Friday, December 18, 2009

Abang, tak nak cuti ke esok?


Entah kenapa. Diriku agak tidak ketahuan malam-malam ini. Hanya al-Quran peneman bicara. Itupun ayat-ayat tertentu membuatku tidak mampu meneruskan pembacaanku. Dan Allah pastinya pemakbul doa. Kuharap tulisan ini dapat membantu menajamkan kembali daya fikirku sekarang. Yang tak pernah ku alami sebelum ini.

Jika pada biasanya kami berdua bersimpuh, bertukar azam tahun baru dari sebelum Maghrib. Hari ini, dudukku kelu. Bangunku bisu. Lafazku tiada yang menyambut.

Secebis nota ringkas... Buat kenangan dan tatapan kami sekeluarga.. dan aku pasti, Ummu Nufayl akan gelak terkekeh-kekeh melihat suaminya membuat coretan ini. Gelaklah. bacalah ini sebagai cerpen.


"Abang, tak nak cuti ke esok?" Dan disambut dengan senyuman. Agak terlalu lama, hampir 12 hari bercuti sejak kelahiran anak ketiga kami. Terasa sedikit gelisah dengan timbunan kerja di pejabat. Pagi itu, sekali lagi suara nakalnya bertanya. "Tak cuti ke hari ini?"

Sepenuhnya 12 hari itu telah ku tumpukan pada Ummu Nufayl dan Fudhayl. Segalanya ku cuba penuhi. Sepertimana komitmenku hari-hari terakhir sebelum beliau melahirkan Fudhayl; ketika itu Ummu Nufayl minta dibawa berjalan-jalan ala sa'ie ke 1Utama. Hujung ke hujung.

Dan pada waktu itu juga, hampir semua shopping kompleks yang besar di Lembah Klang di jelajah hujung ke hujung. Hasilnya alhamdulillah, dengan rahmat Allah, proses kelahiran Fudhayl Nashwan berjalan lancar tidak sampai setengah hari.

Kembali ke pagi itu. Selasa. Sebelum bertolak ke pejabat, ku jenguk Ummu Nufayl. Agak keletihan, 3 hari berturut-turut si Fudhayl membuli uminya dari jam 2 pagi ke 6 pagi. Hanya susu badan uminya yang jadi pilihan.

Tiba di pejabat kira-kira seketika selepas itu, jam 9.40 pagi terima panggilan dari rumah. Umi yang kebetulan ada meneman Ummu Nufayl dan Fudhayl memaklumkan Ummu Nufayl rebah di dapur.

Terus aku hubungi 999, juga Pusat Panggilan Kecemasan Subang Jaya Medical Centre.

Di Persimpangan Pantai Baharu, panggilan daripada rumah kali kedua. Kali ini ku dengar suara Ummu Nufayl lemah memanggil namaku dan minta cepat sampai. Suara itu adalah satu suara yang tidak aku ingin dengarnya begitu pada bila-bila masa sekalipun. Pandanganku pada jalan raya mula kabur. Sekabur-kaburnya. Terbabas sekali.

Pecut kereta, di pertengahan jalan,di persimpangan Subang, dapat panggilan lagi, Ummu Nufayl mula terkena semacam epilepsy. Menggelupur dan payah. Pertama kali kurasa dalam hidupnya. Aku mula panik. Lorong kecemasan, laluan kiri, kanan tiada yang terkecuali.

Tiba di rumah, ambulan Hospital Klang telah pun tiba 5 minit awal. Prosedur kecemasan sedang diberikan. Ummu Nufayl tidak lagi kenal Abu Nufayl. Beliau telah masuk ke bahagian lain kehidupannya. Aku dapat rasakan beliau 'keseorangan' pada pandangan mata itu. Getar badannya membuatku akhirnya terundur terduduk, melihat sahaja perlakuan doktor padanya. Hanya kalimah Allah dapat kubisikkan pada telinganya.

Menaiki ambulan, tiba di Hospital Klang. Di pertengahan jalan, terserempak ambulan SDMC masuk mencari jalan. Lembab. Terpaksalah ke Hospital Klang. Menimbangkan antara risiko khidmat perubatan yang mungkin bermasalah dan keadaan terlalu cemas, membuatku mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke Hospital Klang.

Tiba di Hospital, terus ke zon merah. Inilah waktunya aku dengar perkataan 'tenat' daripada seorang petugas kecemasan di sana. Doa sahaja terlafaz di bibir. Kekuatanku mula gugur sedikit demi sedikit.

2 jam, segala prosedur dibuat. Dengan satu pesanan keramat beliau aku lafazkan pada doktor. Jaga auratnya walau dalam apa keadaan. Dan jangan didedah melainkan darurat.

Kemudian dihantar untuk imbasan kepala. Selesai diimbas, kembali ke zon merah. 1 jam setengah selepas itu, barulah dibawa ke ICU. Intubated. Segalanya dengan bantuan. Pernafasan tidak lagi semulajadi.

Petang pertama, jelas tiada keputusan. Hanya sedikit sahaja yang dapat ku tafsir daripada kenyataan doktor.

Malam pertama, beliau rehat, aku tidur dengan berpakaian pejabat dari pagi, berselimutkan kain yang dipakai Ummu Nufayl sebelum ditukar ke pakaian Hospital. Dan baju kesayangannya yang koyak rabak dalam proses menyelamatkan nyawa beliau sebentar tadi menjadi penutup wajahku dari silau lampu. Dan silau air jernih yang tak dapat aku hentikan dari mata lemah ini. Ya Allah.

Paginya, tengaharinya, petangnya, beliau ditenangkan dengan sedatif. sakitnya dikurangkan dengan morfin. Kadar kalsium yang melambung tinggi menyebabkan darah terlalu pekat mambawa kepada rebahnya Ummu Nufayl ; kini dikurangkan sedikit demi sedikit. Minit ke minit.

Pelbagai andaian, simptom dan segala macamnya mula menerjah kepala. Masing-masing memberikan pendapat. Aku mula nanar, berpinar dan menjauhkan diri dari segala macam andaian nakal dan jahat dan ada yang betul, tetapi tidak akan aku kongsikan di sini agar tidak jadi doa. Kerana aku yakin, Ummu Nufayl akan kembali bangun dan bersarapan bersama aku dan anak-anak. Tekadku, jatuh bangun kali ini, biarlah suami yang seorang ini, yang 'mengabaikan' permohonan agar bercuti dari isterinya, tanggung dan hadapi. Usahlah siapa merintang melintang. Apa kata doktor? Jangan tanya, bukan masanya aku menjawabnya.

Hari kedua, aku mula disorientate. Mempertimbangkan segala kemungkinan. Mengenang waktu lampau. Mengimbas lafaz-lafaz Ummu Nufayl. Pada masa yang sama menenangkan ahli keluarga yang lain agar tidak terlalu risau, membuatkan aku terlupa tarikh, hari dan bila ditanya doktor ejaan nama Ummu Nufayl, aku terpaksa keluar dari bilik dan masuk kembali untuk merujuknya pada kad pengenalan Ummu Nufayl.

Namun pada hari kedua, Ummu Nufayl mula memberikan respon. Tetapi masih belum kenal siapa di sekeliling. Suaraku hanyut begitu sahaja tanpa responnya. Namun, penjelasan doktor agak melegakan. Dan keadaan pernafasannya, jantungnya, tekanan darahnya adalah normal. Cuma beliau 'berehat' jauh sedikit dari suaminya ini.

Masuk hari ketiga, pakar yang bertanggung jawab memberikan penjelasan lengkap masih teragak-agak dan tidak munculkan diri. Hanya doktor perubatan yang membacakan aku diagnosis awal dan tiada keputusan konkrit. Detik kehidupan Ummu Nufayl mula menjadi pertaruhan kurang berbaloi.

Akhirnya, dateline, jam 3.00 petang, 17 Disember, jam 3.15 petang, ku hulurkan satu panggilan berkongsi perasaan dengan seorang hamba Allah yang aku kenali dengan rapat dan boleh membantu.

Tun Dr Siti Hasmah tiba jam 4.50 petang. Dan ICU tiba-tiba dipenuhi sejumlah doktor, dan doktor pakar yang semuanya menyatakan mereka bertanggung jawab 'menjaga'Ummu Nufayl

Dengan penuh lembut aku sedarkan mereka, dengan ayat "Saya hargai kehadiran doktor semua, dan petang ini saya baru tahu, ramai rupanya doktor pakar yang merawat Ummu Nufayl". Ayat aku menyebabkan aku 'dirotan' oleh Tun. Dan ayat aku seterusnya, "I appreciate if all the things you said to me just now being said one day earlier". Menyebabkan Tun mula 'risau'. Dibisikkan, Nal, keluar dulu, nanti saya bincang" Dengan lafaz melantik beliau sebagai medical advisor untukku dan Ummu Nufayl, aku melangkah longlai, agak terkenang, jika semua proses dan kecekapan ini berlaku dua hari lepas, bukankah lebih afdhal?

Akhirnya segala prosedur yang bertangguh, penerangan yang lambat, semuanya aku perolehi dalam satu sesi kaunseling bersama semua doktor terlibat dan Tun Dr Siti Hasmah. Satu sesi yang 'pelik' rasanya.

Pada akhirnya, ketika sesi terakhir, aku dipanggil masuk, Tun mengucapkan terima kasih kepada semua doktor yang 'komitmen', dan mengakhiri dengan kata-kata, Zainal, it's now your say to make her stay here, or to transfer her to another hospital. Dan jawapanku mudah. Please, SD*C/S*MC. Walaupun ada kisah sedihnya di situ, tetapi kecekapan rawatan di sana aku akui antara yang terbaik.

Dan episod 'selingan' yang agak melegakan ini, menjadi penyambung kisah esok dan seterusnya, insyaAllah di Subang Jaya Medical Center.

Terima kasih pada Firdaus dan isteri, Yuni, bersusah payah bawa aku balik ke rumah untuk 'kembalikan' my mental state. Yang rasanya hilang alignment sikit ni.

Monolog.

Sekadar mencari teman, meluahkan perasaan. Aku baru terasa terlalu sepi. Dan inilah masanya, kurasakan, terlalu sukar mencari ganti isteri seperti ini. Terlalu tebal kasih ini. Dan bersedia mana sekalipun kita untuk menghadapi keadaan ini, bila berdepan dengan keadaan ini, hanya Allah yang boleh menenangkan. Dan pastinya telinga ini sentiasa menunggu panggilan "abang, cepatlah" kembali menghuni telinga ini.

Ya Allah. Inilah detik terpanjang kehidupanku. Dan inilah detik sepi yang goyah aku menghadapnya. Panggilah nama abang... Jangan bazirkan air mata ini... I miss you my dear.. dan Yang, abang dah cuti sekarang...

Thursday, December 10, 2009

Lahirnya ke dunia, yang ketiga

Salam,

Ini kisah kecil. Namun, catatannya penting untuk Ummi & Abah terus mengingatinya.
Aku punya buku kecil, yang kucatatkan semuanya yang penting tentang yang pertama, kedua dan yang ketiga. Tetapi tanpa berkongsi, kurasakan tidak lengkap catatan itu.

Fudhayl Nashwan dijadualkan lahir ke dunia fana' pada Khamis, 26 November, hari 'Arafah ~ 9 Zulhijjah 1430h. Hari yang bagus, namun Ummi berdoa sejak lama...ingin ketemu dengan hari 'Arafah dan melengkapkan puasa sunnat hari itu. Sementelah, tahun sebelumnya Ummi keuzuran dan tahun sebelumnya lagi adalah hari Ummi, Abah & Nanny menginsafi kewujudan kami di dunia dan segala dosa kami di As-Sakhrakh, bumi 'Arafah. Berkongsi kalimah Sayyidul Istighfar yang menenggelamkan rasa kami sebagai hamba Allah :

"Allahumma anta rabbi laa ilaaha illa anta. Khalaqtani wa ana 'abduka wa ana 'ala ngahdika wa wa'dika mastata'tu, a'uuzubika min sanaqtu, abuu ulaka bi ni'matika 'alaiya wa abuu u bi zanbi. Faghfirli...fa inna hu la yaghfiruzzunuba illa anta."

maksudnya :
"Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdiMu, dan aku berada dalam perjanjian denganMu, ikrar kepadaMu (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; aku berlindung padaMu dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmatMu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau."

Akhirnya, Allah memakbulkan do'aku untuk melengkapkan puasa Hari 'Arafah. Fudhayl tidak menjengah dunia pada hari tersebut. Ketika check-up dengan O&G, dia mengatakan dinding rahimku masih tebal. Masa seminggu diberikan. Dia juga memberi peluang untuk aku dan suami memilih tarikh. Akhirnya kami memilih 30 Nov bersamaan tarikh ulangtahun perkahwinan kami.

Kami meraikan masa bonus yang Allah kurniakan dengan masak juadah hari raya, solat jemaah 'Eidul Adha di Masjid as-Syariff Meru Klang, berziarah dengan jiran, dan seperti biasa exercise di Shopping Complex. Hari Raya kedua di One Utama dan Hari Raya ketiga di Jusco Bukit Tinggi Klang. Juga dengan aktiviti makan-makan di Uptown Damansara, Pizza Hut dan Ramai Seafood, Port Klang...ni kira 2 bulan tak jumpa dah makanan ni ;).

Hari raya ke-empat, 30 Nov 2009 bersamaan 13 Zulhijjah 1430h...aku dijadualkan ke labour room SDMC SJ untuk induction. Sepatutnya jam 8.00 pagi tapi kami lewatkan sedikit dengan notis awal kepada pihak hospital. Aku mendaftarkan diri jam 10.15 pagi selepas selesai menghantar Nufayl & Nuha ke sekolah mereka dan bersarapan.

Jam 10.30 pagi, CTG mula dipasang dan contraction serta heartbit baby akan diawasi untuk jangkamasa 1 jam. Bukaan serviks ketika itu 2 hingga 3 cm. Midwife yang menjagaku ialah Zakiah namanya. Comel & lembut orangnya.

Jam 11.30 pagi, ubat untuk melembutkan rahim dimasukkan. CTG terus disambungkan.

Tepat jam 12.30 tengah hari, midwife masuk lagi untuk memulakan drip. Aku dan suami menolak induction secara drip dan minta midwife hubungi Dr. Delaila, O&Gku untuk pecahkan air ketuban sebagai salah satu cara untuk indcution.

Lunch, solat Zohor sambil rehat-rehat dan sembang-sembang dengan suami. Laptop sentiasa mengumandangkan alunan surah-surah al-Quran. Yang mana surah yang dihafaz, sempatlah aku mengikutnya. Yang tak hafaz, dengar sajalah. Bestnya kalau hafaz Quran kan, mesti boleh ikut semua surah (tak ikut pun, baca sendiri je).

Jam 1.45 petang, O&G sampai. Bukaan serviks baru 3.5 cm. Oklah sebab aku masih belum sakit lagi.
O&G terus pecahkan ketuban. Selepas itu, contraction datang tapi pelan-pelan saja. Aku bagi notis untuk panggil Pakar Bius untuk Epidural.

Jam 2.00 petang, contraction kuat terus datang. 2 minit sekali. Kuat! Kami follow-up bila Pakar Bius nak datang, tapi semuanya ada tugas lain. Suamiku terus menemaniku, menggenggam erat apabila sakit datang dengan kuat.

Jam 2.30 petang, Dr. Dalina (Pakar Bius yang sama menjalankan Epidural untukkan semasa kelahiran Nuha) sampai. Suamiku diminta keluar sebentar. Jam 3.00 petang, proses penyuntikan Epidural selesai. Sebelum sempat Epidural menjalankan operasinya dalam tubuhku, aku memberitahu widwife yang aku dah rasa nak meneran. Midwife Chan memeriksa bukaan, dan katanya,"Fully dilated!" Dr. Dalina terus terkejut dan risaunya dia takut Epidural tak sempat membantuku. Notis panggilan kepada Dr Delaila dibuat. Ups! Aku disuruh tahan, jangan meneran sampai doktor datang. Aduh, dah la sakit contraction, rasa nak push, kena tahan lagi. Tanpa aku sedar hampir setengah jam aku menunggu doktor sampai.
Waktu itu, Midwife Norziela & Sumanthi (Sumi) dah bersedia nak sambut baby (Midwife Zakiah tak ada sejak selepas 1.45 pm tadi, Midwife Chan masuk waktu Epidural sahaja. Selepas itu, aku diambil alih oleh Midwife Ziela & Sumi). Kata mereka, "Ok push, takpe doktor takde saya sambut." Belum sempat aku push, doktor sampai.

Jam 3.30 petang mula push dan 3.35 petang, lahirlah Fudhayl Nashwan bin Mohd Zainal Badri.

Sangat mudah bagiku kerana sakit hanya bermula jam 2.00 petang dengan 3.5 cm, dan jam 3.00 petang dah fully dilated (10cm). Cuma episod kena tunggu doktor tu yang menambah lagi setengah jam. Nasib baik waktu tu, Epidural dah membantu aku mengawal rasa sakit sikit-sikit walaupun sakit pinggang tak langsung dibantu oleh Epidural. (hoho...anak lelaki memang sakit pinggang ler. Nuha dulu tak sakit pinggang pun).

Lahirnya dia diiringi tangisannya kerana dilahirkan ke dunia. Alhaq dia memegang janji dengan Tuhannya.
Selepas dipotong tali pusat oleh suamiku, dan dibersihkan oleh Midwife, dia diazankan oleh suamiku.

Kemudian, sebelum jam 4.00 petang...dia akhirnya berada dalam dakapanku dan menjamah susu Ummi yang tercipta untuknya. Lama dia menyusu, kedua-dua belah, hinggalah nurse datang untuk membawanya ke nursery untuk checkup oleh Paed.

Begitulah kisah kelahiran Fudhayl Nashwan.

Allahu Akbar! Walhamdulillah!

Monday, December 07, 2009

FUDHAYL NASHWAN

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaatu Wassalaamu 'ala Rasulillah.

Pengumuman kepada para bakal besan. Putera kami telahpun mendapat namanya pada hari ke-7 kelahiran beliau. FUDHAYL NASHWAN


secara literal ;

FUDHAYL - maksudnya watak yang memiliki kelebihan, kemuliaan dan kecemerlangan.

NASHWAN - segar, ceria, gembira, freshen up..

Secara sejarahnya, kami ambil nama Fudhayl sebagai panggilan utama, menginsafi kisah seorang wali Allah - Imam al-Fudhayl bin Iyadh ('Ayyadh) yang akhirnya meninggal di Makkah pada tahun 187 hijrah setelah terlalu gementar mendengar sepotong ayat al-Quran yang dibacakan.

Antara ucapan-ucapan Fudhayl bin 'Iyad ('Ayyadh)

1. Berbuat sesuatu kerana manusia adalah syirik, manakala meninggalkan sesuatu kerana manusia adalah riak. Hanya dengan keikhlasan sahaja Allah menyelamatkanmu daripada kedua-duanya.

2. Kalaulah ada padaku doa yang mustajab, sudah tentu akan ku jadikan doa itu untuk seorang ketua. Ini disebabkan kemaslahatan rakyat adalah padanya. Jika ketua tersebut berbuat baik, nescaya rakyat dan negara itu akan aman.

3. Dilihat tersenyum buat pertama kali setelah sekian lama. Kebetulan hari itu adalah hari kematian anaknya. Ketika ditanya, jawab beliau, "apakah yang lebih menggembirakan kerana apa yang berlaku pada hari ini adalah kehendak Allah"..

4. Perkara dan perbuatan yang benar datang daripada Allah. Cara yang betul pula adalah daripada Sunnah Rasulullah SAW.


Harapan Umi dan abah, anak ini akan jadi anak soleh dan wara', cemerlang dan ceria sentiasa.

Wallahua'lam.

p/s : hari ketujuh, Fudhayl dapat nama, tetapi kehilangan rambutnya.. hehe..

Thursday, December 03, 2009

Putera 13 Zulhijjah FitrahZH @ SDMC : 3.35 PM

Bismillahi Walhamdulillah

Agak terlewat sedikit. Tetapi masih ada ruang pastinya.

Alhamdulillah, kami telah dikurniakan cahaya mata ketiga, putera, namanya belum ada.


Profail Ringkas:

Nama : Belum Boleh Diumumkan.
Tarikh Lahir :
13 Zulhijjah 1430H, bersamaan 30 November 2009
Waktu Lahir : 3.35 petang
Tempat Lahir : Sime Darby Medical Center
Kemahiran Asas ketika lahir : Menangis dan Hisap Susu
Kemahiran Lanjutan : Menyamar buat-buat tidur

Kelahiran ini menjadi penyeri seterusnya keluarga FitrahZH. Berkebetulanlah pula dengan tarikh ulangtahun perkahwinan kami. Alhamdulillah.

Sepertimana 'dibisikkan' oleh Ummu Nufayl dalam Facebooknya, segalanya berjalan lancar. Mudah dan dimudahkan Allah SWT.

Gambarnya sepuluh minit dan 3 hari selepas dilahirkan.

Hanya 'sedikit' ujian Allah menimpa kami di Pusat Perubatan terkenal ini. Mendatangkan kesan psikologi yang agak mendalam buat kami, khususnya Ummu Nufayl pada kali ini, khususnya dari segi keyakinan kami terhadap tahap keselamatan di sini.

Bak kata orang, redha kita pada satu perkara, tidak akan melepaskan pihak yang melakukan kecuaian daripada tanggung jawabnya di hadapan Allah dan makhluqnya.

InsyaAllah, sedikit masa kami akan coretkan buat rakan-rakan semua untuk kita kongsi bersama dan sebarkan bagi manfaat bersama di sini dan facebook kami...sekarang, sedang sibuk jaga bayi dan ibu bayi... :P

Wallahua'alam.

Abu Nufayl

Wednesday, December 02, 2009

Raikan Gerak Hati Anda... Landaskan Dengan Syarak,..

