Tuesday, November 30, 2010

Pasangan Ideal Bawa ke Syurga

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati 'ala Rasuulillah SAW.

Assalamualaikum warahmatullah.

Isu kahwin, dan isu rumahtangga datang lagi. Kalau ada orang yang bertanya apa kena Abu Nufayl sehari dua ini berbicara isu kahwin aja kerjanya. Saya sudah sedia dengan jawapannya. “Apa salahnya kahwin?!” Atau mungkin kalau Ummu Nufayl berada di sebelah, saya akan jawab “Inilah dakwah!” haha.. ups..


PASANGAN IDEAL

Kita selalu lihat baik di barat, mahupun di timur, dan di rumahtangga kita sendiri, seorang lelaki atau wanita cuba mengenakan pakaian yang sedondon dengan pasangannya. Bila mahu sedondon :

1. ada yang sama warna dan corak.
2. ada yang sama warna dan tak sama corak.

3. Ada yang sama corak tak sama warna.

4. Tetapi yang lebih mengagumkan, ada yang nampak sedondon tanpa perlu warna dan corak itu sama dengan pasangannya. Ia tetap kelihatan ideal!



Begitulah juga pasangan ideal. Bukan dikatakan pasangan ideal itu mesti sedondon yang sama segala-galanya. Malah kadangkala bila sama serbi ada juga masalahnya. Saya pernah hampir pitam melihat suami isteri pakai baju dua-dua warna pink! . Ideanya bagus, tetapi kulit isteri putih, kulit suami gelap-gelap kopi. Baju sedondon tapi.. aduh.. Isteri tersengih perasan lawa, suami tersengih, gigi sahaja yang nampak!

Sama hobi juga tidak selalunya membantu. Kadangkala mungkin. Kalau suami dan isteri hobi belek kereta. Siapa mahu belek anak? Dua-dua hobinya ambil gambar, siapa pula mahu masuk dalam gambar?

Sama ‘bekeng’ (garang), juga tidak membantu. Akhir sekali anak jadi bisu bila ibu ayah kedua-duanya garang. Sama sopan pijak semut mati juga boleh jadi masalah, bila lahir pula Anakku Syazali.

Sama bijak, dan suka berdebat, juga mungkin tidak perlu sangat pada satu masa yang sama. Ini boleh menggemparkan telinga jiran sebelah.

Banyak lagi persamaan yang tidak boleh bersekali pada masa yang sama. Kerana itulah baju tidaklah wajib sama warna sama corak sentiasa.

Yang wajib sama adalah seperti cara berpakaian yang kedua-ketiga dan keempat. Walaupun ‘tidak sama’ secara fizikalnya, tetapi ia tetap bersifat MELENGKAPI. Ini motif saya menulis. Saya suka berdebat, dan mahir berdebat (contohnya), tetapi saya perlukan seseorang menulis. Jadi isteri boleh membantu menulis dan memberikan input. Saya suka solat lambat, saya perlu isteri membebel untuk mengingatkan. Si isteri handal memasak, jadi perlukan suami yang bernafsu makan yang tinggi, dan pandai mengambil hati memuji masakan. Ibu garang pada anak-anak, maka bapa perlu diplomasi pada masa itu untuk menerangkan perkara sebenar pada anak, bukan tumpang memaki anak.

Pada masa yang lain pula, bapa pula akan mempamerkan keraksasaannya kepada anak-anak, mengamuk, mencambuk, membaling (baik jangan!), dan pada masa itu, belaian kasih ibu akan dapat memberikan ketenangan pada anak yang sudahpun mendapat pengajaran. Suami suka tekan pedal minyak kereta sampai tembus lantai kereta, perlu ada isteri yang memainkan peranan sebagai Unit Penguatkuasa JPJ Bergerak demi keselamatan keluarga.

Ke suatu tahap yang ekstrem, jika suami calon ahli neraka kerana masih lagha dengan cerut, menonton bola sepanjang waktu Maghrib contohnya sampaikan solat 5 waktu tinggal satu waktu sahaja, sekali seminggu, isteri perlu jadi malaikat menasihatkannya. Isteri hampir tidak disahkan masuk syurga kerana ingkarnya pada syariat, suami perlu jadi ustaz mensyarahkan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.Bukan kedua-duanya merosakkan hidup anak yang melihat contoh terburuk di depan mata.

Kita tidak mau sedondon, dua-dua masuk neraka. Kerana untuk dua-dua masuk syurga, bukanlah senang untuk kita yang jahil ini.

Jadilah pasangan ideal, yang tidak perlu sedondon sama warna dan corak, tetapi tetap menyenangkan mata orang memandang, dan pastinya, sentiasa bantu-membantu melahirkan keluarga cemerlang dengan biah solehah di dalam rumahtangga. Akhirnya, barulah boleh sedondon sehati sejiwa melangkah ke Syurga Allah SWT. Ameen Ya Robb al-Alameen.

Ingatlah, rumahtangga bukan hentian bas mahupun teksi. Ia adalah satu perjalanan jangka panjang menuju sama ada syurga, atau neraka.

-----------

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN PERKAHWINAN UNTUK KAMI BERDUA HARI INI! Berserentak pula dengan tarikh lahir si kecik galok, cummey dan nyum nyamn tu, si Fudhayl Nashwan yang pasti akan mengekori kami setiap tarikh Anniversary.. dan kali ini, sayu juga bila budak berdua tu tak ada di sisi menyambut hari jadi adiknya. Nampaknya kena pakai plan B!  Ya Allah, Engkau rahmatilah keluarga kami..

6 comments:

.anisZ. said...

Assalamualaikum..
hepi anniversary utk zainal & hany. Yg ke berapa dah? Rasa mcm baru ja lg p mkn knduri kt pdg melangit.. ehehe..
hepi besday utk si comei fudhayl :D
Abang & kakak dia p mana?

abu nufayl said...

tak ingat, hehe.. bilang ikut anak, kali 2.5. lebih kurang lah tu

BanjarRakai said...

Baru hari ini baca, jadi happy belated anniversary and happy belated birthday to Fudhayl too.

Cuma nak 'menambahkan perbendaharaan kata'.

Quote:
Suami suka tekan pedal minyak kereta sampai tembus lantai kereta

Kawan saya menggambarkan keadaan ini dengan tekan pedal kereta sampai berdiri.

:D

abu nufayl said...

thanks all.

haha.. btw, pasal mobile unit jpj ada perkataan lain tak boleh ganti?

z.r.k.z said...

mashaAllah..sungguh sweet coretan ini.. moga2 FitrahZH dirahmati Allah dan bertemu di syurga.. Happy Anniversary.

Hany FF said...

thanks kak zaza. catatan masa anniversary tahun lepas :)