Sudah tidak hitam?
Apa yang hitam dan apa yang tidak?
Apa ada pada hitam, hingga warna jadi isunya?
Atau apa yang tiada pada hitam, hingga hitam tidak diingini manusia?
Saya bercakap tentang rambut.
Kalau dulu, orang tua-tua ada mengatakan bidalan, "Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain." Kini, masih boleh digunakankah bidalan tersebut, sedang bangsa Melayu yang rata-ratanya dijadikan berrambut hitam pekat kini makin gagah menyaingi fitrah. Lihatlah rata-rata dalam tivi, media massa mahupun di ceruk mana di kota ini, pasti kita dapat melihat wajah milik Melayu itu kini warna rambutnya bagai milik 'omputih'.
Buat seorang sahabat, maaf baru hari ini saya sempat memberitakan tentang isu ini (i know you are reading my blog). Perbincangan antara kita hampir sebulan lepas sungguh terkesan di hati saya. Betapa kalau kita lihat, cukuplah di tivi dan lihatlah artis-artis yang kebanyakannya Melayu (baca : Muslim)...rambut mereka sudah tidak hitam lagi. Lagikan ada yang menjadi duta produk pewarna rambut.
Dan benarkah hukumnya HARAM? Itu yang diutarakan sahabat saya.
Saya terdiam. Bagi saya ia HARAM bi fie'lih - HARAM kerana perbuatan, bukan HARAM bi zaatih - HARAM kerana zatnya.
HARAM kerana zatnya - jika mengandungi najis seperti uri, babi dalam produk berkenaan.
(bukan saja produk pewarna rambut, jika kosmetik/makanan dll mengandungi bahan ini, ia kira HARAM bi zaatih.
HARAM kerana perbuatan - maksudnya perbuatan kita memakai warna rambut itu di rambut kita yang menjadikan ia HARAM. Walaupun produk itu HALAL drp segi zatnya (tidak mengandungi najis dll).
Di sini timbul persoalan bagi yang bertanya. Kenapa HARAM perbuatan itu?
Jika bercakap tentang remaja yang mewarnakan rambut untuk fesyen dan gaya, tentulah lain niatnya dengan golongan warga tua yang punya uban yang disandarkan niat atau golongan lelaki yang menyertai perang yang memerlukan sokongan fizikal.
Sekadar mencari dan berjumpa dengan hukum yang telah difatwakan di Malaysia.
(1) Fatwa diwartakan oleh Negeri Sembilan.
Tajuk : Hukum Mewarnakan Rambut.
Rujukan : E-FATWA.GOV.MY
1. Sunat :
Mewarnakan rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain dari warna hitam.
2. Harus :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad.
b) Mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami.
3. Makruh :
a) Mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh.
b) Memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat, atau diterima percakapannya.
4. Haram :
a) Mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 2(a) dan (b).
b) Mewarna rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.
(2) Hukum Halal & Haram Dalam Islam oleh Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi
Tajuk : 2.2.12 Semir Rambut (Mewarna Rambut)
Rujukan : Halal & Haram Dalam Islam
Termasuk dalam masalah perhiasan, iaitu mewarnakan rambut kepala atau janggut yang sudah beruban.
Sehubungan dengan masalah ini ada satu riwayat yang menerangkan, bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak memperkenankan mewarnakan rambut dan mengubahnya, dengan suatu anggapan bahawa berhias dan mempercantik diri itu dapat menghilangkan erti beribadah dan beragama, seperti yang dikerjakan oleh para rahib dan ahli-ahli Zuhud yang berlebih-lebihan itu. Namun Rasulullah s.a.w. melarang taqlid pada suatu kaum dan mengikuti jejak mereka, agar selamanya keperibadian umat Islam itu berbeza, zahir dan batin.
Untuk itulah maka dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. mengatakan:
"Sesungguhnya orang-orang Yahudi tidak mahu mewarna rambut, karena itu berbezalah kamu dengan mereka."
(Riwayat Bukhari)
Perintah di sini mengandung erti sunat, sebagaimana biasa dikerjakan oleh para sahabat, misalnya Abu Bakar dan Umar. Sedang yang lain tidak melakukannya, seperti Ali, Ubai bin Kaab dan Anas.
Tetapi warna apakah yang dibolehkan itu? Dengan warna hitam dan yang lainkah atau harus menjauhi warna hitam?
Namun yang jelas, bagi orang yang sudah tua, ubannya sudah merata baik di kepalanya ataupun janggutnya, tidak layak mewarnakan dengan warna hitam. Oleh kerana itu tatkala Abu Bakar membawa ayahnya Abu Kuhafah ke hadapan Nabi pada hari penaklukan Makkah, sedang Nabi melihat rambutnya bagaikan pohon tsaghamah yang serba putih buahnya mahu pun bunganya.
Untuk itu, maka bersabdalah Nabi:
"Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam."
Riwayat Muslim)
Adapun orang yang tidak seumur dengan Abu Kuhafah (yakni belum begitu tua), tidaklah berdosa apabila mewarnakan rambutnya itu dengan warna hitam.
Dalam hal ini az-Zuhri pernah berkata:
"Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila wajah masih nampak muda, tetapi kalau wajah sudah mengerut dan gigi pun telah goyah, kami tinggalkan warna hitam tersebut."
Termasuk yang membolehkan mewarnakan dengan warna hitam ini ialah segolongan dari ulama salaf termasuk para sahabat, seperti: Saad bin Abu Waqqash, Uqbah bin Amir, Hasan, Husen, Jarir dan lain-lain.
Sedang dari kalangan para ulama ada yang berpendapat tidak boleh warna hitam kecuali dalam keadaan perang supaya dapat menakutkan musuh, kalau mereka melihat tentera-tentera Islam semuanya masih nampak muda.
Dan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar mengatakan:
"Sebaik-baik bahan yang dipakai untuk mewarnakan uban ialah pohon inai dan katam." (Riwayat Tarmizi dan Ashabussunan)
Inai berwarna merah, sedang katam sebuah pohon yang tumbuh di zaman Rasulullah s.a.w. yang mengeluarkan zat berwarna hitam kemerah-merahan.
Anas bin Malik meriwayatkan, bahwa Abu Bakar mewarnakan rambutnya dengan inai dan katam, sedang Umar hanya dengan inai saja.
KESIMPULAN :
1. Berpada-pada dalam perbuatan kita. Bukan masanya lagi kita taqlid tanpa mengetahui asas hukumnya. Sedang zaman laju berlari dengan teknologi ICT, kita harus maju ke hadapan dengan pengetahuan yang jelas dalam setiap laku dan cara.
2. Jika tidak tahu, lebih baik bertanya. Mana tahu, yang ditanyakan itu tahu. Kalau dia juga tidak pasti, carilah. Insya'Allah yang benar itu jelas, asalkan kita membuka minda, jiwa & rasa untuk mencari kebenaran.
3. Selidiki semula hati : Niat, mengapa perlu mewarna rambut. Pastikan bahan itu tidak menghalang air sampai kpd rambut, dan pastikan warna itu seperti yang dinyatakan jelas oleh Rasulullah s.a.w.
Sedang petunjuk sudah ada. Ikutilah.
Menyalin kata-kata yang diilhamkan dua hari sudah,
Jangan tunggu hingga merasa neraka, baru mahu berhenti buat dosa dan mahu mengejar hasanah & pahala.
:)
~~~
Yang menyelidiki hati,
Hany FF
22 Jamadil Awal 1426 H
29 Jun 2005 M
No comments:
Post a Comment