun tiba 5 minit awal. Prosedur kecemasan sedang diberikan. Ummu Nufayl tidak lagi kenal Abu Nufayl. Beliau telah masuk ke bahagian lain kehidupannya. Aku dapat rasakan beliau 'keseorangan' pada pandangan mata itu. Getar badannya membuatku akhirnya terundur terduduk, melihat sahaja perlakuan doktor padanya. Hanya kalimah Allah dapat kubisikkan pada telinganya.

Menaiki ambulan, tiba di Hospital Klang. Di pertengahan jalan, terserempak ambulan SDMC masuk mencari jalan. Lembab. Terpaksalah ke Hospital Klang. Menimbangkan antara risiko khidmat perubatan yang mungkin bermasalah dan keadaan terlalu cemas, membuatku mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke Hospital Klang.

Tiba di Hospital, terus ke zon merah. Inilah waktunya aku dengar perkataan 'tenat' daripada seorang petugas kecemasan di sana. Doa sahaja terlafaz di bibir. Kekuatanku mula gugur sedikit demi sedikit.

2 jam, segala prosedur dibuat. Dengan satu pesanan keramat beliau aku lafazkan pada doktor. Jaga auratnya walau dalam apa keadaan. Dan jangan didedah melainkan darurat.

Kemudian dihantar untuk imbasan kepala. Selesai diimbas, kembali ke zon merah. 1 jam setengah selepas itu, barulah dibawa ke ICU. Intubated. Segalanya dengan bantuan. Pernafasan tidak lagi semulajadi.

Petang pertama, jelas tiada keputusan. Hanya sedikit sahaja yang dapat ku tafsir daripada kenyataan doktor.

Malam pertama, beliau rehat, aku tidur dengan berpakaian pejabat dari pagi, berselimutkan kain yang dipakai Ummu Nufayl sebelum ditukar ke pakaian Hospital. Dan baju kesayangannya yang koyak rabak dalam proses menyelamatkan nyawa beliau sebentar tadi menjadi penutup wajahku dari silau lampu. Dan silau air jernih yang tak dapat aku hentikan dari mata lemah ini. Ya Allah.

Paginya, tengaharinya, petangnya, beliau ditenangkan dengan sedatif. sakitnya dikurangkan dengan morfin. Kadar kalsium yang melambung tinggi menyebabkan darah terlalu pekat mambawa kepada rebahnya Ummu Nufayl ; kini dikurangkan sedikit demi sedikit. Minit ke minit.

Pelbagai andaian, simptom dan segala macamnya mula menerjah kepala. Masing-masing memberikan pendapat. Aku mula nanar, berpinar dan menjauhkan diri dari segala macam andaian nakal dan jahat dan ada yang betul, tetapi tidak akan aku kongsikan di sini agar tidak jadi doa. Kerana aku yakin, Ummu Nufayl akan kembali bangun dan bersarapan bersama aku dan anak-anak. Tekadku, jatuh bangun kali ini, biarlah suami yang seorang ini, yang 'mengabaikan' permohonan agar bercuti dari isterinya, tanggung dan hadapi. Usahlah siapa merintang melintang. Apa kata doktor? Jangan tanya, bukan masanya aku menjawabnya.

Hari kedua, aku mula disorientate. Mempertimbangkan segala kemungkinan. Mengenang waktu lampau. Mengimbas lafaz-lafaz Ummu Nufayl. Pada masa yang sama menenangkan ahli keluarga yang lain agar tidak terlalu risau, membuatkan aku terlupa tarikh, hari dan bila ditanya doktor ejaan nama Ummu Nufayl, aku terpaksa keluar dari bilik dan masuk kembali untuk merujuknya pada kad pengenalan Ummu Nufayl.

Namun pada hari kedua, Ummu Nufayl mula memberikan respon. Tetapi masih belum kenal siapa di sekeliling. Suaraku hanyut begitu sahaja tanpa responnya. Namun, penjelasan doktor agak melegakan. Dan keadaan pernafasannya, jantungnya, tekanan darahnya adalah normal. Cuma beliau 'berehat' jauh sedikit dari suaminya ini.

Masuk hari ketiga, pakar yang bertanggung jawab memberikan penjelasan lengkap masih teragak-agak dan tidak munculkan diri. Hanya doktor perubatan yang membacakan aku diagnosis awal dan tiada keputusan konkrit. Detik kehidupan Ummu Nufayl mula menjadi pertaruhan kurang berbaloi.

Akhirnya, dateline, jam 3.00 petang, 17 Disember, jam 3.15 petang, ku hulurkan satu panggilan berkongsi perasaan dengan seorang hamba Allah yang aku kenali dengan rapat dan boleh membantu.

Tun Dr Siti Hasmah tiba jam 4.50 petang. Dan ICU tiba-tiba dipenuhi sejumlah doktor, dan doktor pakar yang semuanya menyatakan mereka bertanggung jawab 'menjaga'Ummu Nufayl

Dengan penuh lembut aku sedarkan mereka, dengan ayat "Saya hargai kehadiran doktor semua, dan petang ini saya baru tahu, ramai rupanya doktor pakar yang merawat Ummu Nufayl". Ayat aku menyebabkan aku 'dirotan' oleh Tun. Dan ayat aku seterusnya, "I appreciate if all the things you said to me just now being said one day earlier". Menyebabkan Tun mula 'risau'. Dibisikkan, Nal, keluar dulu, nanti saya bincang" Dengan lafaz melantik beliau sebagai medical advisor untukku dan Ummu Nufayl, aku melangkah longlai, agak terkenang, jika semua proses dan kecekapan ini berlaku dua hari lepas, bukankah lebih afdhal?

Akhirnya segala prosedur yang bertangguh, penerangan yang lambat, semuanya aku perolehi dalam satu sesi kaunseling bersama semua doktor terlibat dan Tun Dr Siti Hasmah. Satu sesi yang 'pelik' rasanya.

Pada akhirnya, ketika sesi terakhir, aku dipanggil masuk, Tun mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang 'komitmen', dan mengakhiri dengan kata-kata, Zainal, it's now your say to make her stay here, or to transfer her to another hospital. Dan jawapanku mudah. Please, SD*C/S*MC. Walaupun ada kisah sedihnya di situ, tetapi kecekapan rawatan di sana aku akui antara yang terbaik.

Dan episod 'selingan' yang agak melegakan ini, menjadi penyambung kisah esok dan seterusnya, insyaAllah di Subang Jaya Medical Center.

Terima kasih pada Firdaus dan isteri, Yuni, bersusah payah bawa aku balik ke rumah untuk 'kembalikan' my mental state. Yang rasanya hilang alignment sikit ni.

Monolog.

Sekadar mencari teman, meluahkan perasaan. Aku baru terasa terlalu sepi. Dan inilah masanya, kurasakan, terlalu sukar mencari ganti isteri seperti ini. Terlalu tebal kasih ini. Dan bersedia mana sekalipun kita untuk menghadapi keadaan ini, bila berdepan dengan keadaan ini, hanya Allah yang boleh menenangkan. Dan pastinya telinga ini sentiasa menunggu panggilan "abang, cepatlah" kembali menghuni telinga ini.

Ya Allah. Inilah detik terpanjang kehidupanku. Dan inilah detik sepi yang goyah aku menghadapnya. Panggilah nama abang... Jangan bazirkan air mata ini... I miss you my dear.. dan Yang, abang dah cuti sekarang...

Thursday, December 10, 2009

Lahirnya ke dunia, yang ketiga

Salam,

Ini kisah kecil. Namun, catatannya penting untuk Ummi & Abah terus mengingatinya.
Aku punya buku kecil, yang kucatatkan semuanya yang penting tentang yang pertama, kedua dan yang ketiga. Tetapi tanpa berkongsi, kurasakan tidak lengkap catatan itu.

Fudhayl Nashwan dijadualkan lahir ke dunia fana' pada Khamis, 26 November, hari 'Arafah ~ 9 Zulhijjah 1430h. Hari yang bagus, namun Ummi berdoa sejak lama...ingin ketemu dengan hari 'Arafah dan melengkapkan puasa sunnat hari itu. Sementelah, tahun sebelumnya Ummi keuzuran dan tahun sebelumnya lagi adalah hari Ummi, Abah & Nanny menginsafi kewujudan kami di dunia dan segala dosa kami di As-Sakhrakh, bumi 'Arafah. Berkongsi kalimah Sayyidul Istighfar yang menenggelamkan rasa kami sebagai hamba Allah :

"Allahumma anta rabbi laa ilaaha illa anta. Khalaqtani wa ana 'abduka wa ana 'ala ngahdika wa wa'dika mastata'tu, a'uuzubika min sanaqtu, abuu ulaka bi ni'matika 'alaiya wa abuu u bi zanbi. Faghfirli...fa inna hu la yaghfiruzzunuba illa anta."

maksudnya :
"Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; aku berlindung padaMu dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau."

Akhirnya, Allah memakbulkan do'aku untuk melengkapkan puasa Hari 'Arafah. Fudhayl tidak menjengah dunia pada hari tersebut. Ketika check-up dengan O&G, dia mengatakan dinding rahimku masih tebal. Masa seminggu diberikan. Dia juga memberi peluang untuk aku dan suami memilih tarikh. Akhirnya kami memilih 30 Nov bersamaan tarikh ulangtahun perkahwinan kami.

Kami meraikan masa bonus yang Allah kurniakan dengan masak juadah hari raya, solat jemaah 'Eidul Adha di Masjid as-Syariff Meru Klang, berziarah dengan jiran, dan seperti biasa exercise di Shopping Complex. Hari Raya kedua di One Utama dan Hari Raya ketiga di Jusco Bukit Tinggi Klang. Juga dengan aktiviti makan-makan di Uptown Damansara, Pizza Hut dan Ramai Seafood, Port Klang...ni kira 2 bulan tak jumpa dah makanan ni ;).

Hari raya ke-empat, 30 Nov 2009 bersamaan 13 Zulhijjah 1430h...aku dijadualkan ke labour room SDMC SJ untuk induction. Sepatutnya jam 8.00 pagi tapi kami lewatkan sedikit dengan notis awal kepada pihak hospital. Aku mendaftarkan diri jam 10.15 pagi selepas selesai menghantar Nufayl & Nuha ke sekolah mereka dan bersarapan.

Jam 10.30 pagi, CTG mula dipasang dan contraction serta heartbit baby akan diawasi untuk jangkamasa 1 jam. Bukaan serviks ketika itu 2 hingga 3 cm. Midwife yang menjagaku ialah Zakiah namanya. Comel & lembut orangnya.

Jam 11.30 pagi, ubat untuk melembutkan rahim dimasukkan. CTG terus disambungkan.

Tepat jam 12.30 tengah hari, midwife masuk lagi untuk memulakan drip. Aku dan suami menolak induction secara drip dan minta midwife hubungi Dr. Delaila, O&Gku untuk pecahkan air ketuban sebagai salah satu cara untuk indcution.

Lunch, solat Zohor sambil rehat-rehat dan sembang-sembang dengan suami. Laptop sentiasa mengumandangkan alunan surah-surah al-Quran. Yang mana surah yang dihafaz, sempatlah aku mengikutnya. Yang tak hafaz, dengar sajalah. Bestnya kalau hafaz Quran kan, mesti boleh ikut semua surah (tak ikut pun, baca sendiri je).

Jam 1.45 petang, O&G sampai. Bukaan serviks baru 3.5 cm. Oklah sebab aku masih belum sakit lagi.
O&G terus pecahkan ketuban. Selepas itu, contraction datang tapi pelan-pelan saja. Aku bagi notis untuk panggil Pakar Bius untuk Epidural.

Jam 2.00 petang, contraction kuat terus datang. 2 minit sekali. Kuat! Kami follow-up bila Pakar Bius nak datang, tapi semuanya ada tugas lain. Suamiku terus menemaniku, menggenggam erat apabila sakit datang dengan kuat.

Jam 2.30 petang, Dr. Dalina (Pakar Bius yang sama menjalankan Epidural untukkan semasa kelahiran Nuha) sampai. Suamiku diminta keluar sebentar. Jam 3.00 petang, proses penyuntikan Epidural selesai. Sebelum sempat Epidural menjalankan operasinya dalam tubuhku, aku memberitahu widwife yang aku dah rasa nak meneran. Midwife Chan memeriksa bukaan, dan katanya,"Fully dilated!" Dr. Dalina terus terkejut dan risaunya dia takut Epidural tak sempat membantuku. Notis panggilan kepada Dr Delaila dibuat. Ups! Aku disuruh tahan, jangan meneran sampai doktor datang. Aduh, dah la sakit contraction, rasa nak push, kena tahan lagi. Tanpa aku sedar hampir setengah jam aku menunggu doktor sampai.
Waktu itu, Midwife Norziela & Sumanthi (Sumi) dah bersedia nak sambut baby (Midwife Zakiah tak ada sejak selepas 1.45 pm tadi, Midwife Chan masuk waktu Epidural sahaja. Selepas itu, aku diambil alih oleh Midwife Ziela & Sumi). Kata mereka, "Ok push, takpe doktor takde saya sambut." Belum sempat aku push, doktor sampai.

Jam 3.30 petang mula push dan 3.35 petang, lahirlah Fudhayl Nashwan bin Mohd Zainal Badri.

Sangat mudah bagiku kerana sakit hanya bermula jam 2.00 petang dengan 3.5 cm, dan jam 3.00 petang dah fully dilated (10cm). Cuma episod kena tunggu doktor tu yang menambah lagi setengah jam. Nasib baik waktu tu, Epidural dah membantu aku mengawal rasa sakit sikit-sikit walaupun sakit pinggang tak langsung dibantu oleh Epidural. (hoho...anak lelaki memang sakit pinggang ler. Nuha dulu tak sakit pinggang pun).

Lahirnya dia diiringi tangisannya kerana dilahirkan ke dunia. Alhaq dia memegang janji dengan Tuhannya.
Selepas dipotong tali pusat oleh suamiku, dan dibersihkan oleh Midwife, dia diazankan oleh suamiku.

Kemudian, sebelum jam 4.00 petang...dia akhirnya berada dalam dakapanku dan menjamah susu Ummi yang tercipta untuknya. Lama dia menyusu, kedua-dua belah, hinggalah nurse datang untuk membawanya ke nursery untuk checkup oleh Paed.

Begitulah kisah kelahiran Fudhayl Nashwan.

Allahu Akbar! Walhamdulillah!

Monday, December 07, 2009

FUDHAYL NASHWAN

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaatu Wassalaamu 'ala Rasulillah.

Pengumuman kepada para bakal besan. Putera kami telahpun mendapat namanya pada hari ke-7 kelahiran beliau. FUDHAYL NASHWAN


secara literal ;

FUDHAYL - maksudnya watak yang memiliki kelebihan, kemuliaan dan kecemerlangan.

NASHWAN - segar, ceria, gembira, freshen up..

Secara sejarahnya, kami ambil nama Fudhayl sebagai panggilan utama, menginsafi kisah seorang wali Allah - Imam al-Fudhayl bin Iyadh ('Ayyadh) yang akhirnya meninggal di Makkah pada tahun 187 hijrah setelah terlalu gementar mendengar sepotong ayat al-Quran yang dibacakan.

Antara ucapan-ucapan Fudhayl bin 'Iyad ('Ayyadh)

1. Berbuat sesuatu kerana manusia adalah syirik, manakala meninggalkan sesuatu kerana manusia adalah riak. Hanya dengan keikhlasan sahaja Allah menyelamatkanmu daripada kedua-duanya.

2. Kalaulah ada padaku doa yang mustajab, sudah tentu akan ku jadikan doa itu untuk seorang ketua. Ini disebabkan kemaslahatan rakyat adalah padanya. Jika ketua tersebut berbuat baik, nescaya rakyat dan negara itu akan aman.

3. Dilihat tersenyum buat pertama kali setelah sekian lama. Kebetulan hari itu adalah hari kematian anaknya. Ketika ditanya, jawab beliau, "apakah yang lebih menggembirakan kerana apa yang berlaku pada hari ini adalah kehendak Allah"..

4. Perkara dan perbuatan yang benar datang daripada Allah. Cara yang betul pula adalah daripada Sunnah Rasulullah SAW.


Harapan Umi dan abah, anak ini akan jadi anak soleh dan wara', cemerlang dan ceria sentiasa.

Wallahua'lam.

p/s : hari ketujuh, Fudhayl dapat nama, tetapi kehilangan rambutnya.. hehe..

Thursday, December 03, 2009

Putera 13 Zulhijjah FitrahZH @ SDMC : 3.35 PM

Bismillahi Walhamdulillah

Agak terlewat sedikit. Tetapi masih ada ruang pastinya.

Alhamdulillah, kami telah dikurniakan cahaya mata ketiga, putera, namanya belum ada.


Profail Ringkas:

Nama : Belum Boleh Diumumkan.
Tarikh Lahir :
13 Zulhijjah 1430H, bersamaan 30 November 2009
Waktu Lahir : 3.35 petang
Tempat Lahir : Sime Darby Medical Center
Kemahiran Asas ketika lahir : Menangis dan Hisap Susu
Kemahiran Lanjutan : Menyamar buat-buat tidur

Kelahiran ini menjadi penyeri seterusnya keluarga FitrahZH. Berkebetulanlah pula dengan tarikh ulangtahun perkahwinan kami. Alhamdulillah.

Sepertimana 'dibisikkan' oleh Ummu Nufayl dalam Facebooknya, segalanya berjalan lancar. Mudah dan dimudahkan Allah SWT.

Gambarnya sepuluh minit dan 3 hari selepas dilahirkan.

Hanya 'sedikit' ujian Allah menimpa kami di Pusat Perubatan terkenal ini. Mendatangkan kesan psikologi yang agak mendalam buat kami, khususnya Ummu Nufayl pada kali ini, khususnya dari segi keyakinan kami terhadap tahap keselamatan di sini.

Bak kata orang, redha kita pada satu perkara, tidak akan melepaskan pihak yang melakukan kecuaian daripada tanggung jawabnya di hadapan Allah dan makhluqnya.

InsyaAllah, sedikit masa kami akan coretkan buat rakan-rakan semua untuk kita kongsi bersama dan sebarkan bagi manfaat bersama di sini dan facebook kami...sekarang, sedang sibuk jaga bayi dan ibu bayi... :P

Wallahua'alam.

Abu Nufayl

Wednesday, December 02, 2009

Raikan Gerak Hati Anda... Landaskan Dengan Syarak,..

Bismillahi Walhamdulillah... Puji dan Syukur pada Allah. Selawat dan Salam pada Rasulullah.

Meraikan prinsip demokrasi. Selagimana tidak melanggar syarak. Lanjutan daripada perhimpunan 100.00000000000000 orang menentang kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tempoh hari, maka, kali ini, dikehadapankan pula jemputan untuk ke perhimpunan yang seakan-akan sama, cuma motifnya lain, kali ini bagi memperlihatkan sokongan pula pada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebagai penyokong tegar, tetapi tidak mendewakan sesiapa, dan juga tidak bebal, kami percaya bahawa, jika pemimpin sudah tidak disukai akibat segala macam keburukannya, maka, gerakan hati kita terhadap beliau itu adalah tanda-awal awal. Diikuti dengan gerakan fizikal rakyat secara kolektif yang akan mencerminkannya penolakan ini. Jadi, marilah kita sama-sama berlapang dada melihat pula respon perhimpunan ini berbanding perhimpunan yang lepas. Dengan penuh rasa rendah diri.

Dan jadikanlah ini perhimpunan yang aman, bukannya untuk mencetuskan persengketaan.

Jika betul 'kemungkaran' orang tua berjubah ini lakukan, pasti Allah akan membalasnya. Saya sendiri tidak mahu mendepani hukum Allah. Kerana sebab di sebalik tindakannya bukanlah 'sampah' di bawah karpet kuning mahupun merah.

Tepuklah dada dengan iman tuan-puan, benci manakah kita dengan orang tua ini. Menyampah sejauh manakah kita dengan tok yang seorang ini. Sekejam manakah kita dengan diri lemah ini di hujung usia beliau? Dan sempatkah kita jenguk beliau pada hari terakhir nafas beliau, sekiranya apa yang beliau katakan selama ini adalah benar dan ikhlas lillahita'ala.

Dan adil-adilkanlah rasa hati kita itu dengan iman dan ihsan. Kemudian, putuskanlah, hadir atau tidak, atau sokong atau tidak. Itu hak tuan-puan. Tiada siapa berhak halang. Wallahua'lam.

Ameen.




Wallahua'alam.

Abu Nufayl

Saturday, November 28, 2009

Bi Adab... atau Biadap dalam Masyarakat?

Assalamualaikum warahmatullah.

Pujian dan syukur pada Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan.

Masih tidak ketahuan, bila tarikhnya cahayamata seterusnya menjengah dunia. Sepatutnya 9 Zulhijjah yang lepas. Hari ini sudahpun 11 Zulhijjah. Masih tenang dan santai dalam perut Ummu Nufayl. Biarlah. Hanya ALlah yang Maha Berhak menentukan detik masa itu.

Tempoh belakangan ini, Abu Nufayl ambil keputusan menyepikan diri. Menurut jejak langkah Ummu Nufayl yang telah pun mengisytiharkan mogok blog. Mogok-mogok beliau, hari pertama dan kedua overduenya, sempat lagi masak juadah raya. Bravo...

Berbalik... Dengan posting terakhir yang lepas, isu-isu susulan makin hebat, tajam dan menghiris.

Hebat dengan fitnah dan unsur fitnah. Tajam menikam hati-hati manusia lain tidak kira sesama Islam atau tidak. Dan pastinya menghiris dan melumatkan adab-adab Islami yang wujud selama ini.

Ujian ALlah datang tidak mengenal golongan sasarnya. Baik Parti Sekular gila bangsa yang cuba memakai topeng Islam seperti UMNO. Baik parti non-Islamik. Baik Jamaah Islamnya. Baik pendukung Islam. Mahupun penyokong tepi jalan. Semuanya boleh terpalit. Asal sahaja ALlah mengkehendaki.

Kurang hikmah kalau saya memanjangkan bicara. Takut timbul unsur memfitnah. Tetapi apa yang jelas, adab Islami yang selama ini menyusun atur keharmonian dan kesejahteraan umat sudah mula ditinggalkan. Dan ini perlu diperingatkan.

Adab berhujah antara ulama. Membahas sesuatu perkara sehingga mencapai suatu kesepakatan. Dan kemudian barulah dialirkan kepada khalayak ; nampaknya adab ini sudah dilupakan oleh pakar-pakar agama dalam menyuarakan hukum kepada orang awam. Tahlil bidaah, berzanji tak boleh, Doa qunut tidak betul. Itu hanya tiga contoh mudah. Semua ini menjadi alat mainan kepada orang awam. Dan mainan ini dibekalkan oleh agamawan PHD, kadangkala. Hentam menghentam di surau-surau antara dua aliran rancak berlaku. Si tua dan muda sudah mula bermasam muka. Membawa jauh hati masing-masing. Akhirnya surau yang sepi kerana kurangnya jamaah bersolat. Inilah bala bencana akibat meninggalkan adab.

Malah, sudah wujud ceramah dan kuliah yang ada unsur-unsur memperlekehkan Ulama-ulama terdahulu. Bukan itu sahaja, apabila diulas, menghasilkan pula gelak ketawa penuturnya. Dan juga pendengarnya. Astaghfirullah.

Betapa kurang ajarnya golongan agamawan ini. Lupakan orang awam. Mereka jahil dan hanya ingin memetik bahagian yang ingin didengar. Baru sahaja menggenggam Masters, PHD, sudah mula bicara laksana mujtahid. Dan membiarkan Imam-Imam besar sebelum ini ditertawakan khalayak. Pada saya, agamawan-agamawan seperti ini adalah sampah kepada suatu juzuk harum yang ada dalam Islam. ADAB.

Kemudian, hasilnya, lahirlah pula agamawan lain, menghentam pula agamawan tidak beradab tadi. Melalui kuliah, ceramah dan blog. Baguslah, menjadi pembela. Tetapi adakah ini caranya hikmah yang diajar Rasulullah? Memarahi orang kafir sendiri dibuat oleh Rasulullah dengan penuh hikmah dan ada manhajnya sendiri. Bersemuka, sampaikan dahulu. Kemudian berbincanglah kaedah terbaik tanpa perlu mengheret orang awam yang jahil ke lembah gelak ketawa, malahan membakar api kebencian antara sesama Islam.

Bala dan bencana ilmu sudah mula menimpa golongan cerdik pandai. Perasaan ujub tidak disedari sudahpun dizahirkan melalui senjata ilmu yang ada di dada. Baik di Lembah Klang yang katanya bertamadun, mahupun, di ceruk utara Semenanjung yang dikatakan mundur.

Mundur? Utara? Perlis? itu lupakan dulu kegilaan kuasa dan peluru. Mundur, memang Perlis mundur. Walapun parti Barisan Nasional yang perasan yang memerintah sekian lama. Lampu jalan pun tak mampu pasang. Tembolok penuh juga.

Yang saya maksudkan Kelantan. Sedang pun dihujani krisis adab. Saya bukan ingin menghurai isi krisis, kerana itu juga biadab kerana saya bukanlah ahli keluarga Tok Guru, bukan juga ahli keluarga orang yang tidak suka ahli keluarga Tok Guru itu. Tetapi melihat dari perspektif Islam, menggunakan blog atas nama mempamerkan dan menegakkan kebenaran adalah satu tindakan bodoh jika ia melibatkan keaiban sesama Insan. Betul atau salah tindakan sebegini? Tanya sajalah, jika Rasulullah masih hidup, dan kita bicarakan keaiban orang dengan meneriakkannya di atas Kaabah agar semua penduduk Makkah datang dan mendengarnya, apa rasanya sabda Rasulullah? Jangan cerita tentang niat di hati tuan, puan, haji dan hajjah. Itu hanya Allah yang tahu. Lidah boleh bercabang. Jari boleh berkait.

Dan mulalah, bicara atas bicara. Semua mula mengambil sikap defensif dan kemudiannya ofensif. Membalas melalui alam maya, blog juga. Tidak kiralah artikel pendek, panjang, mahupun surat terbuka dan sebagainya. Semua ini ketika menulis dirasakan sebagai mempertahankan diri dan menegakkan kebenaran. Tetapi setiap butir bicara sebenarnya memamah keikhlasan diri. Mempamer peribadi diri. Mengaibkan pula orang lain. Ini menghancurkan adab dan hikmah. Mendedahkan kepada salah tanggapan. Dan akhirnya, tidak menyelesaikan masalah, malah menambah masalah dan fitnah.

Tidak kiralah siapa anda. Kadangkala watak sebenar yang disanjung pada awalnya, tercalar hanya kerana sikap tuan puan, ustaz dan ustazah, dan bukan ustaz mahupun bukan ustazah yang bertelingkah di alam maya, dalam blog yang dibaca oleh pelbagai peringkat pemikiran manusia. Dan penuh pula dengan oportunis ditunjangi syaitan

Satu peringatan yang ringkas tetapi rasanya bermakna sekurang-kurangnya untuk diri saya dan keluarga. Di dalam perkara agama sekalipun (yang mana niatnya baik) ; setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Allah memperingatkan manusia agar merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Oleh itu, dalam soal memberikan pandangan, para salafussoleh mengamalkan perbincangan pada taraf yang sama kufu' terlebih dahulu (sesama ahlinya / pihak yang terlibat) di dalam satu wacana khusus para ulama untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor. Pada akhirnya barulah keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Ketika ini,kita terpengaruh dengan medium ala pasca-modenisme, yang menganggap semua taraf medium/wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’. Dan semua orang patut mendengar apa sahaja.

Katalah, semua ini berlaku kerana melibatkan unsur politik, dan politik itu sukar dibaca. Baik, saya bersetuju. Dan sebagai tukarannya, tuan puan juga perlu bersetuju, politik juga tertakluk kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.. boleh?

Akhir kata, janganlah pada akhirnya, dengan hujah yang memperdayakan diri sendiri, mujadalah dan muamalah sesama manusia yang sepatutnya BI-ADAB (dengan adab), kini menjadi pertarungan BIADAP ADAB!

Wallahua'lam.

Abu Nufayl.

Friday, November 27, 2009

A Note by 40wk pregnant mom

Alhamdulillah, dikurniakan Allah ni'mat untuk melengkapkan puasa Hari 'Arafah semalam walaupun semalam adalah hari jangkaan bersalinku @ 26 November 2009/ 9 Zulhijjah 1430h.

Semalam bermula dengan bangun awal pagi untuk bersahur dengan sebiji kurma dan segelas air (of course wajib makan ubat-ubatku sebelum aku 'boleh' berpuasa).

Kemudian, bermula jam 10 am, mula membersihkan rumah. Aku menyapu dan Abang mengemop. Clear!
Lepas siap-siap, mandi dan solat Zohor, terus ke SDMC-SJ untuk check-up dengan O&G yang sememangnya dijadualkan hari ini. Confirm belum ada tanda nak bersalin - dinding rahim masih tebal! Memandangkan bayi di dalam rahimku ok (degupan jantungnya bagus) dan keadaan Umminya pun bagus lagi, doktor bagi masa sampai 7 hari selepas tarikh jangkaan bersalin (kalau tak, kena induce la!)

*Nufayl overdue 2 hari.
*Waktu Nuha dulu, ketika checkup 39 wk, doktor kata dinding rahim tebal dan ada kemungkinan overdue, tapi selepas 2 hari bayi dah menjengah dunia. Nuha awal 2 hari daripada tarikh jangkaannya.

Selepas check-up dengan my O&G, dapat juga :-
- jalan-jalan di Sunway Pyramid - window shopping di Jusco & shopping bahan mentah di Giant untuk masak juadah raya
- berbuka puasa dgn ABC (tak tau napa, tingin sangat nak makan ABC semalam)
- juga dapat masak Nasi Himpit, Kuah Kacang, Daging ala Satay, Ketupat Palas (of course yg segera punya -NONA) dan Rendang Daging Hitam Mama serta bakar kek coklat dalam masa 4 jam (10.30pm - 2.30am), dengan dibantu oleh Incik Suami. ;)
- Incik Suami dan anak-anak pukul 3am baru nak tidur
- Aku hanya tidur sejam sebelum bangun Subuh dan bersiap ke masjid (buat apa? ada siapkan deco jubah raya Nuha, ada final cleaning the house pastu etc etc la)

Hari ini pula, dapat solat sunat Eidul Adha di Masjid Asy-Syarif Meru, walaupun masa nak bangun Subuh tu...kaki macam dah tak boleh gerak, dan pinggang rasa nak putus. Tak boleh nak tidur tegak langsung. Semangat nak pi solat raya, terus hilang rasa sakit-sakit tu.

Lepas makan juadah raya dengan suami dan anak-anak + Cik Da (adik ipar) baru semua sakit tu datang balik, dan aku rehat. Belum sempat rehat, ada jiran datang ziarah. Lepas layan jiran, akhirnya dapat masa untuk rehat. Lepas Solat Jumaat, kami ziarah rumah jiran.

Petang, Dik Id & Suzy yang datang beraya di rumah sambil share tentang pregnancy, delivery & breastfeeding dengan mereka yang akan menimang anak sulung dalam jangkamasa terdekat ini.

Sekarang tengah buat apa? Of course, NUR KASIH-FINALE!

Alhamdulillah, bahagia!

Wednesday, November 04, 2009

Ujian dan Nikmat ;)

Alhamdulillah, semalam walaupun diuji dengan kesakitan sepanjang hari (paru-paru & tulang rusuk dihimpit oleh baby 37wk ni sampai Umminya sesak nafas, sakit sampai tulang rusuk ke-berapa ntah, tak boleh duduk langsung), ada 3 nikmat dapat :-

1. Parcel yang ditunggu-tunggu drp US selamat dapat juga, walaupun cik abangku kena pi POS Malaysia kat LCCT pelepasan kastam (nasib baik tak kena cukai!) --> MEDELA FREESTYLE :D

2. Katil Super Single yang diorder Ahad lepas selamat dipasang di bilik bawah dah. Cepat-cepat dipasangkan Comforter Set S.S NOVELLE yang dibeli drp Jusco. Diskaun 80% tu!

3. Dapat makan pulut durian ++ buat kuah durian. Ni kes walaupun sakit tapi sebab teringin nak makan, malam-malam pun sanggup! ;)

So, hari nih Umminya masih tidak ke office sebab melayan baby yang menyendalkan kakinya di tulang rusuk Ummi. Bila la, baby nak tengok dunia ni? Habaq awai-awai no!

Monday, November 02, 2009

Tauliah...

Salam 1Aqidah Tauhid

Saya tak pasti salam di atas adalah ajaran Allah Rasulnya. Mungkin akan ada mufti atau bekas mufti yang marah. Tetapi apa yang pasti intipatinya salam saya tadi rasanya lebih menepati ajaran Islam berbanding lafaz Salam 1Malaysia atau salam 1Melayu atau apa-apa makhluq salam lagi yang dilafazkan oleh 'tukang masak' agama di Malaysia ini.

Kadangkala intipati ini dizahirkan dalam bentuk lebih kreatif para ulama dalam menarik minat ummah menegakkan syariat Islam menerusi syiar yang berwarna-warni.

Namun, tidak dapat dinafikan, adakalanya ia menjadi bidaah. Menyesatkan dan mengharu birukan apabila dibuat oleh bukan ahlinya.

Dan, menepati janji Allah, di sinilah akan timbulnya agamawan ulung bangkit mempertahankan ajaran Islam yang suci tanpa campur aduk (dakwanya). Dan mereka ini juga tidaklah salah. Asalmana tidak menyebabkan orang awam terus lari lintang pukang apabila menyebut tentang Islam. Bukan kerana ajaran agamawan ini sukar, tetapi caranya terlalu kasar dan biadap untuk ditelan orang awam. Maklumlah ilmu tidak setaraf.

Kadangkala perlu ada pengimbangan antara semua perkara ini. Dan Allah SWT Maha Adil. Menurunkan peringatan kepada semua orang, baik hamba abid mahupun Perdana Menteri. Baik si jahil, mahupun bekas mufti. Baik anak, mahupun datuk kepada seratus cucu. Agar manusia ini sentiasa ingat, Allah itu Maha Kuasa dan Maha Memerhati segala tindak tanduk mereka.

Saya mungkin nampak ke kiri dan ke kanan. Tetapi yang nyata tetap nyata.

Dan ia juga nyata, bila saya mengatakan, pada masa yang sama JAIS menjadi asbab kepada golongan tertentu 'mendapat' peringatan daripada ALlah ; pada masa yang sama juga, tindakan menahan seorang bekas Mufti yang pernah juga diiktiraf menjadi salah seorang ahli Majlis Fatwa Kebangsaaan dengan kaedah tangkapan yang dibuat pada awal bulan November 2009 ini adalah sama JAHILNYA dengan TIDAK MENAHAN PEMBESAR-PEMBESAR YANG MINUM ARAK DI KELAB MALAM, DAN SAMA JUGA JAHILNYA DENGAN MEMBIARKAN JUDI DAN ARAK BERLELUASA DI NEGERI YANG SAMA.

"Tidak bertauliah dan memohon tauliah piunca ditangkap"

Jadi arak, judi dan betina itu sudah ada tauliahkah? Sebab itu masih beroperasi. Oh ya.. bukan JAIS keluarkan lesen. Jadi tidak ada dosa kan walaupun tidak membantah dengan keras... Negara majmuk. Neraka pun majmuk. :)

Atau adakah perbuatan membiarkan kemungkaran qat'i ini ADA TAULIAH??? Dari siapa? Syaitan?

Dan ingatlah, tindakan jahil (JAIS) dalam konteks ini, tidaklah lari dari sub-tafsir kepada perkataan bodoh. Iaitu, tidak memanfaatkan kuasa sebenar ke jalan yang benar. Dan menzalimi diri sendiri dengan kegoblokan ini. Hanya kerana itu.. ya.. kerana itu... Dan marilah kita iktiraf pentauliahan Sisters in Islam, Astora Jabat dan konco-konconya. Kerana tauliah itulah tiada siapa tangkap mereka. Dan ingat juga, Dr Asri mula dikenali umum dengan debatnya bersama Astora. Ironinya, Astora tidak pernah ditangkap. Dr Asri pula kena tangkap. Siapa yang sesat?
Wallahua'alam.

Friday, October 16, 2009

Ingin Bersama ke Mana? Syurga atau Neraka?

Sedikit ingatan. Mengelak dari ke lubang gelap bersama-sama...

Terpandang isteri solehah di tepi. Teringat pula sahabat handai dan keluarga yang lain.

Maaflah bagi yang terasa. Tetapi yang haram tetap haram. Yang halal tetap halal. Bagi yang faham ; aku ini jenisnya rempuh api pun tak kisah. Jadi jangan cuba bermain api.

Tersandar ke belakang. Mata tak dapat lelap malam ini.

Terlintas satu perkara. Kadang-kadang kita jauh, tetapi sebenarnya dekat. Dan kerapkali kita dekat tetapi sebenarnya jauh.

Kita menasihatkan orang awam. Kita tarbiyah rakan-rakan. Sedar-sedar keluarga sendiri terabai. Kadangkala.

Terasa juga ingin berlepas tangan. Memikirkan hal sendiri. Tetapi tanggung jawab adalah amanah Allah. Biarlah mereka yang lupakan Allah terlupa tentang perkara ini. Tetapi bagi yang ingat, sedarlah cepat.

Ada yang minta tidak ditegur. Tetapi selagi teguran itu wajib, kenapa ingin berhenti. Walaupun penat. Tapi usaha kita hanya Allah yang berhak menilainya.

Ada yang merasa diam itu tanda izin. Tetapi bagi aku, diam kerapkali menunjukkan rasa bengang. Bilaku bising tandanya sayang. Walaupun kerapkali sayang itu dalam diam.

Terasa ingin pedulikan kubur sendiri. Tetapi bolehkah kita jamin keluarga yang kita tinggalkan akan ke neraka keseorangan. Dan kita tidak ditarik bersama.

Ada orang tidak takutkan neraka. Kerana bisanya belum terasa. Tetapi aku tidak memilih walau untuk mendengar perkataan itu.

Jarak hidupku mungkin tidaklah jauh lagi. Tetapi sudah banyak anak bangsa, Islam yang aku lihat jatuhnya mereka. Akhlaq longgar. Pergaulan jahanam dek tusukan syaitan dengan bukan mahram.

Akademik jatuh, hanya menyesal bila tamat belajar, CGPA itik tak sudu, ayam tak patuk. Bila temuduga, resume orang HR tong sampahkan. Masa itulah ada yang terkedu.

Ada yang berjaya berkerjaya. Dan senang hidupnya. Tetapi kosong pula dada tidak terdetik untuk diisi. Nipisnya iman, makin hari menipis hilang. Kurangnya ilmu, semakin hari semakin liar. Liatnya lidah, semakin hari hanyut duniawi...

Lagha dan lalai kononnya rehat. Tetapi jarum yahudi hedonisme sudah pun menusuk.

Hati yang asalnya lembut, jadi keras bak kurangnya zikir dan quran. Longgarnya solat. Hidup jadi tidak terurus. Pagi dan petang tak kenal matahari.

Semuanya hasil kerja tangan Yahudi la'natullah. Dan kita melaknat diri sendiri dengan kelalaian. Yahudi musyrik pastinya ke neraka. Dan umat Islam sedang dimusnahkan.

Cuai, lalai. Dan aku sedar, dunia ini sekarang dimiliki kecuaian itu.

Tetapi kenapa lubang neraka itu yang kita pilih? Adakah kita yakin hidup kita tak perlu dibantu sehingga ke liang lahad?

Dengarlah. Dan ingatlah. Hembusan nafas terakhir keluarga terdekat, jangan diiringi dengan penyesalan akibat engkar pada suruhan berlandaskan ajaran Allah swt dan Rasulnya.

Selamat Kembali. Atau hadapilah api seterusnya. Kalau api ingin dilawan api. Dan jika tak ingin ditentang. Tangan ini sentiasa sejuk menerima mad'unya. Dengan kasih dan sayang lillahi ta'ala.


Astaghfirullah. Wallahua'lam.

Thursday, October 15, 2009

Kenapa Lari? Kami Tak Perlu Kejar

Ketua Keselamatan Kampung Durian Sebatang berkata,

Beliau berkata kelemahan bukanlah di pihak 'Penjaga Keselamatan' tetapi sebaliknya Putera Kacak sendiri yang melarikan diri dan mengelak daripada diadili di mahkamah.

"Buat apa dia lari? Kalau dia kata apa yang dia tulis itu benar datanglah.

Kita ada undang-undang oleh itu jawablah di mahkamah"

Keh...keh...keh....

Haa. Kalau buat salah. Lari ja. Tak kena kejar punya. Kalau betul, barulah pi mahkamah.

Nasib la. Patutla pembunuh dan penculik anak-anak ayam kat kampung Durian Sebatang masih berkeliaran.

Abu Nufayl

Sunday, October 11, 2009

Niqab...

Salam,

Kadang-kadang bila dikejut, barulah tersedar, panjang pula tidurnya kali ini. Terima kasih pada sahabat yang sudi ingatkan laman sesawang yang sudah bersawang ini.

Saya suka kepada satu kisah (hadith) pendek, terkandung dalam Sunan Abu Daud Buku 14, Hadis ke 2482 :

Thabit bin Qays (Radhiallaahu 'anhu) meriwayatkan : Seorang wanita (Ummu Khallad)datang kepada Nabi SAW, sedangkan pada ketika itu wanita itu berkerudung. Dia sedang mencari puteranya yang telah dibunuh (dalam pertempuran) Beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW berkata padanya: kamu telah datang ke sini menanyakan anakmu sambil berkerudung pada wajahmu (sahabat mendapati sukar mengenalpasti siapakah wanita itu)? Dia berkata: Jika aku menderita dengan kehilangan anakku, aku tidak akan menderita lagi dengan kehilangan kesucian dan kemurnian diriku

Rasulullah SAW lantas berkata: Kamu akan mendapatkan pahala dua orang yang mati syahid untuk anakmu

Dia bertanya: Mengapa demikian, ya Nabi Allah? Baginda menjawab: Karena orang-orang Ahli Kitab telah membunuhnya.


Sebenarnya Islam ini banyak sumber. Baik al-Quran, Sunnah, Ijma' Qias, Syariat pada sahabat, dan sebagainya. Dan siapalah kita untuk mendahului segala sumber ini. Cuma saya agak risau memetik sumber ini pada asalnya, kerana bimbang disangkal oleh hujah menggunakan sumber lain. Bukan takutkan perdebatan, tapi takutkan sanggahan dibuat atas dasar mempertahankan nafsu dan pendapat diri, bukan lagi kerana Allah SWT. Wal'iyazubillah.

Persoalan terkini berkaitan niqab, saya agak terkedu. Mahunya tidak, kali ini ia telahpun dibahaskan oleh ulama muktabar zaman ini. Diulas pula oleh ulama'-ulama' yang kita sama-sama sanjungi dan sayangi baik dari segi ilmu mahupun akhlaqnya.

Jadi apakah komen saya terhadap isu ini? Hanyalah sebagai orang awam yang jauh ketinggalan ilmunya berbanding pengulas-pengulas lain yang tinggi darjatnya.

Dalam kisah ini, andaikata Syeikhul Azhar berada dalam keadaan yang hampir sama dengan para sahabat, melihat seorang wanita yang sedang berhajat sesuatu tetapi wajahnya dilitupi, tidak mustahil akan terdetik di hati manusia hamba Allah ini untuk meminta agar wanita itu membuka wajahnya. Apatah lagi jika dalam satu kumpulan wanita, hanya seorang yang menutupi wajahnya berbanding yang lain. Pasti nampak agak pelik, dan mungkin akan diminta membuka wajahnya.

Samalah, jika saya sebagai orang awam, menemuduga bakal pekerja, pasti ingin juga melihat wajah, atas dasar mendapatkan kepastian beliau tidak mencebik dan tidak mencemuh ketika kita bercakap. Semua ini atas kelemahan syak wasangka kita sebagai manusia biasa. Jadi mungkin saya akan meminta beliau membuka niqabnya. Kerana kita tahu ia tidaklah aurat menampakkan wajahnya. Dan kita pula bukanlah bernafsu melihat wajahnya. Hanya ingin pasti, wanitakah ini. Jujurkah beliau datang bertemubual dengan kita.

Dalam banyak keadaan, respon kita pasti akan berubah. Dan jika orang Mesir, mahupun arab dari tempat lain, mungkin nadanya lebih keras dan lebih provokatif, kerana itulah sifat bangsa arab ini.

Jadi jika nada ulama besar ini bercakap dengan wanita muslimah berkenaan dianggap kasar dan keras ; harus dilihat juga pada 'uruf persekitaran. Sebagaimana juga Saidina Umar yang kerapkali mengherdik walaupun pada sahabat yang lain. Bukan kerana tiada akhlaq, tetapi itulah pembawaannya pada zaman dan keadaan masyarakat semasa. Dan adakah beliau terkeluar dari senarai sahabat yang dijamin masuk syurga?

Tidak boleh kita nilai kelakuan bangsa arab untuk dinilai menurut kacamata masyarakat Melayu yang lemah lembut. Begitu juga sebaliknya.

Jadi, saya tiada sebarang sangka pada Syeikhul Azhar, menghormati ilmunya, dan memahami latar belakangnya. Apapun kata orang, menjadi tanggung jawab kita untuk tidak menjadi lebih sudu dari kuah dalam menanggapi perlakuan ulamak. Cukuplah golongan musyrikin dan munafik mencari jalan menjatuhkah ilmuan Islam sejak dahulu. Tetapi jika sudah jelas ulama' itu ulama' suu' maka neraka Allah lah galang gantinya.

Balik kepada kisah pendek tadi. Baginda Rasulullah, tidaklah pula serta merta menghalang Ummu Khallad ini daripada terus berkerudung (menutupi wajahnya).

Menunjukkan bahawa memakai niqab ataupun menutup wajah ini tidaklah termasuk dalam larangan syar'ie yang pasti akan ditegur segera oleh Rasulullah SAW yang agung ini.

Malah baginda memberikan satu respon yang amat baik dan positif. Kerana menghormati ijtihad wanita ini untuk meneruskan dengan kerudungnya bagi menjaga kesucian maruahnya dan mungkin kerana malunya yang menebal kepada lelaki ajnabi. Yang mana menujukkan penutupan muka ini juga boleh berdasarkan keperluan persekitaran dan penjagaan maruah diri. Cuma mungkin tidaklah boleh sampai mengiktiqadkannya sebagai ibadah jika tiada dalil yang jelas. Kerana tiada suruhan yang jelas. Dan jika ada, nah, silakan dengan keupayaan ilmu puan-puan sekalian.

Ia berlegar di antara - boleh, harus dan dibenarkan - Namun tiada perdebatan jelas samada ia wajib, sunat, mahupun haram pada pandangan syara'.

Melihat pada perspektif ini, maka kita ambil dalam suasana H1N1, masing-masing memakai penutup muka. Walaupun lelaki, walaupun wanita. Apakah hukumnya topeng menutup muka ini? Sunatkah? Haramkah? Wajibkah?

Sehinggalah ada yang menyalahgunakannya untuk melakukan rompakan dan menyamar, maka barulah ada penguatkuasaan tertentu ke arah penyalahgunaannya.

Begitu juga niqab, jika persekitaran semasa menyebabkan penyamaran berlaku berleluasa contohnya, maka akan adalah hukum yang menjurus ke arah melarangnya. Bukan atas dasar pemakaiannya, tetapi pada dasar implikasi pemakaiannya.

Dan tidaklah salah pada saya jika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong pengharamannya (jika betul ia diharamkan), apabila pemakaiannya membawa kepada musibah yang lebih besar. Tetapi jangan dangkal melihat kepada satu aspek bicara Tuan Guru.

Sebenarnya yang lebih penting untuk diikuti adalah kata-kata beliau (juga firman Allah, dan juga Sabda Rasulullah) bahawa MENUTUP AURAT ITU WAJIB. Jadi kelayakan membahaskan isu niqab ini GUGUR jika tuan-puan masih belum menutup aurat sepenuhnya. Tutuplah aurat dahulu dengan sempurna, dan kemudian komenlah dari sudut apa pun.

Ini kalau lutut atau rambut telanjang aib auratnya, tak usahlah berdebat isu niqab. Terlalu jauh dari maqam tuan puan sekalian.

Baiklah, saya di sini jauh dari taraf menghukum. Seperti yang saya nyatakan, apabila melihat perdebatan antara golongan soleh dan ulama', lebih baiklah saya menyentuhnya secara sipi sahaja melalui kaedah ini. Bukan secara aqliah, dan tidaklah terlalu naqliah. Hanya dari orang awam untuk orang awam.

Bagi yang masih dengan niqabnya, terpulanglah. Buatlah kajian lanjut menerusi ulama' muktabar. Tetapi jangan lupa untuk jaga akhlaq puan-puan. Kerana akhlaq buruk orang yang berniqab ini implikasinya lebih besar dari akhlaq buruk oleh orang gila yang tidak berpakaian. Akan diambil peluang dan jadi bola tanggung bagi golongan fasiq, kuffar dan munafiq menjatuhkan maruah muslimah solehah.

Sahabat sekalian, menanggapi isu ini, saya suka untuk meletakkan kaedah berlapang dada dan sabar dalam memberikan pendapat dan komen. Cuma, pada saya buat masa ini, jikalah ada ahli keluarga saya yang belum berniqab, saya tidak berhasrat memaksanya memakainya. Dan jika sudah memakainya, saya tidaklah pula ghairah untuk meminta beliau melucutkannya. Melainkan sebabnya jelas memudharatkan beliau, keluarga atau masyarakat, maka, saya juga tidak teragak-agak menyuruhnya meninggalkan dahulu pemakaiannya, dengan dua syarat, AURAT WAJIB MESTILAH TETAP DITUTUP SESEMPURNANYA, dan kaedah menyuruhnya menanggalkan, tidaklah sama dengan cara kita mencela orang kafir atau fasiq yang menderhakai hukum Allah. Allahu Akbar.

Astaghfirullaahal Adzeem. Wallahua'lam.

Abu Nufayl

Friday, September 04, 2009

Terima kasih Menteri Lembu (bukan nama sebenar)

Bukan nama sebenar, di negara Sinagaraga, petikannya ;

The Cow Minister (not a real name), said those involved in the 'cow-head' protest in Shal Alal last week cannot be blamed for the controversy

“They are not going (to be let off) scot-free. But they just feel victimised because they feel there is another valid explanation and had no intention to cause racial (divisions),” he said

Ayuh, tuan-puan. Jika anda merasa dizalimi, contohnya kerana ISA, PPSMI ka, ataupun pelacuran politik melalui rasuah, ataupun apa sahaja yang tidak puas hati, silalah berdemonstrasi, kerana Kementerian Lembu negara Sinagaraga sedia membantu memberikan justifikasi bahawa rusuhan, atau demonstrasi, atau apa juga perilaku tuan puan adalah kerana tuan puan merasa 'being left out, victimised' dan segala macam lagi. Dan jangan risau, jika rusuhan berlaku, tuan puan tidak akan dipersalahkan, kerajaanlah yang akan dipersalahkan kerana mewujudkan keadaan 'kurang selesa ini'. Bukan tuan puan yang salah tau.

Teruskan tunjukkan perasaan anda. Sembelihlah ayam ka, cengkerik ka, ikan sardin ka. Kemudian pijak kepalanya. Menteri Lembu (bukan nama sebenar) sedia membantu. Dan jangan lupa iklan arak free mesti ada. Untuk mendapat bantuan istimewa! Siasatan polis pun boleh didahului. Special treatment for special 'colleagues'. The Lembus..

Salam Hormat.

Saturday, August 29, 2009

Kalimah Take Beeer & Kepala Lembu?

Astaghfirullaah al'Adzeem.

Laknat Allahlah pada mereka ini jika perbuatan ini dalam keadaan sedar. Dan jika tidak sedar, kembalikanlah mereka kepada agama Islam. Dan buatkanlah mereka mengucap kembali.



Itu sahaja yang mampu saya lafazkan bila terlihat sepanduk yang digunakan oleh bangsa Melayu jahiliyyah di Shah Alam lantaran kes pemindahan pembinaan kuil. Adakah mereka tidak faham, sebutan itu adalah sebutan kalimah bahasa arab. Yang membawa pemahaman umum, Marilah Besarkanlah Allah yang Maha Besar.

Kenapa dieja dengan ejaan laknat ini?

Perkataan "Take Beeer" di sini. Walau apapun alasannya, kita tahu adalah satu sindiran kepada Takbir yang dilafazkan oleh orang-orang PAS. Tanpa perlu berbohong, itulah maksud mereka ini.

Dan jika itulah maksud mereka, betapa bebal dan dungunya, dajalnya umat Islam berbangsa Melayu ini mempamerkan perkataan yang sama bunyi dan berlainan maksud, kononnya menghina PAS, tetapi sebenarnya menghina Allah SWT. Inilah hasil didikan kolonial, penjajah kafir yang bersemayam di dalam kepala kaum Melayu yang sedang membogelkan Islam di mata musyrik. Astaghfirullah. Astaghfirullah.

Namun bila melihat kepada gelagat mereka seterusnya, membawa kepala lembu, maka kita tahu, bahawa memanglah kumpulan ini adalah lembu. Tidak dapat disangkal. Itulah kepala mereka. Itulah otak mereka. Malah lebih hina dari binatang ternak ini.

Mempermainkan sebutan membesarkan Allah ; adalah dosa besar yang nerakalah tempatnya. Tetapi itu untuk diri pelakunya sahaja. Tetapi kepala lembu, implikasinya lebih besar dan menyeluruh. Kepada agama Islam itu sendiri.

Membawa kepala lembu? Dalam isu kuil pula? Apakah itu tidak menggambarkan penghinaan terhadap sembahan penganut agama Hindu?



Walaupun kita benci kepada agama lain, tetapi kebencian itu ada kaedahnya untuk digambarkan. Kenapa kita bertindak berlebih-lebihan dalam hal ini? Adakah kita ingin al-Quran kita diinjak? Nama junjungan besar kita dihina? ALlah swt dipermainkan?

Allah SWT berfirman dalam suran al-An'aam ;

Janganlah kamu mencela atau memaki hamun sembahan mereka selain Allah, nanti mereka juga akan memaki hamun Tuhan kamu kerana marah tanpa sebarang ilmu pengetahuan. (Ayat 108)

Tidak ada tempat dalam Islam bagi provokasi seperti ini, yang hanya akan membawa kepada pergaduhan yang memusnahkan kedamaian amal ibadah umat Islam itu sendiri.

Juga, adakah bodoh penguatkuasa undang-undang, sehingga tidak dapat meleraikan provokasi berbahaya ini? Tidak faham agamakah? atau seronok dengan jualan murah tiket ke neraka ini?

Walaubagaimanapun, melihat kepada dua perlakuan berbeza ini, pada masa yang sama oleh kumpulan yang sama dalam isu ini, saya dapat menyimpulkan ;

tidak ada bezanya kepala lembu yang dibawa, dengan orang yang menyokongnya, dan membawanya, malahan dengan sepanduk Take Beer yang dibawa mereka, jika kesialan ini dilakukan dalam keadaan mengetahui, menjadikan mereka bukan sekadar seakan kepala lembu, tetapi lebih hina daripada binatang ini.


Wallahua'lam.

Wednesday, August 26, 2009

Corat-Coret Awalan Ramadhan 1430H

Assalamualaikum warahmatullah semua.

Pujian buat Allah Tuhan Sekalian Alam dan Salam buat Rasul Junjungan SAW.

Akhirnya. Ada juga tangan membelai ruangan ni. Dua hari dua kali pulak tu. Harapkan maknya... Beranak lagi sorang la agaknya. hehe..

Selamat menyambut Ramadhan buat semua. Moga mendapat keberkatan Ramadhan. Mari kita lihat beberapa perkara mencemar keberkatan dan kerahmatan Ramadhan.

1. Menipu, baik logik, mahupun mantiq.
Contoh. Bila menang tipis, kata "kita tetap menang". Bila kalah, kata "majoriti mereka berjaya dikurangkan". Ini namanya penipu mantiq. Cover rasa kemalu-maluan. Hehe.. Tahniah, rekod 7 kali kalah berjaya dipertahankan. Hatrik X 2 + 1 lagi gitu..

2. Menggila - dengan sengaja
Cuba menggila dengan sengaja, contohnya, sebuah negara Islam, hadhari lagi. Dalam bulan Ramadhan, membenarkan konsert kafir barat pada waktu sunat tarawih. Memanglah tak semua pergi. Tapi yang pergi? Kalau kita tiada suara membantah, mahu kongsi neraka? Tak payahlah. Dosa sendiri tak tertanggung.

3. Meraban dan menyawan
Ini memang canggih. Atas lagi dari level fatwa. Contoh : bila seorang tuan guru menegur dasar perjuangan dan penyokong dasar sesat mesat, maka keluarlah fatwa, taubatlah kamu kerana mengata ahli UMNO tidak masuk Syurga. Menyelewenglah. Apalah. Jika orang awam yang keluarkan kenyataan ini, kita namakan meracau. Kalau seorang mufti, kita sebut sebagai meraban. Kalau majis fatwa, dengan kaedah menjatuhkan hukum sewenang-wenang tanpa memberi peluang 'tok guru' yang bersalah ini membela diri, kita panggil sawan buatan orang. Pun kurang pahala puasa ni.

4. Mencuba-cuba membatalkan puasa
Ini bukan kurang berkat puasa, tapi boleh batal puasa. Nak tau apa dia? Contohnya, bila mahkamah sivil menjatuhkan hukum, sepatah kata menentang, dipanggil menghina mahkamah.

Bila mahkamah syariah menjatuhkan hukum Allah, maka dikatakan, jumud, menafikan hak asasi wanita, tiada kepakaran, tidak sesuai dengan keadaan.

Memandangkan perkara ini boleh membatalkan puasa, kena hurai sikit. Susah bila belajar agama pakai quran bahasa Inggeris. Sebat berbogel sampai tersiat kulit boleh pula. Hudud dengan sebatan rotan atas kesalahan meminum arak ini (perlu diingat ada juga pendapat mengatakan untuk minum arak ia di bawah hukum syara' - ta'zir - bukan hudud): tetapi kaedahnya sama ;

1. saiz rotan tidak lebih dari jari yang halus tu,
2. Jumlahnya (dukungan Imam Syafie) 40 kali - hudud (atau ditambah hingga ke 80 - tambahan 40 sebagai ta'zir
3. dalam keadaan pesalah dihukum dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya
4. tangan penyebat menghayun rotan tidak boleh terlihat ketiaknya ketika mengangkat rotan (bukan macam penyebat hukuman musyrik - sampai berpusing badan)
5. dibacakan hadis berkaitan dan tazkirah kepada orang awam yang melihat

boleh pula dikatakan sebagai 'mustahil' dilakukan. Malah penangguhan hukuman diraikan. Merayakan hak asasi wanita.

Bukan tak ada peluang rayuan. Tetapi biarlah pesalah yang merayu, bukan minah muslimah jambul berombak yang mendahului al-Quran. Dan pastinya bukan pemabuk-pemabuk UMNO dan BN untuk bersuara dalam hal ini.

