Salam 'alaikum warah matullahi wabarakatuh...
Saya ada sedikit cerita, yang ingin dikongsi bersama. Cerita tentang buku. Cerita tentang pengalaman. Cerita tentang cerita.
Cerita tentang Masuk Ke Dalam Cahaya.
Ceritanya berbunyi begini.
Saya memang gemar membaca. Entahlah nak dikatakan Ulat Buku atau Hantu Buku (macam yg saya katakan pd Mardhiah12...ULAT atau HANTU, dua-dua tak makan buku...tapi hidup mengulit buku!) :) Sebab tu agaknya saya pakai spek, sebab daripada kecil suka membaca sambil baring, sampai terlelap tidak kira ada pengcahayaan yg sempurna atau tidak. Yang penting, saya nampak huruf dan kata...walau samar-samar cuma.
:)
Ketika saya berusia 9 tahun, saya punggah almari buku Mama & Abah. Saya terjumpa sebuah buku dalam koleksi Mama...masih elok, walau tidaklah baru. Kulit buku itu berwarna putih & biru...ada jalur-jalur warna kuning. Tajuknya Masuk Ke Dalam Cahaya. Penulisnya Abdullah Hussain. Mama (baca : Ibu saya, seorang guru. Major dlm Sastera) menyarankan saya membaca buku tu.
Ermmm...perlahan-lahan saya khatami buku tersebut. Menarik!
Kisah sebuah keluarga yang dirodok nafsu & membuntuti iman. Kisah kebobrokan sebuah keluarga yang jauh drp nuur Islam. Kisah seorang anak muda, yang terdetik hatinya untuk lari...jauh...jauh drp didikan kekeliruan yg tak berpenghujung.
Akhirnya, dia ditemukan dengan sebuah kampung. Yang membawa nuur dalam hidupnya. Sebuah kampung yang hidup mereka bertunjangkan syariat Islam sepenuhnya.
Damai.
Indah.
Permai.
Cinta.
Di situ, dia bertemu keluarga angkatnya...yang banyak mendidiknya dengan nilai & hukum-hakam Islam. Kampung apakah itu? Kampung Manusia atau Kampung bunian? Atau makhluk haluskah mereka yang taat itu?
Di situ juga tiba-tiba ada seorang 'Datuk' yang berpindah masuk. Datuk Rarit. Dia bersama dua anak gadisnya membawa kacau.
Muzik.
Hingar.
Perempuan.
Maksiat.
Siapa Datuk Rarit? Apa tujuan Datuk Rarit berpindah ke kampung itu?
Apa jadi dengan anak muda ini?
Apa jadi dengan keluarga anak muda ini?
Siapa sebenarnya Datuk Rarit?
Siapa pula sebenarnya keluarga angkat anak muda ini?
Di mana kampung yg penuh murni dan nuur Islam ini sebenarnya?
Itulah buku yang saya baca pada tahun 1989. Ketika berusia 9 tahun. Terpikat. Kagum.
Sejak 1989, nama penulisnya saya kurung dalam bola ingatan : Abdullah Hussain, tanpa mengetahui siapakah dia yang sebenarnya.
1998.
Apabila dipilih menyertai MPR (Minggu Penulis Remaja)...saya berpeluang bertemu dengan penulis-penulis yang mencipta nama dalam dunia sastera tanah air.
Di sana, saya mengenali Hizairi Othman (yg saya kenali sejak 1989 juga, melalui cerpennya Pesan Pada Angin - menang Hadiah Cerpen utk Majalah Jelita kalau tak silap), Faisal Tehrani (saya cukup meminati cerpen & puisinya),
Mawar Syafie, Salina Ibrahim, Nisah Hj Haron, Amaruszati Noor Rahim, Ade Irma Suriani (cerpen-cerpen mereka pasti saya cerna satu-satu),
Raihanni Mohd Said, Rahimiddin Zahari, Shamsuddin Othman (puisi-puisi mereka saya hafali, terutama yang dibukukan dlm Antologi utk Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan...aktiviti ini bersama sahabat Nor Hasnida Ab. Gani , Johan Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan peringkat Kebangsaan tahun 2002).
Di sana juga, saya mendapat peluang dididik oleh Prof. Rahman Shaari & Allahyarham Cikgu Othman Puteh (al-fatihah untuknya). Bertuahnya diri!
Tak terkecuali, saya berpeluang menemui Sasterawan Negara.
1. S.N Shahnon Ahmad - 1982
2. S.N. Abdullah Hussain - 1996
Dia saya namakan Pak Abdullah. Menemuinya bagai satu cahaya. Novelnya IMAM (yang memenangi Hadiah Sastera Negara) telah saya ulit hingga akhir.
Kami adakan sesi dialog bersama Pak Abdullah. Tika itu di Rumah Gapena. Dia menceritakan perihal dirinya dan penulisan, sastera dan gaya hidup. Bergilir-gilir peserta MPR mengangkat tangan bertanya soalan.
Tapi saya, dalam diam...saya merenungnya.
Dalam fikir, saya tak henti tertanya...diakah penulis Masuk Ke Dalam Cahaya? (yg saya baca sejak darjah 3 itu?) Hati terdetik, rasanya dialah orangnya.
Tapi, saya tak pasti...kerana otak saya yang dah berkarat tika itu, hanya mengingati seorang yang bernama Abdullah Hussain adalah penulis novel Masuk Ke Dalam Cahaya.
Benarkah penulis novel itu yang telah dianugerahkan Sasterawan Negara kini?
Ataukah hanya namanya sama, orangnya berlainan?
Entah apa yg memberi keyakinan. Saya mengangkat tangan.
Intro. Saya tanyakan, benarkah Pak Abdullah yang menulis novel Masuk Ke Dalam Cahaya.
Iya, jawabnya. Novel itu saya tulis awal 1980an. Diterbitkan 1983.
Oh, leganya saya. Betullah dia! (Wah! Tika itu, saya baru memulakan hidup di dunia fana' ini...mungkin baru berusia setahun dua!)
Saya bertanya lagi, bagaimana Pak Abdullah boleh melukiskan gambaran tentang organisasi jin, iblis & syaitan, serta kehidupan makhlus halus yang lain (termasuk bunian) dalam novelnya ini? Begitu terancang organisasi mereka...serta strategi halus tipu muslimatnya terhadap manusia?
Dia pun bercerita, ketika menulis novel tersebut pd awal 1980an...dia di rumahnya di kampung (Yan, Kedah). Memang banyak cabarannya tika menulis tentang alam yang kita tak boleh lihat ini. Ketika menulis ttg jin dan syaitan itu, pelbagai dugaan dialaminya. Lampu padam. Bau busuk. Wangi yang amat. Pintu tertutup. Tingkap terbuka. Hanya beberapa yang kusebut di sini, hanya itu yg kuingat.
Katanya, jika dugaan itu terlampau kuat dan kerap...dia terpaksa berhenti menulis, mengambil wudhuk dan solat dahulu untuk kekuatan dirinya, sebelum menyambung penulisan itu.
Katanya lagi, organisasi & strategi jin, iblis & syaitan itu...tak lain tak bukan, rujukannya ialah Kalamullah-Al-Quran. Semua yang termaktub dalam Al-Quran dicedok dan setelah menjalani proses kreatif dalam kantung aqalnya...terhasillah Masuk Ke Dalam Cahaya.
:)
Kalau nak tahu bagaimana kisahnya, bacalah Masuk Ke Dalam Cahaya. Tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain, pd tahun 1983. Buku baru berwarna merah, Cetakan 1998.
:)
~~~~~
Sedikit renungan daripada pembacaan saya semalam.
Ada persamaan antara ibadah Haji, rukun Islam yang ke-5 dan cara jenazah kita diuruskan setelah menyahut seruan Ilahi untuk 'bertemuNYA'.
HAJI
Mandi Sunat Ihram
Pakai Ihram
Solat Sunat Ihram
Berkumpul di Padang 'Arafah
TIKA MATI
Mandi Jenazah
Dikafankan
Solat Jenazah
Berkumpul di Padang Mahsyar
Akhir kata,
"Selamat Hari Raya Eidul Adha. Maaf Zahir & Batin"
Daripada kami sekeluarga ; Hany FF, Zainal Badri & Aleef Nufayl
p/s: Esok petang, akan berangkat ke kampung halaman di bumi Indera Kayangan, menaiki penerbangan Air Asia. Tiket hanya berharga RM 29.90 & RM 0.99 :). Jemputlah datang ke Padang Melangit, kita beraya bersama :). Ilal Liqa' slp Raya Haji nanti! :)
~~~
"Life is too short to leave kind words unsaid :)"
Hany FF
7 Zulhijjah 1425 H
18 Januari 2005 M
1 comment:
Assalamualaikum, saya berminat nak baca buku ini. Tetapi ia tiada dijual di mana-mana. Boleh saya pinjam? Atau mungkin buku ini dijual kepada saya.
Contact 0176810421 - Baeyah
Post a Comment