Alhamdulillahillazirzuqna binni'mah wa ja'alna minassyaakiriin...
Assolatu wassalaamu 'ala rasulillah wa sahbihii ajma'iin...
Hari ini, genap seminggu umur bayiku. Jam 4.40 petang tadi, genaplah 7 hari dia dilahirkan ke muka bumi Allah ini, menyahut cabaran Tuhannya yang menjadikannya sebagai khalifatullah dan 'abidullah.
Aleef Nufayl bin Mohd. Zainal Badri, cahayamata yang kukasihi. Dia lahir tepat jam 4.40 petang, hari Rabu 22 September 2004 M bersamaan 6 Syaaban 1425 H. Disambut Dr. Delaila dan Midwife Norliza, kehadirannya bagai satu cahaya buatku. Lega, syukur kerana dia selamat dilahirkan. Lega, syukur kerana aku diberi kesempatan untuk merasakan ni’mat menanti saat-saat kelahiran dan ni’mat melahirkan secara normal.
Hari itu, Rabu 22 September, dua hari selepas tarikh jangkaan untukku bersalin. Hatiku sungguh berdebar-debar menduga bagaimana saat-saat menghampiri kelahiran itu akan bermula. Jika diteliti, lain orang lain tandanya. Apa yang bakal aku hadapi? Bagaimana keadaan aku tika itu? Bersediakah aku?
Aku mulakan cerita dengan mata yang tidak dapat dilelapkan pada Selasa malam. Walau seawal jam 12 tengah malam aku mengakrabkan diri dengan tilam dan bantal, hingga jam 2 pagi aku masih terguling-guling dengan mata yang terkebil-kebil mencari kantuk. Perut lapar, lapiklah perut. Usai minum secangkir milo dan dua keping roti bersulam madu, aku cuba lagi mencari kantuk di peraduan. Namun, hampir jam 3 pagi baru aku berjumpa dengannya.
Lebih kurang jam 5.40 pagi, aku terbangun dengan perut yang memulas-mulas (itu tanda-tanda kontraksi). Aku sudah dua tiga kali mengalami kontraksi dengan perut yang memulas-mulas di awal pagi sebegini. Abang fikir mahu membawa aku ke hospital, tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan kerana sakit itu sudah biasa kualami. Aku menyiram diri di pagi hari untuk menenangkan diri, lalu aku menunaikan solat Subuh. Petua orang tua-tua, jika mandi apabila mula sakit mahu bersalin, itu akan memudahkan proses bersalin. Dan benar seperti agakanku sakit itu hanya gurauan. Dalam jam 6.45 pagi, sakit itu langsung pergi dengan sendiri. Usai sarapan pagi denganku, Abang ke pejabat (dia mahu menemaniku – risau jika saat-saat kelahiran sudah dekat, tapi aku menolak...kerana pejabat dan rumah dekat sahaja, dan aku belum ada tanda-tanda mahu bersalin).
Sambil membelek-belek koleksi Majalah Pa & Ma, membaca cerita pengalaman pelbagai ragam orang menghadapi saat-saat kelahiran, aku terlelap. Ketika itu, jam lebih kurang 8.30 pagi. Lebih kurang jam 9.40 pagi, sekali lagi aku dikejutkan dengan jeritan perutku yang memulas-mulas meminta aku membawanya ke tandas. Erm...masih tiada yang mencurigakan, sebab pesan Mama sakit kelahiran seringkali bermula dengan turun tanda (air ketuban, darah, lendir dsb) atau sakit pinggang bersekali dengan sakit di bahagian bawah abdomen. Tiada apa yang mencurigakan hingga lima minit selepas itu. Perbualan telefon dengan Mama terpaksa aku hentikan kerana sakit perut. Bukan sakit perut yang memulas biasa, rupanya ketuban yang pecah!
Lantas, panggilan telefon kubuat untuk memberitahu suamiku akan tanda-tanda itu. Jam 10.30 pagi, suamiku tiba. Aku baru usai mandi (sekali lagi pada pagi yang sama). Pakaian dan kelengkapan yang perlu sudah disiap rapi awal-awal lagi dan sudah menghuni perut kereta sejak kandunganku mencecah usia lapan bulan. Aku, Abang dan Tok bertolak ke SJMC seusai memakai ala kadar (Tok menemaniku sejak aku mula bercuti).
Di dalam kereta, sakit perut yang kualami bertukar menjadi sakit pinggang yang amat. Tepat jam 11.00 pagi, aku tiba di Wad Bersalin SJMC. Aku dan Abang masuk dengan penuh debaran, Tok menunggu di Bilik Menunggu di luar Wad Bersalin. Walau dibelenggu sakit pinggang, aku masih mampu bergurau dengan Midwives di Wad tersebut yang datang untuk mendapatkan maklumat daripadaku. Namun 10 minit selepas itu, sakit pinggang itu makin mendominasi, dan makin kerap. Tiada sakit kontraksi di bawah abdomen, hanya sakit pinggang, dan pinggang! [Suamiku sempat bergurau, sakit ini datang sebab psikologi berada di Wad Bersalin kot :P].
Daripada saat itu hingga jam 4.00 petang, aku berperang dengan rasa sakit yang dianugerahkan Allah. Tepat jam 4.00 petang, bukaan mencapai 10 sm. Walaupun pada awalnya doktor menjangkakan aku hanya akan bersalin seawal jam 6 petang ataupun awal malam, aku bersyukur kerana dipercepat proses itu. Jam 4.40 petang, lahirlah Aleef Nufayl dengan berat 3.27 kg. Alhamdulillah!
It is great experience to have baby. I feel like I'm falling in love once and once again. It is true when people said, "All the pain we've gone through labour just gone when we see he's put on our belly." The feeling is just can't be interpreted through words.
May Allah bless our family and our life, to be a committed mu'min in realizing Islam in nowadays world.
P/s: Jazakumullahul khoiran kathiira buat yang sudi menziarahi dan mendoakan 'ahlilbaity' [baca : anggota baru keluarga saya] yang baru menghirup udara bumi Allah ini.
Kak Qin, gambar takdan nak post lagi la. ;) Tunggu kening dia tumbuh dulu ek...eheheh.
Ahad ini bertolak ke Perlis. Ilal Liqa'!!! :)
~~~
"Umi comey ;)"
Hany FF
Rabu, 29 September 2004
14 Syaaban 1425 H
No comments:
Post a Comment