Friday, December 18, 2009
Abang, tak nak cuti ke esok?
Entah kenapa. Diriku agak tidak ketahuan malam-malam ini. Hanya al-Quran peneman bicara. Itupun ayat-ayat tertentu membuatku tidak mampu meneruskan pembacaanku. Dan Allah pastinya pemakbul doa. Kuharap tulisan ini dapat membantu menajamkan kembali daya fikirku sekarang. Yang tak pernah ku alami sebelum ini.
Jika pada biasanya kami berdua bersimpuh, bertukar azam tahun baru dari sebelum Maghrib. Hari ini, dudukku kelu. Bangunku bisu. Lafazku tiada yang menyambut.
Secebis nota ringkas... Buat kenangan dan tatapan kami sekeluarga.. dan aku pasti, Ummu Nufayl akan gelak terkekeh-kekeh melihat suaminya membuat coretan ini. Gelaklah. bacalah ini sebagai cerpen.
"Abang, tak nak cuti ke esok?" Dan disambut dengan senyuman. Agak terlalu lama, hampir 12 hari bercuti sejak kelahiran anak ketiga kami. Terasa sedikit gelisah dengan timbunan kerja di pejabat. Pagi itu, sekali lagi suara nakalnya bertanya. "Tak cuti ke hari ini?"
Sepenuhnya 12 hari itu telah ku tumpukan pada Ummu Nufayl dan Fudhayl. Segalanya ku cuba penuhi. Sepertimana komitmenku hari-hari terakhir sebelum beliau melahirkan Fudhayl; ketika itu Ummu Nufayl minta dibawa berjalan-jalan ala sa'ie ke 1Utama. Hujung ke hujung.
Dan pada waktu itu juga, hampir semua shopping kompleks yang besar di Lembah Klang di jelajah hujung ke hujung. Hasilnya alhamdulillah, dengan rahmat Allah, proses kelahiran Fudhayl Nashwan berjalan lancar tidak sampai setengah hari.
Kembali ke pagi itu. Selasa. Sebelum bertolak ke pejabat, ku jenguk Ummu Nufayl. Agak keletihan, 3 hari berturut-turut si Fudhayl membuli uminya dari jam 2 pagi ke 6 pagi. Hanya susu badan uminya yang jadi pilihan.
Tiba di pejabat kira-kira seketika selepas itu, jam 9.40 pagi terima panggilan dari rumah. Umi yang kebetulan ada meneman Ummu Nufayl dan Fudhayl memaklumkan Ummu Nufayl rebah di dapur.
Terus aku hubungi 999, juga Pusat Panggilan Kecemasan Subang Jaya Medical Centre.
Di Persimpangan Pantai Baharu, panggilan daripada rumah kali kedua. Kali ini ku dengar suara Ummu Nufayl lemah memanggil namaku dan minta cepat sampai. Suara itu adalah satu suara yang tidak aku ingin dengarnya begitu pada bila-bila masa sekalipun. Pandanganku pada jalan raya mula kabur. Sekabur-kaburnya. Terbabas sekali.
Pecut kereta, di pertengahan jalan,di persimpangan Subang, dapat panggilan lagi, Ummu Nufayl mula terkena semacam epilepsy. Menggelupur dan payah. Pertama kali kurasa dalam hidupnya. Aku mula panik. Lorong kecemasan, laluan kiri, kanan tiada yang terkecuali.
Tiba di rumah, ambulan Hospital Klang telah pun tiba 5 minit awal. Prosedur kecemasan sedang diberikan. Ummu Nufayl tidak lagi kenal Abu Nufayl. Beliau telah masuk ke bahagian lain kehidupannya. Aku dapat rasakan beliau 'keseorangan' pada pandangan mata itu. Getar badannya membuatku akhirnya terundur terduduk, melihat sahaja perlakuan doktor padanya. Hanya kalimah Allah dapat kubisikkan pada telinganya.
Menaiki ambulan, tiba di Hospital Klang. Di pertengahan jalan, terserempak ambulan SDMC masuk mencari jalan. Lembab. Terpaksalah ke Hospital Klang. Menimbangkan antara risiko khidmat perubatan yang mungkin bermasalah dan keadaan terlalu cemas, membuatku mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke Hospital Klang.
Tiba di Hospital, terus ke zon merah. Inilah waktunya aku dengar perkataan 'tenat' daripada seorang petugas kecemasan di sana. Doa sahaja terlafaz di bibir. Kekuatanku mula gugur sedikit demi sedikit.
2 jam, segala prosedur dibuat. Dengan satu pesanan keramat beliau aku lafazkan pada doktor. Jaga auratnya walau dalam apa keadaan. Dan jangan didedah melainkan darurat.
Kemudian dihantar untuk imbasan kepala. Selesai diimbas, kembali ke zon merah. 1 jam setengah selepas itu, barulah dibawa ke ICU. Intubated. Segalanya dengan bantuan. Pernafasan tidak lagi semulajadi.
Petang pertama, jelas tiada keputusan. Hanya sedikit sahaja yang dapat ku tafsir daripada kenyataan doktor.
Malam pertama, beliau rehat, aku tidur dengan berpakaian pejabat dari pagi, berselimutkan kain yang dipakai Ummu Nufayl sebelum ditukar ke pakaian Hospital. Dan baju kesayangannya yang koyak rabak dalam proses menyelamatkan nyawa beliau sebentar tadi menjadi penutup wajahku dari silau lampu. Dan silau air jernih yang tak dapat aku hentikan dari mata lemah ini. Ya Allah.
Paginya, tengaharinya, petangnya, beliau ditenangkan dengan sedatif. sakitnya dikurangkan dengan morfin. Kadar kalsium yang melambung tinggi menyebabkan darah terlalu pekat mambawa kepada rebahnya Ummu Nufayl ; kini dikurangkan sedikit demi sedikit. Minit ke minit.
Pelbagai andaian, simptom dan segala macamnya mula menerjah kepala. Masing-masing memberikan pendapat. Aku mula nanar, berpinar dan menjauhkan diri dari segala macam andaian nakal dan jahat dan ada yang betul, tetapi tidak akan aku kongsikan di sini agar tidak jadi doa. Kerana aku yakin, Ummu Nufayl akan kembali bangun dan bersarapan bersama aku dan anak-anak. Tekadku, jatuh bangun kali ini, biarlah suami yang seorang ini, yang 'mengabaikan' permohonan agar bercuti dari isterinya, tanggung dan hadapi. Usahlah siapa merintang melintang. Apa kata doktor? Jangan tanya, bukan masanya aku menjawabnya.
Hari kedua, aku mula disorientate. Mempertimbangkan segala kemungkinan. Mengenang waktu lampau. Mengimbas lafaz-lafaz Ummu Nufayl. Pada masa yang sama menenangkan ahli keluarga yang lain agar tidak terlalu risau, membuatkan aku terlupa tarikh, hari dan bila ditanya doktor ejaan nama Ummu Nufayl, aku terpaksa keluar dari bilik dan masuk kembali untuk merujuknya pada kad pengenalan Ummu Nufayl.
Namun pada hari kedua, Ummu Nufayl mula memberikan respon. Tetapi masih belum kenal siapa di sekeliling. Suaraku hanyut begitu sahaja tanpa responnya. Namun, penjelasan doktor agak melegakan. Dan keadaan pernafasannya, jantungnya, tekanan darahnya adalah normal. Cuma beliau 'berehat' jauh sedikit dari suaminya ini.
Masuk hari ketiga, pakar yang bertanggung jawab memberikan penjelasan lengkap masih teragak-agak dan tidak munculkan diri. Hanya doktor perubatan yang membacakan aku diagnosis awal dan tiada keputusan konkrit. Detik kehidupan Ummu Nufayl mula menjadi pertaruhan kurang berbaloi.
Akhirnya, dateline, jam 3.00 petang, 17 Disember, jam 3.15 petang, ku hulurkan satu panggilan berkongsi perasaan dengan seorang hamba Allah yang aku kenali dengan rapat dan boleh membantu.
Tun Dr Siti Hasmah tiba jam 4.50 petang. Dan ICU tiba-tiba dipenuhi sejumlah doktor, dan doktor pakar yang semuanya menyatakan mereka bertanggung jawab 'menjaga'Ummu Nufayl
Dengan penuh lembut aku sedarkan mereka, dengan ayat "Saya hargai kehadiran doktor semua, dan petang ini saya baru tahu, ramai rupanya doktor pakar yang merawat Ummu Nufayl". Ayat aku menyebabkan aku 'dirotan' oleh Tun. Dan ayat aku seterusnya, "I appreciate if all the things you said to me just now being said one day earlier". Menyebabkan Tun mula 'risau'. Dibisikkan, Nal, keluar dulu, nanti saya bincang" Dengan lafaz melantik beliau sebagai medical advisor untukku dan Ummu Nufayl, aku melangkah longlai, agak terkenang, jika semua proses dan kecekapan ini berlaku dua hari lepas, bukankah lebih afdhal?
Akhirnya segala prosedur yang bertangguh, penerangan yang lambat, semuanya aku perolehi dalam satu sesi kaunseling bersama semua doktor terlibat dan Tun Dr Siti Hasmah. Satu sesi yang 'pelik' rasanya.
Pada akhirnya, ketika sesi terakhir, aku dipanggil masuk, Tun mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang 'komitmen', dan mengakhiri dengan kata-kata, Zainal, it's now your say to make her stay here, or to transfer her to another hospital. Dan jawapanku mudah. Please, SD*C/S*MC. Walaupun ada kisah sedihnya di situ, tetapi kecekapan rawatan di sana aku akui antara yang terbaik.
Dan episod 'selingan' yang agak melegakan ini, menjadi penyambung kisah esok dan seterusnya, insyaAllah di Subang Jaya Medical Center.
Terima kasih pada Firdaus dan isteri, Yuni, bersusah payah bawa aku balik ke rumah untuk 'kembalikan' my mental state. Yang rasanya hilang alignment sikit ni.
Monolog.
Sekadar mencari teman, meluahkan perasaan. Aku baru terasa terlalu sepi. Dan inilah masanya, kurasakan, terlalu sukar mencari ganti isteri seperti ini. Terlalu tebal kasih ini. Dan bersedia mana sekalipun kita untuk menghadapi keadaan ini, bila berdepan dengan keadaan ini, hanya Allah yang boleh menenangkan. Dan pastinya telinga ini sentiasa menunggu panggilan "abang, cepatlah" kembali menghuni telinga ini.
Ya Allah. Inilah detik terpanjang kehidupanku. Dan inilah detik sepi yang goyah aku menghadapnya. Panggilah nama abang... Jangan bazirkan air mata ini... I miss you my dear.. dan Yang, abang dah cuti sekarang...
Labels:
Ummu Nufayl
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
12 comments:
Salam akhi, alhamdulillah, ada juga perkembangan positif.
I wish I can be there with you. Apapun doa dan ingatan sentiasa bersama.
Terima kasih juga atas nota ini, dapat juga tahu perkembangan.... See More
(Bergenang juga air mata, yang cuba ditahan sejak menerima sms pertama anta.)
Zainal, inshaAllah harini dtg melawat hany. Tiap2 hari teringat + doa utk hany juga. Though lebih berat bahu yg memikul, you are not alone.
tabahkan hati yer zainal. kami doakan yg terbaik buat hany......
Zainal, Ni Sal kawan hany.. maaf baru dapat berita ni tadi dari yuni.. Sal baru balik dari sabah. Baru je ingt nak ziarah hany di rumah nak tgk org baru. Sal soakan yang terbaik untuk Hany. Tabahkan diri dan teruskan berdoa..
salam,
Moga Hany cepat sembuh. terharu sangat baca entry enta.
-kaknajah-
zainal, kuatkan diri..moga2 hany cepat sembuh dan kembali sehat..
zainal, banyakkan bersabar ya... kami sentiasa doakan yg terbaik utk hany...
assalamualaikum zainal, semoga dikurniakan kekuatan dan ketabahan... alBaqarah:286
saya tak kenal hany personally, sekadar berbalas email di alam maya, tapi mendoakan beliau lekas sembuh... post ini (dan yang selepasnya) amat menyentuh hati..
sebak baca entry ni..moga a.zainal tabah & moga kak hany cepat sembuh..ameen..
Abang, thanks for your notes. Tonite, I'm reading deep into your heart. Even you have personally shared with me every single moments of it since 18 Dec, when I first opening my eyes.
Tulisan yang mengesankan dari hati seorang suami yang selama ini jarang menyatakan segalanya dengan perkataan. Tapi sesungguhnya, hari ini, segalanya terungkap dalam pengertian, pengorbanan, dalan catatan pengalaman ini.
Teruskan menulis. Isterimu ini selalu ingin mendengar isi hatimu yang itu.
hany dan zainal,
akak dh lama kenai kalian berdua.hajat nk menjengah ke Aman Perdana, nk tgk rumah baru dan ahli baru blum berkesempatan.maaf juga tk dpt menjenguk hany si SJMC.tp,doa akak sentiasa kpd Hany dan suami smg tabah menghadapi ujian Allah utk kalian berdua.terperanjat juga dgr berita ttg kesihatan hany ni.
zainal, semoga dikurniakan kekuatan dan ketabahan dan juga semoga Hany cepat sembuh.
-k.maini
Post a Comment