Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati'ala Rasulillah. Assalamualaikum Warahmatullah
(Tajuk merujuk salah satu ayat yang disebut berulang-ulang di dalam surah ar-Rahman)
Saya gembira mendapat komentar dari seorang sahabat kami yang tidak kurang kentalnya, Ummu Auni Afif pagi tadi, antara lain beliau menyebut kerancakan blog ini beberapa hari kebelakangan ini dan dengan para pengunjungnya yang ceria, kisah-kisah penuh debaran dan dugaan yang menimpa Ummu Nufayl bagai hilang begitu sahaja. :)
Saya ingin kaitkan komen beliau ini dengan lafaz seorang sahabat baik saya. Secara ramah beliau menyatakan kepada saya, kisah Ummu Nufayl anti klimaks. Blog berubah arah kepada nada biasa dan riang. Memikirkan beliau sahabat baik, saya hanya menyimpan di hati sahaja pertanyaan saya kepada beliau. Apakah 'klimaks' yang ingin didengar? Namun, pengalaman saya bersama beliau, saya tahu niatnya baik, cuma lafaznya dengan nada gembira mengusik sedikit saya. Saya mengusik kembali beliau dengan kata-kata ukhuwwah menghala ke arah diri saya, "klimaks terbaiknya dan sepatutnya adalah Abu Nufayl hilang punca dan pitam dihimpit emosi", dan disambung dengan ketawa ringan kami berdua. Ia tidakpun lekat di hati saya yang sudah terlalu banyak ruangnya diisi dengan dugaan yang telah, sedang dan akan didepani.
Langsung, ingin saya petik beberapa terjemahan ayat daripada surah ar-Rahman yang tidak sempat saya salin kalimah asalnya.
(1) Tuhan Yang Maha Pemurah serta Melimpah-limpah rahmatNya (2) Dialah yang mengajarkan al-Quran (3) Dialah yang menciptakan manusia (4) Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan
Saya petik pula sebahagian terakhir daripada ayatke 28 surah al-Hajj.
(28)... dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufuran dan kemaksiatannya) ; dan ingatlah sesiapa yang dihinakan Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya lagi. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya.
Sahabat sekalian. Jika sebelum ini, saya paparkan rasa hati kami dalam melayari ujian Allah yang baru berlalu kepada kami. InsyaAllah, kami kongsikan buat peringatan kita bersama, bahawa antara pengertian ayat inilah yang membawa saya sendiri, dan semangat Ummu Nufayl berada pada tahapnya yang alhamdulillah, tidak terlalu gundah, walaupun tidaklah begitu tenang.
Untuk makluman, segalanya alhamdulillah kembali memasuki fasa terbaik kehidupan kami berdua khususnya. Dengan nikmat kesihatan yang dikembalikan biarlah untuk jangka panjang atau singkat sekalipun, pada kali ini kami rasai ianya telah ditambah dengan pengertian erti kasih sayang dan keakraban hubungan antara kami suami isteri dan anak-anak. Semuanya satu nikmat yang menyusul daripada ujian kepada kami. Lebih tepat pada kami satu nikmat yang Allah berikan pada usia muda ini.
Selepas ini, saya sendiri tidak dapat nafikan, kekuatan seterusnya masih kabur dengan proses rawatan seterusnya Ummu Nufayl yang pastinya menuntut pengorbanan masa kami sekeluarga bersama sekurangnya buat sementara waktu. Yang tidak perlu saya ceritakan lagi. Dan usahlah tanya lagi.
Tetapi apakah yang lebih baik selain tidak mendustai ujian dan nikmat Allah swt, dan pada masa yang sama, meraikan dengan penuh rasa syukur kebahagiaan yang Allah kurniakan kepada kami pada masa ini.
Mengerti bahawa setiap masa adalah nyawa. Dan setiap detik seterusnya tidak semestinya bermaksud kehidupan, walaupun dengan satu selisih kerdipan mata ; kami sekeluarga kini lebih memahami konsep masa itu emas. Dan tiada galang gantinya setiap saat melainkan mengharapkan redha Allah swt.
Jutaan terima kasih atas sokongan, doa, harapan, ucapan dan segala bantuan selama ini. Kami di sini gembira dan dipenuhi rasa syukur. Tanpa ada sekelumit rasa kesal di hati ini. Jauh lagi terasa 'penat' dengan ujian Allah Yang Maha Berkuasa.
Firman Allah SWT lagi,
"Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan satu lagi masin lagi pahit ; serta menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan (yang tidak dapat dilihat) dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya (al-Furqan ; ayat 53)
Maha Suci Allah. Maha Kuasa Allah. Syukur Alhamdulillah. Di sebalik ujian yang sekelumit ini, Engkau kurniakan kami segunung rahmat kesabaran, redha dan tawakkal yang kini tertanam kukuh di sanubari kami.
Wallahua'lam.
4 comments:
astaghfirullah. maaf abu nufayl kalau terasa hati. sebenarnya masa di sana, rasa gundah gulana, memikirkan ummu nufayl.
ana catit doa untuk ummu nufayl dalam kertas yang penuh kiriman doa orang lain. dan ana doa bersungguh-sungguh sampai tiap kali berdoa, entah kenapa keluar air mata. lunyai kertas doa tu dibuka, dibaca, tak tahu berapa kali sudah dibuka, dibaca, dilipat. setiap masa kertas doa itu berada dalam beg sandang. masa tawaf, masa sa'ie, masa wukuf dan bila-bila teringat. tersemat di dada kata2 ustaz, kalau kita doakan untuk rakan-rakan, insya Allah, Allah akan memberi ganjaran yang baik dan sama seperti yang kita doakan untuk rakan kita.
dan bila pulang, rasa macam satu keajaiban berlaku taktala melihat gambar ummu nufayl dan catitan ummu nufayl sendiri, sama ada melalui e-mail/blog/etc. bagi ana sendiri, seolah-olah terasa spt mimpi kerana ana tidak sempat jenguk ummu nufayl semasa dia tenat.
guess what? i made a pray that all my friends tidak sesekali diuji melebihi kemampuan mereka. sudah semestinya Yang Maha Kuasa tahu batas kesabaran kita takat mana. dan Allah berikan ujian pada anta untuk ingatan sementara - tiada apa yang kekal abadi di dunia ini.
Selama ni tahu, tapi tak faham betul-betul. When my marriage ended, ana tahu Allah uji ana sebab Allah memang tahu ana mampu menghadapinya setakat ini.
cukuplah Allah uji ana seorang sebegini, janganlah Kau timpakan ujian sebegini pada sahabat-sahabatku, Ya Allah. tidak Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia
Ummu Auni, jangan la campur baca perenggan pertama dan perenggan lain tu kak. saya betul betul gembira bila ada orang dapat pandang apa yang berlaku macam yang enti nampak. itulah kuasa dan rahmat Allah.
Terima kasih atas doa, dan kami berkongsi pendapat yang sama. Tidak Allah timpakan sesuatu yang melebihi kemampuan seseorang itu menerimanya. Dan apa yang berlaku pada Aini, itu sebenarnya suatu ujian yang didahulukan Allah, ke arah sebuah kehidupan lebih ceria dan bahagia di hari muka. Ameen..
:)
sedih pulak membaca catatan aini dan jawapan balas pokcik jenal ni..didoakan semua dr kita mendapat bahagia dunia akhirat dan limpahan kurnia dr Allah. Ameeeeeeennnnn (minta sgt2 dr Allah nih)
*senyum senyum...jgn gundah gulana sahabat2ku :)
yati setuju sangat2...Allah akan menguji setakat mana yg mampu kita terima. Dan bila kita dah bangkit dan berjaya melepasi ujian itu, insya allah kita akan menjadi manusia yg lebih bersyukur & beringat, dan lebih menghargai sisa2 waktu yg ada bersama dgn org yg tersayang.....
take care hany..moga bahagia akan kekal utk hany sekeluarga :)
Post a Comment