Tuesday, January 31, 2012

Cukupkah Deposit dalam Rumah Tangga Kita?


Sebagai suami kita mungkin tertanya-tanya kenapa isteri kita tidak lut walau dimarah macam mana sekalipun. Paling tidak mereka menangis, dan kemudian mengulang balik apa yang tidak kita sukai. Begitu juga si isteri, kerap merungut apabila suami tidak ‘lekat nasihat’. Mungkin ingat sehari dua, tetapi kemudian mengulang tabiatnya yang pernah kita sebagai isteri larang berkali-kali.Dan hanya senyum bila dileteri buat kali ke 978.

Dalam bahasa saintifik, ia dipanggil ‘immune’. Dalam bahasa mudah, ia dikenali sebagai mangli. Ia agak merimaskan, tetapi kenapa dalam rimas itu kasih sayang tetap berkekalan? Malahan apabila diusik, diagah, pasangan yang sedang geram kembali senyum dan tergelak? Inilah besarnya peranan DEPOSIT EMOSI dalam rumah tangga.

Sahabat sekalian, jangan sesekali memandang remeh terhadap deposit emosi ini. Bunyi sangat mudah, tetapi memerlukan keazaman dan usaha yang tidak pernah kenal lelah untuk memastikan keberkesanannya. Seperti sebuah bank, diri manusia sentiasa menerima deposit dan juga membuat pengeluaran simpanan tersebut dari semasa ke semasa. 

Setiap kali perilaku kita bersifat positif dan melapangkan hati pasangan kita, ia akan menambah ‘baki akaun’ emosi ini di dalam diri pasangan kita. Bertambah banyak simpanannya, bertambah disayangilah kita. Dan setiap kali perilaku kita bercorak negatif walaupun pada kita merasakan ianya positif, ia akan mengurangkan baki akaun tersebut tanpa disedari, dikenali sebagai pelaburan negatif. Ingat, yang penting bukan apa yang kita rasa, tetapi apa yang pasangan itu tafsirkan bakal menjadi penentu nilai simpanan ini. 

Yang tersebut di atas adalah separa teori. Bagaimana dengan praktisnya? Apa yang bakal menambahkan simpanan kita?  Pengalaman saya ia dikategorikan (secara relatif) seperti berikut :

  1. Ketaatan nilainya = + 1. Ia adalah kebiasaan.
  2. Melakukan perkara yang disukai beliau atau Mengelakkan melakukan perkara yang tidak disukai = +2
  3. Mengelakkan melakukan perkara yang tidak disukai yang telah dinyatakan beliau bahawa perkara itu tidak disukai = +3. Kenapa lebih banyak? Kerana ia adalah 1 + 2
  4. Membahagiakan dan meraikannya di hadapan rakan dan tetamu = +4
  5. Meraikannya di hadapan keluarga = +3. Kenapa kurang dari empat? Ini perlu dilihat dari aspek ‘self esteem’ beliau di hadapan keluarga biasanya sudah terbina dari awal, berbanding self esteem beliau di hadapan rakan dan tetamu asing.
  6. Memberikan beliau perkara yang disukai  dari pemerhatian kita (elemen kejutan)= +5
  7.  Memberikan beliau perkara yang disukai yang beliau nyatakan keinginannya = +7. Kenapa lebih? Ia kerana ia berbentuk ketaatan + meraikan + memberikan kesukaannya.
Dan banyak lagi berdasarkan pengalaman hidup masing-masinglah.

Bagaimana pengeluaran simpanan boleh terjadi?
  1. Tidur ketika pasangan meluahkan perasaan = -0.5
  2. Acuh tidak acuh, kurang inisiatif = -2
  3. Kurang inisiatif, lupa walaupun sudah diberitahu berkali-kali tanpa ada usaha merekodkan dengan baik apa yang dinyatakan = -3
  4. Menyatakan matlamat melakukan sesuatu perkara yang tidak benar-benar merupakan matlamat perkara itu dilakukan dan ia disedari oleh pasangan = -3
  5. Memalukan beliau di hadapan pihak ketiga = -4
  6. Menerjah masuk ke ruang peribadi dan dominasi tanpa meminta izin = -4
  7. Melibatkan pandangan dan campurtangan pihak ketiga dalam urusan membuat keputusan berkaitan rumahtanggan dan anak-anak = -6
  8. Curang dan menipu yang akhirnya diketahui = Infiniti – Total Loss
 Dan banyak lagi. Ia sebagai contoh. Dan nilai itu juga sebenarnya relatif. Sekadar imaginasi saya.Tuan puan semaklah apa sebenarnya yang boleh dijadikan nilai tambah dan nilai tolak dalam rumah tangga masing-masing. Lokaliti berbeza, pendekatan juga lain.

Apa yang ingin ditekankan sebenarnya adalah, sentiasalah menambah simpanan akaun emosi ini dalam diri pasangan masing-masing ketika ada ruang. Walaupun ia kadangkala me’luka’kan dan menjerut hati dan perasaan sendiri.Simpanan yang banyak menghasilkan DIVIDEN yang mengujakan. Dan iya, mungkin dividen itu adalah hadiah hari jadi yang tidak disangka-sangka, pakej bulan madu kali kesembilan, mahupun galaksi bima sakti diletakkan di atas riba kita oleh sang pasangan (lukisan mungkin)... :)

Juga, kita tidak tahu bila kita akan benar-benar memerlukan ‘simpanan’ ini. Malah jangan terkejut, jika perceraian boleh berlaku apabila tahap simpanan berada pada nilai kritikal. Ketika itu perkara buruk sahajalah yang akan timbul. Tiada lagi kebaikan. Semuanya diungkit dan dicemuh. Perkara ini sering kita lihat dalam kes-kes pergaduhan serius rumah tangga.

Dan percayalah, jika simpanan mencukupi, walau bagaimana hangat sekalipun sesuatu krisis yang berlaku dalam rumah tangga, ia tidak akan mencecah ke tahap pukul memukul atau lebih dahsyat lagi perceraian. Kerana apa? Jawapannya, setiap kali pasangan ingin terlanjur menyakiti atau meninggalkan pasangannya, ikatan emosi, nostalgia akan membantu meredakan amarah dan hasutan syaitan.

Melaburlah dari awal dan tanpa rasa jemu. Agar kita ada ‘cagaran’ yang benar-benar utuh jika ditaqdirkan suatu hari nanti krisis besar menjelma dalam rumah tangga kita. Jangan terlalu yakin dengan kebahagiaan masa kini. Ujian Allah boleh datang bila-bila masa dan dalam pelbagai keadaan. 

Pejamkan mata, bayangkan pasangan anda kini telah berpisah dengan anda atas sesuatu sebab, dan dipimpin tangannya oleh pasangannya yang baru dengan penuh bahagia, namun matanya melirik memohon sesuatu dari anda. 

Apakah perasaan anda merenung situasi ini? Itu asas mudah menilai nilai tabungan tuan/puan hari ini.
Kisahkah kita? Muhasabahlah rumahtangga kalian. Belailah ia dengan iman dan tawakkal pada Allah SWT.

Wallahua’lam.

3 comments:

imin said...

awat "Tidur ketika pasangan meluahkan perasaan = -0.5 ". 0.5 je? hahaha. tau la abg biase buat :D

aida said...

Nice article ustaz ;)

Ummu Muhammad said...

masha Allah Saya sgt suka artikel ini