Wednesday, July 09, 2008

Rakyat Solehah

Salam,

Lama tak ketemu. Menyepi sebentar. Mengisi ruang yang ada dengan menadah tangan mengharap bantuan dan redha Illahi. Sentiasa ada ruang muhasabah untuk diri ini. Melihat ke depan tetapi lupa pada tempat kita berpijak bukanlah satu tindakan bijak. Kerana dari tempat inilah baru kita boleh melangkah ke depan.


Rasa gerun bila jadi rakyat kepada pimpinan yang bermasalah. Baik pimpinan peneraju kerajaan, mahupun pimpinan alternatif. Bukan risaukan mereka, tapi risaukan diri, anak-anak dan keluarga.

Apa agaknya salah kita sebagai rakyat; hingga mungkin ini merupakan satu hukuman Allah pada kita dengan memberikan suasana sebegini di kalangan pemimpin kita semua? Mungkinkah pejuang-pejuang Islam sudah lupa pada doa 'Allahumma ashlihi ar'ra'ie wa ra'iyyatihi?'. Kita pohon kebaikan, amal soleh dan segala kesempurnaan untuk dikurnia Allah pada pimpinan kita. Tetapi rangkap kedua doa adalah untuk kita.

Terpanggil untuk mengatakan bahawa, tidak mustahil, dan ia pernah terjadi, apabila rakyatnya tidak soleh, maka pimpinan maksiat menjadi hukuman buat rakyat sebegini. Aku pohon perlindungan moga-moga bukanlah kami sekeluarga tergolong dalam kelompok rakyat ini.

Tidak mahu memanjang bicara, kepada para pejuang Islam, bila berselisih antara kita, musyawarahlah, dan al-Quran dan Sunnah menjadi sumber rujukan muktamad. Nabi Nuh tidak dapat membantu anak baginda, Kana'an, walaupun itu anaknya. Kerana bahtera yang dibina bukanlah untuk penderhaka agama Allah. Terpaksalah dibiarkan. Dan penderhaka itu, walaupun lari ke gunung yang tinggi, banjir tetap menenggelaminya. Kerana bukanlah puncak gunung dan kekuasaan itu yang menyelamatkan kita. Tetapi aqidah Islami dan jalan agama yang lurus! Biarlahsiapa kita dengan penderhaka itu sebelum ini. Biarlah sudah lama dibelai dimanja. Biarlah sudah kenyang diberi makan dan memberi maka akan penderhaka itu. Sebaik sahaja ia menjadi penderhaka kepada agama Allah, nasihat diberi tidak terpakai, maka apakah kita yakin tubuh lemah ini mampu menahan api nerakaNya? Cukuplah. Gila kuasa bukan makanan lazat di kubur! Kembalilah pada landasannya. Kembalilah. Imam, tak betul bacaan fatihahnya, ditegur tidak mahu dengar, maka wajib mufaraqah kita daripadanya! Walaupun tidaklah hingga membatalkan solat sendiri!

p/s : Ada yang bertanya bila hendak diulas isu mubahalah. Katanya maklumat yang diterima tak dapat dicerap. Terlalu high level, dan ada pula yang terlalu nampak bodoh. Mahukan penerangan simple katanya.

Cukup saya katakan, bukanlah penting diri, tapi memang sibuk berkemas. InsyaAllah, pada yang ingin berkongsi, lepas kami pindah, kita buat satu usrah tajuk ini di rumah baru. Banyak sangat isunya hendak diulas di laman maya. BUKAN ADA GUNA PUN - Shafi'e Afdal -seorang lagi pengebom berani mati nampaknya muncul. Sehingga tarikh itu, pesanan saya, kalau kerja kita tukang paip, biarlah mekanik yang baiki enjin motobot yang rosak. Dan kadang-kadang, bagi sesetengah isu, bukanlah semudah yang kita lafazkan. Tidaklah semudah itu. Tidak semudah itu! Kerosakannya tidak tertanggung! Bawa kereta laju, disaman polis trafik, jika hendak dibayar saman itu, bukanlah terus kepada anggota polis tersebut, tetapi hendaklah ke kaunter pembayaran saman atau balai trafik berhampiran. Senang kan analoginya?! .


Wassalam

Tuesday, July 01, 2008

Segalanya (?) Tentang Nuha

Dianz pernah menegur saya, jarang bercerita tentang Nuha.
Agaknya itulah kesannya apabila jadi anak nombor dua agaknya. Yang pertama, ibubapanya teruja sebab pengalaman pertama. Yang kedua, terasa-rasa macam dah biasa.

Apa pun, Nuha sebenarnya istimewa dalam hati Ummi & Abah.

Kerana apa? Kerana dia lain daripada Abangnya, Nufayl.

Ini wajah Nuha ketika baru dilahirkan 1 tahun 10 bulan yang lalu.
Bagaimana ya dia membesar setelah itu? Teruskan membaca....


1. Nuha orangnya pemerhati dan sangat mudah merajuk. Nak tau dia merajuk ke tidak, tengok perut dia. Kalau turun-naik-turun-naik tu, dengan mata yang terkedip-kedip menahan rasa, ya lah tu. Merajuk! Nuha kalau dah merajuk alamatnya apa? Bergulinglah...tengah jalan pun. Di mana saja. Suaranya kadang-kadang tak/lambat berbunyi...jadi, ada luang untuk Ummi/Abah pujuk Nuha.

2. Tabiat makan dia memang agak menonjol berbanding tabiat lain. Dia akan naik atas meja, atas kabinet dapur semata-mata cari makanan. Tau-tau dah bermastautin atas meja makan atau dah mengetuk-ngetuk kabinet dapur. Dia makan asam, coklat mentos atau apa saja...macam makan nasi. Semuanya makanan ruji bagi dia kot. Tak ada snek-snek. Ngeri tengok dia makan asam. Ummi yang sakit perut nanti! Tabiat makannya non-stop. Kalau suap dia makan dulu, baru Ummi & Abah makan pun jangan harap untuk makan dengan senang lenang. Kalau ya pun Nufayl tak kacau, Nuha tetap tak jemu makan.
Kalau Ummi makan lepas Abah makan pun, jangan harap Nuha dah tak nak makan. Sebab nasi Abah pun Nuha telan, nasi Ummi pun Nuha makan.

Tapi, apa pun...Nuha maintain kecil molek walaupun makannya begitu. Cuma perut dia yang akan menegang apabila dia makan dengan bestnya. huhu...anakku! Agaknya, kemaruk dia belum habis sebab Ummi waktu mengandungkan Nuha 9 bulan tak selera makan kot! ;)

3. Nuha puteri Ummi ni dah nampak ciri-ciri kewanitaannya sejak kecil lagi. Sangat prihatin kepada keperluan Abangnya yang masih menyusu botol. Kalau Abang nak susu...dia yang kalut ke dapur ikut Ummi/Abah yang sediakan susu dan minta botol susu untuk dia serahkan kepada Abangnya. Kalau kita tak bagi kat dia, alamatnya pecahlah tangisannya. Pernah juga dia merajuk dengan Nufayl sebab Abang jadi Power Rangers & pukul Nuha. Nuha yang perempuan ini pun merajuk dan tak nak tolong bagi botol susu kat Nufayl, sampailah dipujuk oleh Abangnya tu...baru legalah rajuknya.

4. Orangnya sangat mementingkan proses daripada hasilnya. Ummi mula sedar akan hakikat ini apabila dia asyik menolak, menangis & memberontak walaupun setelah diberi sesuatu yang diminta. Walceritanya, dia nak buat sendiri benda tu, contohnya...dia nak vitamin dalam botol. Kita bagi tabletnya...dia pun marahlah...sebab yang dia nak bukak botol dan ambil sendiri tabletnya daripada botol itu. Jadi, kalau Nuha nak apa-apa...yang penting bukan bagi kat dia apa yang dia mintak tu. Tapi, dalam proses nak bagi kat dia tu...kena dapatkan persetujuan dia.

Contohnya dia nak minum milo, kalau kita buat air milo kat dia dan bagi...tak semestinya dia minum milo tu, walau dia dalam dahaga. Bila nak buat milo tu, nak bubuh milo dalam cawan pun kena bagi isyarat kat dia, dan bila dia mengangguk kesukaan tu tandanya oklah tu. Nak bubuh air pun sama. Kena pelan-pelan dan minta persetujuan dia (secara tak langsung). Walhasilnya, dia akan excited dan dengan sekejapnya menghabiskan air tersebut. Kalau tak kena walau satu step alamatnya, jangan harap dia akan minumlah.

5. Sejak lahir hingga usianya 6 bulan, Nuha adalah bayi kecil yang jarang meragam dan amat kurang menangis. Dia suka jaga malam dan tidur siang. Dia sangat penyabar hinggakan kalau Ummi lambat beri susu kepadanya pun, dia sabar...hingga 3 kali...baru dia nangis. Ummi sangat bersyukur. Tapi, sejak usianya 6 bulan hingga setahun lebih...dia sangat kuat menangis dan itu mengingatkan Ummi kepada 'kepala angin' Ummi waktu mengandungkan Nuha - selalu tensi-tensi dengan incik boss yang sangat menensikan. Pantang lambat sket dia akan menempik 'girang'. Adeh anakku!

6. Sejak usianya setahun lebih barulah dia mengenal dunia yang penuh kegirangan dengan hati dan perasaannya. Ceria dan suka menari. Oooo00...menyanyi juga dia suka. Pantang dengar muzik. Dia cukup tak bagi kalau Ummi ikut menyanyi...terutama dalam kereta. Dia puk mulut Ummi tu. Garang la Mek Nuha nih! Tapi, senyumannya yang ada ala-ala lesung pipit changkat tu sering menawan hati Ummi & Abah.

7. Ya...Nuha memang garang. Jelingannya tajam juga! heh...
Dia agak garang dengan orang asing. Hari pertamanya di Nursery T*, 6 Jun lalu (trial)...dia dah pun dicop garang oleh kakak-kakak pengasuh di situ. Abang Nufayl terpaksa keluar kelas dan jaga Nuha yang dalam bilik 2 tahun tu. MakCik Jie yang anaknya (Fahim) pernah Nuha kenyit mata pun kena marah sebab kacau Nuha makan.

Ummi saspen aja menunggu hari pertama Nuha rasmi ke Nursery T*...minggu depan kot! Dah dapat offer tapi kami mohon tangguh sekejap. Banyak sangat urusan terpaksa diselesaikan!

Ok...panjang juga sesekali Ummi tulis tentang Nuha ni. Itulah Nuha. Dah inilah wajahnya kini. Semakin ayu dan manis. Moga menjadi puteri solehah ya!


Sekadar pengkisahan ringkas, coretan Ummi buat Nuha.




Ummi kena kejar waktu. Kejap lagi Abu Nufayl sampai, dia akan tinggal kereta dan berkejar ke airport-tugasan luar. Dua hari ini nampaknya, kami tinggal bertiga. Pagi-pagi...hantar Nufayl ke sekolahnya sebelum patah balik ke pejabat Ummilah rutin Ummi dua hari ini.

Babaissss!!!


p/s: Taknak ulas isu mual dan muak tentang dakwaan liwat yang melewati dada akhbar tu. Mual! Muak!

Thursday, June 26, 2008

Lumix!!!

Rindunya kat Lumixku!!!
Bila nak keluar wad nih?

Ermmm...Ummi rindu nak potretkan gambar anak-anak Ummi lagi.

Tambah-tambah sejak akhir-akhir ni, Nuha makin ceria dan galok menyakat abangnya. Dengan keletahnya yang ketawa sambil menutup mulutnya. So sweet! Nufayl pula dengan tak henti-henti bercakap dan pelbagai soalan dan analisisnya. Rindu nak potretkan mereka.

Tambah pula, dua hari lalu (24/6) Cu, Mira, Bi, Man dan Auni sampai dari al-Khobar. Beria-ia mereka menyambut semua saudara yang baru tiba. Nufayl sampai tak mahu berpisah dengan Mak Teh Honi (Auni). Nuha yang malu-malu akhirnya tewas dengan Mak Lang Bi (tapi masih jual mahal dengan Tok Cu). Semuanya berlalu tanpa dapat aku abadikan dalam walau sekeping gambar.

Sayangnya dengan saat yang berlalu ini!

Ummi boring-boring ni, Ummi kongsi gambar anak-anak Ummi yang sedang dirindui. ;)



Moga-moga Lumix Ummi cepat keluar daripada wad dan dapatlah release tension nak ambil gambar yang indah di mata. :)

Wednesday, June 25, 2008

As-Saakinatussakiinah

Nurani saya membentak-bentak. Lelah! Mengah!

Apa pun, sudah dua hari saya rehat. MC!
Tapi, sakit? Masih!

Kata orang, tak apalah. Ujian.
Saya kata, tak apalah. Kita kena ambil tindakan.

Tindakan apa? Itu kena bincang kemudian.

Kerja. Juga sama kesannya. Lelah! Mengah!

Apa yang buat saya tenang? Hanya ketika di TeratakFZH. Walau bagaimana riuhnya dua permata hati itu, masih merupakan damai buat saya.

Kini, kerja survey tamat. Kerja mencari barang insyaƁllah telah siap dan sempurna. Kalau ada pun, dua tiga barang untuk menerus lengkapkan As-saakinatussakiinah. Yang asasnya sudah ok.

Apa ya cabaran kami untuk melengkapkan rumah kali ini?

Pastinya, mengejar barang yang perlu dibeli dengan harga murah/tawaran harga murah atau dengan harga sebelum kenaikan harga (kenaikan berantai-harga minyak). Harga perabot, kami dimaklumkan Persatuan Peniaga Perabot menaikkan harga 10%-20% bermula 1 Julai 2008. Ada juga kedai yang menaikkan caj penghantaran. Ada pula kedai yang kekal, tidak mengenakan caj penghantaran. Kerja-kerja pendawaian pun ada yang naik harga selepas 1 Julai. Semuanya kena cari tawaran terbaik buat kami.

Nasib juga banyak yang dapat dengan harga lama dan harga tawaran. Ada juga yang kami cari pembekalnya terus dan dapat harga istimewa berbanding berurusan dengan ejen pemasarannya di luar sana. Penat saya. Suami lagi lah! Kasihan Nufayl & Nuha, juga tumpang merasa penatnya walau kadang-kadang nampak mereka meng'enjoy'kan diri dengan bermain kejar-kejar dan bergelak-ketawa dalam kedai lampu, buka-tutup paip dalam kedai barangan dapur dan juga panjat katil budak dalam kedai perabot dsb.

Alhamdulillah, kerja mencari dah selesai. Yang terakhir, meja makan 23 Jun lalu. Lega!

Sekarang, tunggu kerja-kerja yang dijadualkan siap.

Jadualnya,

24-27 Jun : Kerja simen/ konkrit/ tiles untuk kabinet dapur.
26 Jun : Kerja pendawaian alarm system siap.
28 Jun : SCI Kitchen datang ambil ukuran sebenar konkrit.
++Abu Nufayl dan tong-tong catnya.
28/29 Jun : Pasang tinted film untuk cermin tingkap (penting untuk mudahkan jaga aurat ketika dalam rumah..heh)
29 Jun : Kerja-kerja elektrikal (pasang lampu & kipas) *kejar sebelum caj pemasangan naik pada 1 Julai.
++Abu Nufayl dan tong-tong catnya.
30 Jun : Pasang grille & sliding door's awning ++ Alarm system commissioning.
++Abu Nufayl dan tong-tong catnya.
7 Julai : SCI Kitchen datang pasang kabinet dapur dan almari pakaian ++ Perabot - almari buku dan meja makan makan
12 Julai : Mula pindah SS to AP
13 Julai : Final - pindah SS to AP
17 Julai : Rasmi - mendiami AP, Assaakinatussakiinah.

Apa yang menariknya dalam proses menyiapkan rumah yang dah siap tu, kami bertemu dengan ramai orang - peniaga, tukang, pengilang, pembekal dsb. Pelbagai personaliti dan cara untuk mengikat urusniaga. Menarik!


Semoga selamat semuanya. Doakan kami!

Tuesday, June 17, 2008

Saakinatul Sakinah

Huh! Penangan sibuk dengan kerja-kerja final-stage survey dan making decision + deal untuk masuk rumah baru, saya terlantar demam sejak Isnin pagi dengan ulser di anak tekak. Rutin minggu lepas, selepas balik kerja, kadang-kadang membawa ke jam 10 malam. Dan hujung minggu yang bagai tiada rehat, hanya sempat sarapan dan teruskan aktiviti! Jadinya, saya diberi 2 hari cuti sakit termassuk hari ini, berikutan viral fever. ;)

Sebenarnya, kerja survey dah lama dimulakan. Sejak 15 Mac, tarikh kami meletakkan booking fee untuk Saakinatul Sakinah, nama yang saya beri untuk rumah baru FitrahZH. Maksudnya Tempat Tinggal yang Tenang. Ups! Suka betul bagi nama (suami saya kata, ikut suka lah!) ekekek...hobi!

Ok...kita teruskan bercerita ya!

Survey dah dimulakan lama. Merata-rata kami pergi menjelajah, mencari tawaran dan peluang terbaik untuk kami, termasuk Modern Home Fair di Midvalley. Survey kami bukan hanya dari kedai ke kedai, tapi juga dengan pembacaan dan perbandingan (terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang berkongsi pengalaman sendiri dengan produk-produk tertentu).

Tapi semuanya belum kami putuskan sehingga minggu lepas. Minggu lepas, yang paling banyak kami buat keputusan setelah semua tawaran dan deal disaring-saring serta dibandingkan dengan bajet FitrahZH. Hari ini atau esok, mungkin deal terakhir akan dibuat dan selepas ini, kami hanya perlu monitor kemajuan kerja untuk memastikan tarikh untuk masuk ke Saakinatul Sakinah.

Oklah, saya tak boleh cakap panjang buat masa ini. Cik Abang dah telefon, ajak ke satu kedai dekat rumah ni. Tengok apa yang kami akan ambil untuk hadiah dari Mama.

Ya, Mama nak bagi hadiah tapi dia dah putuskan apa jenis barangnya (yang dia tahu, kami belum miliki). Tapi, dia beri kebebasan untuk kami memilih. Jadi, kenalah pelan-pelan cari barang tu. Ok...babais semua!

Salam!

Friday, June 13, 2008

Mndidik Penjaga Kitabullah

Kan saya dah kata, saya tak suka fikir pasal duit. Buat tak senang duduk saja.

Prinsip saya senang, ad-deen an-nasihah. Dalam Islam, semuanya telah jelas lagi terang.
*Berusaha dan berdoa serta bertawakkallah. Rezeki ditentukan Allah. Setiap kesukaran ada kemudahan. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, Allah akan adakan jalan keluar*
(Sekadar menyebut beberapa mafhum terjemahan ayat al-Quran, just point to ponder)

Asalkan dah ketepikan untuk simpanan, pelaburan, bayar hutang, dan boleh hidup cukup makan - diri sendiri dan saudara terdekat dan jangan lupa tanggungjawab untuk mengeluarkan zakat dan sedekah. Cukuplah. Saya tak suka fikir banyak-banyak. Let others do! heh!

Hidup ini lebih daripada di dunia semata. Wang dan sebagainya adalah tools untuk kita meneruskan hidup dan juga memberi nilai kepada diri kita sendiri melalui sedekah yang dikeluarkan.
Jadi, alangkah baiknya kita infaqkan masa fikir kita untuk zikir dan fikir akhirat, yang abadi...kerana mehnah hidup itu adalah fitrah, hadapinya dengan zikrullah. ;)

Hari ini, pagi rasa sangat segar sekali. Di pejabat, alunan tartil Syeikh Mahir MuƔiqely (susahnya nak eja!) menemani. Tu yang rasa segar tu. Kenangan di Masjidil Haram pun rasa macam baru semalam saja.

Sedikit refreshment pada pagi Jumaat ini, serta kongsi pengalaman. Satu kisah peribadi yang kecil dan terpencil yang ingin dikongsi bersama sahabat-sahabat terdekat.

Hari-hari kami di Masjidil Haram sepanjang Disember 2007-Januari 2008 ditemani dengan alunan suara Syeikh Mahir Mu'aiqely, Syeikh Abdullah Awad al-Johany (ada yang menyebut al-Jihany), Syeikh Salih al-Talib dan sekali-sekala muncul Syeikh Shuraim dan Syeikh Abdul Rahman as-Sudais ketika mengimami Solat Jumaat atau solat fardhu (terutama Zohor atau Maghrib) pada hari-hari tertentu.
(senarai nama Imam Masjidil Haram : rujukan di Wikipedia).
*Syeikh Abdul Rahman as-Sudais bukan sahaja seorang Imam Masjidil Haram, beliau juga seorang Doktor (PhD) dan pernah menerima anugerah "Islamic Personality of the Year", seorang Imam yang profilik dengan perjuangan dan pendapatnya yang tegas.

Kami tiba di Makkah tika umat Islam baru pulang daripada jemaah Asar, 8 Disember 2007. Jadi, pastilah solat fardhu berjemaah kami yang pertama, pastinya Maghrib. Dalam hening senja, solat Maghrib kami di dataran tawaf di tingkat paling atas Masjidil Haram, berbumbungkan langit senja Makkah al-Mukarramah.

Bismillahnya sahaja sudah menggegar jiwa. Dengan alunan tartil yang indah, kami mula 'jatuh cinta', sebagai cinta kepada bacaan Syeikh Abdul Rahman as-Sudais dan Syeikh Saad Said al-Ghamidy. Kali ini, rasanya sungguh segar dengan suara yang tajam dan jelas.

Semenjak itu, Maghrib kami ditemani Syeikh Mahir dan 'Isyak seringkali Syeikh Abdullah al-Johany.

Khutbah Jumaat pula ada beberapa kali secara bergilir-gilir. Yang disampaikan oleh Syeikh Mahir, bahasanya indah, madahnya lembut tapi peringatannya jelas. Yang disampaikan oleh Syeikh Abdul Rahman as-Sudais pula seringkali penuh semangat dengan seruan yang menyentuh nubari jemaah. Manakala, khutbah as-Shuraim pula sangat pantas, ringkas, jelas maksudnya dan senang dihadam. Masing-masing dengan cara, pendekatan dan keistimewaannya. Alangkah bahagianya terpilih menjadi Imam Masjidil Haram. Betapa besarnya tanggungjawab mereka. Alangkah!
*Dalam satu khutbah Jumaat, Syeikh as-Sudais menyebut tentang sadaqah dan umat Islam Palestin dengan penuh semangat dan roh yang meresap dalam jiwa, membuatkan jiwa-jiwa bangkit dengan roh silaturrahim terhadap saudara se-Islam yang tertindas di bumi Palestin itu.

Betapa indahnya menjadi al-Hafiz, penjaga kitabullah. Yang menjaga setiap kalamNYA dalam hati nubari yang suci!

Semoga Allah mengizinkan roh mulia ini dihidupkan dalam diri anak-anak kita.

Begitulah hari-hari kami di sana, secara ringkasnya.

Adapun, itu saja yang dapat saya kongsi bersama. Kali ini.


Salam. Semoga mendapat keberkatan Jumaat. :)