Friday, January 02, 2009

Menyaingi Masa, al-fatihah untuk Allahyarhamah Tok Minah

Biasa benar kita mendengar, peringatan "WalÁsr", Demi Masa.
Biasa benar kita membaca, yang terikat dengan amanah, melihat masa lalu...tanpa sempat mengejar. Kerana beratnya amanah itu.
Biasa juga kita menerima, kata-kata sesal...atas dasar masa lampau yang tidak boleh dikembalikan. Kerana ia, hanya pinjaman kepada kita. Haq hanya kepunyaan DIA.

Benar, masa telah banyak dipersia.
Hari ini, hari kedua 2009m. Hari ke 5 1430h. Tahun baru yang lebih menyapa rohku, tahun baru hijrah. Tahun masehi, hanya buat kayu ukur untuk prestasi penilaian kerja. Entah mengapa, tanyalah azam tahun baruku 2009...tak terungkap. KPI 1430h ada...hasil persetujuan bersama dengan si dia. Misi peribadi? Haruskah ditatakan untuk 2009m atau 1430h? Biar nanti saya tetapkan.

Hari ini, lagi bukti masa pinjamanNYA telah diambil semula.
Daripada sebatang tubuh bernama Aminah binti Hj. Dahaman.

Terasa baru seminggu kami pulang menziarahinya yang baru keluar wad hujung Syawal lalu.
Terasa baru semalam saya bertemunya dalam keadaan sihat dan ceria, ketika ziarah Eidul Adha lalu.
Masih terasa hangat genggaman tangan Tok ketika kami pulang menziarahinya yang tenat 25-28 Disember lalu. Masih terbayang wajah Tok yang menahan sakit dengan tiub-tiub yang dipasang seluruh badan dan hujung-hujung suara yang menyebut "Laa Ilaha IllaLLah."

Biar apa pun rasa itu, masa untuknya telah tiada. Dia telah pulang kepada penciptaNYA.



Al-Fatihah untuk Tok, Aminah bt Hj. Dahaman yang pulang ke rahmatullah sebelum Zuhr, 5 Muharam 1430h bersamaan 2 Januari 2009 pada usia 79 tahun. Tok, semoga berkampung bersama hamba-hambaNYA yang soleh dan diredhaiNYA di sana. Semoga bertemu anak kesayangan, di sana.

Semoga pemergian Tok di sana, menjadi muhasabah yang berkesan buat insan-insan yang ditinggalkan di sini. Mereka yang ditinggalkan; Tok Su Lah (adik Tok), Mak Ngah Normah (kakak sulung arwah Abah), Mak Ndak, Pak Tam, Mak Cik Not (adik arwah Abah), menantu-menantu dan cucu-cucu.

Menanggapi saudara seIslam di Palestin yang lebih sengsara dalam jihad mempertahankan nyawa mereka, saya jadi tak mahu sedih dibiar berjela. Masa Tok sudah tiba, dan kami yang ditinggalkan semuanya sudah membina redha untuk itu. Itu yang terbaik untuknya.

Jika tiada aral, insyaÁllah selepas Ásar...jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di belakang Masjid Kodiang.

Al-Fatihah untuk Tok.

Nota kaki : Gambar diambil ketika ziarah akhir Syawal, selepas Tok keluar daripada wad. Sayangnya, ketika Eidul Adha lepas, detik hati mengatakan tak perlu ambil gambar. Juga detik hati berkata, mungkin lepas ini tak sempat dah ambil gambar dengan Tok tapi tak pa lah,gambar sebelum ini masih baru. Tapi, entah mengapa...saya membiarkan detik rasa itu pergi. Hanya lambaian yang mengiringi ketika kami pulang daripada ziarah Eidul Adha itu. Rupanya benar, dia pergi dan tak akan kembali.

3 comments:

Anonymous said...

Al-Fatihah.
Takziah Hany n family

k3na said...

Salam Takziah..

Al-Fatihah..To Allah we belong and to Him we shall return.

Hany FF said...

Anis & Cat, thanks! May Allah bless her. Ameen!