Kadang-kadang rasa tertarik ingin menggeletek pembaca dan pendengar untuk berbicara isu perkahwinan. Salah satu isu paling hangat, hebat, menarik dan sentiasa signifikan dalam hidup manusia. Walaupun sesudah berkahwin, ia tetap menjadi isu relevan bagi setiap manusia. Baik lelaki mahupun perempuan. Lelaki dengan poligaminya, perempuan mungkin pula dengan kahwin lain selepas suami meninggalnya atau setelah berlaku perceraian. Ia sentiasa segar. Malahan yang 'terjaga' perkahwinannya pasti akan mengharapkan perkahwinan berkekalan selepas mati pula.. Hinggakan ada yang berwasiat dikebumikan satu liang lahad bersama isteri atau suaminya selepas meninggal. Macam-macam al-kisahnya.
Saya ingin lontarkan beberapa pandangan cetek daripada isu-isu yang diperdebatkan ini. Bukan ingin mengajar, jauh sekali meng'kitab'kan pandangan inil, tetapi mungkin cukup untuk tatapan sendiri di masa terlupa. Merentas 3 jarak masa..
Fasa 1..
Sebelum berkahwin. Pada saat ini segalanya indah. Molek. Bagaikan suci. Malah kadangkala dihiasi oleh syaitan dengan haruman yang mendebarkan pandangan mata dan detik hati. Segalanya mesti bersama. Segalanya mesti 'satu'.. Satu hati, satu pandangan, satu jiwa, satu jasad, hinggalah satu bibir dan satu pipi. Belum disebut yang ekstremnya satu tubuh!
Pesanan dalam fasa ini, seperti kata seorang pakar motivasi, buatlah benda yang betul dengan cara yang betul. Kerana kalau hanya cara betul, bendanya tak betul, tak guna juga. Niat tidak menghalalkan cara.
Apa maksudnya? untuk berkahwin dengan betul, yang paling utama, bakal pasangan mestilah betul orangnya. Tidak kiralah setaat dan segigih Fathimah RAnha, segagah dan sebertanggungjawab Ali RA, mahupun' kurang sedikit' daripada mereka, yang penting mesti orangnya baik dan beragama. Mempamerkan contoh terbaik sebagai bakal bapa dan sebagai bakal ibu kepada anak kita.
Pada fasa ini, yang perempuan belum perlu menunjukkan 'ketaatannya' pada bakal suami. INGAT! Belum sampai masanya. Wanita yang sudah 'taat' pada 'bakal' suami, bukannya bakal ibu yang baik untuk anak-anak kita. Kalau segala kata tunang diikut tanpa sempadan, atau lebih teruk, kata-kata boyfriend diikut seperti 'laki' sendiri, alamat, sudah kuranglah markah bakal isteri ini.
Yang sebetulnya perlu menunjukkan kewibawaan pada fasa sebelum berkahwin adalah si lelaki. Sabar, tidak gopoh, mempamerkan ciri diplomasi dan kepimpinan dengan mengatur perancangan perkahwinan secara yang terbaik.Untuk zaman ini, saya maksudkan perancangan, mestilah meliputi
a. persiapan untuk berkahwin, fizikal dan material. mempersiapkan diri untuk ini secara penuh komited dan disiplin.
b. perancangan ketika majlis, agar tidak bercanggah dengan syarak. Tidaklah dimulakan sebelum Zohor berakhir selepas Asar. Sibuk bergambar, hari pertama kahwin sudah buat perkara haram, meninggalkan solat Zohor. Itu contoh.
c. Men'didik' secara tidak langsung bakal isteri melalui contoh perilaku diri yang terbaik, tidaklah perlu sampai mengajak bakal isteri berjemaah pula berdua-duaan! Yang saya maksudkan, bimbing bakal isteri dengan mempamerkan ketenangan kita sebagai bakal suami. Merundingkan perkara berkaitan perkahwinan secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak yang sepatutnya dari awal, menyabarkan bakal isteri jika ditakdirkan dia didesak membuat perkara/persiapan bukan-bukan sedangkan kemampuannya tiada. Kelak, susah hidup selepas kahwin. Hutang keliling pinggang.
Fasa 2
Sesudah berkahwin, iaitu melangsaikan kehendak syariat secara bersyariat, bukan bernafsu, maka melangkah ke alam baru berkahwin (1 - 5 tahun), merupakan saat getir. Ketika ini, hutang untuk berkahwin ada keliling pinggang. Percayalah, walaupun jumlahnya nampak sedikit sebelum berkahwin, ia akan jadi komitmen yang maha besar selepas berkahwin. Apa sebabnya?
Alam baru berkahwin, si isteri akan bermanja meminta itu dan ini, bukan untuk menyusahkan, tetapi itulah indahnya perkahwinan. 'Bermanja'. Dan pada fasa ini, melayani kemanjaan isteri memerlukan kesabaran fizikal dan mental, harta dan benda. Ia tidak salah. Ia perkara biasa.
Si suami pula akan 'struggle' untuk memisahkan diri dari kebiasaan hidup bujang seorang lelaki. Apa gayanya? bersendiri.. berbelanja secukup perlu, atau sesetengahnya mengorbankan waktu futsal, badminton, bolasepak, sepaktakraw, permainan dam aji dan apa-apa sajalah. Perubahan ini memerlukan kematangan suami, bagi mengimbangkan kegemaran di waktu bujang dengan pendidikan ukhrawi terhadap isteri. Saya sendiri lemah dalam hal ini. Walaupun lebih setengah dekad, kegemaran tetap kegemaran, hasilnya, isteri terabai pendidikan agama, baik fardhu ain dan fardhu kifayah. Kerana lelaki suka meneruskan kegemarannya. Ini pula memerlukan kesabaran fizikal dan mental si isteri. Atau isteri akan turut hanyut dan terus hanyut bersama sang suami.
PESANAN untuk fasa ini, komitmen terhadap isi yang ada dalam khutbah nikah perlu diperbaharui. Walaupun saya mengakui kerapkali 'tergagal'. Apa dia? Didik isteri.. lagi? Bagi isteri- Jangan susahkan suami dengan perkara yang tidak mampu. Semua ini satu cabaran. Jadi, KOMITED PADA JANJI KETIKA KHUTBAH NIKAH!
Seterusnya, PENGORBANAN terhadap kehendak nafsu diri. Hidup kini sudah berkongsi. Syurga neraka juga mungkin dikongsi. Letaklah sesuatu pada tempatnya yang betul.
Sedikit lagi untuk pasangan baru berkahwin, di sinilah waktunya mem'pasakkan' dua hikmat dalam perkahwinan bekal seumur hayat : pertama, kepercayaan, kedua tanggung jawab.. Jika kepercayaan dirosakkan pada fasa ini, ia akan menjadi benih perceraian untuk tahun-tahun mendatang. Jagalah kepercayaan ini. Dan dengan menjaganya, selama 5 tahun, ia akan menjadi sebati dalam jiwa setiap isteri dan suami, dan itulah baja rumahtangga.
Kedua tadi, tanggung jawab. Fasa awal perkahwinan, buktikanlah kita bertanggung jawab. Jika ada hutang kerana kahwin, nah, inilah masanya membuktikan tanggung jawab kita pada rumah tangga. Kongsilah. Bukanlah menyepi membiarkan pasangan termenung berdepan segala macam masalah. Yang kelak akan merosakkan kepercayaan terhadap pasangannya itu. Tanggung jawab lain? berkahwin.. dapat anak.. tambah lagi tanggung jawab. Bukan mainan yang dilahirkan, tetapi manusia. Jangan dipermainkan barang bukan mainan. Itu amanah Allah. Tiada istilah, "ini anak engkolah ni" paknya! atau maknya!? anak itu milik bersama. rumahtanggan milik bersama. Hutang piutang milik bersama. Kemanisan dan kepahitan kerjaya juga milik bersama. Kongsilah tanggung jawab. Bukan gila menuntut hak!
Fasa 3 dari artikel 'pendek' hari ini
Mencapai umur 'lanjut perkahwinan', masing-masing kadangkala merasakan 'sudah puas' merasa. Perasaan ini adalah perasaan gila dalam perkahwinan. Berkahwin bukan untuk merasa. Ia bukan aiskrim yang akan habis cair. Sebenarnya jika perkahwinan tujuannya untuk 'merasai', usahlah berkahwin. Tidurlah dengan pokok atau bapak beruang. Lebih senang diuruskan.
Jika terjadi juga perkara gila ini bagaimana? Jika berkahwin itu kasih dan sayang, di usia lanjut, sayang mungkin berkurang, tetapi kasih jangan hilang. Apa maksud saya? mungkin mata sudah meliar mencari perempuan lain sebagai 'pelengkap' hidup. Atau melihat keperkasaan dan kekayaan lelaki lain untuk dibandingkan dengan suami, tetapi ingatlah, saat ini syaitan kembali ke rumah tangga kita. Semailah rasa kasih, ingatlah pengorbanan di awal usia perkahwinan. Tanggug jawab telah dikongsi bersama. Kepercayaan telah tertanam, kenapa ingin luput rasa kasih itu? Bedebah si pasangan yang merasakan tiada lagi sayang, hancur sudah kasih, berakhir dengan sepak terajang dalam rumah tangga. Wal'iyazubillah
3 Fasa ini saya hanya coretkan secara ringkas. Daripada pengalaman cetek dan ilmu tak seberapa. Ada satu perkara yang akan menaungi segala pesanan yang ada, saya tidak sebutkan dari awal. Apa dia?
Baik fasa satu, dua mahupun tiga, kita sebagai manusia HARAM BERBOHONG dalam membina rumah tangga, menyemai kasih di awal perkahwinan, mahupun selepas melepasi fasa sudah lama berkahwin. Berbohong merosakkan kepimpinan. Berbohong menghancurkan sifat tanggung jawab. Berbohong menghilangkan kasih, meluputkan sayang. Ia merosakkan sistem rumah tangga dari dasar hingga ke bumbungnya. Bagaimana kita boleh berbohong? Banyak caranya kita berbohong. Tepuk dada tanya iman.
Ringkasnya, perkahwinan itu menghiburkan tetapi bukan semata-mata hiburan. Dan ia pasti bukan pembohongan.
Wallahua'lam.
4 comments:
Salam abu nufayl, mohon izin untuk berkongsi artikel ini. untuk ilmu bersama. i like :)
salam. ok. takat artikel simple ni apalah salahnya kongsi.. :) ..
aaa.. suke gak ngan artikel nih... nak share gak le.. boleh aaa..
nak share juga yer..mekasih..
Post a Comment