Friday, January 30, 2009

Minda Separuh Sedar Berbahas...

Saya tidak tertarik menyentuh dan memperincikan beberapa isu nasional. Sekadar merehatkan otak, saya ingin petik beberapa perbualan ringkas berkaitan persepsi kita terhadap beberapa perkara.

1. Rakan sekerja saya menyatakan rasa 'terkejutnya' bila ada anggota dilihat meminum air kencing syaitan bernama arak. Sedangkan beliau Muslim.

Jawapan saya, memang kita tidak nafikan arak itu haram. Dan kita risau dengan keadaan ini. Tetapi rasanya jauh untuk saya berasa terkejut. Kenapa? Jawapannya mudah, yang tidak minum arak, kononnya, tetapi cuai dalam solat, malahan tidak solat, lebih ramai dari jumlah itu. Dan apa bezanya status dosa orang yang meninggalkan solat dan berasa 'senang' dengan perbuatannya dibandingkan dengan peminum arak? Mereka ini semuanya bencana kepada agama Islam. Dan dosanya besar bagi kedua-dua kategori.

Kata pula Ummu Nufayl, bukankah arak pintu maksiat, jadi kita kena risau la. Saya jawab, jika tidak solat, itu kunci kepada nafsu minum arak. Orang rajin solat, pastinya tidak akan minum arak. Jadi yang mana lebih teruk? Pintu maksiat, atau kunci kepada pintu maksiat itu?

Tolonglah jangan lihat dari aspek hudud, tapi saya sekarang sedang membebel tentang salah letak persepsi kita terhadap sesetengah perbuatan. Mentang-mentanglah yang haram itu babi dan arak. Jadi kita tidak terasa pun hendak membenci tingkahlaku mencuaikan solat, tinggalkan solat, puasa. Liat bayar zakat pendapatan. Tak mahu belajar Fatihah dengan betul sampai solat hancur. Itu semua kita pandang - masalah dia dengan Tuhan. Ya, memang betul, masalah itu dengan Tuhan, tetapi manusia yang ada masalah dengan Tuhan, pasti akan lebih bermasalah dengan manusia. Dari sinilah lahirnya golongan hubbud dun-ya. Wa karahiatul maut. Yang workaholic, lupakan dakwah. Heret pula kita selaku orang bawahannya untuk balik lewat, tidak sempat berjemaah. Mesyuarat sehingga ter'jama' solat Asar dan Maghrib. Belum lagi sebut rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Saya sentiasa ingat kata-kata saya sendiri, manusia, kalau sudah berani buat masalah dengan Tuhan, pasti dia lebih berani buat masalah dengan sesama manusia. Dan takut kita yang jadi mangsanya!

Panjang juga komen pendek hari ini. Sambil-sambil membelek isu terkini, saya hanya terlintas satu perkara, maklumlah, tengah malam. Apa dia?

Kalaulah seseorang itu pernah buat jenayah. Jenayahnya tetap jenayah. Jangan jadikan dia pejuang bangsa. Dan tutup semua perbuatannya. Tetapi pada masa yang sama, apa yang berlaku padanya, jika tidak kena dengan fitrah alam, itu memang tanggung jawab kita memperbetulkan keadaan. Cuma satu pesan saya, jangan biarkan minda separuh sedar menguasai terlalu banyak hujah kita. Allah Maha Adil. Allah Maha Bijaksana.

Wallahua'lam.

No comments: