‘Virus’ terbaru yang menular telahpun menjadi fenomena pantas di
Malaysia, malah mungkin telah tembus ke beberapa negara luar seperti Brunei,
Thailand, Indonesia dan Singapura
.
Walaupun tidak menjangka akan berterusan lama, masih boleh dikatakan, ini
merupakan pencapaian yang hebat apabila dua wanita yang pertamanya tiada
jawatan prima dalam politik, tidak pun dikenali masyarakat besar sebelum ini,
dan tidak juga siapa yang mengaku mengenali beliau sehingga kini, berjaya
mencetus fenomena ini dalam tempoh sekelip mata. Manakala wanita yang kedua
menepati ciri-ciri yang pertama, cuma bezanya nasib beliau berubah menjadi
pujaan masyarakat apabila semua mula menyanjungnya dan ingin mengaku mengenali
beliau. Dan saya terpaksa mengakui mengenali beliau sebagai seorang yang aktif
dengan aktiviti kepimpinan kemahasiswaan, cuma beliau tidak mengenali saya
.
Impak peristiwa yang berlaku melampaui senario politik semasa secara
santai dan tajam. Tanpa perlu membuka siaran lawak jenaka, ia masih mampu menyejukkan
sebentar kepanasan kepala menghadap politikus menjawab sana-sini bagi menjustifikasikan
kebenaran perjuangan masing-masing. Dan kesannya ini jelas merentas segala
elemen kemasyarakatan yang wujud, pastinya kerana ia melibatkan tunjang sosial
negara dan budaya timur rantau ini.
Pertembungan ini boleh sahaja dilihat pertembungan bangsa, boleh juga
dilihat pertembungan ideologi politik, atau pertembungan orang tua orang muda,
atau pertembungan golongan terpelajar dengan golongan kurang ajar, atau juga
pertembungan tata susila adat dan agama. Ia boleh diulas dari apa jua perspektif,
menjadikannya unik dan hangat, dan pastinya segar, lantas menarik minat bukan
sahaja golongan intelek, malahan agamawan, politikus, atas pagar, artis, pakcik
sawah mahupun nelayan di laut dan mungkin haiwan yang melata jika mereka bijak
membaca (memetik rujukan Sang Moderator).
Semuanya bermula apabila manusia bereaksi kepada aksi pembodohan. Sudah
ditakdirkan manusia punyai akal, sentiasa berakal, cuma kadangkala terlupa untuk
digunakan dengan tepat. Ia merupakan satu elemen gila kuasa tetapi berlaku pada
skala kecil. Gila kuasa apabila ada mikrofon di tangan sehinggakan merampas hak
berbicara seorang yang lain. Gila kuasa apabila tersilap meletakkan peranan
diri sebagai diktator walaupun asalnya cuma seorang moderator. Gila kuasa
sebagai seorang intelek, walaupun bezanya O’level dan Ijazah itu cuma kurang
lebih 4 – 5 tahun perjalanan jam sahaja dan tidak memerlukan roket untuk sampai.
Dan gila kuasa untuk menonjolkan diri berilmu dengan meremehkan perbandingan
insan lain yang penuh dengan statistik dan fakta walaupun diri sendiri hanya
mampu membacakan kembali kamus haiwan yang boleh sahaja turut disebut oleh
kanak-kanak di kelas peralihan.
Gila kuasa ini bergabung dengan emosi
tahap rendah dengan mentahnya strategi politik menzahirkan watak fizikal yang
dilihat sebagai al-kibr. Membesarkan diri dan meremehkan orang lain.Sifat
mazhmummah ini ada dalam kebanyakkan diri manusia. Cuma ia kadangkala
terselindung dan kadangkala terzahir tanpa sedar. Kali ini kepada Sang Moderator
tersebut ia terzahir kerana beliau bukanlah ahli agama yang warak untuk
berkelakuan seperti malaikat, dan beliau juga bukanlah politikus licik yang
bijak berhipokrisi. Beliau hanya seorang manusia yang belum cukup pra syarat
untuk berdepan khalayak dengan tenang dan sopan.
Setelah menghadam semua yang di atas,
kerana apakah perisitiwa meletus laharnya? Bukankah ia sentiasa berlaku di
pelbagai peringkat? Tidak salah untuk kita katakan apabila minyak
sendiri-sendiri atau api sendiri- sendiri tidak akan memudaratkan. Bila ada
bahan yang akan terbakar barulah ia membakar dan menghancurkan.
Sang moderator harus ingat, beliau
berdepan dengan beberapa elemen besar masyarakat ketika memegang mikrofon
tersebut. Pertama, melibatkan seorang individu bergelar MAHASISWA yang sedang
bergerak ke zon bijak dan tidak boleh diperbodohkan, kedua, ALAM MAYA yang
tidak boleh ditutup walau dengan bangkai gajah sekalipun, ketiga MASYARAKAT
KRITIS yang apabila diikat mata mulut bercakap, disumbat mulut tangan menaip,
diikat tangan jiran membantu dan keempat beliau telah terlajak menzahirkan
TUTUR BICARA KHALAYAK dengan kalimah dan intonasi yang tidak dapat diterima
baik di benua timur, barat, utara mahupun selatan.
Elemen-elemen ini adalah antara titik
sensitif yang wujud dan perlu dijaga oleh sesiapa sahaja yang ingin meneruskan
kehidupan dengan tenang dalam masyarakat majmuk berbilang bangsa, agama dan
daya intelek ini. Baik anda ahli politik, ulama, pelajar, pensyarah, doktor
perubatan atau apa sahaja gelaran.
Kepada pelajar yang pada pandangan
masyarakat telah dimangsai, percayalah, ia tidak seteruk mana. Anda bukan
mangsa, tetapi penerima anugerah. Tidak mudah untuk berdepan dengan rasa aib
begitu, tetapi ia hanya berlangsung kurang lebih suku jam. Selebihnya ia adalah
anugerah proses pembelajaran yang amat berguna kepada anda dalam berdepan
dengan masyarakat sebenar. Ramai lagi yang sebegitu sifatnya dan jika anda
tidak berada pada platform pada hari itu, anda tidak akan mengenal manusia
dengan lebih baik. Maka berterima kasihlah kepada guru segera yang datang dari
jauh menceruk masuk ke universiti anda untuk memberikan pendidikan percuma dan
segera ini. Syabas! Dan ingatlah, janganlah menjadikannya sebagai satu wadah
untuk meraih populariti segera yang tersilap langkah mencambah ego dalam diri
pada fasa kehidupan yang akan datang.
Kepada rakan-rakan pelajar tadi, ramai
yang mengecam dan mencemuh. Namun harus difahami, proses indoktrinasi
menggunakan peluru tabur, yang dilambakkan kepada umat muda yang belum pernah
mengenal erti susah dan payah sebenar kehidupan. Dan tidak pernah diterjah
dengan keganasan moderator seperti Sang Moderator tadi, sangat sukar untuk
ditentang oleh minda lemah.
Mahasiswa yang berada di dalam dewan
sana terbahagi kepada pertama, KELOMPOK LEMAH MINDA LEMBIK JIWA yang akan
mengiakan mencacai apa sahaja dengan penuh rela asalkan tidak terusik periuk
nasik dan matlamat mereka. Kepada golongan ini, dinasihatkan untuk mengambil
kursus asas masakan dan penyediaan makanan. Agar tepat dikenali sebagai
mahasiswa makanan, atau mahasiswa periuk nasi. Kedua kelompok yang TIDAK LEMAH
MINDA TETAPI TEKUN MENCERNA SUASANA. Memikirkan kemaslahatan jangka panjang,
membina kewibawaan dalam diam lantas akan berupaya menzahirkan kekuatan
kemahasiswaan dalam proses jangka panjang berbanding jika terus membantah
lantas akan dihantar ke universiti lain atau ke negara lain (memetik idea Sang
Moderator). Ketiga adalah kelompok yang TIDAK AMBIL KISAH baik periuk nasi atau
kewibawaan kemahasiswaan. Mereka ini datang untuk membeli, merebus dan
menggoreng segala apa yang berkaitan akademik, lantas ditelan semahunya biarpun
dunia kiamat dan bulan bintang terhempas di depan mata. Kelompok keempat yang
nampaknya tidak muncul pada hari tersebut, melainkan mangsa, adalah yang KUAT
MINDA, KENTAL TEKADNYA. Mewujudkan lebih ramai kelompok keempat ini, yang
merupakan mercu tanda sebenar dunia mahasiswa yang berakar umbi berpuluh tahun
yang lepas, mungkin memerlukan pengislahan sistem pendidikan burung belatuk
dicengkam singa, mengangguk sambil menangis, untuk dipindah kepada sistem yang
lebih memuliakan daya intelek mahasiswa sejak dari awal.
Akhir bicara, menelah isu ini dari
banyak perspektif, memberikan kita pengajaran cukup bermakna agar pertama, diri
kita sendiri tidak melakukan yang sedemikian terhadap orang lain bagi
memastikan kemuliaan diri kita sebagai khalifah Allah terpelihara. Kedua, sama-sama
kita menarik nafas yang dalam, betapa di luar dunia kita, wujud manusia seperti
Sang Moderator, baik sedar atau tidak sedar, mencium harumnya bau ideologi yang
diyakini betul, sehingga dengan semberono melupakan bahawa, yang dikata betul
boleh jadi salah dengan kesilapan strategi kita menzahirkan sokongan, dan pada
masa yang sama terlupa, bahawa bukan kita dan pujaan kita seorang sahaja yang
ada akal dan otak di dunia ini.
Namun jauh dari itu, kita harus sedar
bahawa mana-mana daripada mereka masih lagi berada di bawah lingkungan dakwah
kita. Dalam rasa amarah saya kepada Sang Moderator, saya masih lagi tersentuh
dengan salah satu ucapan beliau, lebih kurangnya bermaksud, walaupun beliau
belum lagi cukup lengkap sepenuhnya sebagai seorang Muslim tetapi insyaAllah
pada masa mendatang beliau akan menjadi muslim yang baik. Dan menutup artikel
ini, saya ingin tekankan, jika kita mengaku menjadi dai’e, wahai para du’at,
jangan tinggalkan ruang dalam hati untuk tidak berasa cakna dengan kata-kata
tersebut.
Firman Allah SWT bermaksud
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada
Allah, mengerjakan amal yang shalih dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk
orang-orang yang berserah diri?
Fussilat : 33
1 comment:
Memang jadi fenomena yang tak sepatutnya... Hairan pula saya bagaimana isu ini senang diangkat sedangkan tiada apa lebihnya. Tentang student itu tak mengapalah, yang si seorang lagi itu siapa? sampai beriya benar mengangkat seorang yang 'sangat hebat'. Senang pula dia diangkat orang besar yang siapa pun tak kenal sebelum ini walau dari pihak mana pun.
Bayangkan taugeh vs kacang dapat dispin gah?
Kadang-kadang penulis perlu melihat dari sudut rasional disebalik isu ini.
Post a Comment