Saturday, August 28, 2004

Bisik Rasa Seorang Hamba

Lama sungguh menyepi.
:) Hidup jarang sekali sepi.
Hidup di dunia fana' ini seringkali jenuh dengan mehnah, penuh dengan karenah. Hidup di muka bumi Allah ini selalunya kita dihimpit bahagia, atau kita longgar dengan derita.

Kandunganku kini telah mencecah 37 minggu. Bayiku sudah melepasi tahap matang bayi - minggu ke-36. Menanti detik-detik ke minggu 40. Atau mungkinkah lebih awal? Sabar kian nipis. Ingin sekali kutatap wajahnya. Zuriatku dan suami. Sempatkah aku?

Seringkali, Allah menoktahkan DUA dalam hidup kita.
Sihat atau Sakit!
Bahagia atau Derita!
Hidup atau Mati!

Sahabat,
andai pengakhiranku di hujung juang itu...maafkanlah dosaku padamu. Andai ada hutangku yang terlumut di kaki waktu...tuntutlah segera, ingatkan aku! Andaikata ada janji yang belum lunas di layang khabar fana' semasa hidupku...maafkanlah aku.
Doakanlah aku mendapat yang terbaik dalam kehidupan kekal di 'sana'....

Doaku kini, andaikata akhirku di situ. Juangku kepada syahid...doa diredha semua. Anakku, andai tidak sempat kumelihat wajahmu...senyumlah dan bisikkan doa buatku. Moga Abahmu akan berjaya mendidikmu menjadi anak yg soleh/solehah...itu saja hartaku. Suamiku, andai aku gugur...ingat pesanku selalu. Berkahwinlah, itu fitrah yg dikurnianya. Berkahwinlah, jika itu mampu mengelakkan fitnah dunia. Tapi, biarkan aku di situ. Di satu sudut hatimu. Terima kasih kerana tidak melupuskan aku drp jiwamu.

Andai...
Bahagia yang menanti kita,
kudoa itu bahagia yang diredhaiNYA.
Bahagia yang sentiasa mendapat barakahNYA.
Kudoa, agar zuriat ini penyambung warisan ilmumu suamiku.
Kudoa, agar zuriat ini pejuang yang segar dengan istiqomah.
Kudoa, agar zuriat ini penyatu hati-hati insan yang kusayang.
Suamiku,
Tugas kita besar, untuk kita junjung bersama.
Mendidik amanah Allah.
Sementara nafas dipinjamkanNYA kepada kita.

Antara DUA itu,
SATU pasti menemuiku.
Yang mana? Aku tak pasti aku sudah bersedia atau tidak.
Yang aku pasti, aku cuba sedaya upaya.
Moga DIA membantu aku dan suamiku menghadapi detik-detik ini.
Detik yang gembira pastinya.

Melihat wajah...anakku!
:)


~~~
Hany FF
12 Rejab 1425 H
28 Ogos 2004 M

No comments: