Saturday, November 28, 2009

Bi Adab... atau Biadap dalam Masyarakat?

Assalamualaikum warahmatullah.

Pujian dan syukur pada Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan.

Masih tidak ketahuan, bila tarikhnya cahayamata seterusnya menjengah dunia. Sepatutnya 9 Zulhijjah yang lepas. Hari ini sudahpun 11 Zulhijjah. Masih tenang dan santai dalam perut Ummu Nufayl. Biarlah. Hanya ALlah yang Maha Berhak menentukan detik masa itu.

Tempoh belakangan ini, Abu Nufayl ambil keputusan menyepikan diri. Menurut jejak langkah Ummu Nufayl yang telah pun mengisytiharkan mogok blog. Mogok-mogok beliau, hari pertama dan kedua overduenya, sempat lagi masak juadah raya. Bravo...

Berbalik... Dengan posting terakhir yang lepas, isu-isu susulan makin hebat, tajam dan menghiris.

Hebat dengan fitnah dan unsur fitnah. Tajam menikam hati-hati manusia lain tidak kira sesama Islam atau tidak. Dan pastinya menghiris dan melumatkan adab-adab Islami yang wujud selama ini.

Ujian ALlah datang tidak mengenal golongan sasarnya. Baik Parti Sekular gila bangsa yang cuba memakai topeng Islam seperti UMNO. Baik parti non-Islamik. Baik Jamaah Islamnya. Baik pendukung Islam. Mahupun penyokong tepi jalan. Semuanya boleh terpalit. Asal sahaja ALlah mengkehendaki.

Kurang hikmah kalau saya memanjangkan bicara. Takut timbul unsur memfitnah. Tetapi apa yang jelas, adab Islami yang selama ini menyusun atur keharmonian dan kesejahteraan umat sudah mula ditinggalkan. Dan ini perlu diperingatkan.

Adab berhujah antara ulama. Membahas sesuatu perkara sehingga mencapai suatu kesepakatan. Dan kemudian barulah dialirkan kepada khalayak ; nampaknya adab ini sudah dilupakan oleh pakar-pakar agama dalam menyuarakan hukum kepada orang awam. Tahlil bidaah, berzanji tak boleh, Doa qunut tidak betul. Itu hanya tiga contoh mudah. Semua ini menjadi alat mainan kepada orang awam. Dan mainan ini dibekalkan oleh agamawan PHD, kadangkala. Hentam menghentam di surau-surau antara dua aliran rancak berlaku. Si tua dan muda sudah mula bermasam muka. Membawa jauh hati masing-masing. Akhirnya surau yang sepi kerana kurangnya jamaah bersolat. Inilah bala bencana akibat meninggalkan adab.

Malah, sudah wujud ceramah dan kuliah yang ada unsur-unsur memperlekehkan Ulama-ulama terdahulu. Bukan itu sahaja, apabila diulas, menghasilkan pula gelak ketawa penuturnya. Dan juga pendengarnya. Astaghfirullah.

Betapa kurang ajarnya golongan agamawan ini. Lupakan orang awam. Mereka jahil dan hanya ingin memetik bahagian yang ingin didengar. Baru sahaja menggenggam Masters, PHD, sudah mula bicara laksana mujtahid. Dan membiarkan Imam-Imam besar sebelum ini ditertawakan khalayak. Pada saya, agamawan-agamawan seperti ini adalah sampah kepada suatu juzuk harum yang ada dalam Islam. ADAB.

Kemudian, hasilnya, lahirlah pula agamawan lain, menghentam pula agamawan tidak beradab tadi. Melalui kuliah, ceramah dan blog. Baguslah, menjadi pembela. Tetapi adakah ini caranya hikmah yang diajar Rasulullah? Memarahi orang kafir sendiri dibuat oleh Rasulullah dengan penuh hikmah dan ada manhajnya sendiri. Bersemuka, sampaikan dahulu. Kemudian berbincanglah kaedah terbaik tanpa perlu mengheret orang awam yang jahil ke lembah gelak ketawa, malahan membakar api kebencian antara sesama Islam.

Bala dan bencana ilmu sudah mula menimpa golongan cerdik pandai. Perasaan ujub tidak disedari sudahpun dizahirkan melalui senjata ilmu yang ada di dada. Baik di Lembah Klang yang katanya bertamadun, mahupun, di ceruk utara Semenanjung yang dikatakan mundur.

Mundur? Utara? Perlis? itu lupakan dulu kegilaan kuasa dan peluru. Mundur, memang Perlis mundur. Walapun parti Barisan Nasional yang perasan yang memerintah sekian lama. Lampu jalan pun tak mampu pasang. Tembolok penuh juga.

Yang saya maksudkan Kelantan. Sedang pun dihujani krisis adab. Saya bukan ingin menghurai isi krisis, kerana itu juga biadab kerana saya bukanlah ahli keluarga Tok Guru, bukan juga ahli keluarga orang yang tidak suka ahli keluarga Tok Guru itu. Tetapi melihat dari perspektif Islam, menggunakan blog atas nama mempamerkan dan menegakkan kebenaran adalah satu tindakan bodoh jika ia melibatkan keaiban sesama Insan. Betul atau salah tindakan sebegini? Tanya sajalah, jika Rasulullah masih hidup, dan kita bicarakan keaiban orang dengan meneriakkannya di atas Kaabah agar semua penduduk Makkah datang dan mendengarnya, apa rasanya sabda Rasulullah? Jangan cerita tentang niat di hati tuan, puan, haji dan hajjah. Itu hanya Allah yang tahu. Lidah boleh bercabang. Jari boleh berkait.

Dan mulalah, bicara atas bicara. Semua mula mengambil sikap defensif dan kemudiannya ofensif. Membalas melalui alam maya, blog juga. Tidak kiralah artikel pendek, panjang, mahupun surat terbuka dan sebagainya. Semua ini ketika menulis dirasakan sebagai mempertahankan diri dan menegakkan kebenaran. Tetapi setiap butir bicara sebenarnya memamah keikhlasan diri. Mempamer peribadi diri. Mengaibkan pula orang lain. Ini menghancurkan adab dan hikmah. Mendedahkan kepada salah tanggapan. Dan akhirnya, tidak menyelesaikan masalah, malah menambah masalah dan fitnah.

Tidak kiralah siapa anda. Kadangkala watak sebenar yang disanjung pada awalnya, tercalar hanya kerana sikap tuan puan, ustaz dan ustazah, dan bukan ustaz mahupun bukan ustazah yang bertelingkah di alam maya, dalam blog yang dibaca oleh pelbagai peringkat pemikiran manusia. Dan penuh pula dengan oportunis ditunjangi syaitan

Satu peringatan yang ringkas tetapi rasanya bermakna sekurang-kurangnya untuk diri saya dan keluarga. Di dalam perkara agama sekalipun (yang mana niatnya baik) ; setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Allah memperingatkan manusia agar merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Oleh itu, dalam soal memberikan pandangan, para salafussoleh mengamalkan perbincangan pada taraf yang sama kufu' terlebih dahulu (sesama ahlinya / pihak yang terlibat) di dalam satu wacana khusus para ulama untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor. Pada akhirnya barulah keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Ketika ini,kita terpengaruh dengan medium ala pasca-modenisme, yang menganggap semua taraf medium/wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’. Dan semua orang patut mendengar apa sahaja.

Katalah, semua ini berlaku kerana melibatkan unsur politik, dan politik itu sukar dibaca. Baik, saya bersetuju. Dan sebagai tukarannya, tuan puan juga perlu bersetuju, politik juga tertakluk kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.. boleh?

Akhir kata, janganlah pada akhirnya, dengan hujah yang memperdayakan diri sendiri, mujadalah dan muamalah sesama manusia yang sepatutnya BI-ADAB (dengan adab), kini menjadi pertarungan BIADAP ADAB!

Wallahua'lam.

Abu Nufayl.

3 comments:

me01my said...

salam abu naufyl..entry ni sgt bagus!! isu yg sering kami adik beradik bincangkan..nak beri adik sy baca entry ni..dgn harapan agar dia tidak tergolong dalam golongan agamawan muda yg kurang ADAB..

p/s: kirim salam kak hani yer..moga ummi & baby selamat semuanya insyaAllah

mudin001 said...

Mungkin tulisan ini juga relevan dengan tajuk ini:
http://rausyanfikir.com/2009/11/antara-tajdid-dan-biadab.html

Wallahua'lam.

abu nufayl said...

terima kasih.. silakan..

mudin.. ya.. ada pertaliannya..