Tuesday, March 03, 2009

Membina Syurga dalam Rumahtangga? (Bahagian I)

Amat jarang sekali saya berkongsi inspirasi dalam wadah ini, kini.
Dulu ya, sering. Kini? Inspirasi saya terbiar kering tanpa sempat saya kongsi dengan sesiapa.
Kalau ada, mungkin dengan Abu Nufayl saja. Mujurlah dia yang banyak meniupkan semangat ketika saya berkongsi cita dengannya.

Benarkah sukar membina syurga dalam rumahtangga?


Ini bukan tentang Syurga Allah yang dijanjikanNYA di akhirat sana. Namun, pengertian syurga sedikit sebanyak didorong oleh kewujudannya. Syurga bagi saya, satu tempat yang damai, bersih, harum, menyenangkan, meginspirasikan, tenang. Itu pengertian saya tentang syurga. Mewujudkan syurga di rumah, memang satu cabaran yang amat sukar buat saya. Sukar, maknawiahnya bukan saja sukar fizikal, malah sukar dalam membentuk rohani & emosi, menyemai jiwa, membangun cita dan memupuk roh yang cintakanNYA.

Setiap tunggak keluarga (baca : ayah & ibu) masing-masing punya peranan yang besar di sini. Saya tidak bercadang membahaskan tentang peranan orang yang lebih tua, contohnya nenek atau datuk yang tinggal sekali dalam keluarga induk, kerana itu sudah diertikan sebagai keluarga besar (extended family).

Biarpun saya contohnya, tidak membesar dalam keluarga induk, malah membina jiwa dalam keluarga besar bersama nenek, sepupu dan bapa saudara...saya malah amat menghargai pengalaman ketika itu, dan kini, bersama keluarga sendiri; suami dan anak-anak, menyemai cintaNYA dalam setiap hati anggota keluarga. Pengalaman kini sangat mengujakan saya, yang seolah baru merasakan lengkapnya sebuah keluarga dengan adanya anggota yang dikatakan tunggak keluarga dan juga anak-anak sebagai pelengkapnya.

Biarlah saja topik kecil ini membawakan perspektif keluarga induk - ayah, ibu dan anak-anak, untuk lebih mudah dihadami dan dihayati. Tulisan ini adalah sedikit persepsi daripada saya, tentang membina syurga daripada perspektif keluarga induk yang sedang membesar dan membina jiwa.

Sekadar lontaran persoalan :

Kenapa ya, seorang ibu berpayah lelah mengemas rumah juga menghidang juadah, selepas pulang daripada bekerja di luar?

Kenapa agaknya, seorang bapa sanggup tidak melelapkan mata, atau mengorbankan siri tivinya untuk membaca sehelai dua buku, menyahut seruan Iqra' dariNYA?

Kenapa juga ya, si ibu dan bapa tadi kadang-kadang merasa stress (tekanan) jika keadaan di rumah tidak seperti yang diimpikannya? Contohnya, keadaan fizikal rumah yang tahap kekemasannya di bawah standard yang ditetapkan keluarga? Atau, karenah anak-anak yang makin menjadi-jadi walau perhatian & kasih-sayang telah diberi?

...

(bersambung)

1 comment:

abu nufayl said...

persoalan 1 : itulah fitrah manusia bernama wanita. jika dilawan atau dilanggar arus itu, berantakanlah kehidupan, dan juga rumah tangga. cuma lambat atau cepat. dan wanita perlu ada banyak identiti, di pejabat sebagai pekerja, kepada suami sebagai isteri, kepada anak sebagai ibu, kepada rumah sebagai mawar penyeri.. eheh..

persoalan 2 : membudayakan sesuatu perlukan dua makhluq. Azam dan Istiqamah namanya. Manusia akan lemah bila tidak bersahabat dengan dua rakan baik ini.

persoalan 3 : stress dan tenang juga adalah makhluq yang Allah ciptakan bagi melengkapi antara satu sama lain. Tenang untuk disyukuri, stress untuk ditangani. Yang paling penting, kita gunakan keduanya sebagai kayu ukur untuk muhasabah harian kita terhadap keluarga dan diri..

sekian. salam hormat.. :P