Wednesday, June 29, 2005

Sudah Tidak Hitam

Sudah tidak hitam?
Apa yang hitam dan apa yang tidak?

Apa ada pada hitam, hingga warna jadi isunya?
Atau apa yang tiada pada hitam, hingga hitam tidak diingini manusia?

Saya bercakap tentang rambut.
Kalau dulu, orang tua-tua ada mengatakan bidalan, "Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain." Kini, masih boleh digunakankah bidalan tersebut, sedang bangsa Melayu yang rata-ratanya dijadikan berrambut hitam pekat kini makin gagah menyaingi fitrah. Lihatlah rata-rata dalam tivi, media massa mahupun di ceruk mana di kota ini, pasti kita dapat melihat wajah milik Melayu itu kini warna rambutnya bagai milik 'omputih'.

Buat seorang sahabat, maaf baru hari ini saya sempat memberitakan tentang isu ini (i know you are reading my blog). Perbincangan antara kita hampir sebulan lepas sungguh terkesan di hati saya. Betapa kalau kita lihat, cukuplah di tivi dan lihatlah artis-artis yang kebanyakannya Melayu (baca : Muslim)...rambut mereka sudah tidak hitam lagi. Lagikan ada yang menjadi duta produk pewarna rambut.

Dan benarkah hukumnya HARAM? Itu yang diutarakan sahabat saya.
Saya terdiam. Bagi saya ia HARAM bi fie'lih - HARAM kerana perbuatan, bukan HARAM bi zaatih - HARAM kerana zatnya.

HARAM kerana zatnya - jika mengandungi najis seperti uri, babi dalam produk berkenaan.
(bukan saja produk pewarna rambut, jika kosmetik/makanan dll mengandungi bahan ini, ia kira HARAM bi zaatih.

HARAM kerana perbuatan - maksudnya perbuatan kita memakai warna rambut itu di rambut kita yang menjadikan ia HARAM. Walaupun produk itu HALAL drp segi zatnya (tidak mengandungi najis dll).

Di sini timbul persoalan bagi yang bertanya. Kenapa HARAM perbuatan itu?

Jika bercakap tentang remaja yang mewarnakan rambut untuk fesyen dan gaya, tentulah lain niatnya dengan golongan warga tua yang punya uban yang disandarkan niat atau golongan lelaki yang menyertai perang yang memerlukan sokongan fizikal.

Sekadar mencari dan berjumpa dengan hukum yang telah difatwakan di Malaysia.


(1) Fatwa diwartakan oleh Negeri Sembilan.
Tajuk : Hukum Mewarnakan Rambut.
Rujukan : E-FATWA.GOV.MY

1. Sunat :
Mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam.

2. Harus :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad.
b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.

3. Makruh :
a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh.
b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.

4. Haram :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b).
b) Mewarna rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.



(2) Hukum Halal & Haram Dalam Islam oleh Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi
Tajuk : 2.2.12 Semir Rambut (Mewarna Rambut)
Rujukan : Halal & Haram Dalam Islam

Termasuk dalam masalah perhiasan, iaitu mewarnakan rambut kepala atau janggut yang sudah beruban.

Sehubungan dengan masalah ini ada satu riwayat yang menerangkan, bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak memperkenankan mewarnakan rambut dan mengubahnya, dengan suatu anggapan bahawa berhias dan mempercantik diri itu dapat menghilangkan erti beribadah dan beragama, seperti yang dikerjakan oleh para rahib dan ahli-ahli Zuhud yang berlebih-lebihan itu. Namun Rasulullah s.a.w. melarang taqlid pada suatu kaum dan mengikuti jejak mereka, agar selamanya keperibadian umat Islam itu berbeza, zahir dan batin.

Untuk itulah maka dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. mengatakan:

"Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarna rambut, karena itu berbezalah kamu dengan mereka."
(Riwayat Bukhari)

Perintah di sini mengandung erti sunat, sebagaimana biasa dikerjakan oleh para sahabat, misalnya Abu Bakar dan Umar. Sedang yang lain tidak melakukannya, seperti Ali, Ubai bin Kaab dan Anas.

Tetapi warna apakah yang dibolehkan itu? Dengan warna hitam dan yang lainkah atau harus menjauhi warna hitam?

Namun yang jelas, bagi orang yang sudah tua, ubannya sudah merata baik di kepalanya ataupun janggutnya, tidak layak mewarnakan dengan warna hitam. Oleh kerana itu tatkala Abu Bakar membawa ayahnya Abu Kuhafah ke hadapan Nabi pada hari penaklukan Makkah, sedang Nabi melihat rambutnya bagaikan pohon tsaghamah yang serba putih buahnya mahu pun bunganya.

Untuk itu, maka bersabdalah Nabi:

"Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam."
Riwayat Muslim)

Adapun orang yang tidak seumur dengan Abu Kuhafah (yakni belum begitu tua), tidaklah berdosa apabila mewarnakan rambutnya itu dengan warna hitam.
Dalam hal ini az-Zuhri pernah berkata:
"Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila wajah masih nampak muda, tetapi kalau wajah sudah mengerut dan gigi pun telah goyah, kami tinggalkan warna hitam tersebut."

Termasuk yang membolehkan mewarnakan dengan warna hitam ini ialah segolongan dari ulama salaf termasuk para sahabat, seperti: Saad bin Abu Waqqash, Uqbah bin Amir, Hasan, Husen, Jarir dan lain-lain.

Sedang dari kalangan para ulama ada yang berpendapat tidak boleh warna hitam kecuali dalam keadaan perang supaya dapat menakutkan musuh, kalau mereka melihat tentera-tentera Islam semuanya masih nampak muda.

Dan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar mengatakan:

"Sebaik-baik bahan yang dipakai untuk mewarnakan uban ialah pohon inai dan katam." (Riwayat Tarmizi dan Ashabussunan)
Inai berwarna merah, sedang katam sebuah pohon yang tumbuh di zaman Rasulullah s.a.w. yang mengeluarkan zat berwarna hitam kemerah-merahan.

Anas bin Malik meriwayatkan, bahwa Abu Bakar mewarnakan rambutnya dengan inai dan katam, sedang Umar hanya dengan inai saja.


KESIMPULAN :
1. Berpada-pada dalam perbuatan kita. Bukan masanya lagi kita taqlid tanpa mengetahui asas hukumnya. Sedang zaman laju berlari dengan teknologi ICT, kita harus maju ke hadapan dengan pengetahuan yang jelas dalam setiap laku dan cara.
2. Jika tidak tahu, lebih baik bertanya. Mana tahu, yang ditanyakan itu tahu. Kalau dia juga tidak pasti, carilah. Insya'Allah yang benar itu jelas, asalkan kita membuka minda, jiwa & rasa untuk mencari kebenaran.
3. Selidiki semula hati : Niat, mengapa perlu mewarna rambut. Pastikan bahan itu tidak menghalang air sampai kpd rambut, dan pastikan warna itu seperti yang dinyatakan jelas oleh Rasulullah s.a.w.

Sedang petunjuk sudah ada. Ikutilah.

Menyalin kata-kata yang diilhamkan dua hari sudah,
Jangan tunggu hingga merasa neraka, baru mahu berhenti buat dosa dan mahu mengejar hasanah & pahala.

:)





~~~
Yang menyelidiki hati,
Hany FF
22 Jamadil Awal 1426 H
29 Jun 2005 M

Monday, June 27, 2005

Jangan Tunggu

Kalau ada duit syiling yang boleh diputarkan,
tentu putaran duit syiling itu tidak selaju ligat kepalaku.
Kalau ada pohon yang boleh digoyangkan,
tentu goyangnya tidak gila, bagai kepalaku yang pusingnya tak tertahankan.

Ahh! Pening!
Faham ke? Tak ramai yang faham. Buat apa mengerti, pada perkara yang tiada mengena dengan diri. Itulah tabi'i manusia.

Hari ini, berazam untuk menulis juga sebelum melangkah pulang drp pejabat. Sudah sekian lama memendam hajat. Hari ini mesti dilunaskan juga. Tak kiralah betapa tuan besar memanggil, tak kiralah betapa banyak yang perlu dibawa ke hadapan. Cukuplah. Ini masa melunaskan rindu.

:)

Apa cerita yang mahu dikongsi bersama, tanda kasih dan cinta?
Idea lupus dengan masa.

Hari ini pesanan buku daripada Ujana Ilmu.
Syukran Kak Nisah. Pesanan TTD, Advancer Si Peniup Ner & Detektif Indigo selamat sampai ke pejabat hari ini.

Teringat untuk berkongsi sesuatu, satu kalam Baginda yang sering kita dengar, tapi jarang kita hayati.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

"Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah HATI."
(riwayat Bukhari Muslim)


Kadang-kadang, sebagai manusia kita yang lemah ini mengharap untuk berubah tetapi kita jarang sekali berusaha untuk berubah. Sampai bila pun kita akan di tahap yang sama jika kita malas atau tidak bersungguh-sungguh.

Saya ingat lagi, selepas SPM saya risau untuk keluar ke dunia luar. Terlalu selesa berada dalam bi'ah solehah di sekolah agama. Baik di SMKAP ataupun SMKAA, saya jadi takut melihatkan kakak-kakak ada yang jauh sungguh bezanya apabila keluar drp dunia sekolah agama. Seolah trauma pula saya tika itu. Justeru kakak naqibah saya berpesan, teruskan langkah, tak selamanya kita boleh berada di sini. Kerana di sana ada janji manis yang perlu digilap. Mencapainya tangan mungkin tak sampai, tapi berusahalah. Pasti jaya itu milik kita jua. Pangkal kita usah dilupa. Usaha ada batasnya, asal jangan melangkah syariatNYA sahaja. Pesan dia, amalkan mathurat & al-quran. Basahkan lidah dengan zikrNYA. Insya'Allah, istiqamah milik kita sentiasa.

Benar!
Saya pernah mengamalkannya. Dan, saya rasa perbezaannya.
Saya juga pernah meninggalkannya. Dan, saya rasa hilangnya sesuatu yang tak tahu apa.

Andai keduanya pernah dirasa, apa lagi yang ditunggu.
Pilihlah satu.

Jangan tunggu hingga merasa neraka, baru mahu buat kebajikan mahu mengejar hasanah & pahala.

:)


~~~
Yang mencari cara menyuci hati,
Hany FF
20 Jamadil Awal 1426 H
27 Jun 2005 M

Friday, June 17, 2005

Nadi Cinta

Haruskah ada sedih, untuk kasih yang telah pergi.
Kerana setiap ingatan menghantar rasa rindu yang tepu.

Khas utk Abah ~ Fuad b. Salleh, 25 April 1951-19 November 1986.

*Pagi tadi, dengar ERA semasa perjalanan ke pejabat...hati jadi sebak dengar ucapan/cerita pendengar ERA tentang bapa mereka.


Maafkan saya, emosi kurang stabil.
Ungkapan minda tak terkeluar jadi bicara di sini.
Saya hanya ingin menyampaikan, tapi kini diri tak mampu lagi.
Tekanan demi tekanan, saya rasa tak layak di sini.

Benar! Situasi sekarang tidak membenarkan saya menulis semahunya setiap hari di sini.
Situasi sekarang bagai mahu menghukum saya bercinta dengan KERJA SAHAJA!

Tapi ini NADI CINTA saya! Bagaimana harus saya berkorban lagi?
Setelah lama menulis dan menyimpan dalam fail/disket/hard disk komputer peribadi atau sekadar berkongsi dengan sahabat terdekat melalui emel, dan 10 Januari 2004 telah menemukan saya dengan wadah ini.

Wadah yang membenarkan CINTA saya mengalir tika saya resah. Wadah yang mengucup suara rasa saya dengan kasih sayang tika airmata mengalir mencurah rasa. Wadah yang menjadi menghidupkan cinta saya dengan NADI yang bererti.

Bagaimana boleh saya lihat NADI CINTA ini mati dan pembunuhnya saya sendiri?

Saya tak akan biarkan semudahnya NADI cinta ini mati, kerana cinta saya pada dunia ini.

Tapi, maafkan saya belakangan ini masa mengikat dan mengurung saya dalam dunia amanah & tanggungjawab. Lantas, biarkan NADI CINTA ini rehat seketika. Kerana RINDU saya takkan membiarkan ia lama-lama.

Saya akan menulis bila ada ruang dan senggang.


p/s: Sudah Jumaat ya hari ini. Bermakna esok pagi saya akan menikmati dingin hawa Perbukitan Cameron lagi! Hati sabar-sabarkan menanti :)



~~~
Hany FF
10 Jamadil Awal 1426 H
17 Jun 2005 M

Monday, June 06, 2005

AYAH, IBU, IZINKAN SAYA...

Ayah, ibu, izinkan saya keluar hari ini
Keizinan sentiasa kami berikan.. keluarlah
Tapi ayah, ibu, keluar hari ini, saya perlukan lebih dari itu

Berpandangan, antara si ibu dan si ayah
Wahai anak, belumkah cukup keizinan itu.. kami tidak pernah mengurangkannya

Saya bukan persoalkan cukup atau tidaknya, tapi saya lihat pada kesudahannya..
Terima kasih ibu, melahirkan saya, mustahil untuk saya melakukannya pada ibu..
Terima kasih ibu, lemah diri saya tika kecil dahulu, tapi ibu kuatkan diri ibu membelai saya
Ibu, saya rasa kesal, tak berjaya, dan memang tidak ada jalan untuk saya membalas jasa ibu
Sesalkah ibu dengan saya? Penatkah ibu membesarkan saya?
Halalkan segala yang saya dapati dari ibu selama ini

Anak,Ibu dan Ayah saling berpandangan

Ayah, saya tidak mungkin boleh mengingatnya kembali.. semuanya.. tapi saya yakin, saya turut tidak mampu membalas jasa ayah
Ayah mungkin ingati, saya hampir jatuh, ayah sambut diri saya..
Jam 2.30 pagi, tika umur saya enam bulan, ayah turun carikan ubat untuk saya.. meragam semalaman..
Ayah pasti marah, bila saya buatkan ayah tidak hadir ke pejabat, terpaksa temani saya yang demam satu masa dahulu..
Saya hormati ayah, kasih saya pada ayah, buatkan saya pohon keizinan ini

Anakku,
Kenapa kamu lafazkan semua ini. Apa yang sedang berlaku? Mustahil kami tidak meredhai segala yang kami berikan.. sedangkan kami juga punyai ayah dan ibu..Tidak adil untuk kami mengatakan semua itu milik kami. Kami juga lahir dari perut ibu.. kami juga punyai bapa yang mengusap kepala kami..kita sama, anak..

Ayah, ibu, kita memang sama..kita pernah jadi anak, kita juga akan punyai anak. Saya khuatir ayah.. saya bimbang, ibu. Bagaimana dengan anak saya. Adakah Allah akan jagainya seperti Allah mendidik saya..membimbing ayah dan ibu..

Bungkam. Nyerih di hati ayah, ibu dan anak..

Ayah, ibu, saya keluar dulu. Tapi mungkin saya tak mampu kembali.. Mungkin pasti saya tak kembali.

Anak, masa memang tidak dapat dikembalikan. Tapi dirimu masih lagi anak kami. Apa pun keadaannya...Apa pun waktunya, kamu tetap kembali di hati kami.
Terima kasih, ayah.. Terima kasih ibu. Saya bawa bersama saya semangat.. Saya bawa bersama saya keazaman. Saya yakin, ayah dan ibu tidak akan lupakan saya.

Pesanlah pada isteri dan anak saya. Saya tidak mampu melafazkannya sendirian.. buat kali terakhir...Pesankanlah.. suaminya menyahut seruan Illahi. Bapanya teguh berpaksikan syariat.. Hancur berkecai badan ini. Tetap akan terkumpul di akhirat kelak. Hanya terpisah kita sekeluarga, cukup mudah Allah kan kembalikan.

Ayah, ibu, saya hulurkan jari-jari tangan ini, buat kali terakhir. Wajah ini tidak akan dapat ditatap lagi di dunia ini. Doakanlah saya, ibu, agar langkah jihad kali ini berlandaskan kebenaran dan keikhlasan.

Setapak demi setapak, pejuang operasi jihad Palestin, dengan bahan letupan di badannya, melangkah tegap, bersemangat, kental.Tiada lagi tolehan ke belakang..

Anakku, kamu tahu saat matimu...kamu mampu membilang saat dan minit kematianmu. Janganlah kamu lupakan, bahawa, setiap saat itu zikrullah, dan setiap gerak langkahmu, adalah keredhaan kami. Kami izinkan kamu keluar, anak. Dan akan kami dan belai setiap helaian rambutmu, tanpa rasa jemu.

Abu Nufayl, Jun'05

Thursday, June 02, 2005

Hidup Ini AturanNYA

HELAI I : Hidup Ini AturanNYA

Hidup ini aturanNYA.
Kita tahu hakikat itu sejak lama.
Tapi, seringkali kita lupa
saat jejaknya masa di kala resah,
dan hidup berulit duka,
kerana impi tak sampai jadi cita.

Namun, tika hati dijamah suka,
dengan nikmat yang dipinjamkanNYA,
kita langsung teriak girang,
terlonjak suka atma si hamba,
kerana restuNYA pada impi,
dan impi sampai jadi cita.

Hidup diaturNYA.
Yang memilihnya kita!
Yang mengaturnya DIA!

Saat sampai di persimpangan,
lemparkan dilemma jauh ke sana,
Dekatkanlah jiwa dan rindu,
Pada syariatNYA yang satu.
PadaNYA yang menunggu.

Andainya kita dijemput kembali,
Pada saat itu,
DIA yang mengukur,
Jauh-dekat kita denganNYA,
hatta jarak hati ini pun milikNYA jua.

Kerana hidup ini aturanNYA.


~~~~~
HELAI II : Imbasan Peristiwa

:)
Hanya senyum yang mampu dihadiahkan, pada pengunjung yang sudi menziarah laman kecil FitrahZH di ceruk ini. Ramai yang bertanya khabar, syukran diucapkan.

Catatan terakhir 20 Mei lalu. Bukan kerana tiada perkara untuk dicatatkan, tetapi terlalu banyak perkara yang perlu dilangsaikan dan masa menghimpit setiap langkah, dan nafas pun tak mudah terhela. Lantaran masa akhir zaman yang menguji umatNYA.

Sedikit imbasan segala yang berlaku sejak 20 Mei 2005.
1. 20 Mei- Rezeki drp Allah, Alhamdulillah :)
2.21 Mei- Dik Id terbang ke Hidrabad. Selamat belajar Dik Id, semoga dapat mencapai cita- cita & sentiasa diredhaiNYA.
3. 21 Mei- Ziarah ke rumah Aida, jazakallah tuan rumah :). Nice talk by Abg Soleh on
Wasiat/Faraid.
3. 22 Mei- Jalan-jalan buli Abang @ OneUtama.
4. 23 Mei- Abang outstation ke KB. Girls day out! :D Program Nisa' @ Shah Alam. Laporan baca di sini
5. 24 Mei- Demam - MC.
6. 26 Mei-28 Mei- Ke PD Golf & Country Club - TM WS Teambuilding Course. A refreshing course. Good input & activities. Bond the staff well. Build up network. Fun & fantastic! :D p/s: the only sad is to be apart with my beloved son for the 1st time. He was like understand that I'm going to leave him for 3 days that he pull my leg & cry when I just carried my bag :(.
7. 29 Mei- Majlis resepsi Kak Aza-Abg Amir @ Dewan MPH, Presint 8, Putrajaya.
8. 30 Mei- Demam - MC.

~~~~~
HELAI III : English Session-Work & work & work

else? Work & work & work. Sometime I feel too much burden put on me. I call my self 'Tong Sampah' as here I have to bear with unexpected job & to support EVERY single initiative with my core-business to be done without any delay! Fuhh!!!
Hmmm...and now, i'm going to have new GM, as my current GM is transfered. Announcement is made today. Sad (& nervous) ! :( This explaint why my GM last 2 days was so sad & miserable. He is giving me advice regarding working & organisational politic. What a pity!

~~~~~
HELAI IV : Yang Menyentuh Hatiku

28 Mei- Majlis Nikah Kak Aza & Abg Amir. Kak Aza telefon dalam pukul 9 pagi untuk tanya saya datang ke tak ke majlis nikah dia, jam 11 pagi. Saya kata, saya di PD...dlm kursus. Letak telefon. Sedih sungguh rasa kerana terlepas saat penting dalam hidup seorang kakak yang kusayang. Air mata mengiringi sedih rasa yang muncul tiba-tiba. Dua minit lepas tu Kak Aza telefon lagi. Dalam sesi lah, macam mana?!
Hati berkata, saya perlu menghubungi Kak Aza kembali. Keluar dewan. Berbicara. Rupanya bukan seorang yang diburu sedih rasa dengan iringan uraian air mata. Sudahlah kakakku, hari ini hari bahagiamu. Ketiadaanku tiada satu kecacatan pun dalam majlis itu. Hati ini bagai mahu lari pulang, kerana tidak mahu terlepas saat bersejarah ini. Dalam hidup seorang yang banyak kaitannya dalam hidup kita. Hatiku sedih tapi tiada rasa yang akan kupendam padamu. Akhirnya, kedua ketawa mengenangkan taqdir yang ditaqdirkan dalam hidup kami.

Dan akhirnya, Nufayl & Abu Nufayl lah mewakili Ummu Nufayl dalam majlis bersejarah & bermakna milik Kak Aza & Abg Amir. :) ;) Nasib baik Nufayl tak buat perangai waktu majlis tu...heheh. :D

~~~~~
HELAI V : Mengulit Sepi

lain-lain : sedang meladeni novel : Enrique-Mengundang Jauh. Syukran Ika. Best! Penuh dengan fakta sejarah. Menimbulkan kesedaran dalam diri, peri pentingnya mengenal SIAPA KITA.

Senarai menunggu untuk pembacaan (baru dibeli)
- Atas Nama Kasih ~ Salina Ibrahim
- Belati Cinta Zulaikha ~ HSKU 2003
- 1511 (Kombat) ~ Faisal Tehrani-FT


~~~~~
HELAI VI : Selamat Hari Lahir

Akhir sekali,
Selamat Hari Lahir Siti Zurina
@ 1 Jun. Moga berbahagia dalam hidup di dunia & di akhirat. Moga baki usia ini menjadi saksi yang membantu Siti di 'sana' kelak. Moga umur ini jadi syafaat yang diberkatiNYA. Moga dikuatkan iman menempuh jalan seorang pendakwah dan hambaNYA yang solehah. :)

Terima kasih atas segalanya :).



~~~~~
Catatan
Hany FF
24 Rabi'ul Akhir 1426 H
2 Jun 2005 M

Friday, May 20, 2005

Kerana kita al-insi

Kesempatan ini terpaksa dicuri,
lantaran masa kian jadi jarak yang amat pendek tika ini.
Dan tugas tanggungjawab jadi pasak jiwa
yang seribu langkah
terpaksa dilalui sebelum mengecap manisnya masa itu.

Buat semalam yang pergi,
kita sering menginginkannya kembali.
Sedang yang kembali itu pasti pergi jua.
Dan kita sering tertinggal daripada menanggapi masa dengan HAQnya.
Kerana kita al-insi.

Hari ini masih bersama kita,
dan ini yang dipilih,
Melewatkan hari dengan urusan dunia,
Pantas merawati hati andai terluka...itukah urusan kita?
Kerana kita hamba-NYA yang diuji dengan masa.

Dan, kerana esok masih belum tentu milik kita.
Bahagia hari ini pasti jadi syukur tak terhingga. Atas kurniaNYA.
Pasti nafas ini jadi penyegar jiwa,
andai iman pantas meladeni usia.

Esok, belum tentu usia ini dipinjamkanNYA.

Kasihku,
Andai hari ini yang terakhir pinjamanNYA,
Untaikan manis-manis rasa,
perjuangan yang kita cipta,
Sarungkan diri dalam cintaNYA,
kerana aku telah tiada,
dan cintamu berada bersamaNYA.

Kerana kita al-insi,
Aku menulis untuk esok hari.


~~~
Hany FF
11 Rabi'ul Akhir 1426H

Tuesday, May 17, 2005

Terbau musim wangi!

Minggu lepas, saya terbau musim sekolah yang makin mampir. Bau kad wangi yang bersusun dalam peti surat rumah membuatkan saya teringat cuti sekolah yang dijadualkan bermula 28 Mei ini. Berturut-turut jemputan nampaknya!

Tahniah! Mabruk 'ala 'aariss wa 'aaruss!


1. Halim-4/6 @Kota Tinggi & Fathiyah-7/5 @Melaka [junior MMU (Melaka)]
2. Katrina(Cat)-20/5 @KK & Amin-29/5 @Miri [Cat, my beloved roommate & coursemate]
3. Kak Aza-29/5 @Putrajaya & Abg Amir-11/6 @KB [Kak Aza, my 'kakak' *senyum*-tiada kata mengupas rasa]
4. Naim-5/6 @Kajang & Su-29/5 @Tumpat [Naim, pernah jatuh bangun bersama selama 2 tahun memegang amanah dalam IU & Su, kawan Lina]
5. Mudin-5/6 @Jeli & Walida-4/6 @Kok Lanas, Kelantan [Mudin, my beloved 'adik' ekekekek.. & ida, to be! :D]
6. Salwati-4/6 @Utan Aji, Perlis & Asrul Hadi [sekelas 1 Sumaiyah '93 SMKAP-5AB '97 SMKAA]
7. Pakdin-4/6 @Kuala Perlis, Perlis & bakal isteri [sekelas 4AB '96-5AB '97 SMKAA]


Saya teringat satu pantun yang bagi saya sungguh indah dan maknanya mendalam sekali. Tersentuh di jiwa! Pantun ini tertera di kad jemputan perkahwinan Kak Rai (baca : Raihani Mohd Said) yang diberinya kepada saya beberapa tahun dahulu...tahun 2001 kalau tak salah Kak Rai kahwin.

Pantun yang cukup indah! Cukup bermakna buat 'aariss wa 'aaruss :)

"Pada detik sakti ini,
Kita memilih ziarah diri,
Merentas cahaya dan segala wajahnya,
Ke jagat abadi tiada antara."


Indahkan?
:)


~~~
"Mencari diri"
Hany FF
8 Rabi'ul Akhir 1426 H

Saturday, May 07, 2005

PESTA BUKU ANTARABANGSA-KL 2005

Hari ini 7 Mei 2005. Catatan ini mungkin terlewat, kerana Pesta Buku tersebut telah tamat 2 Mei lalu dan tarikh lawatan saya ke sana telah lebih seminggu berlalu.

Saya ke sana pada 30 April 2005, hari Sabtu. Tanpa menyedari pada hari yang sama akan berlangsung AIM 2005 di PWTC, kami terperangkap dalam kesesakan jalanraya yang agak teruk tengah hari Sabtu itu. Hanya dua-tiga minit ke jam 3 petang baru kami berjaya menikmati hawa dingin di dewan dalam PWTC itu.

Bermula dengan gerai Karangkraf, saya memborong koleksi NUR yang tertinggal...termasuk membeli beberapa naskhah NUR bulan Mac 2005 untuk dihadiahkan kepada beberapa orang yang istimewa. [Tapi sayangnya, NUR Mei 2004 tidak sempat saya beli...Kak Salina, masihkah ada lagi saya inginkan beberapa naskhah!] Termasuk majalah i yang saya borong untuk koleksi dan PA & MA yang terkini. Kami memborong majalah sahaja di sana.

Kemudian, kami menjelajah ke segenap pelosok Pesta Buku itu. Tujuan utama saya ialah untuk membeli hadiah untuk suami saya. Dia mengajak saya ke gerai DBP, mahu melihat sesuatu katanya. Dia maklum hasrat saya untuk menghadiahi buku Pengembaraan Ibn Batutta sempena hari lahirnya. Namun, ada sesuatu yang lebih menarik untuknya di gerai DBP.

"Siri Kebangkitan Islam : Gambaran dan Sejarah dalam Tamadun Dunia" karya Marshall G.S. Hodgson yang mengandungi 3 buah buku itu pilihannya. Saya akur. Itu untuk hadiah hari lahirnya. Harga satu set siri tersebut - RM 180. Diskaun? Ermmm..belum lagi! Nampaknya ada orang yang teruja melihat Siri Fiqh Perundangan tulisan Wahbah al-Zuhaily. Itu inginnya sejak lama! Kitab fiqh yang membuat perbandingan hukum dengan pendapat 4 mazhab. RM 100 satu kitab, dan 7 buah kitab semuanya dalam satu siri.
RM 700? Kami tersenyum. Diskaun? Belum!

Di gerai DBP/Dawama itu juga saya kaget dengan tawaran harga murah majalah-majalah lama (koleksi 2004). Saya borong Majalah Tunas Cipta-RM 1.00 senaskhah! Ya...saya belum pernah memiliki dan membaca Tunas Cipta. Ketinggalan! Memang saya ketinggalan, kerana saya tahu ketika saat-saat awal majalah Tunas Cipta dirancang untuk penerbitan. Tika itu saya masih aktif menyertai aktiviti sastera bersama Alumni MPR & DBP. Tika itu saya rajin turun menghadiri Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan, Diskusi Karya Eceran dan sesi pertemuan Alumni MPR dalam MPR yang diadakan. Saya tahu kewujudan Tunas Cipta. Tapi, komitmen di kampus mungkin membataskan saya untuk bertemu dengan majalah yang cukup membina ini. Sementelah pasarannya terhad. Hanya di beberapa buah kedai di Lembah Kelang sahaja.
Saya borong Tunas Cipta! Dan tentunya, saya pejam mata membeli Antologi Cerpen & Puisi Klik-Klik (Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1998/1999) untuk koleksi peribadi. Kerana apa pejam mata? Errmm... :)

Akhirnya, dengan semua barangan yang dibeli, kami dapat harga istimewa dengan potongan 25%, kami dapat harga RM 680++ untuk kesemuanya. Alhamdulillah! :)

Saya dan suami agak terganggu juga dengan asakan promosi program perpustakaan rumah untuk anak-anak. Terlalu menuntut! Ada juga yang terlalu memaksa, demi kebaikan anak kononnya. Bukan saya tidak bersetuju langsung dengan produk sebegitu. Tetapi, sikap jurujual yang memaksa kita meluang masa agak mengjengkelkan sedang kita telah menjelaskan bahawa penerangan serupa telah didengari seawal sampai ke sana. Macamlah kita berbohong. Habis disoalnya nama jurujual yang menerangkan itu. Saya dan suami terus mengelak. Ada beberapa produk : GROLIER, AMEEN, dll... semuanya lebih RM 1K. Kami memilih untuk bermula dengan yang mudah dan murah. Kami membeli poster ABC, First Words dan My Body untuk Nufayl.

Gerai Creative Enterprise pula tidak sempat saya singgah. Kerana Nufayl waktu itu menuntut masa untuknya, saya berlari ke surau memberinya makan dan minum.
Sebelum itu, sempat juga berjamah temu dengan Ronie & makciknya, Mudin & Walida. Juga Abang Azhar (MMU)...heheh Mahram tika DCBA dulu. :) Rasa rugi tak dapat berjumpa dengan Gopi & FT ketika di tempat yang sama pada waktu yang sama. Tak ada rezeki! Kak Salina pula tidak ditaqdirkan, kerana tidak berada di tempat yang sama pd waktu yang sama. Semuanya tentang rezeki & jodoh! :)

Malam itu, saya berulit dengan TC & Majalah i, suami dengan Fiqh Perundangan dan Kebangkitan Islam, Nufayl pula dengan poster-posternya. Semua terlena sebaik sampai di rumah.

Aduhhh...capeknya!

Dalam hati, tak sabar tunggu Pesta Buku tahun depan. :)


p/s: Saya tiada mulai 9-11 Mei. Berkursus Team Building di Bagan Lalang. Bersama Ummu Anas. Saya terlihat nama Ibu Auni. Aini jadi ikut serta? Jumpa di sana! :)



~~~
Hany FF

Thursday, May 05, 2005

Dialog Hati, 'Aqal & Iman

Catatan ini terlintas dan mengalir seperti air, semasa saya sedang menjawab balas komen Ukhti Siti & Ika di catatan sebelum ini. Memandangkan ilham mengalir panjang, saya kira lebih baik saya abadikannya di blog ini, kerana komen Haloscan itu pasti musnah diragut kesementaraan server yang menuntut di ruang maya.

Selamat memahami isi hati yang rumit untuk kucurahkan segala. Ini adalah antara darinya.

~~~
Hati ini berkata, tiba masanya aku akan mati juga.
'Aqal pula berbisik, kini belum masanya, mengapa harus berserah pasrah?
Hati meluah rasa, aku letih dengan mehnah dunia.
Iman yang diam sedari tadi menjawab, itu tanda kau akan hilang upaya, apabila kau jadi kufur dengan nikmatNYA!

Hati mula berbahang dengan hawa yang dikirimkan oleh Iman. Kau kata aku kufur nikmatNYA?
Iman tersenyum, dia sedar bunga di taman hati itu telah dijentiknya. Hati, mengapa mudah kau lurut nafs yang tunduknya memerlukan sambut? Sedang ibumu, naluri telah berpesan...tundukmu jangan sampai mengorbankan Syahadah. Sucimu perlu kaupelihara, walau tujah rangsang debunga buat kau rasa dosa bagai syurga.

Apa yang kau bicara, wahai Iman. Hati berbara-bara.
Aku hanya menasihatimu Hati. Benarkan 'Aqal? Hati seperti kufur dengan nikmatNYA apabila dia mengeluh sedemikian rupa. Sedang nafas itu masih dikurniaNYA, mana mungkin kita berkata hidup itu satu keletihan buat kita!
Itu nilaianku. Bagaimana dengan kamu? Iman beralih pandang.
'Aqal yang menyendiri sejak tadi menyuakan wajah walang yang panjang. Dahinya berkerut-kerut, mulutnya terkumat-kamit meregang rasa yang dipunya dua saudara.
Apa kau kau kumat-kamitkan itu 'Aqal? Tanya Hati bagai tak punya sabar lagi.

Aku teringat kisah jabat wargajagat dengan Pencipta mereka, Al-Jabbar. Kau tidak tahu wahai Hati. Waktu itu di alam bawah sedarmu, di alam Ruuh ketika itu. Kami berdiri dan semua wargajagat menyaksikan penyaksian semua penciptaan bahawa hidup dan mati kita adalah keranaNYA. Segala urusan hidup kita MESTI sentiasa mengikut garisan yang ditulisNYA. Permintaan kita hanya kepadaNYA. Wajah kita mesti sujud padaNYA.
Tika itu, wargajagat semuanya patuh. Bukan macam kau kini wahai Hati. Semuanya penuh rela berjabat dengan Al-Jabbar. Kalaupun ada yang menarik janji, pasti hidup mereka tidak panjang. Kerana wadah mereka tidak dimateri!

Panjang sungguh kisahnya wahai 'Aqal. Bagaimana aku boleh lupa semua itu. Iman terkesima penuh keinsafan.

Kerana berlakunya ia di bawah alam sedarmu, Iman. Usahlah belasungkawa kerana kau belum dikafankan...hahah. Berdekah-dekah tawa 'Aqal.

Bagaimana pula kau boleh menyimpan setiap detik yang berlaku? Aku bingung! Iman meneruskan kekeliruannya dengan persoalan demi persoalan.

Iman, bukankah bani Israel, kaum Nabi Musa telah menjadi bukti akan persoalan yang kadang-kadang perlu disimpan. Tanya bukan tidak perlu, tapi kalau terlalu banyak maklumat yang ingin kau tahu...aku walang kuatmu tidak cukup kuat yang memuatkan ilmu yang banyak ini. Surah Al-Baqarah bukankah sudah menceritakan segalanya?

Iman diam. Benar, tiada gunanya dia mempersoal segalanya. Cukuplah 'Aqal sudah memperingatkannya tentang tujuan hidupnya di bumi Allah ini.

Hati diam. Dia memerhati perbualan keduanya. Persoalannya tadi tentang keletihan, mehnah, dan hidup bagai tertangkup di akhir perbualan ini. Betapa bumi itu bulat, dan segala persoalan ada jawapannya di hujung segalanya. Betapa kita tidak menyedari, kerana kerdilnya kita dalam ilmu dan tahuNYA. Kerana lemahnya kita dalam lautan nafs yang beraja.

"Ya Ayyuhannafsul muthma'innah,
Irji'ie ila Rabbiki mardhiyatammardhiyah,
Fadkhuli fii 'ibaadii,
Wadkhuli jannati." [Al-Fajr : 27-30]

"Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhan kamu
dengan penuh keredhaan dan diredhai.
Masuklah dengan Para 'Abid kepadaku.
Masuklah ke dalam syurgaku." [Al-Fajr : 27-30]



~~~
Hany FF
26 Rabi'ul Awal 1426H

Tuesday, May 03, 2005

Antara Tuntutan, Tekanan & Bebanan

Assalamualaikum wbt...

Kepada semua ikhwan/ikhwah yang membaca...maaf saya pohon atas keterlewatan bicara tazkeer kali ini. Saya terlalu terikut arus yang meragut rasa hambaNYA di dunia ini. Saya terarah dengan panah dunia yang menuntut kuasa zahir yang ada...segenap penjuru untuknya.
Capek! Letih! Sampai bila harus begini?

Siti Zurina & Zulaikha, saya akui rungutan anda berdua...akan niat yang entah pada siapa. Apabila tekanan dan bebanan tugas bertambah, bahu tidak lagi larat menanggung. Tuntutan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tak pernah memberi cuti. Dan...pasti, diri sendiri yang salamnya ada yang telah ditarik kembali olehNYA, memerlukan perhatian & kerehatan yang perlu senantiasa cukup. Dan, antara YA atau TIDAK...pasti ada yang akan kurang perhatian lantaran tuntutan, tekanan, bebanan yang tidak mampu dipikul diri yang lemah ini. Zalimnya saya, tidak meletakkan sesuatu di tempat yang HAQ! Pasti ada yang tersilap perhitungan, hingga ada tanggungjawab yang terabai!.

Sungguh, saya rasa diri saya amat zalim. Zalim. ZAlim. ZALIM!!!

Apa perlu saya lakukan? Untuk mengucapkan maaf, saya cukup malu. Malu pada DIA yang Maha Melihat segala, hatta isi hati pun dimaklumiNYA. Malu kerana nafas yang dipinjamkanNYA ini belum terbayar dengan ibadah yang entah baru sampai di mana saja tahapnya. Malu dia insan yang perlu dipohon maaf kerana keterlanjuran bukan sekali atas keterlupaan dan kesilapan yang asbabnya hanya Lupa.

Itulah saya, manusia. Manusia, an-nass. Itulah manusia dengan sifat pelupanya. Manusia dengan sifat lalai dan lekanya. Dengan sebab itulah manusia perlukan peringatan.

Umat manusia diperingatkan melalui wahyu dan zikr yang dibawa oleh Rasul dan Nabi yang diutuskan Allah. Umat selepasnya diperingatkan oleh mesej yang sama melalui pewaris Anbiya'-para ulama'. Kita umat akhir zaman. Kita hanya memiliki wahyu yang dipelihara, kita hanya mempunyai ulama' yang masih dijaga, kita hanya mempunyai bi'ah yang tidak sempurna dalam membentuk diri. Kesempurnaan tidak akan wujud dalam tohmah dan fitnah dunia akhir zaman ini. Bagaimana kita boleh membentuk dan 'menjaga' diri kita daripada sebarang 'kotoran' dan 'palitan debu' akhir zaman ini?

Sekadar memperingatkan diri sendiri dan juga diri yang perlu diperingati. Ingat semula...mengapa kita dijadikan untuk hidup di dunia ini. Ingat semula ikrar kita sebelum dilahirkan di dunia ini. Kita sebagai umatnya, sebaiknya kita menilai diri sejauhmana sumbangan kita utk menapakkan Islam di bumi ini. Belum lagi bertanyakan sejauhmana pengorbanan kita utk menjadikan matlamat kita dlm Islam tercapai.

Muhasabahlah kembali..setiap apa yang berlaku daripada awal langkah kita dlm hidup ini. Ambillah pengajaran. Tetapkan matlamat dan capai pada langkah seterusnya dengan 'tangan-tangan' yang tergapai dalam hidup kita. Andai masih terasa sendirian, kembalilah mohon pertolonganNya. Semoga dipermudahkan dalam setiap usaha menegakkan Ad-DeenNya di bumi ini.

Sekadar peringatan buat diri yang lupa. Semoga kita semua dapat menguatkan diri...dan menjadi umat yang cemerlang.

Sebelum berundur...mari kita renungkan antara tafsir surah Alam Nasyrah.

"Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu. yang memberatkan punggungmu. Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu. Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan seungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Dalam surah ini, Allah telah mengatakan bahawa Dia telah melapangkan dada hambaNya (Rasulullah s.a.w.) yang sempit kerana susah atau dukacita...belum tahu jalan yang akan ditempuh. Di situlah kebijaksanaan dan pertimbangan yang 'adil timbul ..apabila Dia memberikan petunjuk dengan melapangkan dada yang sempit. Dia melapangkan dada hambaNya (Rasulullah s.a.w.) yang berat kerana urusan tanggungjawab nubbuwat dan da'wah. Janjinya, namanya ditinggikan...menurut Imam Syafie...tidak kita menyebut namaNya melainkan mesti diiringi dengan nama RasulNya itu (kalimah syahadah)...biarpun lahirnya sebutan itu terbatas, bukan sekadar lafaz dzahiriyah, tetapi boleh juga dzikr-qalbi(ingatan dlm hati) sehingga meliputi segala lapangan ibadat dan ketaatan.

Janji Allah lagi, beserta kesulitan itu ada kemudahan. Dua kali diulangi janji ini. Inilah Sunnatulah. Betapa leganya rasa Rasulullah dan para sahabat yang mendengar tatkala wahyu ini diturunkan. Betapa leganya rasa mereka mengenangkan janji ini. Akan ada penyudah yang baik dalam usaha mereka yg jalannya sungguh sukar ini. Sesungguhnya, Rasulullah s.a.w merasa beban berat itu seakan-akan hendak patah tulg punggung memikulnya. Namun dengan wahyu ini, hatinya dilapangkan, namanya ditinggikan. Ingatlah...yang mudah saja tidak ada...dan yang sukar saja tidak ada. Yang ada dlm hidup dan perjuangan ini adalah resamnya. Sukar jalannya dan senang jalannya akan menyusul di sebalik kesukaran itu. Cabaran dan ancaman itulah yang menjadi sebab aqal berjalan. Itulah yang mematangkan manusia.

Di akhir ayat, Allah mengingatkan...setelah selesai sesuatu tugas itu..dan ia menjadi kenyataan...maka bersiaplah utk tugas yg baru. Ingatlah resam dlm menunaikan tanggungjawab...yang sulit akan ada sbg cabaran, kita harus berusaha dengan 'aqal, tenaga dan doa supaya kemudahan selepasnya dpt dikecapi bersama. Ingatlah Allah tempat kita mengadu. Berusaha dan minta kepadaNya. Allah tidak pernah mengecewakan hambaNya yang bertawakkal.

Masih ingat syair ini? Rujuk catatan saya bulan Mac lalu, Untuk Direnungkan

"Apabila bala-bencana telah bersangatan menimpamu,
Fikirkan segera Surah Alam Nasyrah,
‘Usrun tersepit antara dua Yusran,
Kalau itu telah engkau fikirkan, nescaya engkau akan gembira"




Semoga kita semua dpt mengambil iktibar...dan membersihkan hati ini dalam meneruskan perjuangan hidup di jalan ini.

Wallahu aa'laam bissawaab.



~~~
"Life is too short to leave kindwords unsaid."
Hany FF
24 Rabi'ul Awal 1426H