Monday, December 07, 2009

FUDHAYL NASHWAN

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaatu Wassalaamu 'ala Rasulillah.

Pengumuman kepada para bakal besan. Putera kami telahpun mendapat namanya pada hari ke-7 kelahiran beliau. FUDHAYL NASHWAN


secara literal ;

FUDHAYL - maksudnya watak yang memiliki kelebihan, kemuliaan dan kecemerlangan.

NASHWAN - segar, ceria, gembira, freshen up..

Secara sejarahnya, kami ambil nama Fudhayl sebagai panggilan utama, menginsafi kisah seorang wali Allah - Imam al-Fudhayl bin Iyadh ('Ayyadh) yang akhirnya meninggal di Makkah pada tahun 187 hijrah setelah terlalu gementar mendengar sepotong ayat al-Quran yang dibacakan.

Antara ucapan-ucapan Fudhayl bin 'Iyad ('Ayyadh)

1. Berbuat sesuatu kerana manusia adalah syirik, manakala meninggalkan sesuatu kerana manusia adalah riak. Hanya dengan keikhlasan sahaja Allah menyelamatkanmu daripada kedua-duanya.

2. Kalaulah ada padaku doa yang mustajab, sudah tentu akan ku jadikan doa itu untuk seorang ketua. Ini disebabkan kemaslahatan rakyat adalah padanya. Jika ketua tersebut berbuat baik, nescaya rakyat dan negara itu akan aman.

3. Dilihat tersenyum buat pertama kali setelah sekian lama. Kebetulan hari itu adalah hari kematian anaknya. Ketika ditanya, jawab beliau, "apakah yang lebih menggembirakan kerana apa yang berlaku pada hari ini adalah kehendak Allah"..

4. Perkara dan perbuatan yang benar datang daripada Allah. Cara yang betul pula adalah daripada Sunnah Rasulullah SAW.


Harapan Umi dan abah, anak ini akan jadi anak soleh dan wara', cemerlang dan ceria sentiasa.

Wallahua'lam.

p/s : hari ketujuh, Fudhayl dapat nama, tetapi kehilangan rambutnya.. hehe..

Thursday, December 03, 2009

Putera 13 Zulhijjah FitrahZH @ SDMC : 3.35 PM

Bismillahi Walhamdulillah

Agak terlewat sedikit. Tetapi masih ada ruang pastinya.

Alhamdulillah, kami telah dikurniakan cahaya mata ketiga, putera, namanya belum ada.


Profail Ringkas:

Nama : Belum Boleh Diumumkan.
Tarikh Lahir :
13 Zulhijjah 1430H, bersamaan 30 November 2009
Waktu Lahir : 3.35 petang
Tempat Lahir : Sime Darby Medical Center
Kemahiran Asas ketika lahir : Menangis dan Hisap Susu
Kemahiran Lanjutan : Menyamar buat-buat tidur

Kelahiran ini menjadi penyeri seterusnya keluarga FitrahZH. Berkebetulanlah pula dengan tarikh ulangtahun perkahwinan kami. Alhamdulillah.

Sepertimana 'dibisikkan' oleh Ummu Nufayl dalam Facebooknya, segalanya berjalan lancar. Mudah dan dimudahkan Allah SWT.

Gambarnya sepuluh minit dan 3 hari selepas dilahirkan.

Hanya 'sedikit' ujian Allah menimpa kami di Pusat Perubatan terkenal ini. Mendatangkan kesan psikologi yang agak mendalam buat kami, khususnya Ummu Nufayl pada kali ini, khususnya dari segi keyakinan kami terhadap tahap keselamatan di sini.

Bak kata orang, redha kita pada satu perkara, tidak akan melepaskan pihak yang melakukan kecuaian daripada tanggung jawabnya di hadapan Allah dan makhluqnya.

InsyaAllah, sedikit masa kami akan coretkan buat rakan-rakan semua untuk kita kongsi bersama dan sebarkan bagi manfaat bersama di sini dan facebook kami...sekarang, sedang sibuk jaga bayi dan ibu bayi... :P

Wallahua'alam.

Abu Nufayl

Wednesday, December 02, 2009

Raikan Gerak Hati Anda... Landaskan Dengan Syarak,..

Bismillahi Walhamdulillah... Puji dan Syukur pada Allah. Selawat dan Salam pada Rasulullah.