Bismillahi Walhamdulillah... Puji dan Syukur pada Allah. Selawat dan Salam pada Rasulullah.

Meraikan prinsip demokrasi. Selagimana tidak melanggar syarak. Lanjutan daripada perhimpunan 100.00000000000000 orang menentang kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tempoh hari, maka, kali ini, dikehadapankan pula jemputan untuk ke perhimpunan yang seakan-akan sama, cuma motifnya lain, kali ini bagi memperlihatkan sokongan pula pada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebagai penyokong tegar, tetapi tidak mendewakan sesiapa, dan juga tidak bebal, kami percaya bahawa, jika pemimpin sudah tidak disukai akibat segala macam keburukannya, maka, gerakan hati kita terhadap beliau itu adalah tanda-awal awal. Diikuti dengan gerakan fizikal rakyat secara kolektif yang akan mencerminkannya penolakan ini. Jadi, marilah kita sama-sama berlapang dada melihat pula respon perhimpunan ini berbanding perhimpunan yang lepas. Dengan penuh rasa rendah diri.

Dan jadikanlah ini perhimpunan yang aman, bukannya untuk mencetuskan persengketaan.

Jika betul 'kemungkaran' orang tua berjubah ini lakukan, pasti Allah akan membalasnya. Saya sendiri tidak mahu mendepani hukum Allah. Kerana sebab di sebalik tindakannya bukanlah 'sampah' di bawah karpet kuning mahupun merah.

Tepuklah dada dengan iman tuan-puan, benci manakah kita dengan orang tua ini. Menyampah sejauh manakah kita dengan tok yang seorang ini. Sekejam manakah kita dengan diri lemah ini di hujung usia beliau? Dan sempatkah kita jenguk beliau pada hari terakhir nafas beliau, sekiranya apa yang beliau katakan selama ini adalah benar dan ikhlas lillahita'ala.

Dan adil-adilkanlah rasa hati kita itu dengan iman dan ihsan. Kemudian, putuskanlah, hadir atau tidak, atau sokong atau tidak. Itu hak tuan-puan. Tiada siapa berhak halang. Wallahua'lam.

Ameen.




Wallahua'alam.

Abu Nufayl

Saturday, November 28, 2009

Bi Adab... atau Biadap dalam Masyarakat?

Assalamualaikum warahmatullah.

Pujian dan syukur pada Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan.

Masih tidak ketahuan, bila tarikhnya cahayamata seterusnya menjengah dunia. Sepatutnya 9 Zulhijjah yang lepas. Hari ini sudahpun 11 Zulhijjah. Masih tenang dan santai dalam perut Ummu Nufayl. Biarlah. Hanya ALlah yang Maha Berhak menentukan detik masa itu.

Tempoh belakangan ini, Abu Nufayl ambil keputusan menyepikan diri. Menurut jejak langkah Ummu Nufayl yang telah pun mengisytiharkan mogok blog. Mogok-mogok beliau, hari pertama dan kedua overduenya, sempat lagi masak juadah raya. Bravo...

Berbalik... Dengan posting terakhir yang lepas, isu-isu susulan makin hebat, tajam dan menghiris.

Hebat dengan fitnah dan unsur fitnah. Tajam menikam hati-hati manusia lain tidak kira sesama Islam atau tidak. Dan pastinya menghiris dan melumatkan adab-adab Islami yang wujud selama ini.

Ujian ALlah datang tidak mengenal golongan sasarnya. Baik Parti Sekular gila bangsa yang cuba memakai topeng Islam seperti UMNO. Baik parti non-Islamik. Baik Jamaah Islamnya. Baik pendukung Islam. Mahupun penyokong tepi jalan. Semuanya boleh terpalit. Asal sahaja ALlah mengkehendaki.

Kurang hikmah kalau saya memanjangkan bicara. Takut timbul unsur memfitnah. Tetapi apa yang jelas, adab Islami yang selama ini menyusun atur keharmonian dan kesejahteraan umat sudah mula ditinggalkan. Dan ini perlu diperingatkan.

Adab berhujah antara ulama. Membahas sesuatu perkara sehingga mencapai suatu kesepakatan. Dan kemudian barulah dialirkan kepada khalayak ; nampaknya adab ini sudah dilupakan oleh pakar-pakar agama dalam menyuarakan hukum kepada orang awam. Tahlil bidaah, berzanji tak boleh, Doa qunut tidak betul. Itu hanya tiga contoh mudah. Semua ini menjadi alat mainan kepada orang awam. Dan mainan ini dibekalkan oleh agamawan PHD, kadangkala. Hentam menghentam di surau-surau antara dua aliran rancak berlaku. Si tua dan muda sudah mula bermasam muka. Membawa jauh hati masing-masing. Akhirnya surau yang sepi kerana kurangnya jamaah bersolat. Inilah bala bencana akibat meninggalkan adab.

Malah, sudah wujud ceramah dan kuliah yang ada unsur-unsur memperlekehkan Ulama-ulama terdahulu. Bukan itu sahaja, apabila diulas, menghasilkan pula gelak ketawa penuturnya. Dan juga pendengarnya. Astaghfirullah.

Betapa kurang ajarnya golongan agamawan ini. Lupakan orang awam. Mereka jahil dan hanya ingin memetik bahagian yang ingin didengar. Baru sahaja menggenggam Masters, PHD, sudah mula bicara laksana mujtahid. Dan membiarkan Imam-Imam besar sebelum ini ditertawakan khalayak. Pada saya, agamawan-agamawan seperti ini adalah sampah kepada suatu juzuk harum yang ada dalam Islam. ADAB.

Kemudian, hasilnya, lahirlah pula agamawan lain, menghentam pula agamawan tidak beradab tadi. Melalui kuliah, ceramah dan blog. Baguslah, menjadi pembela. Tetapi adakah ini caranya hikmah yang diajar Rasulullah? Memarahi orang kafir sendiri dibuat oleh Rasulullah dengan penuh hikmah dan ada manhajnya sendiri. Bersemuka, sampaikan dahulu. Kemudian berbincanglah kaedah terbaik tanpa perlu mengheret orang awam yang jahil ke lembah gelak ketawa, malahan membakar api kebencian antara sesama Islam.

Bala dan bencana ilmu sudah mula menimpa golongan cerdik pandai. Perasaan ujub tidak disedari sudahpun dizahirkan melalui senjata ilmu yang ada di dada. Baik di Lembah Klang yang katanya bertamadun, mahupun, di ceruk utara Semenanjung yang dikatakan mundur.

Mundur? Utara? Perlis? itu lupakan dulu kegilaan kuasa dan peluru. Mundur, memang Perlis mundur. Walapun parti Barisan Nasional yang perasan yang memerintah sekian lama. Lampu jalan pun tak mampu pasang. Tembolok penuh juga.

Yang saya maksudkan Kelantan. Sedang pun dihujani krisis adab. Saya bukan ingin menghurai isi krisis, kerana itu juga biadab kerana saya bukanlah ahli keluarga Tok Guru, bukan juga ahli keluarga orang yang tidak suka ahli keluarga Tok Guru itu. Tetapi melihat dari perspektif Islam, menggunakan blog atas nama mempamerkan dan menegakkan kebenaran adalah satu tindakan bodoh jika ia melibatkan keaiban sesama Insan. Betul atau salah tindakan sebegini? Tanya sajalah, jika Rasulullah masih hidup, dan kita bicarakan keaiban orang dengan meneriakkannya di atas Kaabah agar semua penduduk Makkah datang dan mendengarnya, apa rasanya sabda Rasulullah? Jangan cerita tentang niat di hati tuan, puan, haji dan hajjah. Itu hanya Allah yang tahu. Lidah boleh bercabang. Jari boleh berkait.

Dan mulalah, bicara atas bicara. Semua mula mengambil sikap defensif dan kemudiannya ofensif. Membalas melalui alam maya, blog juga. Tidak kiralah artikel pendek, panjang, mahupun surat terbuka dan sebagainya. Semua ini ketika menulis dirasakan sebagai mempertahankan diri dan menegakkan kebenaran. Tetapi setiap butir bicara sebenarnya memamah keikhlasan diri. Mempamer peribadi diri. Mengaibkan pula orang lain. Ini menghancurkan adab dan hikmah. Mendedahkan kepada salah tanggapan. Dan akhirnya, tidak menyelesaikan masalah, malah menambah masalah dan fitnah.

Tidak kiralah siapa anda. Kadangkala watak sebenar yang disanjung pada awalnya, tercalar hanya kerana sikap tuan puan, ustaz dan ustazah, dan bukan ustaz mahupun bukan ustazah yang bertelingkah di alam maya, dalam blog yang dibaca oleh pelbagai peringkat pemikiran manusia. Dan penuh pula dengan oportunis ditunjangi syaitan

Satu peringatan yang ringkas tetapi rasanya bermakna sekurang-kurangnya untuk diri saya dan keluarga. Di dalam perkara agama sekalipun (yang mana niatnya baik) ; setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Allah memperingatkan manusia agar merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Oleh itu, dalam soal memberikan pandangan, para salafussoleh mengamalkan perbincangan pada taraf yang sama kufu' terlebih dahulu (sesama ahlinya / pihak yang terlibat) di dalam satu wacana khusus para ulama untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor. Pada akhirnya barulah keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Ketika ini,kita terpengaruh dengan medium ala pasca-modenisme, yang menganggap semua taraf medium/wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’. Dan semua orang patut mendengar apa sahaja.

Katalah, semua ini berlaku kerana melibatkan unsur politik, dan politik itu sukar dibaca. Baik, saya bersetuju. Dan sebagai tukarannya, tuan puan juga perlu bersetuju, politik juga tertakluk kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.. boleh?

Akhir kata, janganlah pada akhirnya, dengan hujah yang memperdayakan diri sendiri, mujadalah dan muamalah sesama manusia yang sepatutnya BI-ADAB (dengan adab), kini menjadi pertarungan BIADAP ADAB!

Wallahua'lam.

Abu Nufayl.

Friday, November 27, 2009

A Note by 40wk pregnant mom

Alhamdulillah, dikurniakan Allah ni'mat untuk melengkapkan puasa Hari 'Arafah semalam walaupun semalam adalah hari jangkaan bersalinku @ 26 November 2009/ 9 Zulhijjah 1430h.

Semalam bermula dengan bangun awal pagi untuk bersahur dengan sebiji kurma dan segelas air (of course wajib makan ubat-ubatku sebelum aku 'boleh' berpuasa).

Kemudian, bermula jam 10 am, mula membersihkan rumah. Aku menyapu dan Abang mengemop. Clear!
Lepas siap-siap, mandi dan solat Zohor, terus ke SDMC-SJ untuk check-up dengan O&G yang sememangnya dijadualkan hari ini. Confirm belum ada tanda nak bersalin - dinding rahim masih tebal! Memandangkan bayi di dalam rahimku ok (degupan jantungnya bagus) dan keadaan Umminya pun bagus lagi, doktor bagi masa sampai 7 hari selepas tarikh jangkaan bersalin (kalau tak, kena induce la!)

*Nufayl overdue 2 hari.
*Waktu Nuha dulu, ketika checkup 39 wk, doktor kata dinding rahim tebal dan ada kemungkinan overdue, tapi selepas 2 hari bayi dah menjengah dunia. Nuha awal 2 hari daripada tarikh jangkaannya.

Selepas check-up dengan my O&G, dapat juga :-
- jalan-jalan di Sunway Pyramid - window shopping di Jusco & shopping bahan mentah di Giant untuk masak juadah raya
- berbuka puasa dgn ABC (tak tau napa, tingin sangat nak makan ABC semalam)
- juga dapat masak Nasi Himpit, Kuah Kacang, Daging ala Satay, Ketupat Palas (of course yg segera punya -NONA) dan Rendang Daging Hitam Mama serta bakar kek coklat dalam masa 4 jam (10.30pm - 2.30am), dengan dibantu oleh Incik Suami. ;)
- Incik Suami dan anak-anak pukul 3am baru nak tidur
- Aku hanya tidur sejam sebelum bangun Subuh dan bersiap ke masjid (buat apa? ada siapkan deco jubah raya Nuha, ada final cleaning the house pastu etc etc la)

Hari ini pula, dapat solat sunat Eidul Adha di Masjid Asy-Syarif Meru, walaupun masa nak bangun Subuh tu...kaki macam dah tak boleh gerak, dan pinggang rasa nak putus. Tak boleh nak tidur tegak langsung. Semangat nak pi solat raya, terus hilang rasa sakit-sakit tu.

Lepas makan juadah raya dengan suami dan anak-anak + Cik Da (adik ipar) baru semua sakit tu datang balik, dan aku rehat. Belum sempat rehat, ada jiran datang ziarah. Lepas layan jiran, akhirnya dapat masa untuk rehat. Lepas Solat Jumaat, kami ziarah rumah jiran.

Petang, Dik Id & Suzy yang datang beraya di rumah sambil share tentang pregnancy, delivery & breastfeeding dengan mereka yang akan menimang anak sulung dalam jangkamasa terdekat ini.

Sekarang tengah buat apa? Of course, NUR KASIH-FINALE!

Alhamdulillah, bahagia!

Wednesday, November 04, 2009

Ujian dan Nikmat ;)

Alhamdulillah, semalam walaupun diuji dengan kesakitan sepanjang hari (paru-paru & tulang rusuk dihimpit oleh baby 37wk ni sampai Umminya sesak nafas, sakit sampai tulang rusuk ke-berapa ntah, tak boleh duduk langsung), ada 3 nikmat dapat :-

1. Parcel yang ditunggu-tunggu drp US selamat dapat juga, walaupun cik abangku kena pi POS Malaysia kat LCCT pelepasan kastam (nasib baik tak kena cukai!) --> MEDELA FREESTYLE :D

2. Katil Super Single yang diorder Ahad lepas selamat dipasang di bilik bawah dah. Cepat-cepat dipasangkan Comforter Set S.S NOVELLE yang dibeli drp Jusco. Diskaun 80% tu!

3. Dapat makan pulut durian ++ buat kuah durian. Ni kes walaupun sakit tapi sebab teringin nak makan, malam-malam pun sanggup! ;)

So, hari nih Umminya masih tidak ke office sebab melayan baby yang menyendalkan kakinya di tulang rusuk Ummi. Bila la, baby nak tengok dunia ni? Habaq awai-awai no!

Monday, November 02, 2009

Tauliah...

Salam 1Aqidah Tauhid

Saya tak pasti salam di atas adalah ajaran Allah Rasulnya. Mungkin akan ada mufti atau bekas mufti yang marah. Tetapi apa yang pasti intipatinya salam saya tadi rasanya lebih menepati ajaran Islam berbanding lafaz Salam 1Malaysia atau salam 1Melayu atau apa-apa makhluq salam lagi yang dilafazkan oleh 'tukang masak' agama di Malaysia ini.

Kadangkala intipati ini dizahirkan dalam bentuk lebih kreatif para ulama dalam menarik minat ummah menegakkan syariat Islam menerusi syiar yang berwarna-warni.

Namun, tidak dapat dinafikan, adakalanya ia menjadi bidaah. Menyesatkan dan mengharu birukan apabila dibuat oleh bukan ahlinya.

Dan, menepati janji Allah, di sinilah akan timbulnya agamawan ulung bangkit mempertahankan ajaran Islam yang suci tanpa campur aduk (dakwanya). Dan mereka ini juga tidaklah salah. Asalmana tidak menyebabkan orang awam terus lari lintang pukang apabila menyebut tentang Islam. Bukan kerana ajaran agamawan ini sukar, tetapi caranya terlalu kasar dan biadap untuk ditelan orang awam. Maklumlah ilmu tidak setaraf.

Kadangkala perlu ada pengimbangan antara semua perkara ini. Dan Allah SWT Maha Adil. Menurunkan peringatan kepada semua orang, baik hamba abid mahupun Perdana Menteri. Baik si jahil, mahupun bekas mufti. Baik anak, mahupun datuk kepada seratus cucu. Agar manusia ini sentiasa ingat, Allah itu Maha Kuasa dan Maha Memerhati segala tindak tanduk mereka.

Saya mungkin nampak ke kiri dan ke kanan. Tetapi yang nyata tetap nyata.

Dan ia juga nyata, bila saya mengatakan, pada masa yang sama JAIS menjadi asbab kepada golongan tertentu 'mendapat' peringatan daripada ALlah ; pada masa yang sama juga, tindakan menahan seorang bekas Mufti yang pernah juga diiktiraf menjadi salah seorang ahli Majlis Fatwa Kebangsaaan dengan kaedah tangkapan yang dibuat pada awal bulan November 2009 ini adalah sama JAHILNYA dengan TIDAK MENAHAN PEMBESAR-PEMBESAR YANG MINUM ARAK DI KELAB MALAM, DAN SAMA JUGA JAHILNYA DENGAN MEMBIARKAN JUDI DAN ARAK BERLELUASA DI NEGERI YANG SAMA.

"Tidak bertauliah dan memohon tauliah piunca ditangkap"

Jadi arak, judi dan betina itu sudah ada tauliahkah? Sebab itu masih beroperasi. Oh ya.. bukan JAIS keluarkan lesen. Jadi tidak ada dosa kan walaupun tidak membantah dengan keras... Negara majmuk. Neraka pun majmuk. :)

Atau adakah perbuatan membiarkan kemungkaran qat'i ini ADA TAULIAH??? Dari siapa? Syaitan?

Dan ingatlah, tindakan jahil (JAIS) dalam konteks ini, tidaklah lari dari sub-tafsir kepada perkataan bodoh. Iaitu, tidak memanfaatkan kuasa sebenar ke jalan yang benar. Dan menzalimi diri sendiri dengan kegoblokan ini. Hanya kerana itu.. ya.. kerana itu... Dan marilah kita iktiraf pentauliahan Sisters in Islam, Astora Jabat dan konco-konconya. Kerana tauliah itulah tiada siapa tangkap mereka. Dan ingat juga, Dr Asri mula dikenali umum dengan debatnya bersama Astora. Ironinya, Astora tidak pernah ditangkap. Dr Asri pula kena tangkap. Siapa yang sesat?
Wallahua'alam.

Friday, October 16, 2009

Ingin Bersama ke Mana? Syurga atau Neraka?

Sedikit ingatan. Mengelak dari ke lubang gelap bersama-sama...

Terpandang isteri solehah di tepi. Teringat pula sahabat handai dan keluarga yang lain.

Maaflah bagi yang terasa. Tetapi yang haram tetap haram. Yang halal tetap halal. Bagi yang faham ; aku ini jenisnya rempuh api pun tak kisah. Jadi jangan cuba bermain api.

Tersandar ke belakang. Mata tak dapat lelap malam ini.

Terlintas satu perkara. Kadang-kadang kita jauh, tetapi sebenarnya dekat. Dan kerapkali kita dekat tetapi sebenarnya jauh.

Kita menasihatkan orang awam. Kita tarbiyah rakan-rakan. Sedar-sedar keluarga sendiri terabai. Kadangkala.

Terasa juga ingin berlepas tangan. Memikirkan hal sendiri. Tetapi tanggung jawab adalah amanah Allah. Biarlah mereka yang lupakan Allah terlupa tentang perkara ini. Tetapi bagi yang ingat, sedarlah cepat.

Ada yang minta tidak ditegur. Tetapi selagi teguran itu wajib, kenapa ingin berhenti. Walaupun penat. Tapi usaha kita hanya Allah yang berhak menilainya.

Ada yang merasa diam itu tanda izin. Tetapi bagi aku, diam kerapkali menunjukkan rasa bengang. Bilaku bising tandanya sayang. Walaupun kerapkali sayang itu dalam diam.

Terasa ingin pedulikan kubur sendiri. Tetapi bolehkah kita jamin keluarga yang kita tinggalkan akan ke neraka keseorangan. Dan kita tidak ditarik bersama.

Ada orang tidak takutkan neraka. Kerana bisanya belum terasa. Tetapi aku tidak memilih walau untuk mendengar perkataan itu.

Jarak hidupku mungkin tidaklah jauh lagi. Tetapi sudah banyak anak bangsa, Islam yang aku lihat jatuhnya mereka. Akhlaq longgar. Pergaulan jahanam dek tusukan syaitan dengan bukan mahram.

Akademik jatuh, hanya menyesal bila tamat belajar, CGPA itik tak sudu, ayam tak patuk. Bila temuduga, resume orang HR tong sampahkan. Masa itulah ada yang terkedu.

Ada yang berjaya berkerjaya. Dan senang hidupnya. Tetapi kosong pula dada tidak terdetik untuk diisi. Nipisnya iman, makin hari menipis hilang. Kurangnya ilmu, semakin hari semakin liar. Liatnya lidah, semakin hari hanyut duniawi...

Lagha dan lalai kononnya rehat. Tetapi jarum yahudi hedonisme sudah pun menusuk.

Hati yang asalnya lembut, jadi keras bak kurangnya zikir dan quran. Longgarnya solat. Hidup jadi tidak terurus. Pagi dan petang tak kenal matahari.

Semuanya hasil kerja tangan Yahudi la'natullah. Dan kita melaknat diri sendiri dengan kelalaian. Yahudi musyrik pastinya ke neraka. Dan umat Islam sedang dimusnahkan.

Cuai, lalai. Dan aku sedar, dunia ini sekarang dimiliki kecuaian itu.

Tetapi kenapa lubang neraka itu yang kita pilih? Adakah kita yakin hidup kita tak perlu dibantu sehingga ke liang lahad?

Dengarlah. Dan ingatlah. Hembusan nafas terakhir keluarga terdekat, jangan diiringi dengan penyesalan akibat engkar pada suruhan berlandaskan ajaran Allah swt dan Rasulnya.

Selamat Kembali. Atau hadapilah api seterusnya. Kalau api ingin dilawan api. Dan jika tak ingin ditentang. Tangan ini sentiasa sejuk menerima mad'unya. Dengan kasih dan sayang lillahi ta'ala.


Astaghfirullah. Wallahua'lam.