Tuesday, November 30, 2004

Anniversary

Hari ini ulangtahun perkahwinanku yang pertama, mengikut kalendar masehi. Jika dihitung mengikut kalendar hijrahnya...5 Syawal lalu genap (?) tahun kami bersatu.

5 Syawal lalu, kami bersederhana saja. Cuma pada hari ini kami berpeluang menziarahi sahabat-sahabat yang tinggal di Kelantan, sementelah hari-hari sebelumnya terlalu padat agenda bersama keluarga hingga kesempatan berziarah sahabat-sahabat tertangguh seketika.

Pertama-tamanya, kami ke rumah Farah Wardiah di Pulai Chondong sekaligus melawat anaknya yang baru 22 hari tika itu. Kemudian, kami lanjar ke rumah Lina (Nurfadhlina Yusuf) di Kg Salor, KB. Kenyang makan sate di situ, kami singgah di rumah Abg Faizal di Tiung, Seribong. Lengkaplah kitaran untuk hari itu. Walau hanya 3 rumah yang diizinkanNYA...hingga jam 6 baru kami langsai ziarah. Begitulah kita dan masa, seringkali singkat. Amat!

Hati teringat sahabat-sahabat lain yang tinggal di Kelantan; Azlida (Wakaf Baru), Akmar & Ipah (Bachok), Lela & Nani (Pasir Mas). Adakah lagi yang aku terlupa? Maafkan kawan, kesempatan kurang ;). Hanya ingatan yang dapat kuhantar tika itu.

Hari ini, ulangtahun kami ikut bulan masehi. Abang tiada di sisi. Di Besut dia kini. Sedih? Entahlah...(Nufayl tak renggang, sedih rasa dia penawarnya).

Kerana janjinya kupegang pasti. Pulangnya nanti, kami akan ke Concorde lagi. Ada apa di Concorde? :)

...tunggulah ;)


~~~
Hany FF
30 November 2004

Syahid

Sayu benar rasa hati apabila terbaca petikan kata-kata Rantissi ini. Udah hampir 2 bulan aku tidak menjengah email. Satu-satunya aku telusuri, lantas inilah yang kutemui drp email Pearl of the Week drp Abg Faizal. Jazakallahulkhoir...

"Saya menyeru anda semua agar tenang, seandainya Rantissi, al-Zahhar, Haneya, Nazzar Rayyan, Said Siyyam dan semuanya gugur syahid (dibunuh Israel), demi Allah perjuangan kita akan bertambah gemilang dan membuatkan kita semakin mencintai jalan ini.
Tangan-tangan kita yang menggenggam senapang di dunia ini Insya Allah akan berpelukan bersama di sisi Allah (di syurga nanti).
Oleh itu silalah Sharon dan kuncu-kuncunya meneruskan apa yang mereka inginkan di sini, kami akan sentiasa meneruskan perjuangan ini. Jalan yang kami lalui ini memang payah, namun, inilah satu-satunya jalan yang akan menghantarkan kita semua kepada cita-cita kami (iaitu syurga). Di atas dasar inilah kita tidak akan sekali-kali merasa lemah, tidak akan menyerah dan tidak akan juga menghinakan diri kami (dengan menyerah kalah kepada Israel)".


- Ucapannya Dr Abd Aziz Rantissi sebelum beliau gugur syahid (Insya Allah)kepada anggota HAMAS di Gaza.

Lantas, bagaimanakah rupanya jalan kita untuk mencapai cita-cita Syahid itu? Akan terbukakah ruang, atau payahkah mencari titik mula...untuk satu perjuangan?

Tuhan...izinkanlah!


~~~
Hany FF
17 Syawal 1425 H

Monday, November 29, 2004

Jejak Wasiat di Bumi Cordoba

Aku di sini, Alawiyah
Di susur Sungai Guadalquivir
Mencari tegak kota lama Iberia
yang usianya diukur derita.

Cordoba,
Aku di pinggirmu,
mencari erti penaklukan,
penguasaan,
pengaruh cendekiawan.

Hidupmu penuh ranjau
Dari Lotheo ke Julius Caesar, dari Bizantium ke Raja Westgoten.

Hingga Islam tiba,
kau tak jemu mencari diri,
menyerah kepada yang berkuasa, kuasa dunia!
Hingga Islam tiba,
kau tak kenal erti Yang Maha,
kerana zulmatnya aqal fikir, nikmat Iman terselimut sepi.

93 Hijrah! Saat Tariq ibnu Ziyad mencecah jejak
Terurailah kusut kuasa dunia, tamadun masyhur tercipta
Dipimpin As-Samah bin Malik Al-Khaulani
Dirintis Abdul Rahman Ad-Dakhil
Dilanjar Khalifah Abdul Rahman An-Nasir
Menjalarlah ilmu & pemikiran Ibnu Hazmi, Ibnu Rusydi, Ibnu Wafid, Ibnu Jaljal, Qurtubi, Az-Zahrawi, Al-Ghafiqi, Al-Idrisi, Ibnu Abbas bin Farnas
Sebelum terkubur tika qadha’Nya menegur.
404 Hijrah!

Akan hidupkah warisan Islam yang terkubur
Dengan wasiat yang masyhur?

Aku menyerumu Alawiyah
Seru hakiki
Menjejak wasiat di bumi Cordoba.


Hany FF
~ Seri Sentosa
16 Syawal 1425~29 Nov 2004

Friday, November 26, 2004

Pulang ke Gudang Sibuk

Semalam, aku kembali ke Gudang Sibuk.
Bermula Selasa, 23 November aku memulakan perjalanannya.
Selang sehari, aku tiba.

Hari ini, aku berleka-leka,
Letih menyaksikan sibuk bermaharajalela.
Aku tahu esok akukan sibuk lagi.
Kerana di sini pencarianku, maka itu keterpaksaan berlaku.

Dia yang manis,
Dia yang manja, kutinggalkan demi Gudang Sibuk.
Rintih hati mencari pengertian.
Dia dan aku.
Bermula dari satu, menjadi dua menjadi tiga.

Nufayl,
mengertilah anakku.
Hidup ini bukan mudah.
Perjalanan dan kehidupan di Gudang Sibuk ini adalah ketentuanNYA.
Bersabarlah,
jam 5.30 Ummi bertolak pulang.

Kita akan ketemu.
Langsaikan rindumu.
Rinduku tak sekalipun luak.
Walau memandangmu seribu nampak.

~Hany FF~
Jumaat
13 Syawal 1425 H
26 November 2004 M