Meraikan prinsip demokrasi. Selagimana tidak melanggar syarak. Lanjutan daripada perhimpunan 100.00000000000000 orang menentang kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tempoh hari, maka, kali ini, dikehadapankan pula jemputan untuk ke perhimpunan yang seakan-akan sama, cuma motifnya lain, kali ini bagi memperlihatkan sokongan pula pada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Sebagai penyokong tegar, tetapi tidak mendewakan sesiapa, dan juga tidak bebal, kami percaya bahawa, jika pemimpin sudah tidak disukai akibat segala macam keburukannya, maka, gerakan hati kita terhadap beliau itu adalah tanda-awal awal. Diikuti dengan gerakan fizikal rakyat secara kolektif yang akan mencerminkannya penolakan ini. Jadi, marilah kita sama-sama berlapang dada melihat pula respon perhimpunan ini berbanding perhimpunan yang lepas. Dengan penuh rasa rendah diri.

Dan jadikanlah ini perhimpunan yang aman, bukannya untuk mencetuskan persengketaan.

Jika betul 'kemungkaran' orang tua berjubah ini lakukan, pasti Allah akan membalasnya. Saya sendiri tidak mahu mendepani hukum Allah. Kerana sebab di sebalik tindakannya bukanlah 'sampah' di bawah karpet kuning mahupun merah.

Tepuklah dada dengan iman tuan-puan, benci manakah kita dengan orang tua ini. Menyampah sejauh manakah kita dengan tok yang seorang ini. Sekejam manakah kita dengan diri lemah ini di hujung usia beliau? Dan sempatkah kita jenguk beliau pada hari terakhir nafas beliau, sekiranya apa yang beliau katakan selama ini adalah benar dan ikhlas lillahita'ala.

Dan adil-adilkanlah rasa hati kita itu dengan iman dan ihsan. Kemudian, putuskanlah, hadir atau tidak, atau sokong atau tidak. Itu hak tuan-puan. Tiada siapa berhak halang. Wallahua'lam.

Ameen.




Wallahua'alam.

Abu Nufayl

Saturday, November 28, 2009

Bi Adab... atau Biadap dalam Masyarakat?

Assalamualaikum warahmatullah.

Pujian dan syukur pada Allah SWT. Selawat dan Salam ke atas Rasul Junjungan.

Masih tidak ketahuan, bila tarikhnya cahayamata seterusnya menjengah dunia. Sepatutnya 9 Zulhijjah yang lepas. Hari ini sudahpun 11 Zulhijjah. Masih tenang dan santai dalam perut Ummu Nufayl. Biarlah. Hanya ALlah yang Maha Berhak menentukan detik masa itu.

Tempoh belakangan ini, Abu Nufayl ambil keputusan menyepikan diri. Menurut jejak langkah Ummu Nufayl yang telah pun mengisytiharkan mogok blog. Mogok-mogok beliau, hari pertama dan kedua overduenya, sempat lagi masak juadah raya. Bravo...

Berbalik... Dengan posting terakhir yang lepas, isu-isu susulan makin hebat, tajam dan menghiris.

Hebat dengan fitnah dan unsur fitnah. Tajam menikam hati-hati manusia lain tidak kira sesama Islam atau tidak. Dan pastinya menghiris dan melumatkan adab-adab Islami yang wujud selama ini.

Ujian ALlah datang tidak mengenal golongan sasarnya. Baik Parti Sekular gila bangsa yang cuba memakai topeng Islam seperti UMNO. Baik parti non-Islamik. Baik Jamaah Islamnya. Baik pendukung Islam. Mahupun penyokong tepi jalan. Semuanya boleh terpalit. Asal sahaja ALlah mengkehendaki.

Kurang hikmah kalau saya memanjangkan bicara. Takut timbul unsur memfitnah. Tetapi apa yang jelas, adab Islami yang selama ini menyusun atur keharmonian dan kesejahteraan umat sudah mula ditinggalkan. Dan ini perlu diperingatkan.

Adab berhujah antara ulama. Membahas sesuatu perkara sehingga mencapai suatu kesepakatan. Dan kemudian barulah dialirkan kepada khalayak ; nampaknya adab ini sudah dilupakan oleh pakar-pakar agama dalam menyuarakan hukum kepada orang awam. Tahlil bidaah, berzanji tak boleh, Doa qunut tidak betul. Itu hanya tiga contoh mudah. Semua ini menjadi alat mainan kepada orang awam. Dan mainan ini dibekalkan oleh agamawan PHD, kadangkala. Hentam menghentam di surau-surau antara dua aliran rancak berlaku. Si tua dan muda sudah mula bermasam muka. Membawa jauh hati masing-masing. Akhirnya surau yang sepi kerana kurangnya jamaah bersolat. Inilah bala bencana akibat meninggalkan adab.

Malah, sudah wujud ceramah dan kuliah yang ada unsur-unsur memperlekehkan Ulama-ulama terdahulu. Bukan itu sahaja, apabila diulas, menghasilkan pula gelak ketawa penuturnya. Dan juga pendengarnya. Astaghfirullah.

Betapa kurang ajarnya golongan agamawan ini. Lupakan orang awam. Mereka jahil dan hanya ingin memetik bahagian yang ingin didengar. Baru sahaja menggenggam Masters, PHD, sudah mula bicara laksana mujtahid. Dan membiarkan Imam-Imam besar sebelum ini ditertawakan khalayak. Pada saya, agamawan-agamawan seperti ini adalah sampah kepada suatu juzuk harum yang ada dalam Islam. ADAB.

Kemudian, hasilnya, lahirlah pula agamawan lain, menghentam pula agamawan tidak beradab tadi. Melalui kuliah, ceramah dan blog. Baguslah, menjadi pembela. Tetapi adakah ini caranya hikmah yang diajar Rasulullah? Memarahi orang kafir sendiri dibuat oleh Rasulullah dengan penuh hikmah dan ada manhajnya sendiri. Bersemuka, sampaikan dahulu. Kemudian berbincanglah kaedah terbaik tanpa perlu mengheret orang awam yang jahil ke lembah gelak ketawa, malahan membakar api kebencian antara sesama Islam.

Bala dan bencana ilmu sudah mula menimpa golongan cerdik pandai. Perasaan ujub tidak disedari sudahpun dizahirkan melalui senjata ilmu yang ada di dada. Baik di Lembah Klang yang katanya bertamadun, mahupun, di ceruk utara Semenanjung yang dikatakan mundur.

Mundur? Utara? Perlis? itu lupakan dulu kegilaan kuasa dan peluru. Mundur, memang Perlis mundur. Walapun parti Barisan Nasional yang perasan yang memerintah sekian lama. Lampu jalan pun tak mampu pasang. Tembolok penuh juga.

Yang saya maksudkan Kelantan. Sedang pun dihujani krisis adab. Saya bukan ingin menghurai isi krisis, kerana itu juga biadab kerana saya bukanlah ahli keluarga Tok Guru, bukan juga ahli keluarga orang yang tidak suka ahli keluarga Tok Guru itu. Tetapi melihat dari perspektif Islam, menggunakan blog atas nama mempamerkan dan menegakkan kebenaran adalah satu tindakan bodoh jika ia melibatkan keaiban sesama Insan. Betul atau salah tindakan sebegini? Tanya sajalah, jika Rasulullah masih hidup, dan kita bicarakan keaiban orang dengan meneriakkannya di atas Kaabah agar semua penduduk Makkah datang dan mendengarnya, apa rasanya sabda Rasulullah? Jangan cerita tentang niat di hati tuan, puan, haji dan hajjah. Itu hanya Allah yang tahu. Lidah boleh bercabang. Jari boleh berkait.

Dan mulalah, bicara atas bicara. Semua mula mengambil sikap defensif dan kemudiannya ofensif. Membalas melalui alam maya, blog juga. Tidak kiralah artikel pendek, panjang, mahupun surat terbuka dan sebagainya. Semua ini ketika menulis dirasakan sebagai mempertahankan diri dan menegakkan kebenaran. Tetapi setiap butir bicara sebenarnya memamah keikhlasan diri. Mempamer peribadi diri. Mengaibkan pula orang lain. Ini menghancurkan adab dan hikmah. Mendedahkan kepada salah tanggapan. Dan akhirnya, tidak menyelesaikan masalah, malah menambah masalah dan fitnah.

Tidak kiralah siapa anda. Kadangkala watak sebenar yang disanjung pada awalnya, tercalar hanya kerana sikap tuan puan, ustaz dan ustazah, dan bukan ustaz mahupun bukan ustazah yang bertelingkah di alam maya, dalam blog yang dibaca oleh pelbagai peringkat pemikiran manusia. Dan penuh pula dengan oportunis ditunjangi syaitan

Satu peringatan yang ringkas tetapi rasanya bermakna sekurang-kurangnya untuk diri saya dan keluarga. Di dalam perkara agama sekalipun (yang mana niatnya baik) ; setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Allah memperingatkan manusia agar merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Oleh itu, dalam soal memberikan pandangan, para salafussoleh mengamalkan perbincangan pada taraf yang sama kufu' terlebih dahulu (sesama ahlinya / pihak yang terlibat) di dalam satu wacana khusus para ulama untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor. Pada akhirnya barulah keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Ketika ini,kita terpengaruh dengan medium ala pasca-modenisme, yang menganggap semua taraf medium/wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’. Dan semua orang patut mendengar apa sahaja.

Katalah, semua ini berlaku kerana melibatkan unsur politik, dan politik itu sukar dibaca. Baik, saya bersetuju. Dan sebagai tukarannya, tuan puan juga perlu bersetuju, politik juga tertakluk kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.. boleh?

Akhir kata, janganlah pada akhirnya, dengan hujah yang memperdayakan diri sendiri, mujadalah dan muamalah sesama manusia yang sepatutnya BI-ADAB (dengan adab), kini menjadi pertarungan BIADAP ADAB!

Wallahua'lam.

Abu Nufayl.

Friday, November 27, 2009

A Note by 40wk pregnant mom

Alhamdulillah, dikurniakan Allah ni'mat untuk melengkapkan puasa Hari 'Arafah semalam walaupun semalam adalah hari jangkaan bersalinku @ 26 November 2009/ 9 Zulhijjah 1430h.

Semalam bermula dengan bangun awal pagi untuk bersahur dengan sebiji kurma dan segelas air (of course wajib makan ubat-ubatku sebelum aku 'boleh' berpuasa).

Kemudian, bermula jam 10 am, mula membersihkan rumah. Aku menyapu dan Abang mengemop. Clear!
Lepas siap-siap, mandi dan solat Zohor, terus ke SDMC-SJ untuk check-up dengan O&G yang sememangnya dijadualkan hari ini. Confirm belum ada tanda nak bersalin - dinding rahim masih tebal! Memandangkan bayi di dalam rahimku ok (degupan jantungnya bagus) dan keadaan Umminya pun bagus lagi, doktor bagi masa sampai 7 hari selepas tarikh jangkaan bersalin (kalau tak, kena induce la!)

*Nufayl overdue 2 hari.
*Waktu Nuha dulu, ketika checkup 39 wk, doktor kata dinding rahim tebal dan ada kemungkinan overdue, tapi selepas 2 hari bayi dah menjengah dunia. Nuha awal 2 hari daripada tarikh jangkaannya.

Selepas check-up dengan my O&G, dapat juga :-
- jalan-jalan di Sunway Pyramid - window shopping di Jusco & shopping bahan mentah di Giant untuk masak juadah raya
- berbuka puasa dgn ABC (tak tau napa, tingin sangat nak makan ABC semalam)
- juga dapat masak Nasi Himpit, Kuah Kacang, Daging ala Satay, Ketupat Palas (of course yg segera punya -NONA) dan Rendang Daging Hitam Mama serta bakar kek coklat dalam masa 4 jam (10.30pm - 2.30am), dengan dibantu oleh Incik Suami. ;)
- Incik Suami dan anak-anak pukul 3am baru nak tidur
- Aku hanya tidur sejam sebelum bangun Subuh dan bersiap ke masjid (buat apa? ada siapkan deco jubah raya Nuha, ada final cleaning the house pastu etc etc la)

Hari ini pula, dapat solat sunat Eidul Adha di Masjid Asy-Syarif Meru, walaupun masa nak bangun Subuh tu...kaki macam dah tak boleh gerak, dan pinggang rasa nak putus. Tak boleh nak tidur tegak langsung. Semangat nak pi solat raya, terus hilang rasa sakit-sakit tu.

Lepas makan juadah raya dengan suami dan anak-anak + Cik Da (adik ipar) baru semua sakit tu datang balik, dan aku rehat. Belum sempat rehat, ada jiran datang ziarah. Lepas layan jiran, akhirnya dapat masa untuk rehat. Lepas Solat Jumaat, kami ziarah rumah jiran.

Petang, Dik Id & Suzy yang datang beraya di rumah sambil share tentang pregnancy, delivery & breastfeeding dengan mereka yang akan menimang anak sulung dalam jangkamasa terdekat ini.

Sekarang tengah buat apa? Of course, NUR KASIH-FINALE!

Alhamdulillah, bahagia!

Wednesday, November 04, 2009

Ujian dan Nikmat ;)

Alhamdulillah, semalam walaupun diuji dengan kesakitan sepanjang hari (paru-paru & tulang rusuk dihimpit oleh baby 37wk ni sampai Umminya sesak nafas, sakit sampai tulang rusuk ke-berapa ntah, tak boleh duduk langsung), ada 3 nikmat dapat :-

1. Parcel yang ditunggu-tunggu drp US selamat dapat juga, walaupun cik abangku kena pi POS Malaysia kat LCCT pelepasan kastam (nasib baik tak kena cukai!) --> MEDELA FREESTYLE :D

2. Katil Super Single yang diorder Ahad lepas selamat dipasang di bilik bawah dah. Cepat-cepat dipasangkan Comforter Set S.S NOVELLE yang dibeli drp Jusco. Diskaun 80% tu!

3. Dapat makan pulut durian ++ buat kuah durian. Ni kes walaupun sakit tapi sebab teringin nak makan, malam-malam pun sanggup! ;)

So, hari nih Umminya masih tidak ke office sebab melayan baby yang menyendalkan kakinya di tulang rusuk Ummi. Bila la, baby nak tengok dunia ni? Habaq awai-awai no!

Monday, November 02, 2009

Tauliah...

Salam 1Aqidah Tauhid

Saya tak pasti salam di atas adalah ajaran Allah Rasulnya. Mungkin akan ada mufti atau bekas mufti yang marah. Tetapi apa yang pasti intipatinya salam saya tadi rasanya lebih menepati ajaran Islam berbanding lafaz Salam 1Malaysia atau salam 1Melayu atau apa-apa makhluq salam lagi yang dilafazkan oleh 'tukang masak' agama di Malaysia ini.

Kadangkala intipati ini dizahirkan dalam bentuk lebih kreatif para ulama dalam menarik minat ummah menegakkan syariat Islam menerusi syiar yang berwarna-warni.

Namun, tidak dapat dinafikan, adakalanya ia menjadi bidaah. Menyesatkan dan mengharu birukan apabila dibuat oleh bukan ahlinya.

Dan, menepati janji Allah, di sinilah akan timbulnya agamawan ulung bangkit mempertahankan ajaran Islam yang suci tanpa campur aduk (dakwanya). Dan mereka ini juga tidaklah salah. Asalmana tidak menyebabkan orang awam terus lari lintang pukang apabila menyebut tentang Islam. Bukan kerana ajaran agamawan ini sukar, tetapi caranya terlalu kasar dan biadap untuk ditelan orang awam. Maklumlah ilmu tidak setaraf.

Kadangkala perlu ada pengimbangan antara semua perkara ini. Dan Allah SWT Maha Adil. Menurunkan peringatan kepada semua orang, baik hamba abid mahupun Perdana Menteri. Baik si jahil, mahupun bekas mufti. Baik anak, mahupun datuk kepada seratus cucu. Agar manusia ini sentiasa ingat, Allah itu Maha Kuasa dan Maha Memerhati segala tindak tanduk mereka.

Saya mungkin nampak ke kiri dan ke kanan. Tetapi yang nyata tetap nyata.

Dan ia juga nyata, bila saya mengatakan, pada masa yang sama JAIS menjadi asbab kepada golongan tertentu 'mendapat' peringatan daripada ALlah ; pada masa yang sama juga, tindakan menahan seorang bekas Mufti yang pernah juga diiktiraf menjadi salah seorang ahli Majlis Fatwa Kebangsaaan dengan kaedah tangkapan yang dibuat pada awal bulan November 2009 ini adalah sama JAHILNYA dengan TIDAK MENAHAN PEMBESAR-PEMBESAR YANG MINUM ARAK DI KELAB MALAM, DAN SAMA JUGA JAHILNYA DENGAN MEMBIARKAN JUDI DAN ARAK BERLELUASA DI NEGERI YANG SAMA.

"Tidak bertauliah dan memohon tauliah piunca ditangkap"

Jadi arak, judi dan betina itu sudah ada tauliahkah? Sebab itu masih beroperasi. Oh ya.. bukan JAIS keluarkan lesen. Jadi tidak ada dosa kan walaupun tidak membantah dengan keras... Negara majmuk. Neraka pun majmuk. :)

Atau adakah perbuatan membiarkan kemungkaran qat'i ini ADA TAULIAH??? Dari siapa? Syaitan?

Dan ingatlah, tindakan jahil (JAIS) dalam konteks ini, tidaklah lari dari sub-tafsir kepada perkataan bodoh. Iaitu, tidak memanfaatkan kuasa sebenar ke jalan yang benar. Dan menzalimi diri sendiri dengan kegoblokan ini. Hanya kerana itu.. ya.. kerana itu... Dan marilah kita iktiraf pentauliahan Sisters in Islam, Astora Jabat dan konco-konconya. Kerana tauliah itulah tiada siapa tangkap mereka. Dan ingat juga, Dr Asri mula dikenali umum dengan debatnya bersama Astora. Ironinya, Astora tidak pernah ditangkap. Dr Asri pula kena tangkap. Siapa yang sesat?
Wallahua'alam.

Friday, October 16, 2009

Ingin Bersama ke Mana? Syurga atau Neraka?

Sedikit ingatan. Mengelak dari ke lubang gelap bersama-sama...

Terpandang isteri solehah di tepi. Teringat pula sahabat handai dan keluarga yang lain.

Maaflah bagi yang terasa. Tetapi yang haram tetap haram. Yang halal tetap halal. Bagi yang faham ; aku ini jenisnya rempuh api pun tak kisah. Jadi jangan cuba bermain api.

Tersandar ke belakang. Mata tak dapat lelap malam ini.

Terlintas satu perkara. Kadang-kadang kita jauh, tetapi sebenarnya dekat. Dan kerapkali kita dekat tetapi sebenarnya jauh.

Kita menasihatkan orang awam. Kita tarbiyah rakan-rakan. Sedar-sedar keluarga sendiri terabai. Kadangkala.

Terasa juga ingin berlepas tangan. Memikirkan hal sendiri. Tetapi tanggung jawab adalah amanah Allah. Biarlah mereka yang lupakan Allah terlupa tentang perkara ini. Tetapi bagi yang ingat, sedarlah cepat.

Ada yang minta tidak ditegur. Tetapi selagi teguran itu wajib, kenapa ingin berhenti. Walaupun penat. Tapi usaha kita hanya Allah yang berhak menilainya.

Ada yang merasa diam itu tanda izin. Tetapi bagi aku, diam kerapkali menunjukkan rasa bengang. Bilaku bising tandanya sayang. Walaupun kerapkali sayang itu dalam diam.

Terasa ingin pedulikan kubur sendiri. Tetapi bolehkah kita jamin keluarga yang kita tinggalkan akan ke neraka keseorangan. Dan kita tidak ditarik bersama.

Ada orang tidak takutkan neraka. Kerana bisanya belum terasa. Tetapi aku tidak memilih walau untuk mendengar perkataan itu.

Jarak hidupku mungkin tidaklah jauh lagi. Tetapi sudah banyak anak bangsa, Islam yang aku lihat jatuhnya mereka. Akhlaq longgar. Pergaulan jahanam dek tusukan syaitan dengan bukan mahram.

Akademik jatuh, hanya menyesal bila tamat belajar, CGPA itik tak sudu, ayam tak patuk. Bila temuduga, resume orang HR tong sampahkan. Masa itulah ada yang terkedu.

Ada yang berjaya berkerjaya. Dan senang hidupnya. Tetapi kosong pula dada tidak terdetik untuk diisi. Nipisnya iman, makin hari menipis hilang. Kurangnya ilmu, semakin hari semakin liar. Liatnya lidah, semakin hari hanyut duniawi...

Lagha dan lalai kononnya rehat. Tetapi jarum yahudi hedonisme sudah pun menusuk.

Hati yang asalnya lembut, jadi keras bak kurangnya zikir dan quran. Longgarnya solat. Hidup jadi tidak terurus. Pagi dan petang tak kenal matahari.

Semuanya hasil kerja tangan Yahudi la'natullah. Dan kita melaknat diri sendiri dengan kelalaian. Yahudi musyrik pastinya ke neraka. Dan umat Islam sedang dimusnahkan.

Cuai, lalai. Dan aku sedar, dunia ini sekarang dimiliki kecuaian itu.

Tetapi kenapa lubang neraka itu yang kita pilih? Adakah kita yakin hidup kita tak perlu dibantu sehingga ke liang lahad?

Dengarlah. Dan ingatlah. Hembusan nafas terakhir keluarga terdekat, jangan diiringi dengan penyesalan akibat engkar pada suruhan berlandaskan ajaran Allah swt dan Rasulnya.

Selamat Kembali. Atau hadapilah api seterusnya. Kalau api ingin dilawan api. Dan jika tak ingin ditentang. Tangan ini sentiasa sejuk menerima mad'unya. Dengan kasih dan sayang lillahi ta'ala.


Astaghfirullah. Wallahua'lam.

Thursday, October 15, 2009

Kenapa Lari? Kami Tak Perlu Kejar

Ketua Keselamatan Kampung Durian Sebatang berkata,

Beliau berkata kelemahan bukanlah di pihak 'Penjaga Keselamatan' tetapi sebaliknya Putera Kacak sendiri yang melarikan diri dan mengelak daripada diadili di mahkamah.

"Buat apa dia lari? Kalau dia kata apa yang dia tulis itu benar datanglah.

Kita ada undang-undang oleh itu jawablah di mahkamah"

Keh...keh...keh....

Haa. Kalau buat salah. Lari ja. Tak kena kejar punya. Kalau betul, barulah pi mahkamah.

Nasib la. Patutla pembunuh dan penculik anak-anak ayam kat kampung Durian Sebatang masih berkeliaran.

Abu Nufayl

Sunday, October 11, 2009

Niqab...

Salam,

Kadang-kadang bila dikejut, barulah tersedar, panjang pula tidurnya kali ini. Terima kasih pada sahabat yang sudi ingatkan laman sesawang yang sudah bersawang ini.

Saya suka kepada satu kisah (hadith) pendek, terkandung dalam Sunan Abu Daud Buku 14, Hadis ke 2482 :

Thabit bin Qays (Radhiallaahu 'anhu) meriwayatkan : Seorang wanita (Ummu Khallad)datang kepada Nabi SAW, sedangkan pada ketika itu wanita itu berkerudung. Dia sedang mencari puteranya yang telah dibunuh (dalam pertempuran) Beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW berkata padanya: kamu telah datang ke sini menanyakan anakmu sambil berkerudung pada wajahmu (sahabat mendapati sukar mengenalpasti siapakah wanita itu)? Dia berkata: Jika aku menderita dengan kehilangan anakku, aku tidak akan menderita lagi dengan kehilangan kesucian dan kemurnian diriku

Rasulullah SAW lantas berkata: Kamu akan mendapatkan pahala dua orang yang mati syahid untuk anakmu

Dia bertanya: Mengapa demikian, ya Nabi Allah? Baginda menjawab: Karena orang-orang Ahli Kitab telah membunuhnya.


Sebenarnya Islam ini banyak sumber. Baik al-Quran, Sunnah, Ijma' Qias, Syariat pada sahabat, dan sebagainya. Dan siapalah kita untuk mendahului segala sumber ini. Cuma saya agak risau memetik sumber ini pada asalnya, kerana bimbang disangkal oleh hujah menggunakan sumber lain. Bukan takutkan perdebatan, tapi takutkan sanggahan dibuat atas dasar mempertahankan nafsu dan pendapat diri, bukan lagi kerana Allah SWT. Wal'iyazubillah.

Persoalan terkini berkaitan niqab, saya agak terkedu. Mahunya tidak, kali ini ia telahpun dibahaskan oleh ulama muktabar zaman ini. Diulas pula oleh ulama'-ulama' yang kita sama-sama sanjungi dan sayangi baik dari segi ilmu mahupun akhlaqnya.

Jadi apakah komen saya terhadap isu ini? Hanyalah sebagai orang awam yang jauh ketinggalan ilmunya berbanding pengulas-pengulas lain yang tinggi darjatnya.

Dalam kisah ini, andaikata Syeikhul Azhar berada dalam keadaan yang hampir sama dengan para sahabat, melihat seorang wanita yang sedang berhajat sesuatu tetapi wajahnya dilitupi, tidak mustahil akan terdetik di hati manusia hamba Allah ini untuk meminta agar wanita itu membuka wajahnya. Apatah lagi jika dalam satu kumpulan wanita, hanya seorang yang menutupi wajahnya berbanding yang lain. Pasti nampak agak pelik, dan mungkin akan diminta membuka wajahnya.

Samalah, jika saya sebagai orang awam, menemuduga bakal pekerja, pasti ingin juga melihat wajah, atas dasar mendapatkan kepastian beliau tidak mencebik dan tidak mencemuh ketika kita bercakap. Semua ini atas kelemahan syak wasangka kita sebagai manusia biasa. Jadi mungkin saya akan meminta beliau membuka niqabnya. Kerana kita tahu ia tidaklah aurat menampakkan wajahnya. Dan kita pula bukanlah bernafsu melihat wajahnya. Hanya ingin pasti, wanitakah ini. Jujurkah beliau datang bertemubual dengan kita.

Dalam banyak keadaan, respon kita pasti akan berubah. Dan jika orang Mesir, mahupun arab dari tempat lain, mungkin nadanya lebih keras dan lebih provokatif, kerana itulah sifat bangsa arab ini.

Jadi jika nada ulama besar ini bercakap dengan wanita muslimah berkenaan dianggap kasar dan keras ; harus dilihat juga pada 'uruf persekitaran. Sebagaimana juga Saidina Umar yang kerapkali mengherdik walaupun pada sahabat yang lain. Bukan kerana tiada akhlaq, tetapi itulah pembawaannya pada zaman dan keadaan masyarakat semasa. Dan adakah beliau terkeluar dari senarai sahabat yang dijamin masuk syurga?

Tidak boleh kita nilai kelakuan bangsa arab untuk dinilai menurut kacamata masyarakat Melayu yang lemah lembut. Begitu juga sebaliknya.

Jadi, saya tiada sebarang sangka pada Syeikhul Azhar, menghormati ilmunya, dan memahami latar belakangnya. Apapun kata orang, menjadi tanggung jawab kita untuk tidak menjadi lebih sudu dari kuah dalam menanggapi perlakuan ulamak. Cukuplah golongan musyrikin dan munafik mencari jalan menjatuhkah ilmuan Islam sejak dahulu. Tetapi jika sudah jelas ulama' itu ulama' suu' maka neraka Allah lah galang gantinya.

