Wednesday, July 23, 2008

Sirah Pembenteng Jiwa : Menelusuri Era Fitnah dan Kecelaruan


Salamullah alaikum, Salam sejahtera.

Saya terkesan, sebak dan pilu bila menelusuri dan menghayati sirah tahun ke 36 hijrah ; yakni saat-saat genting Islam suatu ketika dahulu. Dengan ijtihad yang jelas dan tegas, wanita yang terkenal dengan kelembutan, kesopanan dan kesederhanaannya keluar dari tempat tinggalnya menuju ke Basrah. Setelah beberapa peristiwa demi peristiwa di pertengahan jalan dan beberapa pertempuran berlaku antara kedua-dua pihak (Saidatina A'isyah dan Saidina Ali - panjang untuk diperincikan di sini), di pertengahan jalan Ummul Mukminiin A'iesyah, Talhah dan Zubayr telah pun sudi bertemu dengan al-Qa'qa', utusan Amiirul Mukminiin Saidina Ali Karramallahuwajhah r.a..



Satu muzakarah dibuat dan Ummul Mukminiin, Talhah dan Zubayr telah pun menyambut baik cadangan pelan damai yang dikemukakan. Pada masa yang sama menjunjung prinsip asas yang menjadi faktor kedatangannya 'bertemu' pasukan Saidina 'Ali yakni mendapatkan keadilan terhadap peristiwa pembunuhan Saidina Uthman al-Affan. Pembunuh Khalifah ke 3 mesti ditangkap dan diadili, dan 'pertembungan' ini akan berakhir. Inilah ketegasan dalam berijtihad yang dipegang erat oleh kecintaan Baginda S.A.W ini. Teman hidup yang pernah bersama Rasulullah dalam ruangan berukuran 12 x 12 kaki, dengan dinding dan atap rendah dari batang pelepah kurma, ditabiri secarik kain. Juga antara insan yang tidak pernah punyai lebihan wang dan makanan sehingga ke keesokkan harinya kerana kelembutan hatinya yang tidak tega melihat kesusahan orang lain.


Di pihak Saidina 'Ali, penegasan dibuat bahawa keadilan akan tertegak, dan memohon pihak Saidatina A'isyah memberikan bai'ah dengan redha dan bersabar sehingga keadilan tertegak. Cuma masanya pada ketika itu, umat Islam masih dalam keadaan kebingungan dan huru-hara selepas kewafatan Saidina Uthman. Terdapat perpecahan yang jelas, dan usaha menangkap kumpulan yang terbabit dengan pembunuhan tersebut berpotensi menimbulkan perpecahan dan pergeseran serius antara umat Islam ketika itu. Itulah pula kewarasan dan kebijaksanaan Khalifah Islam ke 4 ketika itu.

Dan sedikit tempoh masa dipinta, disertakan dengan komitmen terhadap janji yang dimateri. Janji yang pasti akan dipenuhi, sebagaimana teguhnya hati Baginda suatu tempoh masa dahulu untuk menempati ruangan tidur Rasulullah SAW, menunggu senjata tajam menghunjam perut dan dadanya hanyasanya ingin menyelamatkan Rasul Agung dari ancaman puak kuffar.

Muzakarah dan musyawarah berakhir, utusan pulang, menemui Khalifah, pasukan tentera Amiirul Mukminin itu juga turut berangkat ke Basrah, dan pertembungan antara tentera kedua-dua pihak berlaku dalam suasana serius tetapi damai pada hari yang tersebut.

.... “Orang-orang pun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Uthman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka.


Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!” Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?”


Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!” Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad ‘Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]

Maka tercetuslah Perang Jamal. Mengorbankan (menurut beberapa pendapat yang berlainan dan ada yang berbeza) sepuluh ribu umat Islam. Termasuklah Talhah dan Zubair r.anhuma di pihak Ummul Mukminiin.


Bagaimana kita lihat, bukannya perang yang diniatkan oleh kedua-dua manusia agung ini. Walaupun ada pengikutnya yang melihat sedemikian.

Dan tingginya thiqah dan wala' Thalhah dan Zubair serta pengikut lain terhadap Ummul Mukminiin, serta Ammar bin Yasir sahabat-sahabat lain terhadap Ammirul Mukminin Ali r.a.

Sedangkan masing-masing mengetahui 'Panglima' pasukan yang bakal 'dihadap' itu adalah manusia agung yang punyai kredibiliti tersendiri. Yang lebih teguh dari sesiapa jua yang lain di dunia ini dalam menegakkan dan mempertahankan Islam dan Rasulnya walaupun hingga ke peringkat titisan dan tumpahan darah dan jiwa.

Cuma kekacauan dan kecelaruan yang dicetuskan oleh SYAITAN MANUSIA seperti Shurayh ibn Awfa' dan Abdullah bin Saba' akhirnya memerangkap kesucian dan kesetiaan mereka. Mencetuskan pertembungan yang tidak perlu. Dan akhirnya menjadi rentetan perpecahan dan fitnah yang seterusnya sehingga ke hari ini.

Dan sekarang kita dilanda dengan zaman fitnah era baru. Kita tidak tahu siapa yang benar dan siapa yang salah. Yang kita tahu, kita ada pimpinan yang perlu diberikan wala' dan thiqah kita kepada mereka. Kerana kita tahu mereka lebih daripada diri ini ; sayang dan kasih kepada jamaahnya. Perbezaan pendapat yang digembar-gemburkan seolah-oleh satu tsunami mungkin sebenarnya hanya perbezaan ijtihad furu' yang tidak melonglaikan aqidah perjuangan Parti Islam SeMalaysia.


Asalmana kita boleh memberikan panduan dan peringatan terhadap campurtangan dan fitnah syaitan manusia yang makin mengganas sekarang, panjatkanlah tangan dan tadahilah tangan memohon rahmatNya. Belum terlambat untuk kita melakukan apa jua tindakan yang berhikmah dan difikirkan perlu. Dan ingatlah ‘keperkasaan’ sebenar para sahabat ini adalah, walau dalam suasana perang sekalipun, sabda Rasulullah menjadi kata putus bagi segala tindakan.

Ketika senjata bertemu antara 2 sahabat yakni Saidina 'Ali dan Zubayr al Awwam, sabda Rasulullah telah mencegah pertumpahan darah antara keduanya. Begitu juga setelah Zubayr melihat Ammar bin Yassir turut serta dalam pasukan Saidina 'Ali, beliau teringat tentang sabda Rasulullah SAW kepada Ammar,

"Wahai Ammar, ingatlah, pada suatu hari engkau akan diperangi (dari pihak Islam sendiri) yang menjadi penderhaka dalam kerajaan Islam" ...


maka beliau (Zubayr) berundur dari medan perang namun dibunuh di sebuah kawasan oleh Amru ibn Jarmuz ketika tidur di Wadi al Siba'.


Talhah pula terkorbah setelah dipanah (oleh Marwan bin Hakam), terkena kakinya lalu melekat pada kudanya dan kuda tersebut menggila hingga beliau akhirnya kehilangan terlalu banyak darah, lemah dan akhirnya wafat.


Dan, sahabat-sahabat sekalian ingatlah, di penghujung episod peperangan, Saidatina A'isyah menghulurkan kitab al-Quran kepada qadhi Basra (Ka'b ibn Sawwar) sebagai isyarat kepada bala tenteranya berdamai, namun puak Abdullah bin Saba' si munafik terlihat dan dipanahnya Ka'b, menyebabkan isyarat itu tenggelam begitu sahaja.
Hinggalah suatu ketika yang sudah tidak tertahan lagi, Ummul Mukminiin mengangkat dan menadah tangannya ke langit dengan doanya memohon agar pembunuh Uthman dihapuskan diikuti oleh bala tenteranya, didengar pula oleh Saidina 'Ali dan tentera baginda lantas dilafazkan ayat yang sama beramai-ramai.

Terlalu panjang pendetailannya, namun kesudahannya, kemurnian dan keharmonian ajaran Islam yang tertewas pada ketika itu. Walaupun begitu penghujung pertempuran memberikan gambaran yang menyentuh hati apabila ketua-ketua tentera dari pihak 'Ali memberikan salam dan bertanyakan khabar Ummul Mukminin, termasuk Amirul Mukminin sendiri. Malahan, baginda sempat mendoakan kesejahteraan dan pengampunan dosa umat Islam yang terlibat dalam pertempuran. Menyolati jenazah-jenazah dari kedua-dua belah pihak dan mendoakan mereka.


Saidatina 'Aisyah sendiri telah dilindungi dengan arahan Saidina Ali sendiri. Dibekalkan pulang pembantu dan pelindung untuk menjaga keamanan dan keselamatannya

“Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316]

Pesanan kali ini,

“Ombak fitnah melanda, sementara para sahabah yang masih hidup berpuluh-puluh ribu, namun yang terlibat dalamnya tidak melebihi seratus orang. Bahkan tidak melebihi tiga puluh orang” (Muhammad Ibnu Sirin, Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/264)

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (al-Israa : 36)

Carilah disebalik rangkap, insyaAllah kita akan ketemu apa yang patut dilakukan sekarang, dan apa yang patut ditelah.

Nota kaki :
Ada orang tegur post sebelum ini. Berdosa tau katanya kutuk-kutuk orang. Kali ini saya tunggu, sapa yang bakal kata saya boleh dapat pahala posting yang semacam ini. :). Bunyi macam baik kan. Begitulah dakwah, kadang-kadang ombak berdesir, kadang-kadang tsunami menghempas. Ikut musimlah. Jangan pula makan ubat batuk bila kaki luka. Bebal namanya tu. ups.. terlepas juga.

Akhirul kalam, inilah yang sempat saya belek malam tadi, dalam waktu yang cukup singkat, untuk menjadi bekal dan benteng berdepan dengan musim kecelaruan ini. Harap dapat dikongsi rohnya. Ameen.

Wassalam.

5 comments:

nuun said...

ada orang pernah kata abdullah b saba tak wujud. Boleh baca kat blog beliau. Ummu Nufayl taukot blog sape

abu nufayl said...

hurm.. menarik.. penafian itu saya pernah dengar, tapi kalau blog itu Ummu Nufayl tahu, misteri juga. hehe.. 'penyahwujudan' Ibnu Sawda' (Abdullah bin Saba) ini sebenarnya koheren dengan usaha menyahkan elemen/pengaruh Yahudi dalam kelompok Syiah. Tak silap saya didasarkan oleh pandangan Saif bin Umar al-Tamimi satu ketika dahulu yang kemudiannya disepakati kemungkaran hujahnya. Itu yang 'terlintas' buat masa ini. Harap kita dijauhi dari indokrinasi seperti ini.

abu nufayl said...

RALAT AYAT & EJAAN : usaha kelompok syiah menyahkan pendapat yg mengiakan elemen/pengaruh Yahudi dalam kelompok Syiah... Tak silap saya didasarkan oleh pandangan Saif bin Umar al-Tamimi satu ketika dahulu yang kemudiannya disepakati kemungkaran hujahnya. Itu yang 'terlintas' buat masa ini. Harap kita dijauhi dari indoktrinasi seperti ini.

nuun said...

kena tanya ummu nufayl lah tu

Hambali ® said...

jangan tanya umi aida sudahla labu