Bismillahi Walhamdulillah Wassolaati Wassalaamu 'ala Rasuulillah.
Meramal kepastian apa yang bakal berlaku pada hari esok adalah salah satu daripada perkara mustahil yang boleh kita lakukan. Jangankan hari, jam, minit, saat seterusnya juga tidak dapat diramalkan oleh kita. Malah huruf seterusnya yang mungkin timbul setiap kali kita menaip papan kekunci pun tak dapat kita pastikan apa yang bakal keluar. Tersilap tekan, R jadi T, S jadi D dan begitulah seterusnya. Hanya Allah Maha Penentu dan Penunai Taqdir.
Setiap kali menuruni tangga kita pasti berhati-hati dengan langkah kita agar tidak tergelincir. Setiap kali kita melahirkan perasaan kita sejauh mana kita berfikir untuk memastikan orang lain tidak terpukul dengan perbuatan kita itu?
Saya selalu beringat hatta tatkala terlalu marah sekalipun, perlu dibuat pertimbangan, adakah marah itu mendidik ataupun hanya nafsu marah. Marahkan anak kecil, adakah kerana salahnya atau kerana sayangnya kita agar dia tidak mengulanginya ketika besar? Marahkan pasangan, adakah kemarahan itu boleh mengundang senyuman kita jika beliau meninggalkan kita esok hari?
Kadangkala kita lupa, respon yang kita berikan lebih banyak merosakkan diri kita dan orang yang kita sayangi di kemudian hari. Baik dari segi emosi mahupun mental.
Saya pernah bertemu balu yang tidak ingin berkahwin lagi selama berbelas tahun kerana tidak sanggup 'mengkhianati' kasih arwah suaminya. Dan duda yang tidak ingin mencari isteri baru hanya kerana tidak tega teringkatkan wajah isteri yang telah bertahun meninggalkannya. Semua ini adalah hasil semaian yang baik, walaupun kelihatan melampau pada sesetengah pihak.
Bukanlah tidak kahwin atau kahwin lagi yang menjadi isunya. Kahwin baru itu tiada salahnya, malah ia adalah sunnah, tetapi sebab tidak mahu berkahwin itu yang menjadikannya klasik dan sentimental nilainya.
Namun jangan lupa ada juga kita bertemu pasangan yang telah pun berdoa berharap agar dijodohkan suami atau isteri lain di akhirat kelak dan bukannya suami atau isterinya di dunia. Ini juga salah satu contoh ekstrem kegagalan penyemaian benih kasih sayang dalam ikatan kekeluargaan.
Bukanlah saya ingin mencoret terlalu panjang, tetapi renung-renungkanlah, saban hari, ada anak melambai kepulangan bapa, kurang 3 minit kepalanya pecah dipijak kereta bapanya sendiri yang mengundur tanpa disengajakan. Seorang isteri yang mencium dahi suaminya pada jam 7.30 pagi di pintu rumah, dan jam 4 petang mencium dahi JENAZAH suaminya itu yang kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja. Kita juga ketemu kisah suami mencium pipi isteri di pintu pejabat pada paginya, dan pada malamnya hanya tersandar di dinding melihat jenazah isteri yang mati mengejut akibat serangan jantung.
Semalam yang indah tidak semestinya menjamin kenangan yang manis pada keesokan harinya. Apatah lagi jika hari sebelumnya adalah hari yang teruk, dahsyat, penuh dengan kebencian, pergaduhan, amarah dan sindiran ; Adakah kita mampu menanggung sesalan, jika yang tersayang tidak kembali lagi untuk kita belainya seperti biasa?
Semailah benih kemanisan setiap hari, agar rasanya kekal berbekas manisnya itu walau dalam kepahitan taqdir.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment