Salam,
Kadang-kadang bila dikejut, barulah tersedar, panjang pula tidurnya kali ini. Terima kasih pada sahabat yang sudi ingatkan laman sesawang yang sudah bersawang ini.
Saya suka kepada satu kisah (hadith) pendek, terkandung dalam Sunan Abu Daud Buku 14, Hadis ke 2482 :
Thabit bin Qays (Radhiallaahu 'anhu) meriwayatkan : Seorang wanita (Ummu Khallad)datang kepada Nabi SAW, sedangkan pada ketika itu wanita itu berkerudung. Dia sedang mencari puteranya yang telah dibunuh (dalam pertempuran) Beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW berkata padanya: kamu telah datang ke sini menanyakan anakmu sambil berkerudung pada wajahmu (sahabat mendapati sukar mengenalpasti siapakah wanita itu)? Dia berkata: Jika aku menderita dengan kehilangan anakku, aku tidak akan menderita lagi dengan kehilangan kesucian dan kemurnian diriku
Rasulullah SAW lantas berkata: Kamu akan mendapatkan pahala dua orang yang mati syahid untuk anakmu
Dia bertanya: Mengapa demikian, ya Nabi Allah? Baginda menjawab: Karena orang-orang Ahli Kitab telah membunuhnya.
Sebenarnya Islam ini banyak sumber. Baik al-Quran, Sunnah, Ijma' Qias, Syariat pada sahabat, dan sebagainya. Dan siapalah kita untuk mendahului segala sumber ini. Cuma saya agak risau memetik sumber ini pada asalnya, kerana bimbang disangkal oleh hujah menggunakan sumber lain. Bukan takutkan perdebatan, tapi takutkan sanggahan dibuat atas dasar mempertahankan nafsu dan pendapat diri, bukan lagi kerana Allah SWT. Wal'iyazubillah.
Persoalan terkini berkaitan niqab, saya agak terkedu. Mahunya tidak, kali ini ia telahpun dibahaskan oleh ulama muktabar zaman ini. Diulas pula oleh ulama'-ulama' yang kita sama-sama sanjungi dan sayangi baik dari segi ilmu mahupun akhlaqnya.
Jadi apakah komen saya terhadap isu ini? Hanyalah sebagai orang awam yang jauh ketinggalan ilmunya berbanding pengulas-pengulas lain yang tinggi darjatnya.
Dalam kisah ini, andaikata Syeikhul Azhar berada dalam keadaan yang hampir sama dengan para sahabat, melihat seorang wanita yang sedang berhajat sesuatu tetapi wajahnya dilitupi, tidak mustahil akan terdetik di hati manusia hamba Allah ini untuk meminta agar wanita itu membuka wajahnya. Apatah lagi jika dalam satu kumpulan wanita, hanya seorang yang menutupi wajahnya berbanding yang lain. Pasti nampak agak pelik, dan mungkin akan diminta membuka wajahnya.
Samalah, jika saya sebagai orang awam, menemuduga bakal pekerja, pasti ingin juga melihat wajah, atas dasar mendapatkan kepastian beliau tidak mencebik dan tidak mencemuh ketika kita bercakap. Semua ini atas kelemahan syak wasangka kita sebagai manusia biasa. Jadi mungkin saya akan meminta beliau membuka niqabnya. Kerana kita tahu ia tidaklah aurat menampakkan wajahnya. Dan kita pula bukanlah bernafsu melihat wajahnya. Hanya ingin pasti, wanitakah ini. Jujurkah beliau datang bertemubual dengan kita.
Dalam banyak keadaan, respon kita pasti akan berubah. Dan jika orang Mesir, mahupun arab dari tempat lain, mungkin nadanya lebih keras dan lebih provokatif, kerana itulah sifat bangsa arab ini.
Jadi jika nada ulama besar ini bercakap dengan wanita muslimah berkenaan dianggap kasar dan keras ; harus dilihat juga pada 'uruf persekitaran. Sebagaimana juga Saidina Umar yang kerapkali mengherdik walaupun pada sahabat yang lain. Bukan kerana tiada akhlaq, tetapi itulah pembawaannya pada zaman dan keadaan masyarakat semasa. Dan adakah beliau terkeluar dari senarai sahabat yang dijamin masuk syurga?
Tidak boleh kita nilai kelakuan bangsa arab untuk dinilai menurut kacamata masyarakat Melayu yang lemah lembut. Begitu juga sebaliknya.
Jadi, saya tiada sebarang sangka pada Syeikhul Azhar, menghormati ilmunya, dan memahami latar belakangnya. Apapun kata orang, menjadi tanggung jawab kita untuk tidak menjadi lebih sudu dari kuah dalam menanggapi perlakuan ulamak. Cukuplah golongan musyrikin dan munafik mencari jalan menjatuhkah ilmuan Islam sejak dahulu. Tetapi jika sudah jelas ulama' itu ulama' suu' maka neraka Allah lah galang gantinya.
Balik kepada kisah pendek tadi. Baginda Rasulullah, tidaklah pula serta merta menghalang Ummu Khallad ini daripada terus berkerudung (menutupi wajahnya).
Menunjukkan bahawa memakai niqab ataupun menutup wajah ini tidaklah termasuk dalam larangan syar'ie yang pasti akan ditegur segera oleh Rasulullah SAW yang agung ini.
Malah baginda memberikan satu respon yang amat baik dan positif. Kerana menghormati ijtihad wanita ini untuk meneruskan dengan kerudungnya bagi menjaga kesucian maruahnya dan mungkin kerana malunya yang menebal kepada lelaki ajnabi. Yang mana menujukkan penutupan muka ini juga boleh berdasarkan keperluan persekitaran dan penjagaan maruah diri. Cuma mungkin tidaklah boleh sampai mengiktiqadkannya sebagai ibadah jika tiada dalil yang jelas. Kerana tiada suruhan yang jelas. Dan jika ada, nah, silakan dengan keupayaan ilmu puan-puan sekalian.
Ia berlegar di antara - boleh, harus dan dibenarkan - Namun tiada perdebatan jelas samada ia wajib, sunat, mahupun haram pada pandangan syara'.
Melihat pada perspektif ini, maka kita ambil dalam suasana H1N1, masing-masing memakai penutup muka. Walaupun lelaki, walaupun wanita. Apakah hukumnya topeng menutup muka ini? Sunatkah? Haramkah? Wajibkah?
Sehinggalah ada yang menyalahgunakannya untuk melakukan rompakan dan menyamar, maka barulah ada penguatkuasaan tertentu ke arah penyalahgunaannya.
Begitu juga niqab, jika persekitaran semasa menyebabkan penyamaran berlaku berleluasa contohnya, maka akan adalah hukum yang menjurus ke arah melarangnya. Bukan atas dasar pemakaiannya, tetapi pada dasar implikasi pemakaiannya.
Dan tidaklah salah pada saya jika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong pengharamannya (jika betul ia diharamkan), apabila pemakaiannya membawa kepada musibah yang lebih besar. Tetapi jangan dangkal melihat kepada satu aspek bicara Tuan Guru.
Sebenarnya yang lebih penting untuk diikuti adalah kata-kata beliau (juga firman Allah, dan juga Sabda Rasulullah) bahawa MENUTUP AURAT ITU WAJIB. Jadi kelayakan membahaskan isu niqab ini GUGUR jika tuan-puan masih belum menutup aurat sepenuhnya. Tutuplah aurat dahulu dengan sempurna, dan kemudian komenlah dari sudut apa pun.
Ini kalau lutut atau rambut telanjang aib auratnya, tak usahlah berdebat isu niqab. Terlalu jauh dari maqam tuan puan sekalian.
Baiklah, saya di sini jauh dari taraf menghukum. Seperti yang saya nyatakan, apabila melihat perdebatan antara golongan soleh dan ulama', lebih baiklah saya menyentuhnya secara sipi sahaja melalui kaedah ini. Bukan secara aqliah, dan tidaklah terlalu naqliah. Hanya dari orang awam untuk orang awam.
Bagi yang masih dengan niqabnya, terpulanglah. Buatlah kajian lanjut menerusi ulama' muktabar. Tetapi jangan lupa untuk jaga akhlaq puan-puan. Kerana akhlaq buruk orang yang berniqab ini implikasinya lebih besar dari akhlaq buruk oleh orang gila yang tidak berpakaian. Akan diambil peluang dan jadi bola tanggung bagi golongan fasiq, kuffar dan munafiq menjatuhkan maruah muslimah solehah.
Sahabat sekalian, menanggapi isu ini, saya suka untuk meletakkan kaedah berlapang dada dan sabar dalam memberikan pendapat dan komen. Cuma, pada saya buat masa ini, jikalah ada ahli keluarga saya yang belum berniqab, saya tidak berhasrat memaksanya memakainya. Dan jika sudah memakainya, saya tidaklah pula ghairah untuk meminta beliau melucutkannya. Melainkan sebabnya jelas memudharatkan beliau, keluarga atau masyarakat, maka, saya juga tidak teragak-agak menyuruhnya meninggalkan dahulu pemakaiannya, dengan dua syarat, AURAT WAJIB MESTILAH TETAP DITUTUP SESEMPURNANYA, dan kaedah menyuruhnya menanggalkan, tidaklah sama dengan cara kita mencela orang kafir atau fasiq yang menderhakai hukum Allah. Allahu Akbar.
Astaghfirullaahal Adzeem. Wallahua'lam.
Abu Nufayl
1 comment:
Salam Abu Nufayl,
Terima kasih atas ulasan. Ya, tujuan asal ana minta enta mengulas tentang ini bukan untuk mengetahui hukum pemakaian niqab, tapi atas keresahan melihat komentar-komentar keterlaluan di blog-blog terhadap peribadi Sheikh Tantawi.
Dan ulasan ini ana kira cukup matang, cukup berlapang dada.
Alhamdulillah. :)
Post a Comment