Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati 'ala Rasulillah.
(Tajuk merujuk kepada ayat pertama surah al-Ikhlas)
Syukur pada Allah, yang menurunkan syariat Islam. Dan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, yang telah menyebarkan syariat melalui segala macam kaedah secara berhikmah walaupun kadang kala keras, masih tidak terkeluar dari susur galur ketetapan akhlaq Islamiyah. Tanpa mengira yang di depani arab, mahupun ajam. Islam mahupun kafir.
Ketika di Makkah, pernah saya dengar, ada orang menegur sahabatnya, jika hendak solat di depan Kaabah, jangan letakkan beg atau selipar di depan. Nanti seolah-olah menyembah beg atau selipar itu. Saya mengomel sahaja di dalam hati, jika beg dan selipar di alih, adakah itu bermakna kita menyembah Kaabah? kerana itu objek di depan kita. Jika begitulah, ramailah yang tidak sah solatnya, jika solat di Malaysia, kerana menyembah dinding. Pokok persoalannya, apakah yang kita sembah?
Menyebut kalimah Allah, tidak semestinya bermakna kita menyebut nama Allah yang sebetulnya. Melainkan kita memperakui setiap ayat seterusnya.
al-Ikhlas : (1) Katakanlah ; Dia adalah Allah, yang Maha Esa.
Jadi jika siapapun yang menyebut Allah, tetapi tidak memperakui keesaan Allah SWT, maka bukanlah Allah itu sampai maksudnya kepada penyebut.
al-Ikhlas : (2) ALlah itulah tempat pergantungan.
Dan pastinya kita meyakini Dia tidak perlu bergantung pada suatu apapun jua.
Maka jika kita menyebut jutaan kali nama ALlah, namun masih lagi syirik, bertuhankan kerja hingga mengabaikan solat tanpa rasa bersalah. Bertuhankan wang sehingga rasa hidup dunia akan kiamat bila kekurangan wang. Yakin pada bangsa dapat menyelamatkan ummah berbanding Islam yang sepatutnya lebih diyakini. Ataupun syirik jali mempersekutukan Allah secara terang-terangan sebagaimana agama-agama lain seperti hindu dan seumpamanya, sebutlah jutaan kali, perkataan ALLAH itu hanya tinggal kalimah, dan tidak akan mencecah 'arasy Allah swt panggilan itu. Malahan laknat Allah yang akan menimpa.
al-Ikhlas : (3) Tidaklah dia beranak ; dan tidak dia diperanakkan (dilahirkan oleh sesuatu)
DahuluNya tiada permulaan. AkhirNya Allah tiada kesudahan.
Maka bagi agama yang menyebut kalimah Allah ini, tetapi masih mengatakan ALlah itu beranak dan ataupun diperanakkan, maka ini bukanlah sebutan yang menepati kehendak kalimah ALlah yang azali.
al-Ikhlas : (4) Dan tidak setara dengan apapun jua akan Allah itu.
Ayat ini jelas, mempersamakan Allah, dengan apa jua sekalipun, telah memansuhkan maksud sebenar kalimah Allah itu, walau oleh siapa atau bagaimana menyebutnya. Wal'iyazubillah.
Untuk kesemua ayat ini, saya ingin merujuk kepada satu pertanyaan yang menjadi salah satu asbabun nuzul surah ini. Kaum musyrikin pernah bertanya Rasulullah SAW, "Shiff lana rabbaka" (terangkan pada kami apa macamkah Tuhan kamu?).
Maka daripada sirah ini, jelas, bermula sahaja kita atau mana-mana agama cuba MENGGAMBARKAN Allah dalam apa-apa bentuk, rupa, keadaan, salasilah, keturunan atau sebagainya, maka sudah jauhlah penanya itu daripada konteks kalimah ALlah itu yang sebenarnya.
Saya lebih senang berusrah dalam menerangkan kesemua ini. Namun apa yang jelas, dalam posting yang sebelum ini, saya lebih gemar menekankan perkara asas yang perlu kita jagai terlebih dahulu. Iaitu melaksanakan suruhan ALlah dan menjauhi laranganNya. Jika perkara asas ini kita tinggalkan, tetapi pada masa yang sama memperjuangkan kalimah Allah sehingga ke tahap seolah-olah KALIMAH ALLAH itulah ALLAH ; maka langkah kita seterusnya selepas detik itu adalah satu kesilapan.
Saya tersenyum, tetapi kesal apabila melihat pejuang kalimah Allah, mengagungkan kalimah ALLAH laksana itulah ALLAH. Pada masa yang sama, mencarut, memegang sepanduk menyumpah-nyumpah dengan kalimah kotor. Membakar api permusuhan antara agama. Sehinggakan kesucian ALLAH (BUKAN KALIMAH ALLAH) tercalar balar dengan perlakuan ini.
Inikah Allah yang ditafsirkan melalui surah al-Ikhlas? kalimahnya? atau ALLAh itu sendiri? Memang kalimah patut dipertahankan, tetapi mempertahankannya sehingga merenggut kesucian Islam ; disandar pula kepada bangsa. Ini bukan kaedahnya.
Dan kenyataan-kenyataan tanpa landasan ilmu ini, dan perilaku ekstrem ini membolehkan pula pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan memulakan modus operandi yang lebih ekstrem. cthnya, membakar gereja dan seumpamanya.
Saya percaya, muslim sejati tidak akan melakukannya. Hanya golongan munafik, atau kafir yang ingin mengambil kesempatan, atau mungkin muslim yang MENYEMBAH KALIMAH ALLAH sahaja yang berpotensi melakukannya. Walau apapun alasan dan justifikasi mereka.
Sedikit demi sedikit, kita melihat kenyataan tokoh-tokoh ulama seperti Tn Guru Nik Abdul Aziz adalah lebih berhikmah, yang telah menyatakan bahawa kalimah Allah pada asasnya boleh digunakan oleh agama samawi (cth : Kristian), tetapi sayangnya disanggah dan ditembak bertubi-tubi. Kemudian keluarlah kenyataan 'berani' dan 'panas' bagi memenangi hati rakyat oleh fraksi lain di tanah air kita.
Pada saya kenyataan di atas sebenarnya bermantiq dan berpandangan jauh. Pertama, memanglah pada asasnya boleh digunakan. Kerana apa, agama samawi pada asalnya, sepertimana yang diamalkan oleh ahli kitab memanglah memiliki asas yang diredhai ALlah. Tetapi kita tidak bercakap mengenai agama samawi yang telah dipesongkan dan diubah. Jadi perkataan 'PADA ASASNYA' ini memang berasas.
Kedua, kenyataan ini lebih lembut dan menenangkan. Daripada kenyataan semberono mengatakan HARAM menggunakan kalimah Allah. Biarpun betul haram penggunaannya, para ulama dan umarak mestilah berhikmah menggunakan kata putus ini. Kerana, terlajak kata, ia boleh membakar sentimen keagamaan dan kesannya pasti dahsyat.
Samalah kita katakan kepada seorang anak, bila ditanya 1 + 1 dijawabnya 8. Maka pilihlah, untuk mengatakan anak itu bodoh. Atau mengatakannya belum pandai lagi dan harus belajar lagi.
Menjadi pemimpin ummat, muslim qudwah, tidak semudah memangkah sekeping kertas undi dengan pensel. Dan pastinya membuka mulut sebagai pemimpin ummah, tidaklah semudah menjadi si pemabuk melafaz cerai pada isterinya.
Dalam 'jihad' ini, carilah musuh yang betul, bermula dengan muhasabah diri, keluarga sendiri. Kemudian carilah kafir yang cuba mengganggu gugat Islam. Bukannya meledakkan bom nuklear pada mereka yang tidak bersalah. Dan landaskan juga jihad dengan ilmu dasar yang betul. Jangan buat lawak, sampaikan dalam satu demonstrasi, kalimah Allah dieja dengan MIM LAM ALIF YA WAU bagi menunjukkan semangat mereka.
Walau apapun yang saya katakan di sini, secara keseluruhannya, dengan tegasnya saya masih berpegang bahawa mana-mana agama mahupun penganut Islam sendiri yang cuba menyalahguna kalimah Allah ke arah indoktrinasi atau dakyah jahat, ia tidak boleh dibiarkan hidup di muka bumi Allah ini.
Dan dalam keadaan ini, bagi penganut agama lain, gunakanlah sahaja perkataan Tuhan. Kenapa sibuk dengan kalimah Allah kalau maksud yang sebenar tidak tercapai. Kalau sekadar ingin memuaskan nafsu, tetapi menghancurkan keharmonian hidup, usahlah gunakan undang-undang. Undang-undang boleh memenuhi kehendak, tetapi tidak semestinya dapat menghentikan gejolak emosi manusia!
Berkaitan ini, saya terasa ingin menyentuh ayat-ayat dalam surah al-Kaafiruun, tetapi rasanya sudah terlalu panjang posting ini. InsyaALlah di lain kesempatan.
Sembahlah Allah. Tuhan Yang Maha Esa. Pertahankan kalimah Allah, tetapi jangan sampai menyembah kalimahnya kerana hanya Allah itulah satu-satunya Tuhan kita.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment