Salams..
dah lama sunyi....
skrg tgh ada training kat TTC
Belajar Ms Project 2000 (curi-curi tulis sket nih)
Terima sms drp Paklang...mereka sekeluarga akan tiba di KLIA pd 12 Jun nih (sabtu). Rindu sangat kat depa semua :)
Masa tgh surfing kat Utusan Online, terbaca tajuk berita, "Jurutera Malaysia di Saudi dipindah"...uikss...ttg Paklang ke aaa?!
Bila baca berita tuh...sah ttg Paklang, Cu sekeluarga...
Sebabnya? Baca la...
fakta2nya aku highlite...hehehe...cemacam :P
~~~~~~~~~
Jurutera Malaysia di Saudi dipindah
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2004&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_10.htm
DOHA (Qatar) 9 Jun - Dua jurutera Malaysia adalah di kalangan kakitangan dagang sebuah syarikat petrokimia Amerika di bandar raya Al Khobar, Arab Saudi yang dipindahkan ke negara jiran Bahrain.
Seramai 19 warga asing dan tiga Saudi terbunuh di bandar raya pantai timur itu terletak 40 minit pemanduan dari Bahrain bila puak militan menyerang dua pekarangan kediaman mewah dan sebuah kompleks pejabat di sana pada 29 Mei.
``Ini pemindahan wajib kakitangan antarabangsa dan keluarga syarikat itu. Kami ditempatkan di dua suit sejak 6 Jun, menunggu berlepas pulang ke Malaysia esok,'' kata isteri kepada seorang daripada jurutera itu, yang enggan namanya disebut.
Keluarga itu akan bercuti musim panas lima minggu sebagaimana mengikut jadual, dan selepas itu suaminya akan balik bekerja di Al Khobar - kemungkinan berulang-alik dari Bahrain - sementara isteri dan lima anaknya tinggal di Malaysia bergantung pada arahan seterusnya dari syarikat.
``Tentu... kami suka benar kembali ke Al Khobar,'' kata isteri itu kepada Bernama dalam temu bual telefon dari Bahrain.
``Selama setahun, kami cukup seronok di sana,'' kata beliau, ketika menggambarkan kehidupan keluarga yang begitu aktif dan selesa di tengah-tengah pelbagai kemudahan mewah dan jiran dari pelbagai negara yang peramah termasuk dari Saudi.
``Perkara macam itu mana-mana pun boleh berlaku. Tak guna rasa takut. Apa pun, mereka tidak mungkin menyerang lagi di tempat yang sama... tidak selepas kawasan itu yang memang sedia ketat kawalannya diperketatkan lagi,'' kata beliau melahirkan sikap pragmatik sederhana seorang warga Malaysia yang menyebabkan negara ini disanjungi banyak pihak.
Keluarga ini adalah satu-satunya keluarga Malaysia yang terlibat, walaupun tidak secara langsung, dalam serangan Al Khobar. Terdapat kira-kira 100 warga Malaysia tinggal di bandar raya itu.
Isteri tersebut berada di rumah yang terletak di satu dari empat pekarangan Oasis pada pagi puak militan yang menyamar sebagai pasukan keselamatan menyerang dan menahan 50 tebusan di pekarangan Oasis bersebelahan kediaman keluarganya.
``Saya dengar tembakan dan laungan... kemudian helikopter. Perkarangan yang disasarkan hanya 200 meter jaraknya. Bila saya menjenguk di tingkap, saya lihat jendela pecah, tembusan peluru di dinding dan asap sekitar bangunan di sana.
``Anak berumur dua tahun setengah bersama saya, serta pembantu rumah. Empat anak lagi di sekolah, sementara suami saya di pejabat. Kami membimbangi satu sama lain. Nasib baik, talian telefon berfungsi,'' cerita beliau.
Selepas hampir 12 jam, baru keluarga itu dapat berkumpul semula.
Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai, ``amat menggerunkan'' tetapi ``tidak begitu menakutkan seperti semasa perompak memecah masuk rumah kami'' di Kuala Lumpur.
Wanita itu menceritakan bagaimana pasukan keselamatan Saudi mengosongkan kawasan kediamannya, dan bagaimana fikiran keluarga terjejas oleh cerita-cerita daripada jiran.
``Ia seperti bandar hantu sekarang. Semua orang telah berpindah walaupun tuanpunya serta merta meninggikan lagi pagar dan menutup semua pintu masuk sisi,'' katanya.
``Paling menyedihkan ialah gangguan dan perpisahan. Anak-anak mengambil masa setahun suntuk untuk menyesuaikan diri. Terutama anak lelaki kedua saya yang menunggu-nunggu hari penyampaian hadiah kerana ia telah memenangi anugerah. Berbagai-bagai parti dan kegiatan akan diadakan semasa cuti sekolah. Kini segala-galanya batal.
``Kami juga sedih tentang mereka yang terbunuh - kami cukup mengenali mereka, selalu bersua di restoran dan fasiliti lain di sana. Hanya sembilan hari sebelum saya mengadakan majlis hari jadi untuk anak perempuan di kolam kelab di sana. Saya membincangkan reka bentuk kek hari jadi dengan cif yang (kemudian) terbunuh,'' katanya.
bbKerisauan bbNamun, kerisauan utama keluarga itu kini bukan soal keselamatan tetapi pendidikan anak-anak.
``Kami bercadang tinggal di Arab Saudi selama tiga tahun - bertepatan dengan masa anak sulung lelaki saya menyiapkan A-Level. Sekarang kami tak pasti - sama ada ia patut bersekolah di Malaysia atau bagaimana.
``Buat sementara kami telah mendaftarkan anak-anak di sebuah sekolah antarabangsa di Bahrain, jika kami pulang ke sana nanti, sempat untuk memulakan persekolahan baru pada Ogos,'' kata ibu itu.
Ditanya mana lebih buruk, serangan bom pengganas atau sasaran tertentu individu seperti di Al Khobar, ibu yang bertudung itu menjawab: ``Taktik baru lebih teruk.''
``Mereka (pengganas) lebih berdendam peribadi. Sekurang-kurangnya dengan serangan bom kita masih dapat berkata ``nasib baik''.
``Lebih menakutkan ialah sekalipun terdapat langkah keselamatan ketat di mana-mana, pengganas ini masih dapat membolosinya dengan menyamar sebagai pasukan keselamatan,'' katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment