Sunday, January 17, 2010

IBU SUSUAN .... 1/2....

Tribute kepada ibu-ibu susuan Fudhayl Nashwan iaitu Pn Aida, Pn Idayu, Pn Akmar dan Pn Madihah, serta suami kepada mereka (bukan bapa susuan ya!), Sdr Mufis, Sdr Zainal, Sdr Amin dan Sdr Nazly ; saya coretkan sedikit sebanyak berkaitan konsep dan praktis ibu susuan. Sama-sama kita doakan manfaat dan ganjaran Allah daripada penulisan ini agar turut sama dikongsi oleh ibu-ibu ini dan keluarga mereka yang telah memberikan kami sekeluarga, khususnya Fudhayl, hadiah yang tidak ternilai dalam mendepani ujian Allah SWT. Ameen.

Selamat membaca.

Bismillahi walhamdulillah, wassolaati'ala Rasuulillah.

Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW sepertimana yang dimaklumi adalah juga saudara susuan kepada Sayyidina Hamzah RA. Ibu susuan mereka adalah hamba kepada Abu Lahab, bernama Thuwaibah (wafat pada tahun ke-7 hijrah).

Nama Thuwaibah seringkali dilupakan oleh kita semua. Beliau adalah ibu susuan pertama Rasulullah SAW. Ketika itu Thuwaibah masih juga sedang menyusukan anaknya sendiri, Masruh. Untuk makluman, Thuwaibah ini pula adalah ibu kepada Ummu Ayman, iaitu pengasuh Rasulullah SAW. Kedua-dua mereka (Thuwaibah dan Ummu Ayman) adalah hamba kepada Abu Lahab ketika itu. Dan keizinan yang diberikan oleh Abu Lahab ketika itu kepada Thuwaibah untuk menyusukan Rasulullah menjadi salah satu daripada sedikit keringanan kepada siksaan Allah terhadapnya. Abu Lahab juga telah membebaskan Thuwaibah ini.

Kemudiannya baginda disusukan pula oleh Halimah binti Abi-Dhua'ib yang lebih kita kenali sebagai Halimah as-Saadiah, isteri kepada Harith Abd'lUzza yang juga dikenali sebagai Abu Kabsyah.

Daripada dua ibu susuan ini, Baginda Rasulullah SAW memiliki beberapa saudara susuan antaranya :

Dari ibu susuan pertama - Thuwaiba:
1. Hamzah bin Abdul Mutallib ( disusui oleh Thuwaiba dan Halimah )
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
3, Masruh

Halimah Al-Saidiyyah (ibu susuan kedua)
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul 'Uzza
3. Syaima' binti Harith bin Abdul 'Uzza
4. 'Aisyah binti Harith bin abdul 'Uzza

dan ada pendapat lain menyebutkan tambahannya seperti :

1. Anisah binti al-Harith
2. Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harith

Apa yang saya nukilkan tadi adalah sedikit ringkasan berkaitan dengan apa yang telah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, khususnya dalam fasa awal kehidupan baginda.

IBU SUSUAN

Mendapatkan susu ibu adalah usaha terbaik ibu bapa kepada anak-anak. Huraiannya cukup banyak dalam pelbagai laman web mahupun hasil tulisan.

Perkara yang semakin lama semakin terpinggir adalah konsep ibu susuan. Malah yang tinggal adalah kerisauan, bukannya semangat dalam meneruskan tradisi ini. Alasan yang kerap didengar adalah risaukan perkahwinan tidak sengaja antara sesama saudara susuan, dan ini sebenarnya boleh di atasi dengan sistem rekod kekeluargaan yang baik dan hubungan silatur ar-rahiim yang baik antara kedua-dua keluarga.

Menyentuh tentang isu ibu susuan, terdapat syarat-syarat tertentu yang membolehkan anak yang disusui ini menjadi anak susuan (mengharamkan perkahwinan). Antaranya :

1. Susu adalah daripada perempuan dan beliau adalah anak Adam. Gadis, isteri orang mahupun janda tidak jadi persoalan.

2. Susu yang diminum sampai ke usus tidak kiralah caranya melalui buah dada mahupun botol susu. Ini bagi menepati konsep susuan itu menumbuhkan daging dan tulang anak itu.

3. Penyusuan berlaku melalui mulut ataupun hidung, maka tidak termasuk dalam kategori ini jika diberikan melalui salur IV atau dicurahkan terus ke halkum dengan lain-lain cara dan lain-lain rongga seperti telinga, mata qubul atau dubur.

4, Susu tidak bercampur dengan bahan lain. Jika tercampur bahan asing itu (air, susu tepung) dan sebagainya pada kadar lebih banyak, maka tidak berlaku pengharaman perkahwinan.

5. Penyusuan adalah semasa kecil dan anak itu umurnya kurang dari dua tahun ketika disusui. Lebih sehari daripada umur itu, maka tidak lagi dikira. Jadi tidak timbullah isu menjadi saudara susuan sekiranya yang menyusu itu lebih daripada umur 2 tahun. Lebih-lebih lagi sudah berusia puluhan tahun.

6. Penyusuan adalah lima kali atau lebih dan setiap satunya membawa kepada kenyang/puasnya bayi itu. Jika terhenti atas sebab bertukar botol, atau menangis, atau pada kadar masa yang secara adatnya (mengikut umur dan kebiasaan) bayi itu belum menunjukkan dia puas, maka ia masih termasuk dalam kiraan satu kali susuan. Menurut Imam Malik, penyusuan ini mestilah berterusan selama 2 tahun, namun pendapat ini tidak dikongsi oleh Imam yang lain.

*Ringkasan : al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh


UPAH SUSUAN

Bapa yang bertanggung jawab memberikan nafkah kepada anak, maka perlu ditawarkan atau ditanyakan kepada ibu susuan itu kadar upahnya. Jika ibu susuan merelakannya, ia adalah sedekah atau hadiah kepada keluarga itu dan ini tidak menjejaskan status beliau sebagai ibu susuan asal mana syarat di atas dipenuhi.

Memilih ibu susuan adalah sebahagian daripada juzu’ muamalah dalam Islam. Tiada peraturan khusus, namun memandangkan ia akan menjadi darah daging anak itu, maka beberapa perkara perlu dipastikan:

  • Keredhaan suami kepada bakal ibu susuan. Dalam hal ini, jika diandaikan emak kepada ibu susuan itu rela, tetapi suaminya tidak rela, maka calon ibu susuan itu tidak berhak meneruskan tawarannya.Syurga seseorang wanita setelah berkahwin telah berpindah kepada keredhaan suaminya.
  • Keturunan dan latar belakang ibu susuan.
  • Kemampuan dan kesihatan bakal ibu susuan itu.
  • Dapat memastikan talian kekeluargaan yang bakal terjalin dapat dipelihara dan direkodkan,terutamanya pada zaman serba canggih ini yang mana lelaki dan perempuan mempunyai potensi berkenalan di mana-mana juga tanpa diketahui oleh ibu bapa. Ini menimbulkan potensi berkenalan dengan cabang saudara susuan sendiri tanpa sedar.

Banyak lagi bidang berkaitan dengan konsep dan praktis ibu susuan ini, dan saya belum menyentuh lagi tentang susur galur keluarga susuan yang diharamkan berkahwin dan hukum-hukum sekitarnya jika sesuatu pasangan terlepas pandang dan berkahwin dengan saudara susuan. InsyaAllah di lain masa.

Wallahua’lam

11 comments:

BanjarRakai said...

Quote:

5. Penyusuan adalah semasa kecil dan anak itu umurnya kurang dari dua tahun ketika disusui. Lebih sehari daripada umur itu, maka tidak lagi dikira. Jadi tidak timbullah isu menjadi saudara susuan sekiranya yang menyusu itu lebih daripada umur 2 tahun. Lebih-lebih lagi sudah berusia puluhan tahun.

End quote.

Hahahaha...

abu nufayl said...

at least I know you went through the whole article... put aside my suspicious mind on how you found it out.. hehe..

Erin Adzmi said...

Assalamualaikum,

Puan yang dirahmati,Bolehkah kiranya saya mahu minta kebenaran untuk share info berkenaan Ibu susuan ini...

abu nufayl said...

Wa'alaikumussalam, maaf lambat. Mewakili Ummu Nufayl, insyaAllah, silakan.

Anonymous said...

salam,bagaimana hukumnya jika seseorg itu mnjd ank susuan kpd org bkn islam? dan situasi kedua pula,bagaimana hukumnya jika ibu susuan murtad? bg kedua2 situasi,adkh mereka msih setaraf ibu susuan?

mamamanis said...

salam tuan... apakah hikmahnya mempunyai ibu susuan? mesti ada hikmahnya kan. sebagai ibu, saya sangat berminat dengan tajuk ni, terutama sekali buat para kawan yang dianugerahkan susu yg terlalu banyak hingga xterminum anaknya. mungkin saya boleh syorkannya cari anak susuan

abu nufayl said...

1. ...menyusu kepada perempuan bukan Islam. Hukumnya susu itu dan susuan itu halal. Namun objektif mendapatkan ibu susuan adalah untuk mendapatkan pelbagai kebaikan daripada ibu susuan itu. Ini merangkumi khasiat nutrisi, juga akhlaq dan agama mereka. Kerana susu ini bakal menjadi darah daging, maka utamakanlah perempuan Muslimah yang terjaga kesihatan dan imannya untuk dijadikan ibu susuan.

2. Masyarakat arab pada masa lampau mencarikan anak-anak mereka ibu susuan kerana faktor penolak seperti keadaan persekitaran tempat tinggal ibu kandung itu kurang sesuai untuk perkembangan fizikal anak-anak mereka, atau ibu-ibu yang tidak berkemampuan membekalkan susu secukupnya kepada anak mereka sehingga umur yang dikehendaki. Juga disebabkan oleh faktor penarik ibu susuan yang tinggal di kawasan yang tenang dan segar persekitarannya, serta kebaikan keturunan dan akhlaq ibu susuan tersebut.

Ia applicable buat masa ini, khususnya jika wujud faktor penolak dan penarik yang sama. Cuma yang perlu diambil perhatian dan makluman ialah, sekiranya ibu itu mampu menyusui anaknya sendiri dan berasa was-was tentang bakal ibu susuannya, pada zaman ini, lebih baiklah si ibu menyusukan sendiri anaknya..

Bagi yang ingin menjadi ibu susua pula, manfaat yang jelas adalah ia merupakan sedekah yang bakal menjadi darah daging yang mana manfaatnya diperoleh oleh kedua-dua pihak, baik si ibu susu mahupun si anak. Bayangkanlah kita menyedekahkan sesuatu dan ia bertukar menjadi darah daging si penerima. Pahalanya berterusan.

Cuma pastikan bakal ibu susu ini mengetahui dengan jelas hukum hakam di sekitar penyusuan. Takut nanti ada yang terlupa menyediakan susur galur / salasilah keluarga, kelak terkahwin anak-anak kita dengan anak-anak susuan tanpa disedari. Mungkin ketika masih hidup ia boleh dipastikan, tetapi andaikata 20-30 tahun akan datang, siapa tahu apa akan berlaku. Persiapkanlah dari segala aspek. Baik fizikal, mahupun hukum hakamnya..

Wallahua'lam

mdmlala said...

puan minta share link puan ye..
tq

Anonymous said...

Sebelum 2 tahun...adakah bayi itu hanya minum susu ibu atau boleh makan makanan lain?

Unknown said...

Apakah hukum bagi anak sendiri menikahi anak susuan yg bukan islam? Ibu susuan muslim memberikan EBM kepada anak bukan Muslim. Kemudian, anak susuan yg bukan muslim mahu menikahi anaknya yg muslim

Abu Nufayl said...

1. boleh kedua-duanya. taraf susuan tidak bergantung bayi itu makan makanan lain atau tidak. ia bergantung kepada peyempurnaan penyusuan

2. Haram anak ibu susuan menikahi adik beradik sesusuan. Tetapi halal jika beliau mengahwini adik beradik kepada adik/abang/kakak susuannya, dengan syarat mereka bukan anak susuan ibunya.

3. Bukan Islam samada sesusuan atau tidak, tetap haram dikahwini oleh orang Islam.