Islam memang tidak gopoh. hukuman ini juga bukanlah penyelesai masalah. Tetapi janganlah pula menafikannya dan memperkecilkannya seolah-olah kita ini bukan orang Islam lagi. Malah saya yakin, ilmu agama Tuan Hakim yang menjatuhkan hukuman, walaupun cetek, pasti lebih banyak dari rakan beliau di Pekan atau sepupu rakan beliau kot. Sekurang-kurangnya dari segi agama. Dan beliau sekurang-kurangnya 'berani' menegur perempuan yang buat salah di sisi agama. Jangan main-main ; Taraf-taraf Ketua negara yang boleh ISA orang pun dah berapa keturunan kita lihat kecut nak tegur bila 'perempuan' menderhakai hukum Allah, dengan jelas dan tersembul!

Maaflah ya.. Inilah dia tuan-tuan dan puan-puan. Kerenah orang yang berpuasa sehari dua ini yang buat kita pun nak pitam.. Sebab itu yang terakhir ini saya kata boleh batal puasa. Saya minta maaf, tapi dalam kebanyakkan perkara ini, pilihlah ; ajaran Islam atau ajaran Kuffar. Kalau yang kedua, batallah puasa!

Semua ini sesuailah dengan SLOGAN TAHUN INI.

=

Wallahua'alam.

Corat-Coret Influenza

Assalamualaikum warahmatullah semua.

Pujian buat Allah Tuhan Sekalian Alam dan Salam buat Rasul Junjungan SAW

Banyakkan doa pada Allah yang Maha Mencipta dan Maha Memusnah.

Secoret pengalaman ringkas sebuah keluarga. Ambillah teladan...

Selepas outstation berpanjangan. Seminggu di Sabah. Ke Marang. Kemudian ke Sarawak. Kemudian ke Taiping dalam selang masa sehari hampir semuanya. Si abah mulai batuk, selesema. Kemudian demam panas. 2 hari berturut-turut. Pun masih di ofis. Demam pun fed-up, lalu kebah. Batuk dan selsema belum selesai.

Hari kedua si abahnya demam, si anak mula demam panas pada Khamis malam. 39 darjah ++ bila malam. Bagi suppository voltaren - kebah sekejap. Kemudian naik balik suhunya. Hari Jumaat bawa ke Pusat Perubatan Swasta terkenal kononnya. Bagi PCM. Ubat batuk, selsema. Balik.

Sabtu demam, Ahad demam lagi. Isnin demam tak kebah juga. Paginya bawa lagi ke Pusat Perubatan Terkenal itu. Diberi tambahan ubat - antibiotik. Dan swab test. Keputusannya Rabu. Huh..

Perjalanan pulang, si ibu mula bersuara. Tak puas hati kerana tak buat rapid test. Yang si abahnya tengah tak sedap badan juga. Membara baralah lah juga. Penat seharian menunggu. Sikit lagi nak pengsan. Tubuh belum pulih sepenuhnya. Masuk pula dos suara berlebihan. Tapi lebih dos pun, kadangkala jadi ubat. Jangan selalu dah.

Namun kasih ibu dan ayah. Selepas satu panggilan kepada seorang Dr - Pengarah Perubatan yang dikenali, terus buat keputusan penting. Lalu di pertengahan jalan pulang ke rumah dari Subang Jaya, membelok ke TTDI Jaya, Shah Alam. Ke klinik berdekatan bila suhu si anak melambung lagi di dalam kereta. 39.5 darjah. Klinik MxxxA - KCR0038 (Rangkaian Klinik Cegah dan Rawat H1N1)

BUAT RAPID TEST!

Dan itulah dia. Yang liat sangat Pusat Perubatan Terkenal nak buat. Tak tahulah kenapa. Habis stok katanya. Itu yang kena tunggu Rabu. Bila buat di klinik ini, sah, positif!

BILA UBAT HABIS!

Berkejar ke Hospital Swasta Terkenal PJ pula. Tunggu giliran hampir sejam. Bila masuk jumpa doktor, anak ini terpaksa pula dimandikan jururawat. Terlalu panas. Longlai.

BILA WAD PENUH!

Tanpa berkira, pindah! Serta merta ke Pusat Perubatan Swasta di Bangsar. Selepas 1 jam lebih, barulah ada tempat di Wad Rawatan Rapi. Padat sungguh hari-hari kebelakangan sejak H1N1 melanda.

Di Wad, uminya mengandung, high risk, tidak dibenarkan meneman. Begitu juga adik kecilnya. Jadi, di situlah kami sejak 24 Ogos 2009. Aleef Nufayl dan abahnya. Dengan Nufayl menjalani ujian dan rawatan bermacam jenis. Tamiflu la, Zithromaxlah dan apa-apalah lagi. Nebuliser siang malam. Suhu 3 jam sekali. Adoii.. Si Nufayl pula, hidung tersumbat, jam 3 pagi, dikejutnya kata sesak nafas. Nasib baik abahnya tak ada heart attack!

Walau apapun, iktibarnya, jangan ambil mudah, and never take any chances dalam musim sekarang, walau seberapa ringanpun ia. Jangan sampai kita lafazkan,

WHAT IF?!...

Kerana ia mungkin berat. Doakan kami sekeluarga. Khusus buat Nufayl agar sembuh sepenuhnya. Dan sekurangnya 7 hari dalam tempoh kuarantin ini bagi yang lain.



Puji dan syukur sekali lagi, buat Allah Maha Pengatur, Maha Bijaksana. Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Wallahua'lam.

Abu Nufayl - PMC 250809

Friday, July 31, 2009

Tentang Hilang(?)

Dah lama dan peramkan.

Geram betul saya bila terdengar ada suara memberi respons begini ketika saya memberitahu handphone saya hilang tempohari.

"Aaa...hilang lagi? Asyik hilang je!"

Hello! Bila masa pulang asyik hilang? Ini handphone pertama saya yang hilang secara hakikinya, memang handphone sajalah yang hilang.

Ini sejarah handphone saya :-
1999 - Mobikom handphone, 018-*******
--> Hilang pada 2001 bersama beg sandang saya yang dicuri di Surau Puduraya ketika menunaikan solat Subuh (yang ni hilangnya bukan hakiki hilang handphone saja, tapi juga 1 beg yang berisi pelbagai barangan berharga lain e.g : Rantai emas, jam tangan hadiah daripada Kak Nuun, duit raya beratus RM, senarai email Anak Perlis untuk dibuat yahoogroups!, buku-buku ilmiah yang tak ternilai harganya).
Kemudian, saya menggunakan pula Nokia 3310 sejak tahun 2001 dengan nombor 012-5535084 (Hotline Maxis).
Sejak bekerja, saya menukar kepada line TM Touch ketika itu, 013-3******.

Hanya pada 31 Ogos 2005, setelah Nokia 3310 saya mula bermasalah dengan bateri, Abu Nufayl mencadangkan saya untuk menukar handphone. Dia bersungguh-sungguh mempromosi Motorola e680i (PDA Phone - symbian OS)...akhirnya saya bersetuju apabila Abu Nufayl menghadiahkannya - advance birthday present (2 bulan awal!) ;) Phone ini sangat marvellous sebagai multimedia phone (speaker, video etc best). Ia menemani saya apabila mendengarkan bacaan surah-surah amalan ketika mengandung sepanjang perjalanan saya daripada Bukit Mahkamah ke stesen LRT Masjid Jamek hinggalah ke stesen Kerinchi, ..juga menemani saya dengan aktiviti surfing internet via GPRS ketika berpantang Nuha di kampung yang tiada talian internet itu. Baterinya juga tahan lama.

Tapi sayang, selepas itu, ia mula bermasalah - bateri.

Tahun Februari 2008, Abu Nufayl mencadangkan saya trade-in Motorola e680i dan dia memilih Dopod 838 Pro yang punya QWERTY keyboard. Saya berasa sangat selesa dengan Dopod 838 ini melainkan apabila pulang ke kampung di Perlis kerana ia tidak dapat catch line. Tak apa bagi saya, saya kan bercuti!

Hanya selepas berpindah ke Aman Perdana pada Julai 2008, saya mula berasa sedikit susah dengan Dopod 838. Di rumah, saya tidak menerima sebarang call/sms. Apabila diperiksa rupanya phone saya tidak dapat catch line. Jenuh saya berurusan dengan fixed line apabila bercuti di rumah dan terpaksa melangsaikan tugasan pejabat.

Akhirnya pada April 2009, Abu Nufayl offer pada saya HTC Diamondnya. Saya menerima. Dia menukarkan Dopod 838 Pro saya dengan HTC Touch Pro, yang dibuat hak miliknya. Saya tak kisah asalkan telefon saya dapat berfungsi sebagai handphone...itu sudah cukup baik. Tapi dengan HTC, ia lebih daripada itu dan saya bersyukur.

Inilah baru handphone saya hilang. Dan suami saya memilihkan Toshiba Portege G910 untuk saya. Sekali lagi PDA Phone (dia siap pasangkan skin warna pink untuk saya, trimas bang). Dan, saya sentiasa bersyukur.

p/s: Takat hari ni pakai...baru seminggu lebih..tapi selesa lah. Wireless bagus. Surfing selesa. Push email pun cepat je. Untuk fon & sms...lagi la ok, ada QWERTY keyboard.

KK here we come!

Hampir 5 tahun berlalu, akhirnya seawal akhir hari ini (11.55pm) saya akan menjejakkan kaki ke KK lagi.

Tahun 2004, ketika saya mengandungkan Nufayl yang ketika itu 6 bulan dalam kandungan, saya pertama kali ke Sabah (KK) atas urusan kerja. Bertemankan junior Universiti yang memegang post yang sama dengan saya tapi di region lain.

Hari ini, kandungan saya hanya seminggu kurang drp 24 minggu (genap 6 bulan) dan saya akan ke Sabah lagi. Kali ini dengan suami dan 2 permata hati. Tentang percutian, semuanya diuruskan oleh Abu Nufayl, daripada hotel kepada pengangkutan, aturcara dsb. Bersungguh-sungguhnya dia. Harapnya percutian yang bermula dengan tujuan dan maksud yang sangat suci daripada suami saya ini tidak memudaratkan kami.

O&G telah pun saya maklumkan tentang percutian ini. Dia menggalakkan dan surat pelepasan untuk air travel telah pun saya perolehi. Harap-harap perjalanan ke Pulau tidak dilanda ombak dan bot tidak menghentak-hentak seperti sewaktu kunjungan saya ke Pulau Perhentian dulu.

Ikut perancangan, flight kami malam ini jam 9.00 malam dari LCCT ke KK. Flight balik saya dan anak-anak pada 4 Ogos, jam 3.30 petang ke KLIA. Abu Nufayl hanya akan pulang pada 6 Ogos.
Jadi 4-6 Ogos, saya dan anak-anak akan berkampung di rumah Dik Id pula menantikan Abu Nufayl pulang.


"Ya Allah, selamat dan sejahterakanlah kami sekeluarga, sahabat handai, rakan taulan dan mereka yang dekat dengan kami. Jauhkanlah kami daripada mara bahaya dan wabak penyakit. Peliharalah kami Ya Allah. "

Thursday, July 23, 2009

HIKMAHNYA BERSYUKUR

Hari ini bermula dengan sederhana. Saya tak sangka malam ini saya akan menerima sesuatu yang tidak dijangka langsung.

Sebenarnya, 20 Jun lalu pulangnya daripada BIPOPs IU Cyberjaya, MMU Cyberjaya...saya perasan yang HTC Diamond saya tiada dalam beg saya. Dengan penuh harapan positif, saya menganggapnya tersalah letak. Namun, kesempitan masa tidak mengizinkan saya mencari HTC Diamond kesayangan saya - sebab bermukim di rumah adik di Seri Putra manakala Abu Nufayl berpergian kerana tugas.

Hujung minggu berikutnya, saya terus mencari. Tapi bayangnya pun tak dapat saya jejaki.

Hari-hari berlalu. Harapan positif saya yang tinggi sebelum itu kian pudar. Saya kian sukar dihubungi. Tapi, saya tak terasa langsung kesukaran itu. Saya senang tanpa PDA Phone mahupun telefon bimbit. Saya hidup sederhana. Ketika berpergian, saya gunakan telefon awam untuk menghubungi suami. Itu saja yang penting bagi saya...kegiatan lain dengan PDA Phone, saya padamkan daripada memori.

Saya dan suami cuba juga mencari telefon Motorola & CSL yang sering menjadi standby phone. Entah kenapa, 2 hp itu pun tak dapat dijumpai.

Hari ini, setelah genap sebulan tanpa alat telekomunikasi itu, suami mengajak saya ke Digital Mall, Seksyen 14 PJ. Dia bertanya wishlist saya.

Jawab saya :
1. Breastpump - double auto (masih survey antara Ameda Lactaline atau Medela FS/PISA)
2. Breadmaker (Kenwood BM250 should be ok)
3. Mesin Jahit Tepi

Uiks...taknak telefon ke? Dia bertanya.
Saya geleng saja. Saya penat nak membeli lagi. Bukan murah harganya.
Walau HTC Diamond saya adalah 2nd hand drp Abu Nufayl, saya tetap membayarnya (dengan diskaun yang banyak!) Kita carilah Motorola/CSL phone kat rumah tu. Saya nak guna yang itu saja.

Rupanya, malam ini...rezeki saya untuk dapat Portege G910! Alhamdulillah!





Dapat harga yang berbaloi di PDA Expert yang sememangnya mengenali Abu Nufayl. Dopod 838 saya dulu pun dibeli di sini.
Untuk Portege G910 ini, Abu Nufayl bagi subsidi. Saya kena bayar juga...tapi sikit sangatlah.

Fungsi dan spesifikasinya lebih kurang HTC Diamond, cuma kurangnya pada kamera. Hanya 2MP. Tak ada fungsi roll-on dan auto-adjust landscape-potrait, juga tiada text message conversation...yang bagi saya hanya kosmetik dan tidak mencacatkan fungsi sebenarnya.

Usai urusan di Seksyen 14, kami ke Uptown menikmati makan malam kegemaran kami di Arjuna Village dan Nufayl dengan Lamb Chop Hot Platenya di Yazid Steakhouse.

Last but not least...Raja Kunyit dan D2 mengakhiri malam kami di Uptown.

Burp! Alhamdulillah!!!
Inilah hikmahnya menjadi isteri yang bersyukur. Tak minta PDA Phone...dapat juga gantinya satu. ;)

Monday, July 20, 2009

KULIAH BULANAN AP : PROF MKI!

Lamanya saya tak update blog ni! Tak update tak bermakna tiada cerita menarik. Banyak yang boleh dikongsi, cuma saya yang kurang kesempatan.

Harapkan Abu Nufayl saja!
;)

Semalam, kami ada tetamu istimewa untuk program Kuliah Bulanan Surau Baitur Rahman, Aman Perdana.
Siapa lagi kalau bukan penulis buku Best Seller - Travelog Haji.

Kehadiran Prof MKI memang ditunggu-tunggu. Kehadiran pun ramai...lebih kurang sama dengan Kuliah Bulanan Mei lalu (speaker : Drs. Rejab Sulaiman). Apatah lagi, saya yang mem'faks'kan surat kepada pejabatnya, dan berhubung dengan dengan P.A.nya. Tapi orang yang mula-mula menguruskannya bukan saya, tapi staff UiTM sendiri...jiran di AP, Am. Kami (saya-suami & Am) hanya berhubung melalui email tanpa mengenali wajah. Kami hanya saling mengenali ketika menghadiri Kursus Pengurusan Jenazah, juga aktiviti Surau AP - semalam (siang). Am lah orangnya yang mencadangkan, mengusahakan dan memberikan contact no. kepada kami etc. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab seterusnya saja, membantu Abu Nufayl yang waktu itu sibuk di perantauan (outstation).









Gambar : Abu Nufayl sedang membuka majlis.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Cerita-cerita daripada Prof. walau banyak yang telah saya baca dalam Travelog Haji dan di blognya (saya antara yang tak ketinggalan membaca setiap postnya - add dalam Google Reader), tapi ada juga cerita off-record rupanya! ;) Bagi saya beliau adalah insan yang dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan intelektual dan semangat yang kuat. Beliau hanya perlu tahu apa yang baik untuknya, decide dan beliau akan determine dalam apa juga cara. Dan cerita ini bermula apabila beliau terbuka hati untuk mengenal Allah sesungguhnya pada usia 39/40 tahun. Sangat menarik dan boleh dijadikan iktibar!

Sempat juga kami mengambil tandatangan Prof untuk buku Travelog Haji saya yang dah lusuh (tertumpah kopi) masa tengah menela'ahnya.

Macam yang pernah saya sebut dalam azam saya dulu. Bila berjumpa orang yang hebat, saya tak mahu lagi anak-anak saya ketinggalan mengambil gambar bersama mereka. Ummi dan Abah tumpang sekakilah! Sayangnya, Nufayl dah tertidur dalam kereta waktu itu.


Terima kasih Prof.!

Monday, June 22, 2009

"Kami Satu Saf Yang Padu..."

Maha Suci Allah Maha Pengatur Segala Sesuatu. Dan Maha Bijaksana Allah swt, mencipta manusia yang begitu tinggi hemah dan budi pekerti. Moga-moga menjauhlah segala jenis syaitan daripada bulatan padu ini. Membujur lalu, melintang patah, Barisan HANCUR!

Bagi yang pernah terlanjur kata, terlajak prasangka, terkasar pekerti, sama-samalah kita pohon keampunan dari Allah SWT yang Maha Pengampun.

Segar dan berserilah perjuangan mencari damai abadi ini. InsyaAllah.


Petikan Kenyataan TG Nik Aziz (dari pelbagai sumber yang boleh diperolehi):

“Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

“Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

“Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

“Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.”

VIDEO

Monday, June 01, 2009

Perihal Hidup

Minggu lepas, minggu ujian buat kami.

Bermula dengan 'down' di sebelah petang Sabtu & Ahad (23 & 24 Mei), akhirnya Ummu Nufayl kena penangan Tekanan Darah Rendah pada Isnin & Selasa. Seharian (dua hari) tu tak boleh bangun. Kepala terasa berat, pening, rasa nak pitam, tak ada selera makan...pelbagai rasa.

Campur pula dengan demam yang menyerang pada hari Selasa. Ummi menggigil keseorangan pada waktu tengahhari. Adeh! Segala yang dimakan, keluar semula. Nak minum air pun ngeri.

Rabu, tekanan darah kembali normal & demam pun dah kebah.
Tapi...satu lagi penyakit apabila Ummu Nufayl sakit pinggang yang amat sangat. Tak boleh duduk langsung...hatta nak minum segelas milo pun tak sempat habis. Sakit pinggang menyerang.

Abu Nufayl menyarankan kami buat appointment dengan doc di SJMC (padahal baru last week check-up). Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan normal kecuali Ummi. Yang di dalam, last week scan 13w. Selang seminggu saiznya dah membesar seperti 15w. O0o0..dalam Ummi tak selera makan ni, dia bahagia ya?! :)

Ummi ditahan di wad 371 (double bedded, 1 hari sementara menunggu single room ready), kemudian transferred to bilik 363. 4 pain air & 2 pain minerals (ntah apanya, warnanya kuning) dimasukkan melalui drip.

Hari Jumaat jam 10 pagi...drip dah dihentikan. Dengan jarum yang masih melekat di tangan, nak tahu Ummi buat apa?

*Ini versi masih dalam proses. Yang dah siap nanti Ummi upload dalam blog lagi satu keyh.

Sabtu, Alhamdulillah Ummi dibenarkan pulang.

Ahad, operasi cuci rumah ;) dan juga menyusun-atur semula bilik menjahit, juga mengemas peti ais. Eh, jengok-jengok dapur FZH tu ada penghuni baru ya?

Hari ini, dah mula kerja kembali setelah seminggu MC.

Errmm...ngidam nak gi IKEA la. Ada orang tu minta hadiah birthday Working Area. Ummi nak intai Heavy Cotton IKEA la...lawa designnya. Kalau rajin, ziarahlah Ummi & cerita tentang hobinya di HeavenHanyFF.