Friday, December 17, 2004

Perginya Seorang Ukhti


~Ukhti & Hany FF (duduk dari kiri) di FRIM semasa Rehlah Naqibah, Jun 2000~


Ukhti,
Jazakallahulkhoir,
Setiap katamu kini kurenung,
Setiap lakumu kini kuhitung,
Betapa perilakumu begitu.

Beruntunglah,
Setiap kebajikan yang ditabur,
Setiap ajakan yang diatur,
Setiap sedekah yang dihulur.

Ukhti,
Nafas yang diputuskanNYA,
Bukan pemisah ukhuwah kita.
Hidupmu di sana,
Hidupku di sini,
Tak lama lagi kita akan bertemu kembali.

Dunia ini singkat Ukhti,
Kau telah pergi,
Setelah menjunjung perintah Ilahi.

Bersemadilah.
Tenanglah.
Do'a sahabat-sahabatmu mengiringi.

~~~~

Catatan buat Kak Shiqin :

~Ummu Amiir dan Amiir, Ahad lalu - 12 Disember 2004~

Sayu lihat wajahnya yg terakhir ini. Senyuman penuh erti seorang ibu, dan renung cerdik seorang anak. Kepada suaminya, bersabarlah.
Kami sama-sama doakan mujahidah sejati ini tenang dalam rahmah Allah.

Kak Shiqin, segala pengorbanan dan usaha akak sama bersemadi di hati ini. Terima kasih kerana membimbing adikmu ini. Terlalu besar jasamu. Watakmu begitu sinonim denganku tika di kampus dahulu. Setiap kenangan tersemat di jiwa ini. Naluri sentiasa berkata...tauladan akan diikuti.

Rupanya EidulFitri lalu adalah kali terakhir kita bersua muka, bermaafan sesama kita di bumi tumpah darah suami kita - Daarul Na'im. Tanpa sempat mengabadikan dalam sebuah gambar kerana katamu Amiir mungkin demam campak, dan kau tak mahu ia berjangkit kepada bayiku. Sayunya.

Kak Shiqin, tiada sisa rasa yang disimpan, cuma sanjungan yang masih dan akan kuletakkan di sudut hati ini. Akan. Dan akan selamanya kusimpan wajah dan nasihatmu.

Semoga Amiir Husaini menjadi anak soleh yang akan senantiasa mendo'akn Umminya. Semoga Amiir Husaini menjadi wasiat terakhir yang hidup dan memanjangkan hidupmu dengan do'anya.

Ameen.



~~~
Nukilan Rasa Hany FF.
Khas buat Allahyarhamah Nor'Ashiqin Mohd Ali (Kak Shiqin @ Kak Nuun @ Ummu Amiir ) - ukhti yang dikasihi.
Semoga Amiir Husaini akan menjadi anak soleh yang diwasiatkannya.

Ameen.


No comments: