Walaupun terlewat akibat kepadatan masa dan ujian dunia, tanggung jawab perlu dilunaskan. Lantas perancangan aqiqah si Nuha dibuat. Kami jangkakan 29 Mei 2007 sebagai satu pilihan yang baik. Dalam musim cuti. Luangnya agak banyak. Balik kampung 25 April malam, pulang kembali 2 Mei 2007. Jadual ditetapkan. Doa dititip agar semuanya ok.
Khamis, 26 April 2007,
kira-kira jam 12.45 malam. Bertolak ke Perlis (Dar-as-Sunnah??.
3.07 AM - Ipoh Selatan
4.22 AM - Juru
6.00 AM - Pdg Melangit, Perlis.
Kurang lebih 5 jam 15 minit, tiba ke kampung. Bolehlah bayangkan muka seorang pemandu yang kepenatan. Lantas, sesudah solat Subuh, badan lesu dilayangkan ke tilam empuk. zZzzzzz..
Khamis, 26 April 2007
Jam 11.00 pagi, otak sudah tidak boleh menerima kemalasan tubuh. Diri dipaksa bangun. 5 missed calls. Dari Kelantan. Terduduk merenung handphone. Agak gusar membalas balik panggilan. Hati mula terdetik. 2 minit kemudian, satu sms tiba, 'ayah tenat' ... merujuk panggilanku kepada datukku.
Berita kusampaikan dengan ringkas kepada Ummu Nufayl. Dia faham. Malamnya patut ada kenduri kesyukuran ringkas, naik rumah baru. Ahadnya aqiqah Nuha. Tubuh masih lesu. Ku pejamkan mata, mencari firasat diri.
Hati pula membayangkan 'sesuatu yang mungkin ketinggalan, jangan gopoh katanya' Aku mula mengira, jam 11.30, jika ku pecut ke Kelantan, melalui l/raya Timur Barat, 5 jam paling cepat dari Perlis. Jam 4.00 petang baru sampai. Hati masih mengatakan, jangan gopoh.
Aku buat bertenang. Menguruskan apa yang patut. Satu panggilan kubuat, pada umi dan abah. Umi membayangkan resahnya. Abah mempamerkan ketenangannya. Mungkin tidak mahu anaknya tergesa-gesa. Ku tarik nafas dalam-dalam. Mencari waktu sesuai.
Jam 2.00 petang, kurang lebih. Panggilan dari Kelantan. "Ayah dah kembali ke rahmatullah". Kali ini aku tenang. Betullah gerak hati yang memintaku jangan gopoh. Kusampaikan satu permintaan. "Tolong tunggu hingga kami sampai". Aku rasakan satu macam keperluan menguruskan jenazah arwah. Beliau pernah memberitahuku suatu ketika dahulu supaya 'tengok-tengokkan dirinya selalu' .. membuatku agak keliru adakah itu turut bermaksud hingga setelah beliau tiada, sebagai satu macam pesanan/wasiat. Menghindarkan was-was, aku mengambilnya sebagai pesanan akhir beliau.
sejenak...
Ayah, panggilan kepada datuk. Dikongsi oleh kami adik beradik. Kerana sejak kecil dia dipanggil 'ayah' oleh umi dan abah. Anak bertuah, tumpang panggil ayah juga.
Ketepikan jutaan kenangan lain. Aku masih ingat lagaknya mengajarku membaca al-quran, bersama arwah nenekku sejak umur yang aku sendiri aku tidak ingat sebetulnya. Yang pasti, aku khatam seawal umur tujuh tahun. Beserta dengan sedikit sebanyak hafazan. Aku kagum dengan kegigihannya mendidik cucu manja banyak kerenah ini. Bukan sekadar membaca, malah ditafsirnya bacaan untukku simpan dalam memori. Juga untuk memperkuatkan kemahiran bahasa arab.Kata beliau, banyak gunanya. Ketika itu aku hanya mengangguk. Terbayang diri sendiri yang berjubah arab dan berjanggut.
Bila beliau menterjemah, aku mula tidur. Kalau tafsir, aku celik, tapi dengan syarat, kena ada cerita tambahan. Budak-budak katakan. Bila diceritakan tentang ya'juj wa ma'juj, mulalah aku kaitkan dengan ultraman (tak ingat ketika itu versi mana). Bila cerita padang mahsyar, pasti aku ingin bandingkan dengan padang bola sepak akan saiznya. Pening tak pening, beliau tetap gigih bercerita.
Diserapkan nilai aqidah. Seawal umur kanak-kanak (yang comel), aku didedahkan dengan isi kandungan Kaifiyatul Awwam,Syarh Al-Aqidah At-Tohawiyah, Ithaf As-Sadah Al-Muttaqin, dan beberapa kitab Tauhid lain, versi yang dipermudah. Memperkuat Tauhid. Fiqh, didedahkan kepadaku perbandingan mazhab, untuk segala macam permasalah fiqh dan jinayat. Kalau mazhab Syafi'e, sempatlah aku habiskan kaedah hukum dan bab umum usul fiqh turut didedahkan. Masalahnya, budak kecik, apa yang diajar terus ingin diamal, mulalah keluar fatwa baru masih kuingat, terutamanya bila habis kubaca Syarh Al-Fiqh Al-Akbar... hehe.. hmm..
Menangani 'kepeningan' cucunya, usul da'wah dan uslub da'wah diperkenalkan ke dalam hidup anak kecil ini. Bila besar, aku menyedari, kenapa beliau tinggalkan dahulu bab fiqh da'wah ketika itu. Asas perlu kuat sebelum keluar ke medan. Antara kata-katanya yang ku ingat :
'Berapa ramai Ustaz yang tersohor dengan ilmu, tetapi bila menyampaikan, makmum berkecil hati dengannya. Akibat kurang peka akan asas dan kaedah da'wah'.
Setiap kali kuliah atau ceramahnya. Aku 'dijemput' oleh beliau. Dengan motor antiknya, kereta klasiknya, atau basikal tuanya pula aku didedahkan pula dengan bermacam-macam jenis karakter Ustaz dan Tuan Guru. Pernah aku dibawa ke rumah seorang ulama', anak murid kesayangan almarhum Tok Kenali, hanya untuk aku diperdengarkan tafsiran Bismillah yang memakan masa seminggu. Pening, tapi aku sedar apa gunanya semua itu sekarang.
Asas sudah ada, mulut sudah banyak omelannya. Kemahiran berhujah pula diajar. Petuanya melalui ilmu mantiq banyak membantuku. Sekali sekala 'disalah guna'. Antaranya ketika aku menggondol pendebat terbaik kebangsaan sebanyak dua kali - yang mana beliau turut turun ke Pusat Islam menyaksikan perlawanan akhir tersebut. Kadang-kadang, kalau berhujah dengan Ummu Nufayl pun, kalau rasa hampir ter'kantoi', pasti keluar senjata muslihat tersebut. senyum... Walau apapun, ku tetap terkenangkan jasanya. Melengkapi didikan dan asuhan ibu bapa yang pastinya tiada tolok bandingnya.
Aku sedar, semua kelebihan yang ada ini, milik Allah. Dan setelah aku memperolehinya, aku patut berterima kasih kepada mereka yang menjadi 'penyampainya' kepada ku, Terima kasih abah, umi, ayah.
Dan aku sedar semuanya akan kembali ke hadrat Illahi. Begitulah juga mereka ini yang telah berjasa kepadaku. Dan hari tersebut adalah giliran arwah Hj Mohd Salleh Mohd Amin.
Kembali.... 26 April 2007, petang
Aku bergegas, jam 3.30 petang, dengan tubuh yang masih lesu, dan majlis kesyukuran yang akan diadakan di rumah, terpaksa ku 'lupakan' buat sementara waktu.
Sambil melayan kenangan, diselangi dengan celoteh isteri di sebelah. Yang pastinya aku lebih banyak melayan kereta dan jalan timur barat yang bagai ular dipalu. Ummu Nufayl nampaknya macam pengsan tidurnya. Bagus juga, kurang masalah kena berhenti banyak kali.
26 April 2007, malam
5 jam 30 minit kuambil untuk tiba ke Kelantan. Jam 9.00 malam, aku menapakkan kaki terus ke rumah arwah. Sudahpun kaku. Kubacakan ayat-ayat suci al-quran, sekadar terdaya dengan tubuh terasa seperti angin. Banyak ayat yang menyentuh tentang hidup dan mati tidak dapat kuteruskan dengan lancar. Sebak, teringat segala macam kenangan.
Memang diri ini sebak. Tetapi semuanya sudah dijangka. Siapa yang tidak jangkakan kematian? Itu bebal namanya. Hanya tarikh yang tidak dapat diramal. Dan kesedihan bukanlah kerana 'terkejut'. Cuma selepas ini tiada lagi jasad ini di depan mata. Terasa satu macam kehilangan. Bukan hanya jasadnya, tetapi ilmunya, keazamannya ketika sihat membuatku terkenang. Ramai yang mengenali waktu tuanya sahaja, dan sudah lupa zaman mudanya yang penuh jasa dan bakti pada masyarakat dan agama.
Hari sudah lewat malam, diputuskan urusan pengebumian akan diselesaikan pagi 27 April 2007. Hari lahirku. Juga hari beliau akan dikebumikan. Semalaman aku 'menemani' jenazah. Membacakan apa yang patut. Meninggalkan adat yang bercanggah. Itu kemahuannya.
27 April 2007, pagi
Jam 8.00 pagi, membantu menguruskan jenazah sewajarnya. Dari memandikannya, mengkafankan, hinggalah ke liang lahad. Terasa satu macam kehilangan selepas ini. Antara sumber rujukan 'ekspressku' dalam bab hukum dan persoalan agama lain. Yang pasti kulawati setiap kali pulang ke kampung, bersandar di dinding, atau terbaring di tilam. Tersenyum menimang si Nuha dan 'menangkap' si Nufayl. Kini beliau seorang 'di sana'. Membawa bersama doa anak-anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan memanfaatkan, serta sedekah dan amal jariah. Ameen ya Robb-al-'Alameen.
28 April 2007
Dengan beberapa pesanan kepada ahli keluarga yang lain agar menjauhi amalan-amalan 'adat', yang sememangnya tidak disukai arwah ketika hidupnya, aku seisi keluarga, melangkah kembali ke Perlis, untuk aqiqah Fatma Nuha yang telah dirancang, sukar untuk menarik balik jemputan dan persiapan lain.. Kira-kira jam 1.00 tengahari bertolak, kami tiba kembali ke Perlis jam 6.30 petang. Kali ini membawa perasaan bercampur baur. Kenduri kesyukuran, diselangi dengan kenangan pemergian allahyarham.
29 April 2007
Aqiqah Fatma Nuha.. pastinya Ummu Nufayl ada ceritanya tersendiri. Hamba mohon permisi.
Wa makaru, wa makarallah. Wallahu khairulmaakiriin.
Innalillahi wa inna ilaihi raaji'uun. Pada umurnya 84 tahun.
al-Fatihah
Wassalam.
No comments:
Post a Comment