Balik kepada kisah pendek tadi. Baginda Rasulullah, tidaklah pula serta merta menghalang Ummu Khallad ini daripada terus berkerudung (menutupi wajahnya).

Menunjukkan bahawa memakai niqab ataupun menutup wajah ini tidaklah termasuk dalam larangan syar'ie yang pasti akan ditegur segera oleh Rasulullah SAW yang agung ini.

Malah baginda memberikan satu respon yang amat baik dan positif. Kerana menghormati ijtihad wanita ini untuk meneruskan dengan kerudungnya bagi menjaga kesucian maruahnya dan mungkin kerana malunya yang menebal kepada lelaki ajnabi. Yang mana menujukkan penutupan muka ini juga boleh berdasarkan keperluan persekitaran dan penjagaan maruah diri. Cuma mungkin tidaklah boleh sampai mengiktiqadkannya sebagai ibadah jika tiada dalil yang jelas. Kerana tiada suruhan yang jelas. Dan jika ada, nah, silakan dengan keupayaan ilmu puan-puan sekalian.

Ia berlegar di antara - boleh, harus dan dibenarkan - Namun tiada perdebatan jelas samada ia wajib, sunat, mahupun haram pada pandangan syara'.

Melihat pada perspektif ini, maka kita ambil dalam suasana H1N1, masing-masing memakai penutup muka. Walaupun lelaki, walaupun wanita. Apakah hukumnya topeng menutup muka ini? Sunatkah? Haramkah? Wajibkah?

Sehinggalah ada yang menyalahgunakannya untuk melakukan rompakan dan menyamar, maka barulah ada penguatkuasaan tertentu ke arah penyalahgunaannya.

Begitu juga niqab, jika persekitaran semasa menyebabkan penyamaran berlaku berleluasa contohnya, maka akan adalah hukum yang menjurus ke arah melarangnya. Bukan atas dasar pemakaiannya, tetapi pada dasar implikasi pemakaiannya.

Dan tidaklah salah pada saya jika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong pengharamannya (jika betul ia diharamkan), apabila pemakaiannya membawa kepada musibah yang lebih besar. Tetapi jangan dangkal melihat kepada satu aspek bicara Tuan Guru.

Sebenarnya yang lebih penting untuk diikuti adalah kata-kata beliau (juga firman Allah, dan juga Sabda Rasulullah) bahawa MENUTUP AURAT ITU WAJIB. Jadi kelayakan membahaskan isu niqab ini GUGUR jika tuan-puan masih belum menutup aurat sepenuhnya. Tutuplah aurat dahulu dengan sempurna, dan kemudian komenlah dari sudut apa pun.

Ini kalau lutut atau rambut telanjang aib auratnya, tak usahlah berdebat isu niqab. Terlalu jauh dari maqam tuan puan sekalian.

Baiklah, saya di sini jauh dari taraf menghukum. Seperti yang saya nyatakan, apabila melihat perdebatan antara golongan soleh dan ulama', lebih baiklah saya menyentuhnya secara sipi sahaja melalui kaedah ini. Bukan secara aqliah, dan tidaklah terlalu naqliah. Hanya dari orang awam untuk orang awam.

Bagi yang masih dengan niqabnya, terpulanglah. Buatlah kajian lanjut menerusi ulama' muktabar. Tetapi jangan lupa untuk jaga akhlaq puan-puan. Kerana akhlaq buruk orang yang berniqab ini implikasinya lebih besar dari akhlaq buruk oleh orang gila yang tidak berpakaian. Akan diambil peluang dan jadi bola tanggung bagi golongan fasiq, kuffar dan munafiq menjatuhkan maruah muslimah solehah.

Sahabat sekalian, menanggapi isu ini, saya suka untuk meletakkan kaedah berlapang dada dan sabar dalam memberikan pendapat dan komen. Cuma, pada saya buat masa ini, jikalah ada ahli keluarga saya yang belum berniqab, saya tidak berhasrat memaksanya memakainya. Dan jika sudah memakainya, saya tidaklah pula ghairah untuk meminta beliau melucutkannya. Melainkan sebabnya jelas memudharatkan beliau, keluarga atau masyarakat, maka, saya juga tidak teragak-agak menyuruhnya meninggalkan dahulu pemakaiannya, dengan dua syarat, AURAT WAJIB MESTILAH TETAP DITUTUP SESEMPURNANYA, dan kaedah menyuruhnya menanggalkan, tidaklah sama dengan cara kita mencela orang kafir atau fasiq yang menderhakai hukum Allah. Allahu Akbar.

Astaghfirullaahal Adzeem. Wallahua'lam.

Abu Nufayl