Sunday, August 22, 2010

Mencari Lailatul-Qadr atau Mencarik Ramadhan??

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati Wassalaamu 'Ala Rasuulillah

'Tinjauan' ringkas semalam ke beberapa tempat, berkebetulan meraikan hari lahir puteri kepoh kami yang seorang, saya dapati kegilaan biasa telahpun rancak berlegar di sekitar kita.

Dalam kelam kabutnya hotel-hotel berikhtiar mendapatkan sijil halal bersempena Ramadhan kali ini (TAHNIAH JAKIM), terdapat pula beberapa pihak yang tidak sedar diri dan tidak 'reti' bahasa melayari Ramadhan yang mulia ini.

Saya tabik kepada sebuah stesen radio tempatan baru-baru ini (mungkin Deejaynya, yang berani menjawab rungutan (pendengar) ini ;

"kenapa belum disiarkan lagu-lagu raya"

dengan jawapan lebih kurang begini;

"sabarlah ya, kita tumpukan pada Ramadhan, mungkin paling awal, selepas 15 Ramadhan baru kita akan mula siarkan. Mari kita sama-sama perbaiki puasa kita"

saya tersenyum dengan jawapan itu. Sekurang-kurang ada juga manusia yang faham konsep sebenar sambutan dan penghayatan Ramadhan.

Saya tidak prejudis dengan niat memeriahkan Hari Raya Aidilfitri, ia juga adalah sunnah yang jelas, dan juga hari kebesaran Islam yang ditetapkan syara'. Namun hormatilah Ramadhan. Mengumandangkan lagu-lagu hari Raya, dengan ulasan-ulasan dj yang nampaknya sudah lupa daratan, langsung lupa bahawa kita masih perlu diperingatkan dengan keperluan bersungguh-sungguh menyempurnakan puasa ; amat-amat-amat-amat menjelekkan, merimaskan dan melemaskan!

Anak-anak kini mula bertanya, bila nak raya? bila nak raya? penatlah puasa. Dengar lagu raya ada sebut kuih, laparlah, taknaklah puasa.

Saya suka mencadangkan, sebagaimana intensifnya pihak berwajib memastikan kehalalan makanan dan dapur hotel, selepas ini, perlulah disediakan garis panduan yang jelas, tegas dan bersepadu, TIADA SAMBUTAN AWAL Hari Raya Aidilfitri! Kita disunatkan mengawalkan berbuka, bukannya menghabiskan suasana Ramadhan seawal 5 Ramadhan!

Wallahua'lam.

Thursday, August 19, 2010

Mengintai Hikmah dalam Ibadah??

Bismillahi Walhamdulillah. Wassolaati 'ala Rasuulillah.

Ermphh.. ngomelan hati saya, secara jujurnya kepada satu perkara yang sering dan suka dilakukan muslimin dan muslimat sekarang.

Walaupun tidaklah sepenuhnya membantah, tetapi saya ada sedikit 'reservation' apabila kita semua berlumba-lumba menjustifikasikan segala yang kita lakukan, dan PERLU lakukan dengan berbagai macam hikmah, khasiat dan manfaat.

Secara jujurnya, saya lebih risau perkara ini dilakukan sebagai salah satu modul mendidik anak-anak. Ingat, ini pendapat peribadi saya tanpa menyalahkan tuan puan yang tidak ingin mengambilnya.

Bayangkan jika anak-anak,atau penganut agama Islam disogokkan dengan hikmah duniawi bagi setiap perkara ibadah yang diperintahkan Allah. Cukuplah kita dengar perkara ini, dan jangan terlebih-lebih. Contohnya, saya setuju puasa boleh membantu perut berehat, puasa boleh mengurangkan berat badan, terawih juga boleh mengurangkan berat badan, sebagai salah satu senaman. Dan memakan tamar itu memberikan bekalan glukosa yang baik. Dan solat itu pergerakkannya boleh membantu kita bersenam, meregangkan urat. Dan itu, dan ini. Siapa kata itu salah? Allah memang turunkan hikmah tersebut untuk dinikmati oleh hamba-hambaNya.

Tetapi adakah hikmah itu tidak boleh diperolehi oleh orang yang tidak bersolat? tidak puasa, tidak bertarawih? Penganut bukan agama Islam tidak boleh mendapat itu semua? Juga boleh kan?

Jadi lebih tepat, jika hikmah-hikmah ini disimpan dalam kitab bertulis - faktor Motivasi Tambahan Ibadah:Suatu Ilmu Fardhu Kifayah karangan Manusia, dan bukannya dijadikan seperti kitab Tauhid atau Fiqh.

Saya rayu diri saya sendiri, letakkan konsep ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah)- syarat-syaratnya, kaedahnya dan ganjaran syurga dan neraka di depan dan kitab Hikmah dan Fadhilat ini kemudian sikit daripadanya, KHUSUSNYA dalam mendidik anak-anak dan juga manusia awam melaksanakan ibadah kepada Allah.

Tidaklah salah mengutarakan semua hikmah ini sebagai faktor motivasi, tetapi lebih au;a' (utama) kita mendidik manusia melaksanakan ibadah kerana Allah, kemudian carilah hikmah yang berkebetulan dengannya.

Bukan hendak membantah juga, tetapi bayangkan jika anak-anak mula mencari hikmah mencium hajar al-aswad, mencari hikmah basuh muka, tangan, kepala dan kaki ketika wudhu;, mencari hikmah percaya qada' dan qadar', mencari hikmah malaikat ada di kiri dan kanan, mencari hikmah ada malaikat penjaga neraka dan seterusnya. Saya risau kita tiada jawapannya nanti.

Lillahi ta'ala. Kerana kita hamba, Allah Rabb. Ganjarannya, moga Allah permudahkan. Dan, ditahap tertinggi larangan, jangan sampai mereka-reka ganjaran itu.

Wallahua'lam.