Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati 'ala Rasuulillah.
Ermphh.. ngomelan hati saya, secara jujurnya kepada satu perkara yang sering dan suka dilakukan muslimin dan muslimat sekarang.
Walaupun tidaklah sepenuhnya membantah, tetapi saya ada sedikit 'reservation' apabila kita semua berlumba-lumba menjustifikasikan segala yang kita lakukan, dan PERLU lakukan dengan berbagai macam hikmah, khasiat dan manfaat.
Secara jujurnya, saya lebih risau perkara ini dilakukan sebagai salah satu modul mendidik anak-anak. Ingat, ini pendapat peribadi saya tanpa menyalahkan tuan puan yang tidak ingin mengambilnya.
Bayangkan jika anak-anak,atau penganut agama Islam disogokkan dengan hikmah duniawi bagi setiap perkara ibadah yang diperintahkan Allah. Cukuplah kita dengar perkara ini, dan jangan terlebih-lebih. Contohnya, saya setuju puasa boleh membantu perut berehat, puasa boleh mengurangkan berat badan, terawih juga boleh mengurangkan berat badan, sebagai salah satu senaman. Dan memakan tamar itu memberikan bekalan glukosa yang baik. Dan solat itu pergerakkannya boleh membantu kita bersenam, meregangkan urat. Dan itu, dan ini. Siapa kata itu salah? Allah memang turunkan hikmah tersebut untuk dinikmati oleh hamba-hambaNya.
Tetapi adakah hikmah itu tidak boleh diperolehi oleh orang yang tidak bersolat? tidak puasa, tidak bertarawih? Penganut bukan agama Islam tidak boleh mendapat itu semua? Juga boleh kan?
Jadi lebih tepat, jika hikmah-hikmah ini disimpan dalam kitab bertulis - faktor Motivasi Tambahan Ibadah:Suatu Ilmu Fardhu Kifayah karangan Manusia, dan bukannya dijadikan seperti kitab Tauhid atau Fiqh.
Saya rayu diri saya sendiri, letakkan konsep ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah)- syarat-syaratnya, kaedahnya dan ganjaran syurga dan neraka di depan dan kitab Hikmah dan Fadhilat ini kemudian sikit daripadanya, KHUSUSNYA dalam mendidik anak-anak dan juga manusia awam melaksanakan ibadah kepada Allah.
Tidaklah salah mengutarakan semua hikmah ini sebagai faktor motivasi, tetapi lebih au;a' (utama) kita mendidik manusia melaksanakan ibadah kerana Allah, kemudian carilah hikmah yang berkebetulan dengannya.
Bukan hendak membantah juga, tetapi bayangkan jika anak-anak mula mencari hikmah mencium hajar al-aswad, mencari hikmah basuh muka, tangan, kepala dan kaki ketika wudhu;, mencari hikmah percaya qada' dan qadar', mencari hikmah malaikat ada di kiri dan kanan, mencari hikmah ada malaikat penjaga neraka dan seterusnya. Saya risau kita tiada jawapannya nanti.
Lillahi ta'ala. Kerana kita hamba, Allah Rabb. Ganjarannya, moga Allah permudahkan. Dan, ditahap tertinggi larangan, jangan sampai mereka-reka ganjaran itu.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment