Friday, March 25, 2005

SEGMEN TAJAAN ABU NUFAYL : KALAULAH AKU KHATIB HARI INI

PERHATIAN : SEGMEN INI DITAJA OLEH ABU NUFAYL

~~~

Kalaulah Aku Khatib Hari Ini-maka ini teks khutbahnya

Ayat-ayat dan lafaz-lafaz lazim khutbah....

Ittaqullah!! Bertakwalah kepada Allah. "Uusiikum wa iyya ya bi at-taqwallah". Aku nasihati kamu sekalian sidang Jumaat dan diriku supaya bertaqwa kepada Allah swt.

Sidang Jumaat sekalian,

Taqwa itu bukan hanya sekadar lafaz kalimat yang indah dan dilazimi semata-mata. Taqwa adalah takutnya kita pada Allah swt. Takut yang membawa keazaman. Takut yang membawa kewaspadaan. Keazaman melaksanakan suruhanNya. Kewaspadaan dari mendekati laranganNya. Maka mustahillah kita melakukan perkara yang terlarang.

Menyentuh tentang kewaspadaan, Allah swt telah berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka merekalah orang yang rugi"
(Surah Al-Munafiquun, Ayat 9)


Sidang Jumaat sekalian,

Satu daripada peringatan Allah swt mengkhususkan kewaspadaan kita terhadap tanggungjawab kita terhadap anak-anak.

Anak-anak adalah anugerah Allah. Anak-anak juga adalah amanah Allah. Menghargai dan menyanjungi anugerah tidaklah sesukar memenuhi dan menjaga amanah.

Kita telah pun dibayangi kekaguman, bahawa ada anak Muslim kita telah memecah rekod pencapaian akademik yang cemerlang sepanjang zaman. Maka kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah swt. Kita telah lihat anak Muslim kita berjaya merentas lautan. Tabah mengharungi cuaca sejuk. Tangkas mengendalikan pelbagai jentera moden dan canggih. Segala-galanya adalah pencapaian yang kita kongsi kebanggaannya.

Kebanggaan ini akan mendorong kita ke arah berusaha mencapainya juga. Anak-anak akan dididik mencapai potensi dirinya yang sebenar. Segala wang ringgit, kasih sayang, masa dan semua yang mampu akan kita berikan demi kejayaan yang membanggakan ini. Kita berharap, dan sentiasa berharap kegemilangan ini akan berlaku di dalam rumah tangga kita.

Sidang Jumaat sekalian,

Peningkatan perbelanjaan wang ringgit kita menghantar mereka ke kelas-kelas tuisyen, dan program kemahiran. Kesepaduan kasih sayang kita suami isteri untuk memastikan anak-anak kita berjaya. Pengorbanan masa kita bagi memberikan latihan dan tunjuk ajar. Semuanya ini tidak ternilai.

Namun sidang Jumaat sekalian, berapa ringgitkah daripada peningkatan perbelanjaan itu pergi ke rumah Allah dan anak yatim. Adakah jumlah itu makin sama? Berapa ringgitkah perbelanjaan itu pergi ke sedekah dan amal jariah? Berapa ringgitkah keseluruhannya pergi ke sebarang amal soleh lain yang boleh memberikan keberkatan terhadap pendidikan anak anak kita? Berapa banyakkah pengorbanan masa itu disasarkan untuk menambahkan kekhusyukkan kita dalam solat? Pengajian al-Quran kita? Telaah kita akan kitab-kitab muktabar mencari ilmu? Adakah seimbang latihan kemahiran, tuisyen yang dilipatgandakan dengan usaha kita mendidik anak-anak kita menjadi insan soleh? Berapa banyakkah masa kita tambah untuk solat berjemaah dan mengaji al-Quran bersama anak-anak?

Kita semua sedih, jika segala peningkatan ke arah meningkatkan potensi anak-anak itu telah mengurangkan lagi peruntukan kita ke arah persiapan yaum akhir kita kelak.

Sidang Jumaat sekalian,

Alangkah sedihnya, jika kita sebagai ibu bapa, mendapati anak-anak kita, anak-anak seagama kita, cemerlang akademiknya, namun buruk sahsiahnya. Hidup dilimpahi kemewahan, akhirnya menarik kita ke lurah neraka Jahannam.

Adakah menjadi satu kebanggan buat kita apabila melihat di dada-dada akhbar anak-anak Muslim kita tertangkap? Sedangkan ibunya, bapanya orang kenamaan. Mereka punya segala macam kecukupan mendidik anak mereka, tetapi akhirnya, kerana sesuatu yang dinamakan maruah kononnya, mereka menjadi pembela buat pelaku-pelaku maksiat ini. Maka benarlah firman Allah swt yang telah dibacakan sebentar tadi.

Sidang Jumaat sekalian,

Kita berasa gembira. Negara kita aman. Negara kita punyai jutaan penduduk Muslim. Adakah umat Islam pada zaman Rasulullah SAW tidak gembira kerana banyaknya perang yang berlaku pada zaman mereka? Adakah mereka tidak aman? Adakah mereka menyesali hidup pada zaman tersebut? Umat terdahulu tidak pernah merasa kecewa berada pada zaman tersebut walau dipenuhi peperangan. Kerana keamanan sebenar, yang haqiqi bukanlah pada keamanan fizikal, kosmetik semata-mata tetapi amannya hati dari pengaruh syaitan, bersinarnya Iman yang padu, teguhnya pengamalan syariat.

Maka negara Islam kita ini sebenarnya masih lagi kucar-kacir. Bila pemegang teraju wibawa negara bersekongkol dengan penyembah ajaran syaitan, malah sampai ke satu peringkat membela (pertahankan) dan membela (memelihara) syaitan di kalangan manusia ini.

Sidang Jumaat sekalian, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Islam adalah garis panduan sempurna cara hidup. Tidak usahlah kita mencampur adukkannya dengan kepentingan politik dan peribadi. Sesungguhnya Islam itu Maha Tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya...Barakallah.


Khutbah kedua tidak sempat dibaca, apabila penguatkuasa keamanan berbaju biru yang terlupa hari ini hari Jumaat, telah pun beratur di luar Masjid mula menceroboh masuk, kononnya menjaga Muslimin yang bersolat Jumaat, dan pada masa yang sama, terlupa ramai lagi penduduk negara Islam Hadhari di Bangsar masih berada di pub-pub dan kafe-kafe.

Takbir! Takbir!! Takbir!!!

Abu Nufayl : Sebab itulah di negara Islam ini aku tak jadi khatib.
Ummu Nufayl senyum jer :)...alahai suamiku sorang ni gian nak jadi khatib pula! ;)

No comments: