Assalamualaikum wbt.
Ramai yang masih tersenyum pasca PRU12. Jangan lupa ramai juga yang masih sugul. Biarlah begitu keadaannya. Masakan semua manusia sama. Jika sama tidak dicipta syurga dan neraka. Kenapa pula ada konsep dosa dan pahala? Itulah buktinya, manusia ini tidak sama setiap orang, malah orang yang sama tidak sama setiap masa. Jika jahat selalu, syaitanlah dia. Jika baik sokmo, malaikatlah dia. Mudah kan menjustifikasi kecelaruan identiti manusia. :)
Tarik nafas dalam-dalam. Bayangkan bumi yang hijau di depan mata. Langit menempatkan matahari, memancarkan sinar yang bukan kepalang. Deruan air ombak menyisir pantai. Arus sungai mengolak beting. Bulan purnama indah mengambang menerangi malam. Cengkerik bersahut-sahutan membesarkan Allah. MasyaAllah, nikmat Allah yang bukan sedikit dicurahkan kepada hambaNya, tanpa mengira bangsa, mahupun parti. eh..
Berbakti kepada manusia, dapatlah habuannya. Makanan enak dan lazat hasil pendapatan yang lumayan. Tetapi tertakluk kepada kontrak. Langgar kontrak, menganggurlah jawabnya. Sehingga diputuskan bersalah atau tidak, banyak manfaat disekat. Kenaikan pangkat, kenaikan gaji semuanya sangkut. Kemudahan lain turut ditarik balik. Perit juga kehidupan ini.
Hidup kita sebagai hamba Allah, bukan sekadar pekerja, tetapi kita HAMBANYA. Usah besar diri. Usah rendahkan orang lain. Selagimana sama-sama kita ini membuat kerja dan tugasan dengan baik dan taat, insyaAllah, semuanya dapat habuannya, dunia dan akhirat ataupun salah satunya.
Begitupun, dalam organisasi ada peraturannya. Ada juga tanggungjawab kita memastikan peraturan diikut oleh diri kita dan melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh rakan sekerja yang lain. Jika tidak, seluruh organisasi akan lingkup. Wal'iyazubillah. Perlu wujud dari kalangan kita pendakwah dan pembimbing pada yang lainnya. Dan wujud juga unit khas mengawal disiplin seharian, menguatkuasakan peraturan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku. InsyaAllah, kestabilan operasi perniagaan akan dapat dipertahankan dan dipertingkatkan.
Sahabat-sahabat sekalian, hilang pekerjaan, banyak lagi Syarikat lain boleh mengambil kita bekerja. Hilang nyawa, tiada Tuhan lain yang akan menghidupkan kita. Itulah ALlah, satu-satunya Tuhan yang Maha Esa. Kehidupan selepas mati adalah muktamad. Apa yang kita lakukan bukan boleh dipadam diconteng. Hanya akibatnya yang akan diterima pada hari akhirat kelak.
Betapa kita lihat, bukan jenazah itu sendiri, tetapi ahli keluarganya turut kadang-kadang merasai 'bebanan' yang ditinggal si mati. Teresak-tertangis memohon ampun dan kemaafan dan sekalian yang hadir. Alangkah indahnya kematian muslim bila ahli keluarganya sendiri boleh menghadapinya dengan tenang, tanpa perlu merisaukan mereka yang telah pergi. Bagaimanakah kita selepas detik kematian kita?
Jalanilah kehidupan sebagai mu'min sejati. Merindui kematian dan Syurga Allah. Tidak hipokrit beragama. Tidak mempermudah urusanNya. Sesekali tidak menghampiri larangannya. Tidak memperleceh pewaris Rasul. Tidak mengagungkan dan menyanjung artis-artis penyebar maksiat yang akhirnya melalaikan kita semua dari prinsip asas kehidupan sebagai seorang muslim.
Berhati-hatilah dengan kemaksiatan. Sekali kita ceburkan diri, baik sengaja, mahupun tidak, rasa ketagihan itu akan mendorong untuk maksiat seterusnya. Akhirnya kita tidak sedar perlakuan kita itu maksiat, bicara kita itu dusta, ibadah kita itu ria', amal kita itu takabbur, pejam kita itu lalai, celik kita itu dibenci. Wal'iyazubillah.
Teruskan bertugas. Teruskan beramal. Teruskan beribadah. Doa pada Allah titipkanlah selalu, agar kita tidak hanyut dalam hidup di dunia sementara ini. Istighfar rutin kita. Pasti kita pernah suatu masa berbuat dosa, baik kecil mahupun besar.
Inilah sebahagian asas perjuangan hidup kita, siasah kita dan segala-segalanya yang melibatkan diri kita sebagai hamba Allah. Banyakkah istighfar, tungguilah kematian sedikit masa lagi, hanya sejarak dengan pejam dan celiknya mata sahaja. Sedarlah, kematian itu hampir. Apa persediaan kita? Pejamkan mata, tariklah nafas, dari sehari ke sehari, kematian kita semakin hampir.
Wassalam
3 comments:
ingatkan zainal nak suh pejam mata tarik nafas bertenang dgn segala macam yg sedang berlegar selepas pilihanraya.. ahhahahaha
oklah..insaf sket pagi jumaat:)
Tahniah.. dapat MB baru.... :P
HIDUP MAT ISA SABU (atau hidup sapa saja yang jadi MB selain SHAHIDAN KASSIM BABA).
Series, aku benci shahidan.
Post a Comment