Catatan ini terlintas dan mengalir seperti air, semasa saya sedang menjawab balas komen Ukhti Siti & Ika di catatan sebelum ini. Memandangkan ilham mengalir panjang, saya kira lebih baik saya abadikannya di blog ini, kerana komen Haloscan itu pasti musnah diragut kesementaraan server yang menuntut di ruang maya.
Selamat memahami isi hati yang rumit untuk kucurahkan segala. Ini adalah antara darinya.
~~~
Hati ini berkata, tiba masanya aku akan mati juga.
'Aqal pula berbisik, kini belum masanya, mengapa harus berserah pasrah?
Hati meluah rasa, aku letih dengan mehnah dunia.
Iman yang diam sedari tadi menjawab, itu tanda kau akan hilang upaya, apabila kau jadi kufur dengan nikmatNYA!
Hati mula berbahang dengan hawa yang dikirimkan oleh Iman. Kau kata aku kufur nikmatNYA?
Iman tersenyum, dia sedar bunga di taman hati itu telah dijentiknya. Hati, mengapa mudah kau lurut nafs yang tunduknya memerlukan sambut? Sedang ibumu, naluri telah berpesan...tundukmu jangan sampai mengorbankan Syahadah. Sucimu perlu kaupelihara, walau tujah rangsang debunga buat kau rasa dosa bagai syurga.
Apa yang kau bicara, wahai Iman. Hati berbara-bara.
Aku hanya menasihatimu Hati. Benarkan 'Aqal? Hati seperti kufur dengan nikmatNYA apabila dia mengeluh sedemikian rupa. Sedang nafas itu masih dikurniaNYA, mana mungkin kita berkata hidup itu satu keletihan buat kita!
Itu nilaianku. Bagaimana dengan kamu? Iman beralih pandang.
'Aqal yang menyendiri sejak tadi menyuakan wajah walang yang panjang. Dahinya berkerut-kerut, mulutnya terkumat-kamit meregang rasa yang dipunya dua saudara.
Apa kau kau kumat-kamitkan itu 'Aqal? Tanya Hati bagai tak punya sabar lagi.
Aku teringat kisah jabat wargajagat dengan Pencipta mereka, Al-Jabbar. Kau tidak tahu wahai Hati. Waktu itu di alam bawah sedarmu, di alam Ruuh ketika itu. Kami berdiri dan semua wargajagat menyaksikan penyaksian semua penciptaan bahawa hidup dan mati kita adalah keranaNYA. Segala urusan hidup kita MESTI sentiasa mengikut garisan yang ditulisNYA. Permintaan kita hanya kepadaNYA. Wajah kita mesti sujud padaNYA.
Tika itu, wargajagat semuanya patuh. Bukan macam kau kini wahai Hati. Semuanya penuh rela berjabat dengan Al-Jabbar. Kalaupun ada yang menarik janji, pasti hidup mereka tidak panjang. Kerana wadah mereka tidak dimateri!
Panjang sungguh kisahnya wahai 'Aqal. Bagaimana aku boleh lupa semua itu. Iman terkesima penuh keinsafan.
Kerana berlakunya ia di bawah alam sedarmu, Iman. Usahlah belasungkawa kerana kau belum dikafankan...hahah. Berdekah-dekah tawa 'Aqal.
Bagaimana pula kau boleh menyimpan setiap detik yang berlaku? Aku bingung! Iman meneruskan kekeliruannya dengan persoalan demi persoalan.
Iman, bukankah bani Israel, kaum Nabi Musa telah menjadi bukti akan persoalan yang kadang-kadang perlu disimpan. Tanya bukan tidak perlu, tapi kalau terlalu banyak maklumat yang ingin kau tahu...aku walang kuatmu tidak cukup kuat yang memuatkan ilmu yang banyak ini. Surah Al-Baqarah bukankah sudah menceritakan segalanya?
Iman diam. Benar, tiada gunanya dia mempersoal segalanya. Cukuplah 'Aqal sudah memperingatkannya tentang tujuan hidupnya di bumi Allah ini.
Hati diam. Dia memerhati perbualan keduanya. Persoalannya tadi tentang keletihan, mehnah, dan hidup bagai tertangkup di akhir perbualan ini. Betapa bumi itu bulat, dan segala persoalan ada jawapannya di hujung segalanya. Betapa kita tidak menyedari, kerana kerdilnya kita dalam ilmu dan tahuNYA. Kerana lemahnya kita dalam lautan nafs yang beraja.
"Ya Ayyuhannafsul muthma'innah,
Irji'ie ila Rabbiki mardhiyatammardhiyah,
Fadkhuli fii 'ibaadii,
Wadkhuli jannati." [Al-Fajr : 27-30]
"Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada Tuhan kamu
dengan penuh keredhaan dan diredhai.
Masuklah dengan Para 'Abid kepadaku.
Masuklah ke dalam syurgaku." [Al-Fajr : 27-30]
~~~
Hany FF
26 Rabi'ul Awal 1426H
No comments:
Post a Comment