Menjelang waktu tidur, kubelek lembaran mushaf Uthmani berkali-kali. Mata agak mengantuk untuk kuteruskan bacaan. Azamku asalnya cukup membara. 10 hari satu pusingan. 30 hari 3 kalilah khatamnya. Namun, apakan daya, tubuh longlai seharian, berhari-hari menatap dan melayani urusan duniawi. Hasilnya, baru separuh kitab suci dapat ku tatapi, baca dan mentadabburnya. Alangkah mantapnya keazaman berserta ikhtiar golongan terdahulu. Aku beleknya beberapa kali. Tak dapat aku teruskan bacaan pada helaian tersebut.
Akhirnya tanganku terarah pada suatu surah penawar hati. Sekali aku habiskan surah Yaasin, dengan hati terdetik sesuatu. Bagaikan pernah kurasa sebelum ini, beberapa kali, tetapi aku tak ingin ia selalu berlaku. Tidur. .
Seawal bangkit dari tidur, berita dari HUKM tiba. Melalui menantunya, kudimaklumkan pemergian seorang warga emas, yang kukira amat berjasa, dan pada masa yang sama dengan tidak mengambil kira faktor usia, boleh dikatakan amat rapat dengan kami sekeluarga. Tidak jemu berusaha memperbaiki diri. Hinggakan beberapa kali, dalam kerasnya beliau dan pendiriannya, masih lagi mahu kami bersama menjayakan usrah keluarganya, di rumahnya, di Shah Alam. Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Bersiap..
Apa yang patut dibantu, kubantu. Kemudian terus ke pejabat buat seketika, ada mesyuarat yang terlalu penting untuk dihadiri. Hati tidak tenang, memaklumkan kepada beberapa teman yang berkaitan, aku lantas ke Shah Alam, rumah allahyarham. Bantu lagi sekadar terdaya. Kemudian ke Perkuburan MBSA Seksyen 21, Shah Alam. Proses pengkebumian..
Usai. Pengajaran jelas buat diri kecil ini kali ini, tampak jelas pada keseluruhan persekitaran profail allahyarham, membawa hingga ke saat terakhir jenazahnya ditimbusi tanah. Beliau adalah mantan Kapten TLDM, sama pangkatnya dengan Kolonel jika dalam tentera darat. Jika Kolonel memegang batalion. Kapten di TLDM bertindak sebagai Komandan. Kalau ada kapal dengan ribuan anggota. Itulah pemegang kuasanya. Dan pernah pula menguasai Woodland, puluhan tahun dahulu.
Besar pengaruhnya. Ramai anak buahnya. Meluas kuasanya. Digeruni, dihormati dan ditakuti. Keluarganya? Anak saudaranya Timbalan Panglima Tentera Darat. Berpangkat Leftenan Jeneral, aku terperasan bila duduk bersebelahan dengannya di perkuburan. Senyumnya agak sayu. "Kata-katanya jelas, "kuasa tidak menjamin segalanya" Meskipun jenazah allahyarham diangkat oleh sepasukan anggota TLDM ke perkuburan, kisah saat akhir kematiannya menyentuh hati..
Bertahun menderita sakit. Berbulan di hospital. Pulang ke rumah, kembali lagi, pulang lagi dan kembali lagi ke hospital untuk 'bersedia menerima panggilan Illahi'. Kedua paru-paru allahyarham gagal berfungsi. Bernafas sepenuhnya melalui tiub dan oksigen yang dibekalkan.
Allahyarham, setiap kali kusalami tangannya akan melafazkan, .."begini rasanya menunggu masa yang pasti". Dan setiap kali itulah aku terkelu, tidak tahu apa caranya untuk menjawab kembali. Hanya memandang wajah tua itu..
Kembali ke HUKM, bulan Ramadhan. Giliran isterinya yang setia menjaga allahyarham. Keletihan berminggu-minggu, namun kesetiaan isterinya terbukti. Semalam dapat kulihat, seusai mengimamkan solat tarawih dan witir, kuberpaling ke belakang, tangan isterinya masih lagi dalam keadaan berdoa, tapi mata sudah pejam, tubuh sudah tidur, menandakan betapa letihnya beliau selama ini, namun tak pernah disuarakan, walaupun usia menjangkau lebih tiga suku abad..
Kembali lagi ke HUKM, anak-anak sudah pulang ke rumah, esoknya sekolah dibuka, tugasan pejabat perlu dihadiri, maka si emaklah yang menemani si ayah. Sahur... Bersahur ringkas. Si isteri, sepertimana biasa, menyelesaikan solat malamnya, yang tidak pernah ditinggalkannya sejak dahulu. Menjenguk ke bilik sebelah, muka allahyarham tetap berseri, tidur, nyenyak. Sesekali tersedar, kumat-kamit kelihatan di bibirnya melafazkan kalimah tasbih, tahmid, takbir dan istighfar, yang sejak berbulan lalu tidak pernah ditinggalkan. Tenang melihat suami tercinta nyenyak dalam tidurnya, si isteri meneruskan munajat pada Allah di surau sementara..
Maklumlah, anak-anaknya doktor pakar, seorang daripadanya mereka memang doktor di HUKM bukan susah dapatkan keistimewaan tersendiri. Munajat.
Kembali ke bilik suami, salam diberi, ingin diteruskan khidmat dan kasih bakti kepada suami tercinta. Puluhan tahun mencurah kasih. Dihampirinya, dengan penuh lemah lembut. Ingin bertanya khabar jika sedar, ingin ditatap jika masih lena diulit mimpi. Masih nyenyak nampaknya. Segalanya seperti biasa. Cuma satu perkara yang lain, tiada pergerakan yang jelas. Sudah terhenti ombak dadanya. Kelibat gerak alis matanya juga tidak lagi kelihatan. Tinggallah anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah dan amal jariah. Berseorangan, tidak ingin dikongsi saat-saat akhir itu. Salam mesra tadi sudahpun tidak berjawab. Selamanya..
Lafaznya, "ya Allah ya Tuhanku, kehendakMu tidak dapat diubah. Betapa berkuasanya hambaMu. Betapa ramai kenalannya, betapa setianya ahli keluarga dan sahabat handai menunggu di tepinya. Namun, bila Kau inginkan hambaMu bersendirian denganMu ketika di akhir perjalanan hidupnya, siapa yang mampu menghalangnya?"
Aku kembali membelek surah Yaasin, tapi kali ini dengan berita yang sudah pasti. Bukan lagi detik hati. Bersendirian di rumah, jam 12.30 tengah malam, kembali dari Shah Alam, keletihan. Dengan suatu khabar yang pasti, dari Allah kita datang, kepadanya kita kembali. Dan keadaannya, ku serahkan kepada Allah swt. Moga sedikit ikhtiar di waktu hidup ini, mampu membantu kita memperoleh husnul khaatimah. Ameen.
al-Fatihah ila allahyarham Mohd Daud bin Fatimah
No comments:
Post a Comment