Tuesday, September 23, 2008

SELAMAT HARI LAHIR KE-4, NUFAYL

Hari ini, Ramadhan telah melangkah ke fasa 10 malam terakhir. Menjejak malam ke-23. Betapa masa itu kini pinjaman daripadaNYA yang amat mahal.Sebentar cuma, dipinjamkan kepada kita.
[Betapa catatan saya di blog ini sebelum ini, belum pun bersua Ramadhan.Kini, hampir Ramadhan pergi baru saya mencatat kembali.]

Hari ini, 22 Ramadhan 1429h bersama 22 September 2008. 4 tahun lalu adalah hari Ahad yang indah tapi mendebarkan.Dan, saat itu adalah saat yang paling menyakitkan tetapi yang paling membahagiakan.

Episod : Imbas Kembali, Ahad 22 September 2004.

Saat itu, 4 tahun yang lalu. Saya menanti hari untuk menimang cahayamata sulung yang telah 2 hari terlebih hari. Sambil memanfaatkan masa melengkapkan cross-stich...projek 2004, saya penuhi masa dengan membaca.

Boleh saja ditelusuri kisahnya di sini.

Hari ini : Isnin, 22 September 2008.

Dia berusia 4 tahun sudah. Sejak beberapa minggu belakangan ini, dia sudah tidak perlu memakai pampers ketika tidur. Alhamdulillah! Mudahnya mengajar dia. Hanya tegaskan kepadanya. Dia menerima. Dan insya'Allah dia boleh menerima perubahan.

Nufayl, perwatakannya mudah.
Apa bukti dia mudah? Mari kita telusuri sedikit kisahnya.

- Bercerai susu (Februari 2006).
Ketika usianya 1 tahun 4 bulan, saya disahkan mengandung 2 bulan. Doktor O&G, Dr. Delaila (SJMC) memang langsung tidak benarkan saya menyusu badan lagi kerana keadaan kesihatan saya. Kepada Nufayl, saya hanya katakan kepadanya 1 ayat ketika dia menolak susu botol dan saya minta dia menerima susu botol ketika tidur dan memberitahu dia apa yang menyebabkan saya tidak boleh meneruskan susu badan lagi. Terkebil-kebil matanya seolah faham. Dan, dia terus mencapai botol tanpa merayu lagi.

- Berhenti pakai pampers (siang-siang dan jalan-jalan).(Mac '08)
Waktu itu, dia gemar beritahu jika dia berhajat ke bilik air. Selepas selesai, saya perlu pakaikan pampersnya semua.
Saya kata kepadanya, "Nufayl tak payah pakai pamperslah. Ummi penatlah. Nufayl kan dah besar."
Katanya,""Tapi Nufayl nak pakai pampers lagi. Ermmm...oklah."
Dan sejak itu, dia berulang-alik ke bilik air untuk menyelesaikan hajatnya dengan ditemani Umminya. Kali ke-4 (hari yang sama), dia mula menguruskan semuanya sendiri.

- Berhenti pakai pampers malam (Ogos '08).
Nufayl mula menunjuk kecenderungan untuk tidak lagi menyusu sebelum tidur (sebalik zikir sebelum tidur). Saya sering lihat pampers paginya jarang-jarang basah (kalau basah pun, sikit saja). Dia juga beberapa kali, terbangun daripada tidur apabila berhajat ke bilik air. Lalu, saya katakan kepadanya, "Nufayl boleh bangun kan bila nak kencing.""Ya", dia angguk."Tak payah pakai pamperslah. Nufayl dah cerdik. Dah besar."Dia pun oklah, katanya. Sejak itu, kami hanya perlu pastikan dia kencing sebelum tidur dan kena agak peka dengan dia jika dia mengejutkan kami di tengah malam (ini jarang-jarang).

Mudahkan dia? (Juga mungkin kerana Ummi dan Abahnya bukan jenis yang memaksa ;))

Dia gemar membuat keputusan. Dan setelah membuat keputusan, selalunya dia tidak mudah berubah kepada pilihan yang lain. Ada pro dan kons nya. Cabaran untuk Ummi dan Abah supaya Nufayl seimbang dalam menerima keputusan orang lain atau mengajak orang menerima keputusannya.

Sejak kecil perwatakan romantiknya telah saya kesan. Sikapnya apabila akan tidur contohnya akan berubah, juga dengan Ummi, Abah dan adik dalam keadaan/situasi tertentu. Itulah istimewanya Nufayl. Sejak kecil dah romantik. Besar-besar? heh...tak taulah pulak!

Nufayl orangnya juga agak memilih dengan makanan. Juga agak terhad dengan pilihan makanan. Dia hanya makan jenis-jenis pilihannya. Jika bercampur-gaul, sering ditolaknya. Suapannya pun perlu diasingkan kadangkala. Agak cerewet ya dia! :)

Hampir terlupa saya, tentang membaca! Topik atau buku kegemarannya berkisarkan kenderaan (terutama kapal terbang) dan tentang angkasawan. Oh ya, dia pernah digelar Mr. Astronout oleh cikgu sekolahnya kerana rambut kerintingnya yang bagaikan topi angkasawan. Apa pun, Nufayl suka dengan gelarannya itu. ;)

Jika Nuha pernah saya ceritakan sebagai procedure-oriented, Nufayl pula process-oriented. Dia tak begitu cerewet dengan prosidur, tetapi prosesnya perlu mengikut kehendaknya.

Saya sering juga harus mengingatkan diri yang terlupa, pada saat Nufayl menampakkan sisi dirinya yang nakal (ultraman, spiderman etc etc), tidak mahu mengalah dengan adiknya, dan percubaan menguasai Ummi dan Abah...bahawa Nufayl ketika usianya mencecah 2 tahun, dan apabila adiknya hadir ke dalam keluarga kecil kami, dia banyak berkorban kasih Ummi kepada Nuha yang seringkali dalam waktu memerlukan perhatian yang banyak. Pun begitu, sebenarnya dalam itu berlaku, saya sering mengingatkan diri saya agar tidak mengkesampingkan Nufayl dalam apa jua hal. Andaikata, masih ada kekurangan, maafkanlah khilaf kami.

Perkataan paling mahal Nufayl, "Oklah." Itu bermaksud dia menerima saranan kita, dan baginya dia mengorbankan 'kehendak'nya.

Ada ketikanya mereka bergaduh, adat dua beradik. Namun, dalam banyak ketikanya, mereka sangat cocok bermain bersama. Kadangkala, gelak tawa mereka menghadirkan misteri dalam hati Ummi dan Abah, kerana gurau-senda mereka hanya mereka yang fahami. Dia sangat menyayangi adiknya, bersifat pelindung dan sering memimpin Nuha pada ketika Ummi dan Abah dalam haluan masing-masing menangani rutin hidup ini.

Dia sering mengerti senyumannya dapat melegakan resah lelah Ummi dan Abah. Dan itulah yang sering dihadiahkan (bersama ciumannya) apabila Ummi dan Abah mengadu kepenatan.

Dia memang kanak-kanak yang mudah dan cepat menangkap muzik/irama. Kerana itu, kami menggalakkannya untuk mendengar nasyid bagi menyalurkan minatnya ke arah yang positif (oh tapi Tom Tom Bak juga ada nyanyi, nyanyi! :(). Akibat terlalu minat dengan nasyid "Nabi Anak Yatim" - Raihan...dia jadi menghafalkan. Dan, dalam sedar-tak sedar kami, banyak juga nasyid kegemaran kami yang dia dah hafal liriknya. Tau-tau, dia dah ikut perlahan-lahan.

Dan, yang paling menyentuh hati tentang Nufayl ialah, apabila dia kadang-kala sering mengungkapkan dan mengulangi kerinduannya kepada Allah dan kekasihNYA, Muhammad s.a.w. Betapa seorang anak kecil, dapatkah merasa rindu kepadaNYA dan kekasihNYA? Itulah yang dia ungkapkan. Ummi doakan semoga Nufayl dapat merasakan cinta dan rindu kepada Rabbul 'Alamin dan habibullah, Rasulullah s.a.w dengan sebenar-benar cinta dan rindu, hingga akhir hayat.


Yang mencintai Nufayl dan mendoakan Nufayl selalu,
Ummi dan Abah.

Thursday, September 18, 2008

Apa Khabar Pelajar Ramadhan?

Bulan Ramadhan tahun ini, agak padat juga nampaknya jadual kami. Travelling, outstation, interviewing, etc. Tetapi antara agenda tetap yang paling menarik ada dua.

1. Jemputan berbuka puasa
2. Jemputan tazkirah

Yang pertama, kerana dapat juga mengurangkan kepenatan (sang) isteri daripada memasak di rumah. Walaupun pada masa yang sama mengurangkan pahala Ummu Nufayl (tak dapat masak kat suami). Hehe.. Tetapi tahun ini, keadaan agak berlainan. Kerenah si kecil dua orang dah bertambah variasinya. Walaupun rehat dari memasak, menghidang dan membasuh, kerehatan itu lenyap begitu sahaja bila terpaksa berkejar ke sana ke mari dengan mereka. Namun, itulah sebenarnya nikmat sebenarnya menjadi ibu dan bapa. Lagipula, mereka hanya ada seorang ibu, dan seorang bapa sahaja. Apa salahnya kita penuhi tuntutan mereka pada kita! Lagikan bos dan anak buah yang ntahapahapahapahapantah pun kita boleh layan!

Terfikir, bila agaknya mahu ke Seri Melayu untuk berbuka tahun ini. Ummu Nufayl dah mula bukak senarai kehendak tak terkawalnya nampaknya.. ups.. Saban tahun kami jengah ke sana. Tahun ini? Kena cari masa nampaknya. Kalau boleh tapau budak 2 orang tu masa makan, okay la jugak. Boleh fokus sikit makan. hehe...


Yang kedua, tazkirah. Kerana itu adalah suruhan agama. Menyampaikan, walaupun sepotong, sepatah ayat ; Peringatkanlah, peringatan itu memanfaatkan muslimin dan muslimat.

Cuma tahun ini, suasananya agak lain, di beberapa tempat, saya lebih cenderung untuk cuba 'mengasingkan' pendengar daripada gegak geger politik sekarang. Walaupun kadangkala itu yang diharapkan mereka. Sebenarnya diri ini sendiri cukup penat, cuak dan muak dengan pelbagai ketidaktentuan yang berlaku. Harap Ramadhan akan mengasingkan sebentar (jika boleh lama lagi baik) antara kotornya dunia ini dengan sucinya ajaran Islam milik ALlah swt ini.

Di taman baru kami, beberapa patah ayat pendek biasanya cukup untuk mengisi ruang penghuninya yang memang sibuk, tetapi kurangnya ta'aruf (dalam ertikata sebenarnya) antara satu sama lain, memerlukan muzakkir lebih berhati-hati dan tidak memanjangkan cerita di awal perkenalan. :) ..


Mungkin ada yang akan bertanya, kenapa 2 agenda itu yang menarik? Bagaimana dengan tarawih, tadarrus, witir dan ibadat lain. Jawabnya senang, itu bukan AGENDA SAYA, itu satu SURUHAN AGAMA. Suruhan agama, bukan satu alternatif, ia satu kewajipan bagi kita. Subjek teras. Pelajar Madrasah Ramadhan sekalian ; jangan beralasan, terlalu banyak agenda itulah, dan inilah hingga mengabaikan silabus asas program tarbiyah sebulan ini!
Sepotong hadis buat renungan hari ini. Sempena tahun 2008 ;

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda. “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang menipu. Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah”". Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)

Wassalam.
Abu Nufayl

Monday, September 15, 2008

Apa Khabar Orang Terengganu?

Seperti yang boleh di dapati di beberapa link. Seperti di sini, dan ada juga telah 'hilang', seperti di sini.

Tiada komen dari penulis. Berbincang dengan beberapa orang pimpinan, lantas ambil keputusan untuk sebarkan. Jika bukan sebagai ultimatum, mungkin boleh cambahkan pemikiran - ghuzwatul fikr. Dan berpeganglah kita pada adab al-ikhtilaf (adab berbeza pendapat)


TGNA : RAKYAT TERENGGANU SALAH PILIH PESURUHJAYA

1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.

2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.

3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.

4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.

5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.

7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.

8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?

9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 11 Ramadhan 1429 11 September 2008

-----
Wassalam.

Wednesday, September 03, 2008

Selepas catatan *.08.08 banyak betul yang berlaku.

Daripada Program Usrah 24.08.2008 kepada Pilihanraya Permatang Pauh 26.08.08,
kepada hari terakhir sebelum Ramadhan 1429h yang juga 31.08.08 - Hari Kebangsaan, 01.09.08 yang merupakan hari pertama Ramadhan 1429h kepada hari ini yang masuk hari ketiga dalam bulan Ramadhan.

Buat yang datang ke rumah dalam Program Usrah di Saakinatul Sakinah dan jamuan makan-makan kecil-kecilan pada 24.08.2008, jazakallahulkhoir. Datanglah lagi. Apabila rumah didatangi tetamu, rasa seronok walaupun ramai dan bermacam ragam. Sejak awal Ogos hinggalah 24.08.2008, rumah kami tak henti dikunjungi tetamu, bermula dengan Pak Lang & Cu dan anak-anak, Umi & Abah dan adik-adik ipar drp Kelantan, Mama, Abah & Tok drp Perlis, Dik Id & Suzy, MokSu dan famili drp Pahang. Kemudian, ditemani pula oleh Momay khusus untuk membantu masak-masak untuk 24.08.2008. Apabila tetamu pulang, betul-betul rasa sunyi. Hanya berempat dengan Nufayl dan Nuha.

Kemudian, kami pula yang berkelana.
29.08.2008, selepas menghadiri suku daripada satu majlis perkahwinan di KL,
kami bertolak ke Kelantan.
Niatnya mahu sambut puasa di Kelantan.
Tak sangka pula dapat jumpa bakal biras yang berkunjung ke rumah. heheh :)
Aktiviti di Kelantan, seperti biasa..shopping, cooking and errr sewing.

Apa cerita sewing?
eheh...nantilah!
;)

Selamat berpuasa, menyambut bulan mulia lambang kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNYA. Bulan yang dianugerahkan sebanyak-banyak anugerah dan pelbagai tawaran (lagi hebat daripada MEGASALES ni!). Terpulang kepada kitalah untuk menjadi hambaNYA yang bersyukur terhadap nikmat-nikmat itu atau membiarkan ia berlalu.

Malam ni kami bermusafir lagi. Ke Taiping...juga pulang ke Perlis. Memang jadi kebiasaan kami untuk pulang berpuasa di kampung yang tak dapat giliran raya. Macam tahun ni, giliran raya di Kelantan, jadi kami akan pulang ke Perlis bulan Ramadhan bagi mengubat hati keluarga yang kesepian waktu raya. Chewah, melankolik pulak!