Thursday, September 23, 2010

Pisau 2 Mata ? Tidak Perlu Digembar Gemburkan?

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati Wassalaamu 'ala Rasulillah.


Betapa ada soalan berbunyi kenapa jika Facebook dan medium seumpamanya diwarwarkan tidak bagus itu dan ini, maka yang berkata-kata itu masih lagi menggunakannya. Dan ribuan lagi asatizah, mahupun ulamak, turut menjadi pengguna aktif FB. Satu pandangan yang pada zahirnya seolah olah bijaksana. Tetapi menjadi buah tanggung sempurna untuk saya habiskan sekadarnya.

Maka adalah jawapannya, beginilah adanya.

1. Daging babi itu haram. Di saat dharurat dan demi menyelamatkan nyawa, maka diharuskan makan sekadar perlu untuk mengembalikan tenaga.

2. Anjing itu haram. Tetapi anjing yang digunakan untuk tujuan perburuan itu, buruan itu sah asalmana tatkala melepaskannya diucapkan Bismillah.

3. Dadah itu haram baik dari segi ijmak ulamak yang menqiyaskannya pada benda mudharat dan memusnakan tubuh badan. tetapi bagaimana dengan dadah sebagai ubat-ubatan? Morfin contohnya. Atau pelbagai dadah lain dalam ubat-ubatan OTC( over the counter misalnya?)

4. Darah manusia itu haram pada manusia lain, tetapi apabila mereka murtad? Atau apabila agama Allah terancam dengan kemusnahan oleh pengkhianat Islam?

5. yang kelima ada di hujung artikel ini..


Kita tidaklah boleh bercakap dengan emosi. Islam ini agama penuh hikmah. Menyatakan kejelekan sesuatu perkara, boleh ditanggapi dengan perasaan marah kerana 'objek, maudhu', subjek' kesayangan kita diperlekehkan orang. Tetapi jangan lupa, minda yang bijaksana akan menanggapi perkara itu sebagai peringatan agar kita tidak lalai dan leka. Tercebur dalam dosa yang dibuat sendiri dan kemudiannya berbangga dengan dosa itu!

Apakah yang lebih baik selain daripada diperingatkan oleh sesama hamba Allah? ; Daripada dibantai diperosok oleh munkar dan nakir ketika sudah tidak ada jalan pulang bagi kita di alam barzakh, dan dihunjam dan dihanguskan dengan kehangatan api neraka ketika di alam akhirat kelak?

Bersama-samalah kita saling memperingatkan. Dan yang memperingatkan orang lain juga boleh diperingatkan oleh orang lain pula.

Dan saya pasti, masih banyak manfaat daripada medium komunikasi seperti Facebook ini yang diiktiraf oleh Islam. Boleh saya senaraikan, silaturrahim, ukhuwwah, dakwah syiar dan syariat, tazkirah dan tazkiyyah, siyasah, mengagungkan kebesaran Allah dan ribuan lagi kebaikan. Dan ramai yang menggunakannya ke arah ini.

Kelima?? dari yang terdahulu..

5. Arak itu ada membawa manfaat kepada manusia. Boleh membakar semangat juang dalam peperangan, boleh melupakan kesedihan peminumnya (rujuk sirah) Tetapi akhirnya diharamkan Allah secara bertahap-tahap setelah mendapati kerosakannya melebihi manfaatnya hingga membawa kemudharatan kepada Islam dan Umatnya.

Ketahuilah dan akuilah. Yang jelek tetap menjelakkan. Dan yang menjelakkan perlu diperingatkan. Agar tidak kita sama-sama terjerumus ke lembah maksiat dan kederhakaan pada Allah, Rasul dan Agama-Nya. Asal sesuatu perkara muamalah itu harus jika tiada dalil syarak mengenainya. Tetapi mahukah kita makan sekawah gulai yang dicemari setitik air kencing kanak-kanak sekalipun? Dan percikan kencing inilah yang kita semua sedang cuba untuk hindari.


Wallahua'lam.

Abu Nufayl

No comments: