Walaubagaimanapun, keterbatasan kemampuan fisik manusia tidak membolehkan kita melihat semua yang kita yakini itu hanya dengan menggunakan mata kasar. Ini kerana ada di antaranya dibatasi dengan batasan masa (kita tidak boleh bersama dengan para Nabi, walaupun mereka wujud secara fizikal), dan sebahagian lain lagi terpisah oleh batasan hijab ghaib Allah SWT (kita tidak boleh melihat Allah, Malaikat, Jin & Syaitan, Syurga & Neraka dll).
Perkara-perkara sebegini hanya boleh diimani melalui ilmu dan keyakinan penuh terhadap ilmu dan kepercayaan tersebut. Tidak ada gambar, teks, skrin layar mahupun pembesar suara yang boleh menzahirkannya. Malah hendak membicarakannya juga perlu disandarkan kepada ilmu Allah, dan perkhabaran yang di bawa oleh Nabi SAW. Jelas.
Jika tidak, masakan kita tidak dibenarkan menggambarkan potret Rasul dan Sahabat, sedangkan mereka wujud secara fizikal?!. Batasan masa memungkinkan kita berbuat silap dan menggambarkan insan-insan mulia ini secara silap.
Apatah lagi menggambarkan isi aqidah yang dibatasi hijab Allah SWT. Merentasi dua alam berlainan dimensi. Maka mustahil kita mampu melakukannya dengan betul, malah boleh membawa kepada kekhurafatan yang nyata di dalam diri dan ahli masyarakat.
Antaranya memikirkan secara mendalam tentang zat Allah, yang secara mutlaknya tidak mampu dipikul oleh mana-mana manusia. Selainnya, seperti alam barzakh, padang mahsyar, malaikat, jin dan syaitan, syurga, akhirat, dan sebagainya. Tidak ada daya upaya bagi kita melihat dan menikmatinya secara zahir, melainkan adanya izin Allah SWT seperti yang pernah dikurniakan kepada insan pilihanNya.
Oleh yang demikianlah, bila ditanya pada keharusan menuturkan atau menggambarkan perkara berkaitan dengan salah satu perkara ghaib tersebut, iaitu kematian contohnya, kita hanya dapat membicarakannya melalui pendekatan ilmiah yang bersandarkan Firman Allah dan Sabda Rasulnya, dan tidak boleh secara fizikal. Itu bukan kerja pendakwah.Ini kerana mengiktiqadkan sesuatu perkara ghaib yang dilihat dengan mata kasar kita sebagai 'perkara atau peristiwa sebenar' hanya kerana kita telah melihatnya melalui pementasan atau penulisan mana-mana pihak yang berlaku boleh membawa kepada kecelaruan aqidah kita sendiri dalam bab iman terhadap perkara ghaib.
Tanpa berniat mencari siapa yang betul ataupun salah, peristiwa yang diheboh-hebohkan baru-baru ini menimbulkan polemik banyak pihak. Selain perdebatan, pada masa yang lain, ia juga turut menjadi hikmah dalam menyerlahkan kemunafikan paradigma dan fikir-risau sesetengah pihak yang lain. Allah Maha Bijaksana dalam mengatur sesuatu.
Apa komen saya? Mengamati subjeknya secara realitas (menontonnya sendiri), memperlihatkan banyak persoalan boleh ditimbulkan. Walaupun kemudiannya saya mengambil keputusan untuk hanya menghadam pengajarannya, tanpa mencampurbaurkannya dengan isu kepercayaan dan keyakinan.
Dan saya membuat kesimpulan, kita melakukan kesilapan sekiranya mendedahkan tayangan tersebut khususnya kepada minda yang masih muda mentah TANPA DIIRINGI dengan bimbingan, penjelasan mantap susulan daripada sesi tersebut. Jika ianya dapat ditangani (damage control), maka apa yang akan ditelan minda anak-anak adalah keinsafan, dan tekad untuk berbuat baik, tanpa ada sebarang kecelaruan dalam telahan mereka terhadap alam ghaib.
Samalah dengan kuliyah alam barzakh oleh Ustaz-Ustaz, yang memangpun tidak akan berupaya memberikan fakta yang tepat dan gambaran sebenar, tetapi konteks moral dan pengajarannya dapat dihadam minda pendengar.
Namun saya yakin, kekalutan, kekeliruan dan kekhurafatan yang timbul pada khalayak lebih membahayakan dari maslahahnya menyajikan kebaikan. Wal'iyazubillah.
Harap penjelasan awal ini boleh membantu proses minda tuan puan berfikir di sebalik teks yang ditaip.
Namun, seperkara di sampingnya, yang lebih mudah bagi orang awam memahaminya, tanpa sebarang sikap hipokrit, saya juga ingin melihat 'qias' kepada kekalutan ini.
Cuba kita lihat suara-suara besar yang timbul sejak isu ini berlegar. Segalanya timbul, segalanya dipersalahkan, hingga lupa pada titik kebaikan yang boleh dipancing daripada kejadian ini.
Banyak pihak yang lupa, peristiwa ghaib lain yang turut menghantui minda anak-anak ini, malahan terhadap ibu bapa dan datuk nenek anak itu seringkali dipandang secara terpencil. Sewajarnya, kegilaan sesetengah pihak mendedahkan para penonton kepada hantu, polong, pelesit dan segala macam ketakutan alam ghaib ini juga harus dilihat pada perspektif yang sama adil dengan isu ini.
Namun, ia tidak pula menjadi isu. Mungkin kerana manusia sekarang takutkan nilai iman meresap dalam diri anak-anak? Atau takut keinsafan anak-anak akan memalukan mereka? Atau takut anak-anak jadi gila dengan memikirkan apa yang ada di bawah bidang kekuasaan Yang Maha Esa? Tetapi tidak pula kita risau mereka membayangkan perkara yang entah apa-apa corak tafsirannya oleh minda buta para pengarah dan penerbit ini. Ia masih lagi di bawah juzuk aqidah!
Saya yakin, ulasan lebih panjang telah dibuat oleh rantaian penulis. Ingin saya akhiri dengan seruan, Mesej Keinsafan Bukan Lesen Imuniti. Dan pad masa yang sama, kemunafikan paradigma warga layar, tanpa tarbiyah bijak pandai pendokong amanah rakyat, tetap tidak dapat dimaafkan syariat.
Pening? Nasi tidak boleh dinikmati sebelum penutup periuknya dibuka!
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment