Hari ini 7 Mei 2005. Catatan ini mungkin terlewat, kerana Pesta Buku tersebut telah tamat 2 Mei lalu dan tarikh lawatan saya ke sana telah lebih seminggu berlalu.
Saya ke sana pada 30 April 2005, hari Sabtu. Tanpa menyedari pada hari yang sama akan berlangsung AIM 2005 di PWTC, kami terperangkap dalam kesesakan jalanraya yang agak teruk tengah hari Sabtu itu. Hanya dua-tiga minit ke jam 3 petang baru kami berjaya menikmati hawa dingin di dewan dalam PWTC itu.
Bermula dengan gerai Karangkraf, saya memborong koleksi NUR yang tertinggal...termasuk membeli beberapa naskhah NUR bulan Mac 2005 untuk dihadiahkan kepada beberapa orang yang istimewa. [Tapi sayangnya, NUR Mei 2004 tidak sempat saya beli...Kak Salina, masihkah ada lagi saya inginkan beberapa naskhah!] Termasuk majalah i yang saya borong untuk koleksi dan PA & MA yang terkini. Kami memborong majalah sahaja di sana.
Kemudian, kami menjelajah ke segenap pelosok Pesta Buku itu. Tujuan utama saya ialah untuk membeli hadiah untuk suami saya. Dia mengajak saya ke gerai DBP, mahu melihat sesuatu katanya. Dia maklum hasrat saya untuk menghadiahi buku Pengembaraan Ibn Batutta sempena hari lahirnya. Namun, ada sesuatu yang lebih menarik untuknya di gerai DBP.
"Siri Kebangkitan Islam : Gambaran dan Sejarah dalam Tamadun Dunia" karya Marshall G.S. Hodgson yang mengandungi 3 buah buku itu pilihannya. Saya akur. Itu untuk hadiah hari lahirnya. Harga satu set siri tersebut - RM 180. Diskaun? Ermmm..belum lagi! Nampaknya ada orang yang teruja melihat Siri Fiqh Perundangan tulisan Wahbah al-Zuhaily. Itu inginnya sejak lama! Kitab fiqh yang membuat perbandingan hukum dengan pendapat 4 mazhab. RM 100 satu kitab, dan 7 buah kitab semuanya dalam satu siri.
RM 700? Kami tersenyum. Diskaun? Belum!
Di gerai DBP/Dawama itu juga saya kaget dengan tawaran harga murah majalah-majalah lama (koleksi 2004). Saya borong Majalah Tunas Cipta-RM 1.00 senaskhah! Ya...saya belum pernah memiliki dan membaca Tunas Cipta. Ketinggalan! Memang saya ketinggalan, kerana saya tahu ketika saat-saat awal majalah Tunas Cipta dirancang untuk penerbitan. Tika itu saya masih aktif menyertai aktiviti sastera bersama Alumni MPR & DBP. Tika itu saya rajin turun menghadiri Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan, Diskusi Karya Eceran dan sesi pertemuan Alumni MPR dalam MPR yang diadakan. Saya tahu kewujudan Tunas Cipta. Tapi, komitmen di kampus mungkin membataskan saya untuk bertemu dengan majalah yang cukup membina ini. Sementelah pasarannya terhad. Hanya di beberapa buah kedai di Lembah Kelang sahaja.
Saya borong Tunas Cipta! Dan tentunya, saya pejam mata membeli Antologi Cerpen & Puisi Klik-Klik (Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat 1998/1999) untuk koleksi peribadi. Kerana apa pejam mata? Errmm... :)
Akhirnya, dengan semua barangan yang dibeli, kami dapat harga istimewa dengan potongan 25%, kami dapat harga RM 680++ untuk kesemuanya. Alhamdulillah! :)
Saya dan suami agak terganggu juga dengan asakan promosi program perpustakaan rumah untuk anak-anak. Terlalu menuntut! Ada juga yang terlalu memaksa, demi kebaikan anak kononnya. Bukan saya tidak bersetuju langsung dengan produk sebegitu. Tetapi, sikap jurujual yang memaksa kita meluang masa agak mengjengkelkan sedang kita telah menjelaskan bahawa penerangan serupa telah didengari seawal sampai ke sana. Macamlah kita berbohong. Habis disoalnya nama jurujual yang menerangkan itu. Saya dan suami terus mengelak. Ada beberapa produk : GROLIER, AMEEN, dll... semuanya lebih RM 1K. Kami memilih untuk bermula dengan yang mudah dan murah. Kami membeli poster ABC, First Words dan My Body untuk Nufayl.
Gerai Creative Enterprise pula tidak sempat saya singgah. Kerana Nufayl waktu itu menuntut masa untuknya, saya berlari ke surau memberinya makan dan minum.
Sebelum itu, sempat juga berjamah temu dengan Ronie & makciknya, Mudin & Walida. Juga Abang Azhar (MMU)...heheh Mahram tika DCBA dulu. :) Rasa rugi tak dapat berjumpa dengan Gopi & FT ketika di tempat yang sama pada waktu yang sama. Tak ada rezeki! Kak Salina pula tidak ditaqdirkan, kerana tidak berada di tempat yang sama pd waktu yang sama. Semuanya tentang rezeki & jodoh! :)
Malam itu, saya berulit dengan TC & Majalah i, suami dengan Fiqh Perundangan dan Kebangkitan Islam, Nufayl pula dengan poster-posternya. Semua terlena sebaik sampai di rumah.
Aduhhh...capeknya!
Dalam hati, tak sabar tunggu Pesta Buku tahun depan. :)
p/s: Saya tiada mulai 9-11 Mei. Berkursus Team Building di Bagan Lalang. Bersama Ummu Anas. Saya terlihat nama Ibu Auni. Aini jadi ikut serta? Jumpa di sana! :)
~~~
Hany FF
No comments:
Post a Comment