TEH SUSU!
Malaysia, sebuah negara demokrasi. Dan juga diperakui sebagai sebuah negara Islam. Oleh itu, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi Islam. Baca - demokrasi cara Islam. Rasanya itu definisi ideal Malaysia, menurut persepsi pemerintah yang amat dicintai. Lupa tambah, demokrasi Islam Hadhari..
Maka, prinsip demokrasi dalam negara Islam hadhari ini perlulah selari dengan prinsip Islam. Seperti teh dan susu. Jika minum teh, lain rasanya. Minum susu lain pula rasanya. Jika mahu dicampur teh dan susu, perlulah menerima rasa air yang bernama teh susu, bukan hanya teh, bukan hanya susu. Mudah bukan?! ..
Mari kita lihat teh susu di Malaysia. Maaf.. demokrasi negara Islam hadhari ini.
Perlu kita ceritakan tentang demokrasi? Ramai di sini ahli sejarah, jadi tidak perlulah kita ulang fakta-faktanya secara keseluruhan. Sekadar ulangkaji, jika ingin merujuk. Bermula tahun 1215, lahirnya Magna Charta Libertatum, bagi mengelakkan perang saudara antara raja dan bangsawan (baca, ADA MOTIF PERSONAL), seterusnya bermacam lagi fahaman dari puluhan malahan ratusan ahli falsafah seperti Locke, Spinoza, Voltaire, Montesquieu dan Rousseau dan John Stuart Mill maka, kemudian dengan pelbagai peristytiharan seperti oleh Declaration of Independence oleh Thomas Jefferson dan seterusnya pendek cerita satu ketika muncullah pula Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948 di Palais de Chaillot, Paris, Perancis.
Apa yang menarik, UDHR mengandungi 30 artikel yang digariskan PBB (dibaca: pihak yang menang Perang Dunia II). Dan pada ketika yang sama ketika itu, negara-negara Islam kebanyakannya masih lagi dijajah barat, lantas penerimaannya di kalangan negara-negara yang masih dijajah amat sinis.
Ketika itu pun sudah kelihatan, cakap tak serupa bikin di peringkat antarabangsa. Mentang-mentanglah menang perang. Pada masa yang sama diisytiharkan UDHR, pada masa yang sama mereka masih menjajah. Coraknya serupa di mana-mana. Bila-bila masa. Eh, hai-hati bila menulis!..
Negara Amerika adalah antara yang mendaulatkan prinsip demokrasi. Samalah seperti Malaysia. Cuma kita demokrasi berpelembagaan. Yang mana demokrasi berpandukan dan berteraskan perlembagaan. (atau kadangkala demokrasi memimpin perlembagaan? - mungkin saya kurang arif dengan definisi ini - saya bukanlah budak sejarah, politik, ekonomi atau falsafah dari Oxford!)
Balik cerita asal, seterusnya wujudlah pelbagai senario menarik di negara Islam ini. Jika dilihat pada prinsip Islam yang mendaulatkan Ilah, pastinya Allah penentu segala segala macam disiplin, peraturan dan perlembagaan. Allah hakim yang Maha Tinggi. Tiada jenis perlembagaan boleh memodifikasi ketetapan hukum Allah. Contohnya jika kategori hudud, hududlah. Qishas, maka qishaslah!. Jangan pula semuanya didefinisikan sebagai dalam bab ta'zir, hanya kerana alasan kita berbilang kaum. Macamlah zaman Nabi tiada kaum dan agama lain. Tapi baguslah, Malaysia, sebuah negara Islam, masih menghormati semua ini. Baguslah. Kan?
Mendaulatkan dan mentauhidkan Allah tidak semestinya menunjukkan Islam tiada sistem kepimpinan yang mantap. Prinsip musyawarah ada untuk diamalkan. Suara ramai masih lagi berpaut pada ketetapan Allah dan Rasulnya. Dalam negara musyawwarah, pemerintah wajib bermusyawarah dengan rakyatnya ; rakyat pula wajib bermuhasabah terhadap pemerintahnya. Barulah NGAM! ..
Di Malaysia, amat bagus, kerana sentiasa ada musyawarah di dalamnya. Contohnya jika rakyat DIRASAKAN berbuat salah, khususnya terhadap pemerintah, maka mereka dijemput ke lokap beberapa hari untuk bermesra dengan pemerintah dan penguasa. Jika didapati tidak bersalah, maka murah hatinya mereka dibebaskan. Itulah indahnya hubungan antara rakyat dan pemerintah. Saya gembira dengan keadaan ini. Sebab itulah saya yakin bila ada kata-kata
"kita tidak akan menyekat penulis-penulis blog, tetapi mereka mestilah bertanggung jawab atas tulisan mereka".
Definisi 'bertanggung jawab' ini harapnya dibuat dengan bertangungjawab. Jika tidak, munafiklah mereka ini. Bukan saja nak kata, tapi telah terbukti dalam sejarah. Merujuk kepada satu zaman lampau, Socrates telah dikenakan hukuman mati atas tuduhan meracuni pemikiran pemuda-pemudi Athens. Beliau dikatakan mengajar (baca : Rujuk Akta Hasutan 1948 dan/atau Akta Rahsia Rasmi 1972) pemuda-pemudi ini untuk bertanya-tanya. Kerajaan Athens gusar keadaan ini akan membawa kepada mempersoalkan kekuasaan mereka. Akhirnya dengan kematian Socrates, pemuda-pemudi Athens akhirnya ditakut-takutkan untuk terus berbuat demikian. KONONNYA!. Kebebasan bersuara dikawal oleh ketakutan. Perlu diingat, Athens kuno adalah yang terawal menggunapakai amalan demokrasi tulen! ..
Hadis Ma'qil bin Yasar r.a:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang ditaklifkan oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan ke atasnya Syurga
Sahih Muslim
Bila berbual dengan rakan-rakan 'lain' tentang keadaan ini, mereka mengatakan kita terpaksa menerima keadaan ini, dan jangan terlalu ideal. Kerana kita bukanlah negara Islam tulen. (Islam tidak tulen?, pulak!!). Dihujannya lagi, bukan Rasulullah, atau para sahabat agung yang memerintah kita sekarang. Pasti (dibaca : CONFIRM 200%) ada kelemahan. Kerana kita negara demokrasi, bukan syura. PULAK! .. Teh ka susu ni...?
Daripada kenyataan rakan tersebut, saya rujuk pula kes-kes di negara yang mendaulatkan demokrasi. Antara pengisian demokrasi mereka pula ialah :
"But what should the government do in cases where the news media or other organizations abuse freedom of speech with information that, in the opinion of the majority, is false, repugnant, irresponsible, or simply in bad taste? The answer, by and large, is nothing. It is simply not the business of government to judge such matters. In general, the cure for free speech is more free speech. It may seem a paradox, but in the name of free speech, a democracy must sometimes defend the rights of individuals and groups who themselves advocate such non- democratic policies as repressing free speech. Citizens in a democratic society defend this right out of the conviction that, in the end, open debate will lead to greater truth and wiser public actions than if speech and dissent are stifled."
U.S. Department of State's Bureau of International Information Programs
Saya rasa kita sudah mula keliru. Jadi apa prinsip yang sebenarnya kita ikut? Kepala ular, tubuh manusia? Atau kepala manusia tubuh buaya? Apa namanya haiwan ini? Teh ka, susu ka? Teh susu? pun bukan. Tsu? Hsu? Tu? Haha.. ups.. Jaga akhlaq...!
Saya hanya berbicara dari ruang lingkup mikro sahaja dulu. Hanya salah satu elemen demokrasi. Dan dibandingkan dengan satu elemen kecil syura. Sudah nampak kekelabuannya. Dan syarat-syarat menjadi Imam, mestilah sempurna bacaannya. Pemimpin mestilah sempurna fikirannya. Pemandu mesti terang penglihatannya. Jika Imam tak betul sangat tajwidnya, pemimpin tidak fokus pegangannya, dan pemandu kelabu penglihatannya, pergilah buat langkah pembetulan terlebih dahulu. Atau jika degil kepalanya tidak mahu, biarkanlah mereka menjadi Imam, pemimpin dan pemandu berseorangan. Syok sendiri! Sebagai pengikut, tidak semestinya prinsip You Jump, I Jump - Titanic perlu diamalkan selalu. Ini kerana ; sabda Rasulullah SAW,
قوله صلى الله عليه وسلم : ( لا يلدغ المؤمن من جحر واحد مرتين
"Janganlah seseorang Mukmin itu terjatuh ke dalam lubang yang sama dua kali"
HR Abu Hurairah
Bertitik tolak daripada itu, marilah kita sama-sama membantu menyelesaikan kekeliruan ini, agar tidak diwarisi oleh generasi yang akan datang. Caranya jelas. Masanya juga kian hampir! ..
Dan satu lagi pesanan, janganlah dibuka ruang untuk kita diperangkap. Patuhilah adab dan kaedah yang telah disarankan Islam yang sempurna sifatnya ini, jika ingin berdebat atau berdiskusi. InsyaAllah, selamat dunia akhirat. Lillahi Ta'ala.
Ingat prinsip teh dan susu. Dan jika teh susu pula, janganlah susunya masam!!
Hingga ketemu lagi! ..
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment