Saturday, January 16, 2010

Apa Seterusnya?

Assalamualaikum Warahmatullah..

Berebut kalimah Allah. Maksiat berlaku juga dengan hebatnya. Kemudian disusuli balingan-balingan ke rumah ibadah. Juga disusuli lawatan-lawatan ke rumah ibadah. Kemudian disusuli lagi dengan pewartaan puluhan perkataan yang menjadi hak ekslusif umat Islam. Kemudian disusuli lagi dan lagi dengan kenyataan dan komen yang terlalu menyokong agama bukan Islam pula, seolah agama-agama itu diredhai Allah.

Tindakan di atas ada yang betul dan berhikmah. Dan ada yang melampau.

Selepas itu, tahan dan dakwa budak-budak kerana komen dalam facebook? Berapa peratus penjenayah maklumkan mereka akan lakukan jenayah dalam facebook? Come no beb, jangan bebal sangat, carilah penjenayah sebenar.. selalu sangat buat lawak Presiden Seniman. Rasa macam tak nak halalkan duit cukai yang dibayar untuk gaji penguatkuasa undang-undang yang sebegini.

Kemudian dan kemudian? Apa yang kita mahu? Agama Islam tidak boleh dan tidak hendak dianuti oleh penganut agama lain? itu yang kita mahu?

Saya tidak kira siapa. Tetapi berpada-padalah. Kerana syurga itu dikurniakan kepada penganut agama yang mentauhidkan Allah SWT tanpa ragu tidak kiralah dari zaman Nabi Adam hinggalah ke hari terakhir bumi melihat matahari naik di sebelah timur.. Dan penganut-penganut agama tauhid ini pula tidak terlepas daripada neraka sekiranya berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara yang dibuat..

Thursday, January 14, 2010

Fudhayl : Sebulan setengah usianya


Latest pic of Fudhayl Nashwan. Gambar semalam, 13/1/2009 - hari ke-44.

Monday, January 11, 2010

Fikir apa tu sayang?

...on day-36th, otw to SDMC for Ummi's follow-up.

Don't worry, Ummi love you dear!

Saturday, January 09, 2010

Katakanlah : Dia Adalah Allah, Maha Esa

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati 'ala Rasulillah.

(Tajuk merujuk kepada ayat pertama surah al-Ikhlas)

Syukur pada Allah, yang menurunkan syariat Islam. Dan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, yang telah menyebarkan syariat melalui segala macam kaedah secara berhikmah walaupun kadang kala keras, masih tidak terkeluar dari susur galur ketetapan akhlaq Islamiyah. Tanpa mengira yang di depani arab, mahupun ajam. Islam mahupun kafir.


Ketika di Makkah, pernah saya dengar, ada orang menegur sahabatnya, jika hendak solat di depan Kaabah, jangan letakkan beg atau selipar di depan. Nanti seolah-olah menyembah beg atau selipar itu. Saya mengomel sahaja di dalam hati, jika beg dan selipar di alih, adakah itu bermakna kita menyembah Kaabah? kerana itu objek di depan kita. Jika begitulah, ramailah yang tidak sah solatnya, jika solat di Malaysia, kerana menyembah dinding. Pokok persoalannya, apakah yang kita sembah?

Menyebut kalimah Allah, tidak semestinya bermakna kita menyebut nama Allah yang sebetulnya. Melainkan kita memperakui setiap ayat seterusnya.

al-Ikhlas : (1) Katakanlah ; Dia adalah Allah, yang Maha Esa.

Jadi jika siapapun yang menyebut Allah, tetapi tidak memperakui keesaan Allah SWT, maka bukanlah Allah itu sampai maksudnya kepada penyebut.

al-Ikhlas : (2) ALlah itulah tempat pergantungan.

Dan pastinya kita meyakini Dia tidak perlu bergantung pada suatu apapun jua.

Maka jika kita menyebut jutaan kali nama ALlah, namun masih lagi syirik, bertuhankan kerja hingga mengabaikan solat tanpa rasa bersalah. Bertuhankan wang sehingga rasa hidup dunia akan kiamat bila kekurangan wang. Yakin pada bangsa dapat menyelamatkan ummah berbanding Islam yang sepatutnya lebih diyakini. Ataupun syirik jali mempersekutukan Allah secara terang-terangan sebagaimana agama-agama lain seperti hindu dan seumpamanya, sebutlah jutaan kali, perkataan ALLAH itu hanya tinggal kalimah, dan tidak akan mencecah 'arasy Allah swt panggilan itu. Malahan laknat Allah yang akan menimpa.

al-Ikhlas : (3) Tidaklah dia beranak ; dan tidak dia diperanakkan (dilahirkan oleh sesuatu)

DahuluNya tiada permulaan. AkhirNya Allah tiada kesudahan.

Maka bagi agama yang menyebut kalimah Allah ini, tetapi masih mengatakan ALlah itu beranak dan ataupun diperanakkan, maka ini bukanlah sebutan yang menepati kehendak kalimah ALlah yang azali.

al-Ikhlas : (4) Dan tidak setara dengan apapun jua akan Allah itu.

Ayat ini jelas, mempersamakan Allah, dengan apa jua sekalipun, telah memansuhkan maksud sebenar kalimah Allah itu, walau oleh siapa atau bagaimana menyebutnya. Wal'iyazubillah.

Untuk kesemua ayat ini, saya ingin merujuk kepada satu pertanyaan yang menjadi salah satu asbabun nuzul surah ini. Kaum musyrikin pernah bertanya Rasulullah SAW, "Shiff lana rabbaka" (terangkan pada kami apa macamkah Tuhan kamu?).

Maka daripada sirah ini, jelas, bermula sahaja kita atau mana-mana agama cuba MENGGAMBARKAN Allah dalam apa-apa bentuk, rupa, keadaan, salasilah, keturunan atau sebagainya, maka sudah jauhlah penanya itu daripada konteks kalimah ALlah itu yang sebenarnya.

Saya lebih senang berusrah dalam menerangkan kesemua ini. Namun apa yang jelas, dalam posting yang sebelum ini, saya lebih gemar menekankan perkara asas yang perlu kita jagai terlebih dahulu. Iaitu melaksanakan suruhan ALlah dan menjauhi laranganNya. Jika perkara asas ini kita tinggalkan, tetapi pada masa yang sama memperjuangkan kalimah Allah sehingga ke tahap seolah-olah KALIMAH ALLAH itulah ALLAH ; maka langkah kita seterusnya selepas detik itu adalah satu kesilapan.

Saya tersenyum, tetapi kesal apabila melihat pejuang kalimah Allah, mengagungkan kalimah ALLAH laksana itulah ALLAH. Pada masa yang sama, mencarut, memegang sepanduk menyumpah-nyumpah dengan kalimah kotor. Membakar api permusuhan antara agama. Sehinggakan kesucian ALLAH (BUKAN KALIMAH ALLAH) tercalar balar dengan perlakuan ini.

Inikah Allah yang ditafsirkan melalui surah al-Ikhlas? kalimahnya? atau ALLAh itu sendiri? Memang kalimah patut dipertahankan, tetapi mempertahankannya sehingga merenggut kesucian Islam ; disandar pula kepada bangsa. Ini bukan kaedahnya.

Dan kenyataan-kenyataan tanpa landasan ilmu ini, dan perilaku ekstrem ini membolehkan pula pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan memulakan modus operandi yang lebih ekstrem. cthnya, membakar gereja dan seumpamanya.

Saya percaya, muslim sejati tidak akan melakukannya. Hanya golongan munafik, atau kafir yang ingin mengambil kesempatan, atau mungkin muslim yang MENYEMBAH KALIMAH ALLAH sahaja yang berpotensi melakukannya. Walau apapun alasan dan justifikasi mereka.

Sedikit demi sedikit, kita melihat kenyataan tokoh-tokoh ulama seperti Tn Guru Nik Abdul Aziz adalah lebih berhikmah, yang telah menyatakan bahawa kalimah Allah pada asasnya boleh digunakan oleh agama samawi (cth : Kristian), tetapi sayangnya disanggah dan ditembak bertubi-tubi. Kemudian keluarlah kenyataan 'berani' dan 'panas' bagi memenangi hati rakyat oleh fraksi lain di tanah air kita.

Pada saya kenyataan di atas sebenarnya bermantiq dan berpandangan jauh. Pertama, memanglah pada asasnya boleh digunakan. Kerana apa, agama samawi pada asalnya, sepertimana yang diamalkan oleh ahli kitab memanglah memiliki asas yang diredhai ALlah. Tetapi kita tidak bercakap mengenai agama samawi yang telah dipesongkan dan diubah. Jadi perkataan 'PADA ASASNYA' ini memang berasas.

Kedua, kenyataan ini lebih lembut dan menenangkan. Daripada kenyataan semberono mengatakan HARAM menggunakan kalimah Allah. Biarpun betul haram penggunaannya, para ulama dan umarak mestilah berhikmah menggunakan kata putus ini. Kerana, terlajak kata, ia boleh membakar sentimen keagamaan dan kesannya pasti dahsyat.

Samalah kita katakan kepada seorang anak, bila ditanya 1 + 1 dijawabnya 8. Maka pilihlah, untuk mengatakan anak itu bodoh. Atau mengatakannya belum pandai lagi dan harus belajar lagi.

Menjadi pemimpin ummat, muslim qudwah, tidak semudah memangkah sekeping kertas undi dengan pensel. Dan pastinya membuka mulut sebagai pemimpin ummah, tidaklah semudah menjadi si pemabuk melafaz cerai pada isterinya.

Dalam 'jihad' ini, carilah musuh yang betul, bermula dengan muhasabah diri, keluarga sendiri. Kemudian carilah kafir yang cuba mengganggu gugat Islam. Bukannya meledakkan bom nuklear pada mereka yang tidak bersalah. Dan landaskan juga jihad dengan ilmu dasar yang betul. Jangan buat lawak, sampaikan dalam satu demonstrasi, kalimah Allah dieja dengan MIM LAM ALIF YA WAU bagi menunjukkan semangat mereka.

Walau apapun yang saya katakan di sini, secara keseluruhannya, dengan tegasnya saya masih berpegang bahawa mana-mana agama mahupun penganut Islam sendiri yang cuba menyalahguna kalimah Allah ke arah indoktrinasi atau dakyah jahat, ia tidak boleh dibiarkan hidup di muka bumi Allah ini.

Dan dalam keadaan ini, bagi penganut agama lain, gunakanlah sahaja perkataan Tuhan. Kenapa sibuk dengan kalimah Allah kalau maksud yang sebenar tidak tercapai. Kalau sekadar ingin memuaskan nafsu, tetapi menghancurkan keharmonian hidup, usahlah gunakan undang-undang. Undang-undang boleh memenuhi kehendak, tetapi tidak semestinya dapat menghentikan gejolak emosi manusia!

Berkaitan ini, saya terasa ingin menyentuh ayat-ayat dalam surah al-Kaafiruun, tetapi rasanya sudah terlalu panjang posting ini. InsyaALlah di lain kesempatan.

Sembahlah Allah. Tuhan Yang Maha Esa. Pertahankan kalimah Allah, tetapi jangan sampai menyembah kalimahnya kerana hanya Allah itulah satu-satunya Tuhan kita.


Wallahua'lam.

Thursday, January 07, 2010

Yang Mana Satu(kah) di Antara Nikmat Tuhan Yang Ingin Kamu Dustakan?

Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati'ala Rasulillah. Assalamualaikum Warahmatullah

(Tajuk merujuk salah satu ayat yang disebut berulang-ulang di dalam surah ar-Rahman)

Saya gembira mendapat komentar dari seorang sahabat kami yang tidak kurang kentalnya, Ummu Auni Afif pagi tadi, antara lain beliau menyebut kerancakan blog ini beberapa hari kebelakangan ini dan dengan para pengunjungnya yang ceria, kisah-kisah penuh debaran dan dugaan yang menimpa Ummu Nufayl bagai hilang begitu sahaja. :)


Saya ingin kaitkan komen beliau ini dengan lafaz seorang sahabat baik saya. Secara ramah beliau menyatakan kepada saya, kisah Ummu Nufayl anti klimaks. Blog berubah arah kepada nada biasa dan riang. Memikirkan beliau sahabat baik, saya hanya menyimpan di hati sahaja pertanyaan saya kepada beliau. Apakah 'klimaks' yang ingin didengar? Namun, pengalaman saya bersama beliau, saya tahu niatnya baik, cuma lafaznya dengan nada gembira mengusik sedikit saya. Saya mengusik kembali beliau dengan kata-kata ukhuwwah menghala ke arah diri saya, "klimaks terbaiknya dan sepatutnya adalah Abu Nufayl hilang punca dan pitam dihimpit emosi", dan disambung dengan ketawa ringan kami berdua. Ia tidakpun lekat di hati saya yang sudah terlalu banyak ruangnya diisi dengan dugaan yang telah, sedang dan akan didepani.

Langsung, ingin saya petik beberapa terjemahan ayat daripada surah ar-Rahman yang tidak sempat saya salin kalimah asalnya.

(1) Tuhan Yang Maha Pemurah serta Melimpah-limpah rahmatNya (2) Dialah yang mengajarkan al-Quran (3) Dialah yang menciptakan manusia (4) Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan

Saya petik pula sebahagian terakhir daripada ayatke 28 surah al-Hajj.

(28)... dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan kemaksiatannya) ; dan ingatlah sesiapa yang dihinakan Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya lagi. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya.

Sahabat sekalian. Jika sebelum ini, saya paparkan rasa hati kami dalam melayari ujian Allah yang baru berlalu kepada kami. InsyaAllah, kami kongsikan buat peringatan kita bersama, bahawa antara pengertian ayat inilah yang membawa saya sendiri, dan semangat Ummu Nufayl berada pada tahapnya yang alhamdulillah, tidak terlalu gundah, walaupun tidaklah begitu tenang.

Untuk makluman, segalanya alhamdulillah kembali memasuki fasa terbaik kehidupan kami berdua khususnya. Dengan nikmat kesihatan yang dikembalikan biarlah untuk jangka panjang atau singkat sekalipun, pada kali ini kami rasai ianya telah ditambah dengan pengertian erti kasih sayang dan keakraban hubungan antara kami suami isteri dan anak-anak. Semuanya satu nikmat yang menyusul daripada ujian kepada kami. Lebih tepat pada kami satu nikmat yang Allah berikan pada usia muda ini.

Selepas ini, saya sendiri tidak dapat nafikan, kekuatan seterusnya masih kabur dengan proses rawatan seterusnya Ummu Nufayl yang pastinya menuntut pengorbanan masa kami sekeluarga bersama sekurangnya buat sementara waktu. Yang tidak perlu saya ceritakan lagi. Dan usahlah tanya lagi.

Tetapi apakah yang lebih baik selain tidak mendustai ujian dan nikmat Allah swt, dan pada masa yang sama, meraikan dengan penuh rasa syukur kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kami pada masa ini.

Mengerti bahawa setiap masa adalah nyawa. Dan setiap detik seterusnya tidak semestinya bermaksud kehidupan, walaupun dengan satu selisih kerdipan mata ; kami sekeluarga kini lebih memahami konsep masa itu emas. Dan tiada galang gantinya setiap saat melainkan mengharapkan redha Allah swt.

Jutaan terima kasih atas sokongan, doa, harapan, ucapan dan segala bantuan selama ini. Kami di sini gembira dan dipenuhi rasa syukur. Tanpa ada sekelumit rasa kesal di hati ini. Jauh lagi terasa 'penat' dengan ujian Allah Yang Maha Berkuasa.

Firman Allah SWT lagi,

"Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan satu lagi masin lagi pahit ; serta menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan (yang tidak dapat dilihat) dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya (al-Furqan ; ayat 53)


Maha Suci Allah. Maha Kuasa Allah. Syukur Alhamdulillah. Di sebalik ujian yang sekelumit ini, Engkau kurniakan kami segunung rahmat kesabaran, redha dan tawakkal yang kini tertanam kukuh di sanubari kami.

Wallahua'lam.

Wednesday, January 06, 2010

Solat Jemaah

Sekian masa, dengan rentetan kejadian menimpa tak berkesempatan bersolat jemaah secara konsisten, melainkan Jumaat. Alhamdulillah, malam ini, ada ruangnya untuk ke Surau. Anak-anak turut rindu dengan surau. Pinta ikut sama bersolat jemaah. Ikut ke surau.. Dan di sana.. tak tahulah, rasanya abahnya baca surah lazim ja tadi...

Friday, January 01, 2010

Selamat Tahun Baru? & Home Sweet Home!

Assalamualaikum warahmatullah.


1. Selit sebentar. Selamat tahun baru 2010 buat rakan dan sahabat sekalian. Saya agak janggal mengucapkannya. Adakah orang menyambutnya selamat, atau tahunnya sahaja selamat? Atau kedua-duanya tidak selamat?

2. Saya sudah terlepas mengucapkan selamat tahun baru 1431H tempoh hari kerana berada dalam situasi yang terlalu kritikal untuk berfikir apa pun. Hanya sambutan dengan tikar solat, solat dan doa sahaja yang mampu pada tika itu.

3. Tahun baru kali ini dimeriahkan dengan kenaikan harga gula, hadiah daripada kerajaan Malaysia. Saya tidak tahu apakah untungnya peneroka ladang tebu hasil kenaikan ini. Dan berapa kayakah petani-petani di kampung dengan hadiah kerajaan 1Malaysia ; 20senGula ini.

4. Kita juga 'menyambut' tahun baru GREGORIAN yang diperkenalkan Pope GregoryXIII ini dengan hadiah daripada Mahkamah Tinggi yang membenarkan kembali penggunaan perkataan Allah pada penerbitan Herald Hakim yang bijaksana telah membuat satu keputusan yang secara sivilnya perlu diterima. Pada saya, isu ini adalah perkara cabang dalam bab aqidah. Perkara asasnya adalah SIAPA ALLAH pada i'tiqad kita. Dan apa yang telah kita laksanakan dan tinggalkan dalam menegakkan kepercayaan bahawa Allah ada Ilah yang tiada sekutu baginya. Secara positifnya, memandangkan yang berebutkan nama ALlah itu adalah penganut agama bukan Islam, baiklah kita mengambil sangka yang baik, mudah-mudahan, setelah berebut nama ALlah ni, mereka sedar bahawa, ini adalah tuntunan Allah SWT kepada agama yang sesat supaya pada suatu hari mereka mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan ALlah. Jika mereka merosakan sistem ini, tiada kurangnya pada kita. Kita tetap Islam. Mereka tetap akan dibakar api neraka jahannam sekiranya tidak sempat kembali ke cara hidup yang diktiraf Allah iaitu Islam. (Islam bukan sekadar 'religion')

5. Yang membimbangkan adalah, perkara asasnya dalam aqidah, ialah membuat yang disuruh, meninggal yang dilarang Allah. Apa faedahnya memperjuangkan NAMA Allah. Menggunakan pula AGAMA ISLAM sebagai paksi sesebuah negara, tetapi pada malam sambutan tahun baru, setiap tahun, diadakan konsert, melibatkan percampuran lelaki dan wanita, terlepas Isyak dan Subuh, tidak pula mengerjakan solat sunat khusuf walaupun serentak dengan itu adalah malam gerhana bulan separa? Belum disebut dengan pembaziran wang meletupkan bunga api, mercun dan bom? Dan sambutan Tahun Baru setiap tahun yang pada asalnya HARUS, pada saya sekarang sebenarnya sudah mencapai status HARAM.

6. Ketika awal Muharram? Pak Lebai Hadhari, mahupun Salafi, mahupun Wahabi, tidakkah nasihatkan PM dan konconya untuk sama-sama dari Asar ke Isyak berjemaah dan beribadah dengan rakyat di masjid?

7. Jangan sebut lagi sambutan Krismas lebih meriah berbanding Hari Raya Aidiladha yang tenggelam, walau itulah satu daripada dua sambutan sebenar yang diiktiraf oleh Islam, ALlah dan RasulNya?

8. Saya tersenyum biri-biri, hinggakan Pusat Zakat sendiri dalam iklannya, 'Bayarlah Zakat Sebelum 31 Disember'. Nampak betul, tetapi cuba kaji lebih mendalam, kaedah kiraan genap haulnya mengikut kalendar mana? Syabas 1Malaysia Hadhari!

9. Jika perkara sebeginilah kebanggaan kita, nyahlah dengan 1Malaysia. Nyahlah Islam Hadhari. Ia lebih kepada kemunafikan kerajaan Islam Malaysia dan rakyatnya (yang terjebak) dan tiada untungnya memakai topi Islam, jika itu perilaku kita. Bukan ingin berfikiran negatif, tetapi di mana ruang positifnya?

Selamat Tahun BaTu 2010. Jumpa lagi. Ummu Nufayl kembali ke FitrahZH hari ini, insyaAllah. Dan gambar di bawah, Ummu Nufayl bersama salah seorang doktor (pakar neuro) kesayangannya sejurus sebelum discharge (010110)


Wassalam

Abu Nufayl

Monday, December 28, 2009

Ummu Nufayl Saat Ini, dan Pada Satu Ketika

Ramai yang ingin tahu. Apa keadaan Ummu Nufayl. Catatan-catatan yang lepas telah pun sedikit sebanyak menceritakan. Terkini, beliau telah pun berjaya berjalan kaki merentas jejantas SDMC dari Selatan ke Utara dan ke Selatan kembali. Jalannya sudah seimbang, cuma kadang-kadang berpinar mata. Ingatannya alhamdulillah, mengalahkan suaminya yang sihat. Ragam dan celotehnya kembali.

Cuma pada awal pagi ini, tahap kalsium Ummu Nufayl melonjak lagi (hypercalcemia). Dari pagi tampak sedikit kelainan dari semalam. Beliau agak restless. Kurang selera makan. Sakit kepala. Dan hasilnya sepanjang hari tertidur kepenatan. Terpaksa drip untuk keluarkan dan kurangkan kembali kadar kandungan kalsium. Masih menjadi satu misteri yang belum terungkai kerana beliau sebenarnya dalam status 'hypocalcemia' setiap masa selama ini.. Namun lewat petang, muka beliau dalam tidurnya kembali berseri. Dan seri itu sentiasa ada di mata Abu Nufayl. Walau apapun keadaan beliau. Dan SIHAT itu bukan sekadar harapan Abu Nufayl, tetapi itulah PANDANGAN suami pada isteri yang seorang ini, setiap masa, setiap ketika.

Bagi yang bertanya dan berteka-teki, saya selitkan catatan Ummu Nufayl, sejarah dan harapannya pada 2 Oktober 2005 yang lepas. Walaupun bukanlah 100% berkaitan dan menepati keadaan terkini beliau, namun inilah yang pernah diluahkan.. dan inilah jejak langkah kami. Yang telah lama bersedia untuk apa jua keadaan.

--------------

Ummu Nufayl seorang yang suka menyendiri, dan suka berahsia. Mungkin selama ini, tak pernah Ummu Nufayl ceritakan pada semua ttg keadaan diri ini. Sebabnya senang saja, saya rimas dengan pandangan 'kasihan' dan 'seolah-olah faham tp tak faham' orang ramai. Sebab tu saya ambil keputusan utk menyembunyikan hakikat sebenar. Hanya suami yang saya beritahu, sbl kami ambil keputusan untuk meneruskan dengan ikatan perkahwinan. Saya bagi dia pilihan utk meneruskan atau tidak. Tiada rasa kecewa. Tapi, dia sungguh yakin dengan pilihannya.Saya kagum. Saya katakan padanya, apa saja mungkin terjadi kerana keadaan saya yang tidak sempurna.

Bermula dengan cancer thyroid yang Ummu Nufayl hadapi 14 tahun dahulu, ketika berusia 11 tahun (1991), dan rawatan nuklear, radioiodine yang Ummu Nufayl jalani selama 9 tahun lamanya, pelbagai kesan sampingan mungkin timbul. Kemungkinan tidak boleh mengandung & melahirkan, cancer reoccurance, cancer merebak ke bahagian lain tubuh dsb. Alhamdullillah, sejak tahun 2000 Ummu Nufayl disahkan bebas drp cancer thyroid termasuk yang merebak ke paru-paru. Syukur! Dengan sokongan Mama yang tak henti-henti menemani setiap kali Ummu Nufayl menjalani rawatan radioiodine, walau rawatan itu tidak membenarkan dia mendekati saya kerana pancaran sinar-x yang memudaratkan orang awam, selain pesakit. Dan, dengan sokongan Mama yang tak jemu-jemu menemani Ummu Nufayl ke KL dengan kekerapan berkunjung ke Wad Radioterapi, Onkologi & Perubatan Nuklear di HKL (dulu HBKL) sebulan/2 bulan/4 bulan/6 bulan hinggalah kini setahun sekali paling kurang perlu follow up utk memastikan tahap thyroglobulin dalam darah di tahap yang tidak membahayakan.

Saya ceritakan semua ini kepada dia sebelum kami mengambil keputusan meneruskan perhubungan. Suami saya seorang yang sungguh saya kagumi, kerana sanggup menerima saya seadanya. Saya terangkan segalanya, dan dia bersedia menerima.

Alhamdulillah, Ummu Nufayl tidak diuji dengan masalah mengandung/melahirkan. Allah bagi nikmat yang besar utk Ummu Nufayl di situ. Walaupun kerana masalah thyroid itu, Ummu Nufayl terpaksa dirujuk kepada pakar Gynae sejak mengandung 2 bulan kerana pakar perlu mengawasi tahap thyroxine dlm darah utk mengelakkan masalah. Bagi yang tidak mengetahui, jika thyroxine kurang ketika mengandung, boleh menyebabkan kecacatan mental bagi anak, atau masalah hypothyroidism/hyperthyroidism, dan masalah ketika melahirkan mengikut keadaan semasa. Syukurlah Ummu Nufayl diberi nikmat & rahmat utk tidak menghadapi masalah itu.

Tapi kini, root causenya drp masalah thyroid & para thyroid Ummu Nufayl yang dah dibuang sejak 1991...Ummu Nufayl hadapi masalah hypocalcemia. Orang mungkin boleh kata, ohhh...hany tak minum susu kot. Maaf, saya boleh kata itu bukan penyelesaiannya. I have done much to cater this problem, but yet doc still find ways to increase my calcium level. Actually, my calcium level in blood only half from what normal people have. To get it back to normal takes times...may be 2-8 weeks. Takkan nak duduk kat wad selama itu? Hmm...I took calcium lactate tablet & thyroxine for whole my life since 1991. But, after 14 years...hypocalcemia comes over me. Why? I asked doc. She said, may be before this calcium reserve in ur body is enough with calcium lactate tablet intake for this while. But, after getting pregnant, giving birth to ur baby, and breastfeed calcium reserve become very low.

Kini, Ummu Nufayl berkampung di hospital kerana hypocalcemia. Dengan pengambilan calcium lactate secara tablet, IV & recotriol, harapnya tahap calcium akan naik kembali. Tapi, duration yang diberi oleh doc antara 2-8 minggu. Habislah Ramadhan macam tu! Tapi, tak apa...dah lama Allah bagi nikmat. Dah lama tanpa thyroid & para thyroid tapi sihat Allah bagi. Kini, diuji sedikit...takkan tak bersyukur pulak kan?

Ummu Nufayl bersyukur sebab ada suami yang memahami...dan anak comel yang tak kecik hati kena sambut besday pertamanya tanpa Ummi & Abahnya.

...dan 3 hari lagi Ramadhan. Apa nasib Ummu Nufayl kali ini. Macammana nak puasa? Ada yang boleh berpuasa dengan pengambilan ubat atau IV ke? Hmmm...

:) Jgn terkejut baca kisah ini. Ini kisah benar Ummu Nufayl yang sengaja Ummu Nufayl tak cerita pd sahabat-sahabat sbl ini. Tapi, condition getting worse now & I'am tired people saying to me, "Hany tak minum susu kot". It is more than it. Di kalangan geng SMKAP, mungkin ramai dah tahu, sebab dulu berulang ke HKL waktu persekolahan. Tapi, di kalangan geng MMU...kebanyakannya memang Ummu Nufayl tak ceritakan. I want to be normal. Hmmm...pls treat me so.

& please don't look at me with pity eyes, like I am so problemetic/weak girl. Believe me, it is hard condition, but it is so much rahmat from Allah...so that, I always feel strong & enlighten with people surrounding me.

:)

teks penuh
------------

Salam Sayang dari kami sekeluarga. Tidak lupa kepada semua ibu susuan Fudhayl khususnya, baik Aida, Idayu, Akmar dan Madihah serta suami masing-masing. Hanya Allah yang selayaknya membalas ketulusan hati dan kemuliaan hati kalian. Juga kepada keluarga Reza yang sudi menumpangkan kasih buat 3 cahaya mata kami di rumah kalian di Shah Alam.

Doakan kami, buat segalanya. Dan doa dari kami, buat semuanya.

Wallahua'lam.

Thursday, December 24, 2009

Detik ke Lantai, Terhempas ke Kolam...

Salam buat semua.

1. Kami maklum, ramai menunggu makluman terbaru, saya boleh jawab, pasti akan berkurang kemaskini. Kerana saya sendiri sedang melayari antara saat-saat terbaik dalam hidup, yang tiada kata boleh menggambarkan. Dan sepenuh masa saya bersama Ummu Nufayl sekarang. Sekarang beliau nyenyak di sebelah. :)

2. Ada yang bertanya, apa perasaan pada masa ini. Sukar dijawab. Cuma beginilah, anggaplah saya pada 15hb Disember yang lepas telah terjatuh dari tingkat 55 bangunan, dan menunggu detik terhempas ke tanah. Namun di tingkat 20, tersangkut di beranda, kemudian terhempas masuk ke dalam kolam renang :) . Traumanya ada, namun saya sedang asyik berenang di kolam ini sekarang. Perkara mendatang, insyaAllah, jangan fikirkan lemas. Kerana air untuk dinikmati bukan ditakuti. Masih banyak tingkat di bawah jika terjatuh lagi. Tetapi kenapa fikirkan jatuh itu? Berenang sajalah!

3. Antara ringkasannya kejadian yang menimpa, pada hari kejadian, beliau mengalami (1) hypercalcemia membawa kepada hyperviscosity syndrom hingga membawa pula kepada kegagalan pernafasan, dan kegagalan pelbagai mekanisme fisiologinya pada waktu itu. (2) Ditambah dengan jangkitan paru-paru (pneumonia). (3) Dan diburukkan dengan radang otak (encephalitis).

4. Semuanya sedang kembali kepada status asal. Cuma perkara ketiga dalam pemantauan rapi dan rawatan intensif pakar perubatan bagi memastikan semuanya kembali normal.

5. Melihat kepada sejarahnya, kami tidak dapat menafikan, semuanya berada pada 'borderline' pada waktu itu, namun Allah Maha Kuasa. Belum sampai masanya pada waktu ini. Dan Ummu Nufayl kembali senyum dan berceloteh walaupun tidak sepenuhnya aktif buat masa ini. Maha Suci Allah, Maha Pengatur, Maha Penyantun.

6. Status terkini Ummu Nufayl, alhamdulillah, 95% berada di posisinya yang asal. Selepas menjalani lumbar puncture tempoh hari (22 Disember 2009), beliau telah berpindah ke wad High Dependency Unit - tidak lagi Critical/Coronary Care Unit. Dalam proses pemulihan dan pemantauan rapi para pakar. Dan saya sendiri tidak lekang walau seminit dengan beliau memastikan semuanya baik. Latihan fisio - berjalan, menulis, membaca, memahami, berkomunikasi semuanya sedang berjalan dan lancar nampaknya. Secara tidak rasminya, saya mencurahkan segala yang boleh untuk membantu beliau pulih sepenuhnya. Memorinya, dan segalanya. Alhamdulillah, tiada masalah besar buat masa ini.

Apa lagi yang mampu diceritakan.. .melayari rakaman memori terkini FitrahZH. Maha Suci Allah. Syukur Alhamdulillah.

Monday, December 21, 2009

Maha Suci Allah. Pasir Dicipta Menahan Hempasan Ombak

18 Disember 2009. Tepat jam 5.30 petang. Akhirnya pemindahan Ummu Nufayl dari HTAR, Klang ke Sime Darby Medical Centre bermula. Pemindahan berisiko tinggi ini dibuat dengan satu tarikan nafas panjang aku sebagai suaminya. Berkeping-keping borang terpaksa ditandatangani. Antaranya memperakui pemindahan ini adalah 'against medical advice'. Risiko ini ku ambil memandangkan risiko membiarkan sahaja Ummu Nufayl terlantar, intubated berhari-hari lagi dengan kurangnya perkongsian maklumat dan tindakan pihak HTAR sebenarnya akan lebih banyak merugikan minit-minit kehidupan Ummu Nufayl.

Pemindahan berisiko ini dilaksanakan dengan sepasukan pakar dan pegawai perubatan, dan aku sendiri berada di dalam ambulan. Ummu Nufayl dilumpuhkan sepanjang perjalanan dari HTAR ke SDMC.

Sepanjang perjalanan hidup-mati ini, mataku tidak melepaskan pandangannya kepada Ummu Nufayl. Siren dan kelajuan ambulan tidak berjaya mengambus segala memori bersama beliau.

40 minit kurang lebih, tiba di SDMC. Proses kemasukan berjalan lancar dan telah diuruskan sepenuhnya oleh seseorang.

Terus dikejarkan ke Coronary Care Unit. Ummu Nufayl akhirnya mendapat bilik rawatan rapi individu. Syukurlah, aurat dan maruahnya lebih terjaga di sini.

Jam 7 malam, sesi temubual aku bersama 4 pakar, anaesthetist, internal medicine, radiologist dan neurologist bermula dan berakhir 45 minit kemudiannya. Alhamdulillah, pada waktu ini emosiku kembali pada tahap 'segar'. Semuanya lancar dan objektif.

Jam 8.00, 3 jenis ubat berbeza di putuskan diberikan kepada Ummu Nufayl. Dan langkah ini tampak agresif berbanding HTAR yang bercadang hanya akan mengambil langkah lanjut seterusnya pada 20 Disember 2009. (masih lagi pujian harus diberikan atas jasa dan ikhtiar mereka menyelamatkan nyawa Ummu Nufayl dan menstabilkan beliau)

Jam 8.30 malam, 'full body MRI scan' dibuat. Berbaloi juga keengganan aku enggan menandatangani borang ujian lanjut CT scan (contrasted) yang dicadangkan HTAR. Aku menolaknya kerana pada waktu itu renal profile Ummu Nufayl mempunyai risiko ke arah kegagalan buah pinggang.

Jam 11.00 malam. Aku dipanggil masuk ke biliknya. Dan Allahu Akbar! Selepas 4 jam lebih masuk ke SDMC ini, dengan rahmat Allah, Ummu Nufayl telah pun mencelikkan matanya dan sedar bahawa aku kini berada di tepinya. Jarinya dikuis ke arahku. Dan air mata kami berdua sama rancak mengalir tanpa upaya berpura-pura lagi.

Dalam kepayahan tiub di dalam tekaknya terus ke peparu, dan satu lagi tiub pada mulutnya, hidungnya aku dapat terjemahkan 3 soalan penting kepadaku.

1. Fudhayl?
2. Rambut, auratnya?
3. Apa sudah berlaku?

Maha Suci Allah, kesucian hati ibu ini, ketaatannya pada syariat terpapar tanpa dirancang. Semuanya ku jawab dan air mata beliau mengalir lagi, tanpa bicara.

Soalan ketiga itu sebenarnya ku simpan jawapannya demi kemaslahatan beliau. Lantas ku nyatakan serba ringkas keadaanya pada waktu itu daripada berbicara lebih lanjut.

Sabtu pagi, seawal waktu, aku bertemu pakar neuro dan berbincang keputusan MRI. Detailnya biarlah kusimpan. Namun yang nyata, daripada ujian itu, harapan kami untuk kembali menjelajah dunia ini bersama-sama adalah satu perkara yang tidak lagi sirna harapannya.

Rawatan berkaitan diberikan. Dos-dos antibiotik, antivirus, pemulihan hormon dan mineral badan diberikan pakar perubatan tanpa bertangguh. Tiada lagi one-way communication (lebih tepat) no communication antara pesakit - keluarga pesakit dan pihak hospital.

Prosedur perubatan risikonya dibincang dan dalam keadaan kritikal ini, alhamdulillah, Allah swt memberikan rahmatNya padaku untuk secara pantas tetapi tidak gopoh, kritis tetapi masih objektif berfikir. Apa sahaja yang terbaik buat Ummu Nufayl.

Inilah malam keenam aku tidur di hospital. sudah hampir lupa warna bilik di Aman Perdana. Purata waktu tidur 2-3 jam semalaman, itupun ketika Ummu Nufayl mampu lena. Silap waktu, kena melayan pelawat. Rasa longlai tubuh ini. Namun letih ini hilang begitu sahaja setiap kali menjengah Ummu Nufayl tersenyum di katilnya.

Situasi sekarang, proses pemulihan sedang berjalan. Dan dijangka tidak kurang 2 minggu di hospital dan berpotensi menjangkau 6 minggu atau lebih. Status Ummu Nufayl stabil walaupun masih lagi berhalusinasi akibat gangguan pada sistem-sistem tertentu tubuhnya. Emosinya semakin menuju tahap stabil, begitulah juga emosi suaminya.

Jarak ke hadapan belum dapat diukur. Tetapi kami sekeluarga tahu lokasi persinggahan kami sekarang. Ia adalah detik emas untuk dikecapi bersama tanpa cuai. Dengan alunan ayat al-quran yang kudendangkan kepada Ummu Nufayl, diselang seli celotehnya yang masih keliru tentang apa yang berlaku, aku pada malam ini, dapat juga melelapkan mata dengan satu kelazatan keyakinan Iman, bahawa Allah swt, tidak akan begitu zalim kepada hambanya, tetapi pada masa yang sama, bukanlah mudah mencapai syukur, sabar dan redha. Banyak harga yang perlu dibayar.

Terima kasih atas lawatan dan semangat. Kepada sahabat yang sudi juga menjadi ibu susuan Fudhayl, hanya Syurga dan redha Allah dapat kami sekeluarga doakan buat kalian.

Juga buat sahabat & saudara-mara yang mendoakan, menawarkan segala jenis bantuan, membantu kami memberikan fokus pada pemulihan Ummu Nufayl. Juga buat Umi &Mama yang bertungkus lumus menjaga Fudhayl, Nuha dan Nufayl di rumah.

Doakan kami. Dan yakinlah, pada janji Allah. Ombak tidak berirama lembut, kerana pasir pantai itu ciptaanNya untuk dihempas air, kelak lahir sucinya dan halusnya Iman.

Wallahua'lam.