Wednesday, February 13, 2008

PRU - SELAMAT BERJUANG! MARI BERJUANG!

Penangguhan sebentar (sebentar sahaja) posting coretan haji. Hari ini parlimen bubar.
Bukan hari-hari pun parlimen bubar kan? Jadi, mari kita sama-sama ucapkan selamat berjuang kepada 30 parti politik yang wujud di seluruh pelusuk Malaysia (belum lagi mengambil kira calon bebas cap ayam, kunci, kipas, kepala harimau, ikan, mesin taip dan lain-lain lagi yang seumpamanya).

Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun, dan tidak nampaknya tidak cukup haul kali ini atas faktor-faktor yang hanya Allah yang mengetahuinya. Mungkin kerajaan sekarang merasakan sudah cukup amalnya kepada rakyat, jadi awallah bubarnya. Atau risau agaknya dosa tidak tertanggung, terlalu lama memerintah, lebih baik dilepaskan cepat amanah tersebut. Wallahua'lam.

Walau apapun, Pilihan Raya Umum (PRU - kadangkala boleh dibaca FRU), akan ditempuhi pada 8 Mac 2008 ini. 080308. Cantik juga angka-angkanya.

Apa yang akan berlaku
Maka para calon perlulah bersedia membayar deposit berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri. Kurang dari 1/8 dari jumlah undi keseluruhan, terbakarlah wang tersebut. Jika menang, itulah hasil 'pelaburan' mereka. Ke mana hendak disalurkan hasil pelaburan itu? Jalan Allah atau jalan syaitan, itu terpulanglah pada manifesto parti dan DIRI masing-masing.

Itu deposit, belum lagi perbelanjaan lain. Mau diundi, mesti ada umpan. Mengikut peraturan asas, Seseorang calon adalah layak membelanjakan wang bagi pilihan raya tetapi tidak boleh melebihi: RM200,000 bagi Dewan Rakyat; dan RM100,000 bagi Dewan Undangan Negeri. Terlebih belanja, atau tidak dilaporkan, maka oleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SOALANNYA.. Cukupkah jumlah tersebut bagi sesetengah pihak? Hah.. Tengoklah nanti. Kalau calon dan parti itu miskini harta benda? bagaimana? Kenalah dibantu ya. Baru adil. Mari kita saling membantu!

Sahabat-sahabat sekalian, PRU dalam konteks dunia hari ini (baca Malaysia) adalah sesuatu yang dibenarkan demi menegakkan keadilan dalam proses pemilihan pemimpin yang bakal menentukan bukan sekadar nasib di dunia rakyatnya, tetapi ganjaran dan azab di akhirat kelak.

Dan harapan pengundi, biarlah pemimpin yang bakal dipilih mampu membantu pemilihnya pula. Jangan kenyang sorang. Apa yang dikatakan 'berjasa'?

Kita lihat sedikit fakta sejarah. Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut. Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Apa yang dibuat pemimpin ketika itu? Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London dan berunding. Rundingan tiga minggu ini membuahkan Perjanjian London 1956 mengandungi persetujuan British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka. Alhamdulillah. Nampak hasilnya. Dikenang jasanya.

Jangan dabik dada pula. Orang dulu dan orang sekarang lain gayanya. Dan mereka pernah terputus nasabnya pada Tahun 1988 yang mana ketika itu terdapat terdapat 53 cawangan dalam tujuh bahagian PARTI BESAR ini didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Cawangan-cawangan ini didakwa telah mengirim 78 orang perwakilan ke persidangan peringkat bahagian yang kemudian mengambil bahagian dalam Perhimpunan Agung. Akhirnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan ketidak sah'an' parti tersebut. Kemudian barulah lahir semula makhluq itu dan usahlah gegak gempita menyamakan jasa 'orang sekarang' dengan 'orang dahulu'. Bangkai gajah jangan ditutup. Allah Maha Adil.

Walau apapun, kita harap, mereka yang bertanding kali ini, biarlah jasanya dikenang sehingga mati. Dan bukan egonya, lahapnya, takburnya, buruk lakunya, kepincangan akhlaknya, munafiknya, pengkhianatan amanananya dan wal'iyazubillah, sikap kufurnya terhadap nikmat Allah yang menjadi ingatan rakyat jelata. Menang hari ini, esok pergi melancong, guna duit rakyat. Bila bersedekah, guna duit rasuah. Bila makan, minta tidak perlu dibayar.

Ingatlah rakan-rakan sekalian, memang kita tidak boleh memilih akhirat untuk diguna di dunia ini pada hari ini juga. Jadi kesannya tidak segera. Tetapi ingatlah, suatu masa, harinya pasti tiba. Kita akan ditanya apa yang telah kita lakukan. Apa pilihan kita. Bagaimana kita laksanakannya. Adakah itu yang dikehendaki syara'. Adakah ada unsur syubhah? Adakah ada unsur subahat? Ikhlaskah kita? Atau takutkah kita? Besar jiwa kita, atau kecil jiwa kita?

Pengalaman dipanggil Allah ke Tanah Suci, tatkala melihat baitullahil haram, membuat air mata menitis. Kerana apa? Terbayang suatu ketika dahulu, Rasulullah solat sendirian di hadapannya. Dicemuh dikeji, dilempar segala macam objek, dipukul, dipulau. Tetapi kini, sudah tidak cukup tanah sekitarnya. Masjid terpaksa diperluaskan, jutaan umat kini mengisi ruang kosong yang satu masanya hanya dilintasi kaum jahiliyah dalam keadaan bogel dan kufur.

Percayalah, ketakutan sahaja yang menghalang kita dari melakukan perubahan. Dan Rasulullah SAW adalah agen perubahan teragung yang teramat berani, cekal, tekad dan istiqamah dalam menjayakan perubahan. Kita tidak dijanji syurga, jadi apa salahnya merebut peluang ke syurga sebelum terlambat.

Segalanya kerana Allah, RasulNya dan agamaNya. Bukan kerana bangsa. Ingat, bukan kerana bangsa. Jika kerana negara, pastikan ia tidak lari dari konsep takrifan Islam yakni, wataniyyatu ‘l-hanin (cintakan negara), wataniyyatu ‘l-hurriyyah wa ‘l 'izzah (menjunjung nilai-nilai kemerdekaan dan kehormatan) dan wataniyyatu ‘l-fath (semangat juang untuk mengembangkan Islam.

Jika nasionalisme mula menjadi qaumiyyatu ‘l-udwan, dilanda elemen 'asabiyah perkauman, atau mula bercampur aduk dengan nilai sekular, oleh pembawa amal fasiq, yang tidak segan silu membelakangkan ulama, hatta agama, sabda rasul dan firman Allah sekalipun satu huruf, maka tunggulah kehancuran manfaat amalan baik kita di hari akhirat kelak! Wal'iyazubillah.

No comments: