18 Disember 2009. Tepat jam 5.30 petang. Akhirnya pemindahan Ummu Nufayl dari HTAR, Klang ke Sime Darby Medical Centre bermula. Pemindahan berisiko tinggi ini dibuat dengan satu tarikan nafas panjang aku sebagai suaminya. Berkeping-keping borang terpaksa ditandatangani. Antaranya memperakui pemindahan ini adalah 'against medical advice'. Risiko ini ku ambil memandangkan risiko membiarkan sahaja Ummu Nufayl terlantar, intubated berhari-hari lagi dengan kurangnya perkongsian maklumat dan tindakan pihak HTAR sebenarnya akan lebih banyak merugikan minit-minit kehidupan Ummu Nufayl.
Pemindahan berisiko ini dilaksanakan dengan sepasukan pakar dan pegawai perubatan, dan aku sendiri berada di dalam ambulan. Ummu Nufayl dilumpuhkan sepanjang perjalanan dari HTAR ke SDMC.
Sepanjang perjalanan hidup-mati ini, mataku tidak melepaskan pandangannya kepada Ummu Nufayl. Siren dan kelajuan ambulan tidak berjaya mengambus segala memori bersama beliau.
40 minit kurang lebih, tiba di SDMC. Proses kemasukan berjalan lancar dan telah diuruskan sepenuhnya oleh seseorang.
Terus dikejarkan ke Coronary Care Unit. Ummu Nufayl akhirnya mendapat bilik rawatan rapi individu. Syukurlah, aurat dan maruahnya lebih terjaga di sini.
Jam 7 malam, sesi temubual aku bersama 4 pakar, anaesthetist, internal medicine, radiologist dan neurologist bermula dan berakhir 45 minit kemudiannya. Alhamdulillah, pada waktu ini emosiku kembali pada tahap 'segar'. Semuanya lancar dan objektif.
Jam 8.00, 3 jenis ubat berbeza di putuskan diberikan kepada Ummu Nufayl. Dan langkah ini tampak agresif berbanding HTAR yang bercadang hanya akan mengambil langkah lanjut seterusnya pada 20 Disember 2009. (masih lagi pujian harus diberikan atas jasa dan ikhtiar mereka menyelamatkan nyawa Ummu Nufayl dan menstabilkan beliau)
Jam 8.30 malam, 'full body MRI scan' dibuat. Berbaloi juga keengganan aku enggan menandatangani borang ujian lanjut CT scan (contrasted) yang dicadangkan HTAR. Aku menolaknya kerana pada waktu itu renal profile Ummu Nufayl mempunyai risiko ke arah kegagalan buah pinggang.
Jam 11.00 malam. Aku dipanggil masuk ke biliknya. Dan Allahu Akbar! Selepas 4 jam lebih masuk ke SDMC ini, dengan rahmat Allah, Ummu Nufayl telah pun mencelikkan matanya dan sedar bahawa aku kini berada di tepinya. Jarinya dikuis ke arahku. Dan air mata kami berdua sama rancak mengalir tanpa upaya berpura-pura lagi.
Dalam kepayahan tiub di dalam tekaknya terus ke peparu, dan satu lagi tiub pada mulutnya, hidungnya aku dapat terjemahkan 3 soalan penting kepadaku.
1. Fudhayl?
2. Rambut, auratnya?
3. Apa sudah berlaku?
Maha Suci Allah, kesucian hati ibu ini, ketaatannya pada syariat terpapar tanpa dirancang. Semuanya ku jawab dan air mata beliau mengalir lagi, tanpa bicara.
Soalan ketiga itu sebenarnya ku simpan jawapannya demi kemaslahatan beliau. Lantas ku nyatakan serba ringkas keadaanya pada waktu itu daripada berbicara lebih lanjut.
Sabtu pagi, seawal waktu, aku bertemu pakar neuro dan berbincang keputusan MRI. Detailnya biarlah kusimpan. Namun yang nyata, daripada ujian itu, harapan kami untuk kembali menjelajah dunia ini bersama-sama adalah satu perkara yang tidak lagi sirna harapannya.
Rawatan berkaitan diberikan. Dos-dos antibiotik, antivirus, pemulihan hormon dan mineral badan diberikan pakar perubatan tanpa bertangguh. Tiada lagi one-way communication (lebih tepat) no communication antara pesakit - keluarga pesakit dan pihak hospital.
Prosedur perubatan risikonya dibincang dan dalam keadaan kritikal ini, alhamdulillah, Allah swt memberikan rahmatNya padaku untuk secara pantas tetapi tidak gopoh, kritis tetapi masih objektif berfikir. Apa sahaja yang terbaik buat Ummu Nufayl.
Inilah malam keenam aku tidur di hospital. sudah hampir lupa warna bilik di Aman Perdana. Purata waktu tidur 2-3 jam semalaman, itupun ketika Ummu Nufayl mampu lena. Silap waktu, kena melayan pelawat. Rasa longlai tubuh ini. Namun letih ini hilang begitu sahaja setiap kali menjengah Ummu Nufayl tersenyum di katilnya.
Situasi sekarang, proses pemulihan sedang berjalan. Dan dijangka tidak kurang 2 minggu di hospital dan berpotensi menjangkau 6 minggu atau lebih. Status Ummu Nufayl stabil walaupun masih lagi berhalusinasi akibat gangguan pada sistem-sistem tertentu tubuhnya. Emosinya semakin menuju tahap stabil, begitulah juga emosi suaminya.
Jarak ke hadapan belum dapat diukur. Tetapi kami sekeluarga tahu lokasi persinggahan kami sekarang. Ia adalah detik emas untuk dikecapi bersama tanpa cuai. Dengan alunan ayat al-quran yang kudendangkan kepada Ummu Nufayl, diselang seli celotehnya yang masih keliru tentang apa yang berlaku, aku pada malam ini, dapat juga melelapkan mata dengan satu kelazatan keyakinan Iman, bahawa Allah swt, tidak akan begitu zalim kepada hambanya, tetapi pada masa yang sama, bukanlah mudah mencapai syukur, sabar dan redha. Banyak harga yang perlu dibayar.
Terima kasih atas lawatan dan semangat. Kepada sahabat yang sudi juga menjadi ibu susuan Fudhayl, hanya Syurga dan redha Allah dapat kami sekeluarga doakan buat kalian.
Juga buat sahabat & saudara-mara yang mendoakan, menawarkan segala jenis bantuan, membantu kami memberikan fokus pada pemulihan Ummu Nufayl. Juga buat Umi &Mama yang bertungkus lumus menjaga Fudhayl, Nuha dan Nufayl di rumah.
Doakan kami. Dan yakinlah, pada janji Allah. Ombak tidak berirama lembut, kerana pasir pantai itu ciptaanNya untuk dihempas air, kelak lahir sucinya dan halusnya Iman.
Wallahua'lam.
17 comments:
Alhamdulillah..teruskan berdoa..hany kan "strong", kak saf percaya dia kan kembali seperti biasa..:)..Ameen
salam.
semoga abu nufayl, ummu nufayl dan keluarga sentiasa tabah menghadapi ujian dari-Nya, insya-Allah, amiinnn.
Ujian untuk menghapuskan dosa-dosa, meningkatkan lagi iman & takwa serta meninggikan darjat seorang hamba di sisi-Nya, buat kesemua hamba-hamba yang disayangi-Nya.
Sabaq dan sabaq dan sabaq lagi. Apa-apa bagitau la.
salam..
Saya doakan semoga kak hany akan dipelihara dan disembuhkan Allah. Semoga Allah memberikan dia kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
Sekalipun saya silent reader sahaja, tapi saya sgt terharu membaca dua entry terbaru ini. Perasaan saya seolah2 bersama-sama setiap apa yang diceritakan.
Allah ma'akum in syaAllah. Teruskan berdoa, berusaha dan bertawakkal.
ummu izzuddeen
Allahuakbar...Allah yang maha mendengar doa hambaNya..terus berdoa
Baru tahu mengenai berita ini dari seorang sahabat. Harap Abu Nufayl dan keluarga tabah. Kami doakan semoga Ummu Nufayl yang terbaik untuknya. Amiin.
- FM aka Bedah -
Abang, lengkapkan catatan ni ek. Ada anti klimaks. Lengkapkan dengan kronologi dalam facebook dan nama-nama sahabat yang muncul dengan bantuan dan doa. Jadikannya satu kronologi peristiwa yang lengkap dalam hidup kita.
Dari isteri yang mengalami untuk Suami yang merasai - satu pengalaman, satu manifestasi pengorbanan dalam FitrahZH.
Catatan dari Isterimu yang mengalami mungkin akan menyusul setelah dia benar-benar mampu menulis nanti.
insyaAllah.. mula lah tu..
I'm waiting for your notes.. p/s kalau tak sedar, nak catat apa ya??
adalah :P
:)
Dapat baca komen Kak Hany, walau sehuruf pun dah cukup.
Alhamdulillah.
wah.. hany dah boleh anta reply.. hehehe....
alhamdulillah.
dapat membaca sekilas catatan ringkas dari ummu nufayl pun saya kira sudah memadai untuk menenangkan hati yg gundah.
cepat sembuh ye, ummu nufayl.
semoga Allah swt sentiasa melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya ke atas dirimu sekeluarga, amiinnn.
sentiasa berharap agar abu nufayl dapat update secara harian ttg kesihatan dan progress ummu nufayl dari masa ke semasa.
salam..
saya membaca berita ini dengan nada yg sedih.dan berdoa pada Allah swt semoga Ummu Nufayl selamat..
Ya Allah swt selamatkanlah dia..
Hany, semoga cepat sembuh. Baru tahu perkhabaran ini hari ini.JUMIE
kak hany,
shukurnya bila baca komen akak. akak dah sedar. hari2 buka blog akak nak dpt update dr suami akak.
nak sgt ziarah kak hany. salam peluk cium...moga Allah beri saya masa yg lapang utk ziarah akak.
doa tak putus2 sejak dpt berita kak hany. take care kak...
Hany.. be strong ok!! Semuanya akan selamat... insyaAllah..
syukur Alhamdulillah...hany.. nnt baca blog kak nieta ada tulis khas utk hany..
Post a Comment