Monday, February 28, 2005

Ayat Ayat Cinta

Ini bukan kisah cinta Rabi'atul Adawiyah yang rindu cinta pada RabbulJaliil.
Ini bukan kisah cinta Hassan Al-Basri yang menunggu untaian cinta Rabi'atul Adawiyah luruh ke hatinya.
Ini bukan kisah cinta Ibrahim Adham yang mencari Tuhan lantas menyarung diri dalam dakapan zuhud.
Apatah lagi kisah cinta anak muda zaman millenium yang hanyut dalam gelora asmara fana'.

Ini kisah Fahri Abdullah Shiddiq, musafir di Ardhul Kinanah yang hidup menjunjung cintanya pada Yang Esa. Walau ujian demi ujian mencagari hidupnya.

Semalam, aku pantas mengkhatami novel ini. Puas terasa diri. Meneroka bicaranya satu persatu, aku bagai menghayati segala yang terjadi.

Jika tidak, masakan jantungku yang debarnya hebat sekali (rasa nak putus jantung :D) saat-saat Fahri bertemu dengan bakal isterinya tika sesi ta'aruf. Debar makin hebat tatkala bakal isterinya membuka hijab (purdah) untuk dikenalkan pada bakal suami. (Watak dalam novel yang di'baitul muslim'kan, aku pula yang terlebih menghayatinya!) ;)
Dan saat dia dinikahkan, tak terasa airmata ini gugur kerana terharunya penghayatannya terhadap pernikahan yang mulia itu. Satu persatu sunnah dijalankan daripada mula bersalaman dengan isteri, doa tika mengucupi dahi isteri, dan solat sunat bersama. :)
Indahnya penghayatannya.

Dan satu daripada ayat cinta yang diungkapkan dalam novel ini :
"Orang-orang yang akrab saling kasih mengasihi, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain,kecuali orang-orang yang bertaqwa."
(Az-Zukhruf : 67)


Betapa satu ayat cinta daripada sekian banyak ayat-ayat cinta yang diwahyukanNYA, ditafsirkan melalui peristiwa, tragedi dan perbuatan. Alangkah indahnya!

Lantas, aku kagum pada penulisnya Akh Habiburrahman El-Shirazy, dari Indonese. Beliau seorang Sarjana daripada Universiti Al-Azhar.

Terima kasih Nida, kerana meminjamkan Novel Pembangun Jiwa (komentar daripada Pak Hadi Susanto) ini. Lumayan sekali! :)

Benarlah, antara sastera sekular & sastera Islam…lain benar pendekatannya. Wajah dan lenggok gayanya juga lain. Membezakan keindahan sejati dan kesementaraan nurani. Membaca karya sastera Islam, anda pasti terajak untuk menjadi setaat wataknya, secekal hidupnya, seteguh pendiriannya dalam melayari kehidupan anda sendiri. Di situlah indahnya, berdakwah melalui karya sastera.

Bacalah!

tazkirah hari ini
Al-Quran Kekasih Istimewa


~~~
Life is too short to leave kind words unsaid
Hany FF
17 Muharam 1426 H
25 Februari 2005 M

No comments: