Assalamualaikum warahmatullah
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."
[Ali-Imran:139]
Turunnya ayat ini menjadi penenang hati kepada pejuang unggul sepanjang zaman, Muhammad Rasulullah SAW. Kenapa pula hati manusia agung ini perlu ditenangkan?
Seusai perang Uhud, dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah SAW dan angkatan pejuang Islam melangkah agak longlai. 72 antara umat terbaik di dunia syahid di medan juang. Panglima Islam SAW yang gagah perkasa ini juga mengalirkan darah perjuangan di muka baginda. Untuk menerangkan keadaan ini ; sabda Rasulullah SAW,
"Amat besar kemurkaan Allah SWT terhadap mereka yang melumuri muka Rasul-Nya dengan darah"
Betapa sukarnya kita ingin menandingi cabaran umat terdahulu. Jika dahulu darah dan jiwa menjadi taruhan, kini kita hanya bersedih hanya kerana angka. Angka yang lebih besar, ditolak dengan angka yang lebih kecil, maka pemilik angka yang lebih besar mendapat kemenangan majoriti. Dan perlukah pemilik, penyokong dan pendokong angka yang kecil bersedih hati. Dengan tiada setitik darah pun mengalir ke bumi?
Firman Allah swt dalam ayat terdahulu (ali-Imran : 139) tidak menafikan bolehnya kita bersedih hati. Tiada tegahan untuk berasa sedih, namun tegahanNya amat jelas agar kesedihan itu tidak berterusan membentuk kekecewaan dan lemahnya semangat umat.
Ucapan Saidina Umar al-Khattab kepada Saad bin Abi Waqqas ketika pengiriman bala tentera untuk peperangan al-Qadisiyyah
"Takutlah kamu akan dosa kamu lebih dari musuh kamu kerana dosa kamu lebih berbahaya dari musuh kamu. Kita, orang-orang yang beriman akan hanya memperoleh kemenangan ke atas musuh kita kerana dosa mereka lebih besar dari dosa kita, bukan atas sebab lain. Jika dosa kita dan dosa mereka sama, nescaya kamu akan tewas kerana jumlah mereka lebih ramai, dan sumber mereka lebih banyak"
Pesanan ini memiliki pengertian mendalam. Pentingnya permohonan keampunan dari Allah dan muhasabah diri akan menjadi faktor penentu semangat dan perjuangan yang kita taburkan akan membuahkan hasil. Saad bin Abi Waqqas sendiri tidak teragak-agak memenjarakan seorang tentera Islam ketika itu, Abu Mahjan at-Thaqafi kerana meminum arak bagi mengelakkan kejayaan tentera Islam tertangguh, walaupun itu hanya akan mengurangkan lagi jumlah tentera Islam yang sedia sedikit. Namun kekuatan semangat, keunggulan taubat dan kesedaran akan kuasa Allah mendorong Abu Mahjan untuk keluar dari tahanan secara senyap-senyap dan kembali merantai kakinya pada petang hari tanpa disedari oleh Saad bin Abi Waqqas yang demam selama 3 hari. Keinsafan dan taubat Abu Mahjan selepas itu menjadi penguat faktor perjuangan tentera Islam.
Setelah menang, Saad melantik pula Salman al-Farisi selaku pemimpin baru Parsi dengan hanya gaji satu dirham sehari. Itulah WAKIL RAKYAT mereka. Ketaatan dan keingkaran kepada Allah SWT menjadi perkiraan mutlak. Tanpa faktor lain dan masa-masa yang tertentu sahaja ingin ditaburkan segala bakti dan budi.
Wahai pejuang Islam, kalaulah kekuatan tenaga juang dan semangat kental tidak berupaya membantu kejayaan kita, bersedihlah, tapi usah kecewa. Balasan dosa pejuang Islam tidak ditangguhkan hingga ke akhirat. Terimalah ia di dunia ini, sebagai batu loncatan ke arah mempersiapkan diri, membersihkan diri, menginsafi diri.
Dan tidaklah semua kekalahan itu balasan Allah. Tidak semua kekalahan itu kegagalan ummah. Kerana tidak semua kejayaan itu adalah rahmat. Banyak kejayaan itu ujian. Ilmu Allah terlalu luas. Firman Allah SWT ;
"Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan diantara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada'. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir."
[Ali-Imran:140]
Firman Allah SWT lagi :
"Katakanlah ; Tuhan kami adalah Allah ; kemudian istiqamahlah"
Teruskanlah perjuangan. Percayalah pada iradah Allah. Muhasabah untuk kegemilangan perjuangan. Istiqamahlah untuk menjamin kekuatan jiwa dan kejayaan berterusan.
Hanya Allahua'lam.
Abu Nufayl, anak Kelantan.
7 Disember 2005
No comments:
Post a Comment